April 18, 2026
Info X Reporters
Dron ‘perhati’ pemandu degil potong garisan berkembar dalam Ops Didik
RANAU: Tindakan pemandu yang berani memotong di garisan berkembar akhirnya ‘kantoi’ apabila dipantau menggunakan dron dalam Op Didik yang dijalankan di Jalan Ranau – Tamparuli, di sini, semalam. Operasi oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau itu dijalankan di KM 3 dan KM 9 dengan penempatan anggota di dua lokasi berasingan bagi memantau pergerakan kenderaan secara serentak. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, penggunaan dron membantu pihaknya mendapatkan gambaran udara secara langsung sekali gus memudahkan pengesanan kesalahan lalu lintas. “Antara kesalahan dikesan termasuk memotong di garisan berkembar, melanggar peraturan lalu lintas dan pemanduan berbahaya. “Hasil operasi, lima saman dikeluarkan atas kesalahan memotong di garisan berkembar yang boleh dikompaun sehingga RM300,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, tindakan lebih tegas juga boleh diambil mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan lesen memandu sekurang – kurangnya dua tahun jika sabit kesalahan. Beliau berkata, operasi itu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan jalan raya terutama membabitkan kes maut selain meningkatkan kesedaran pengguna supaya mematuhi undang-undang. “Polis Ranau menggunakan kod ‘Ops Didik’ dengan pendekatan teguran halus yang membina. Kita usahakan untuk mengurangkan kemalangan akibat memotong di garisan berkembar melalui pendekatan mendidik bagi mengubah sikap pengguna jalan raya. “Penggunaan teknologi seperti dron terbukti berkesan dalam membantu penguatkuasaan dan kita akan terus melaksanakannya dari semasa ke semasa,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, pendekatan itu diharap lebih berkesan apabila orang ramai semakin terbuka menerima teguran berbanding kaedah ‘menggertak’. “Melalui Op Didik, konsep perhati, tegur dan ubah sikap diketengahkan bagi memastikan pengguna jalan raya benar-benar memahami risiko serta bertanggungjawab ketika memandu,” jelasnya.
April 17, 2026
Info X Reporters
Seorang maut, seorang cedera kemalangan di Tongod
KINABATANGAN: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta Proton Wira di Kampung Napagang Tongod, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, mangsa dikenali sebagai Jasaria Bulinau, 43, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Seorang lagi mangsa lelaki yang identitinya belum diperoleh dilaporkan cedera dan dihantar ke hospital oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu jam 6.26 petang. “Setibanya pasukan bomba di lokasi, seorang mangsa didapati tersepit dalam kereta namun telah berjaya dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tongod sebelum ketibaan pasukan bomba. “Mangsa yang tersepit itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan bantuan awal serta kawalan keselamatan di lokasi. “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X
April 17, 2026
Info X Reporters
KM tiada kaitan ‘serangan’ cyber troopers, tuduhan tidak berasas – Azrul
KOTA KINABALU: Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim menafikan sebarang kaitan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan serangan ‘cyber troopers’ terhadap seorang pempengaruh media sosial. Beliau berkata, Ketua Menteri tidak pernah mengamalkan politik sempit untuk menyerang peribadi mana-mana pihak, sesuai dengan karakter beliau sebagai seorang pemimpin yang berhemah dan berhikmah. Katanya, beliau memandang serius tuduhan liar dan fitnah jahat dilemparkan individu terbabit yang beberapa kali cuba mengaitkan Ketua Menteri dengan dakwaan berkenaan. “Tuduhan ini jelas tidak berasas dan berniat jahat. Hakikatnya DSP Hajiji sentiasa fokus kepada agenda pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat. “Beliau tidak pernah mengamalkan politik sempit untuk menyerang peribadi mana-mana pihak, sesuai dengan karakter beliau sebagai seorang pemimpin yang berhemah dan berhikmah,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat. Tuduhan itu antara lain menyebut kononnya Ketua Menteri membayar ‘cyber troopers’ untuk menyerang pempengaruh terbabit yang sebelum ini dikecam kerana didakwa membela golongan pendatang tanpa izin (PTI). Azrul berkata, sebelum ini turut tular tangkap layar perbualan WhatsApp di antara individu terbabit dengan seseorang yang cuba mengaitkan namanya dengan gerakan melemahkan parti politik tertentu. “Saya menegaskan bahawa perkara tersebut juga adalah tidak benar dan merupakan satu lagi cubaan untuk mencetuskan persepsi negatif serta mengeruhkan suasana politik. “Sehubungan itu, saya ingin menggesa semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial. Hentikan penyebaran fitnah, tohmahan dan maklumat tidak benar yang hanya akan merosakkan keharmonian masyarakat,” katanya. Katanya, fokus semua pihak seharusnya kepada usaha membina Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera, bukan terperangkap dalam permainan persepsi dan politik kebencian. – Info X
April 17, 2026
Info X Reporters
Rumah jadi stor, lebih 1 tan minyak masak paket disita
SANDAKAN: Lebih 1,139 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi di sita dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan barang kawalan di Sandakan, malam tadi. Operasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sandakan pada jam 9.47 malam itu turut menahan seorang wanita berusia 20 tahun yang disyaki bertanggungjawab. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Sandakan, Joe Azmi Jamil berkata, hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 1,139 kg minyak masak paket bersubsidi saiz satu kilogram setiap paket disimpan di dalam sebuah bilik rumah berkenaan. “Siasatan awal mendapati individu yang berada di rumah itu gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen bagi penyimpanan barang kawalan berkenaan. “Semua minyak masak paket bersubsidi itu disita dengan nilai rampasan dianggarkan RM2,747,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, seorang wanita berusia 20 tahun yang disyaki bertanggungjawab ketika kejadian turut diambil keterangan bagi membantu siasatan. Beliau berkata, serbuan itu dijalankan hasil risikan selama seminggu oleh pihak KPDN sebelum tindakan diambil. “Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan,” katanya. Katanya lagi, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan berulang denda boleh mencecah RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun. Tambahnya, bagi syarikat pula, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan seterusnya tidak melebihi RM5 juta. Sementara itu, joe Azmi berkata pihaknya akan terus mempergiat pemantauan serta pengauditan rantaian pengedaran minyak masak paket bersubsidi bagi memastikan bekalan sampai kepada golongan sasaran. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta tampil menyalurkan maklumat melalui saluran rasmi KPDN,” katanya. – Info X
April 17, 2026
Info X Reporters
Serah diri bawa ekor pari
TAWAU: Seorang lelaki menyerah diri kepada polis sambil membawa ekor pari yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa dalam kejadian di sini, petang semalam. Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, suspek warga asing berusia lingkungan 30-an tampil ke Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan sebelum mengaku terbabit dalam insiden berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek turut menyerahkan ekor pari yang dipercayai digunakan semasa kejadian. “Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut. “Hasil soal siasat awal mendapati, suspek turut mengaku terlibat dalam satu lagi kes berkaitan yang dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak di luar kawalan sehingga boleh mendatangkan kecederaan, sebaliknya menyerahkan sebarang pertikaian kepada pihak berkuasa. – Info X
April 17, 2026
Info X Reporters
Cubaan seludup barang kawalan guna bot pam gagal
KUDAT: Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup barang kawalan menggunakan bot pam gagal apabila dia ditahan dalam operasi di muara Sungai Kampung Kimihang, di sini, semalam. Dalam kejadian itu, lelaki berusia 45 tahun berkenaan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kudat untuk tindakan lanjut. Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Kudat, Nazatul Shima Karim berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai pemilik bot pam yang membawa pelbagai barang kawalan tanpa dokumen atau kebenaran sah. “Antara barang dirampas ialah minyak petrol dalam tujuh tong drum besi dianggarkan sebanyak 1,400 liter. “Turut dirampas minyak masak paket plastik sebanyak 24 kotak dengan anggaran berat 408 kilogram serta gula pasir kasar sebanyak tujuh bandel dianggarkan 168 kilogram,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, rampasan turut melibatkan tiga unit enjin bot pam yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan barang kawalan. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM14,876.80,” katanya. Beliau berkata, pihaknya merakamkan penghargaan kepada PPM Wilayah Empat Sabah atas kerjasama strategik dan tindakan proaktif dalam membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan di perairan Kudat. Katanya, KPDN akan terus memperkukuh penguatkuasaan bagi memastikan bekalan barang kawalan kekal terjamin dan sampai kepada golongan sasaran. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa melalui saluran rasmi yang disediakan,” katanya. – Info X
April 16, 2026
Info X Reporters
Penunggang maut motosikal bergesel kereta memotong di garisan berkembar
RANAU: Seorang penunggang motosikal maut selepas bergesel dengan sebuah kereta yang memotong di garisan berkembar sebelum terperosok di bawah sebuah lori dalam kejadian di Jalan Ranau – Kota Belud, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta Perodua Axia yang dipandu wanita memotong di garisan berkembar. “Ketika memotong, kenderaan berkenaan bergesel dengan motosikal yang berada di lorong bertentangan sebelum mangsa hilang kawalan. “Mangsa kemudian terbabas dan terperosok di bawah sebuah lori yang berada di laluan itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pemandu kereta dan pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian berkenaan. “Hasil siasatan mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu kereta berkenaan yang memotong di garisan berkembar. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan tidak melakukan tindakan berisiko seperti memotong di garisan berkembar yang boleh mengundang bahaya. – Info X
April 16, 2026
Info X Reporters
Lahad Datu lokasi pelancaran roket, satelit Asia Tenggara
LAHAD DATU: Lahad Datu berpotensi tinggi dijadikan sebagai lokasi strategik tapak pelancaran roket atau satelit di rantau Asia Tenggara. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jika tiada halangan, perkara itu dijangka direalisasikan dalam beberapa tahun akan datang. “InsyaAllah dalam beberapa tahun akan datang, kalau tiada aral melintang, Lahad Datu inilah yang terbaik untuk dijadikan pusat pelancaran roket satelit dari Asia Tenggara. “Jadi ini berlaku dalam dua tiga tahun akan datang, Lahad Datu akan dikunjungi oleh ramai pelancong termasuk saintis-saintis angkasa akan datang ke daerah ini. “Ini sudah pasti akan menjadi pemangkin ekonomi kepada Lahad Datu,” katanya pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, di sini, pada Khamis. Beliau berkata, Lahad Datu adalah daerah paling seuai sebagai tapak pelancaran roket atau satelit berdasarkan kajian akhir yang dibuat oleh kerajaan negeri dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia. “Banyak negeri yang melobi untuk jadi tempat ini (tapak pelancaran satelit), tetapi petunjuk atau kajian mendapati Lahad Datu adalah tempat yang paling sesuai untuk projek ini,” katanya. Ketua Menteri berkata, kerajaan negeri bukan saja akan terus membawa pembangunan di Lahad Datu, tetapi juga kesejahteraan rakyatnya. “Saya sebenarnya mempunyai keinginan beberapa kali untuk melawat Lahad Datu, terutama sebelum pilihan raya lalu. “Tapi, disebabkan beberapa keadaan yang tidak dapatdielakkan, saya tidak dapat berkempen di sini. “Tidak apa, kita ada lagi pilihan raya Parlimen tahun depan. Apa yang penting, saya mahu rakyat kita di sini bersatu hati, pilih parti kerajaan untuk kebaikan kita. “Sebab kerajaan negeri sekarang ini telahpun melakukan yang terbaikuntuk rakyat dan negeri Sabah. Kita ada hala tuju yang jelas untuk rakyat dan banyak yang berjaya kita buat di negeri ini,” katanya. Atas sebab itu, Hajiji meminta rakyat tidak mendengar fitnah ditabur pihak yang tidak bertanggungjawab. “Sebagai umat Islam kita mesti berpegang lepada kebaikan dan kebenaran. Apa yang dibuat oleh kerajaan mesti dinyatakan kepada rakyat. “Saya minta juga agar rakyat tidak mudah percaya dengan segala tuduhan, tohmahan dan fitnah yang pastinya akan merugikan kita sendiri,” katanya. – Info X