Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 15, 2026

Info X Reporters

Warga emas diperintah jalani pemerhatian mental

KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini, pada Rabu memerintahkan seorang warga emas yang dikaitkan dengan pembunuhan seorang wanita dikerat beberapa bahagian menjalani pemerhatian mental di Hospital Mesra Bukit Padang, di sini. Majistret Dzul Elmy Yunus memerintahkan tertuduh, Piluta Samad, 71, menjalani pemerhatian mental selama 30 hari. Penghakiman itu dibuat selepas Dzul Elmy membenarkan permohonan pasukan guaman mewakili tertuduh yang diketuai peguam Datuk Ram Singh ketika sebutan semula kes pada Rabu. Permohonan itu dibuat mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. Ram memberitahu mahkamah beliau telah menemu bual Piluta dan nberdasarkan pemerhatian, mendapati daripada percakapan dan tingkah lakunya, terdapat keperluan untuk merujuk tertuduh ke Hospital Mesra bagi pemerhatian pakar selama 30 hari dan jika perlu, dilanjutkan 30 hari lagi. Peguam Joan Goh, Ian Vun dan Prem Elmer Ganasan turut mewakili tertuduh. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Kareena Kaur Gill Karamjit Singh, berkata pihaknya masih menunggu dua laporan pakar iaitu laporan ahli kimia dan laporan bedah siasat, serta meminta masa sebulan sementara menunggu laporan berkenaan. Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula pada 15 Mei 2026 dan Piluta akan kekal ditahan sementara menunggu pelupusan kes. Piluta didakwa membunuh bekas tunangnya Hamidah Husin @Lisa, 44, pada 11 Februari 2026, di antara jam 6 petang hingga 7 malam, di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun. Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali bagi banduan lelaki berumur bawah 50 tahun, jika sabit kesalahan. – Info X

April 15, 2026

Info X Reporters

Royal Mess Night sempena Ulang Tahun Kelahiran Tun Musa

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag pada Selasa menghadiri ‘Royal Mess Night’ sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman. Majlis itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), dekat sini. Hajiji dan isteri tiba pada kira-kira jam 7. 45 malam disusuli keberangkatan tiba Tun Musa bersama isteri, Toh Puan Faridah Tussin. Sebaik tiba, Tun Musa dan isteri diiringi ke sesi bergambar rasmi, diikuti perarakan masuk ke meja utama dengan diiringi ‘Sword bearer’ dan ‘Bagpipes’, nyanyian lagu Negaraku serta Sabah Tanah Airku. Majlis turit diserikan dengan perarakan Panji-Panji Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke dalam dewan sebelum berlangsung acara tradisi minum ucap selamat sebagai simbol taat setia dan penghormatan. Antara acara utama ialah Toast 1 bagi minum ucap selamat kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, diikuti Toast 2 kepada Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Toast 3 kepada pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasaan negara. Turut diadakan ialah upacara memotong kek, penyampaian cenderahati dan persembahan hiburan diiringi oleh Kombo PDRM/ATM. – Info X

April 14, 2026

Info X Reporters

Mohd Saifullah tampil beri kerjasama kepada SPRM

KOTA KINABALU: Individu yang sedang dikesan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, tampil menjelaskan perkara berkenaan. Dalam kenyataan media malam ini, beliau memaklumkan sudah mengambil langkah proaktif dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kes itu. Beliau memaklumkan tindakan itu diambil sejurus menerima maklumat mengenai hebahan pencarian terhadap dirinya yang tular di media sejak petang tadi. “Hasil perbualan dengan pegawai SPRM, perkara berkenaan hanya melibatkan keperluan kehadirannya ke mahkamah bagi prosiding yang dijadualkan pada minggu hadapan. “Saya sebagai warganegara yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam apa jua perkara yang diperlukan,” katanya. Beliau dalam masa sama meminta semua pihak, termasuk pengguna media sosial, supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga boleh menimbulkan salah faham dan prejudis. Terdahulu, SPRM mengesan Mohd Saifullah bagi membantu siasatan kes, sekali gus menarik perhatian ramai selepas maklumat itu tular di pelbagai platform media sosial sejak petang tadi. – Info X

April 14, 2026

Info X Reporters

25 finalis UNK mara ke pusingan kedua, semua 52 peserta layak ke pentas akhir

PENAMPANG: Jawatankuasa Unduk Ngadau Kaamatan (UNK) Peringkat Negeri Sabah 2026 menjelaskan bahawa kesemua 52 finalis pertandingan itu akan tetap mengambil bahagian dalam Pertandingan Akhir yang dijadualkan berlangsung pada 31 Mei depan. Penjelasan itu dibuat bagi mengelakkan kekeliruan susulan kenyataan berkaitan format penilaian pertandingan berkenaan sempena Pesta Kaamatan tahun ini. Menurut kenyataan rasmi jawatankuasa itu hari ini, penilaian awal finalis akan dilaksanakan sepanjang Minggu UNK bermula 26 hingga 30 Mei 2026, sebelum kemuncak pertandingan akhir. “Pada tahun ini, seramai 25 finalis akan dipilih untuk mara ke pusingan kedua, berbanding hanya 15 peserta pada tahun sebelumnya. “Daripada jumlah itu, tujuh finalis terbaik akan dipilih untuk mara ke pusingan akhir,” menurut kenyataan berkenaan. Jawatankuasa itu memaklumkan, pendekatan baharu berkenaan diperkenalkan bagi memberi peluang lebih luas kepada peserta menonjolkan potensi masing-masing, khususnya di peringkat saringan kedua. Katanya, setiap peserta akan dinilai secara menyeluruh merangkumi pelbagai aspek bermula dari minggu penilaian awal sehingga ke pentas akhir pertandingan. Terdahulu, perkara itu dirujuk susulan kenyataan Timbalan Ketua Menteri I Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Penganjuran Pesta Kaamatan 2026. Jawatankuasa berkenaan menegaskan segala proses penilaian dilaksanakan secara telus dan teratur bagi memastikan pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan terus relevan sebagai acara kemuncak sambutan Kaamatan di Sabah. – Info X

April 14, 2026

Info X Reporters

SPRM cari Mohd Saifullah bantu siasatan

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berkaitan satu kes yang sedang dijalankan. Individu berkenaan dikenali sebagai Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 35, yang merupakan warganegara Malaysia. Menurut kenyataan SPRM hari ini, lelaki itu mempunyai alamat terakhir di KM 2, Jalan Bubul, Peti Surat 351, 91308 Semporna, Sabah. Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan individu terbabit diminta tampil membantu pihak berkuasa bagi melancarkan siasatan. Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, PsK Muhamad Saad bin Bordani di talian 012-6965046 atau melalui emel [email protected]. Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi PsK Mohd Fadzli bin Alias di talian 017-2817736 atau emel [email protected]. SPRM turut menegaskan kerjasama orang ramai amat diperlukan dalam memastikan siasatan dapat dijalankan dengan lebih berkesan. – Info X

April 14, 2026

Info X Reporters

ECoS santuni komuniti, bantu pusat OKU dan autisme

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) terus memperkukuh peranan sosialnya apabila melaksanakan Program Khidmat Budi dengan mengunjungi Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya (OKU) Sembulan serta Pusat Autism Sabah (PAUS), hari ini. Inisiatif berteraskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menyaksikan ECoS menyampaikan sumbangan berupa peralatan keperluan harian bagi menyokong operasi kedua-dua pusat berkenaan, sekali gus memudahkan aktiviti pembelajaran dan penjagaan kanak-kanak. Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan suruhanjaya itu dalam membantu golongan memerlukan, khususnya kanak-kanak berkeperluan khas. “ECoS bukan sahaja berperanan memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan bekalan tenaga di Sabah, tetapi turut komited menyumbang kembali kepada masyarakat. “Kami berharap sumbangan ini dapat memberi keselesaan serta membantu tenaga pengajar melaksanakan sesi pembelajaran dan penjagaan dengan lebih berkesan,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Raya bersama kanak-kanak dan warga pendidik di Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan. Turut hadir, Anggota Suruhanjaya ECoS, Datuk Tpr. Alijus Sipil, yang menyatakan sokongan terhadap usaha kebajikan serta penglibatan komuniti oleh agensi berkenaan. Sementara itu, Penguasa Taman Didikan Kanak-Kanak Kurang Upaya Sembulan, Mary Sipaji, menzahirkan penghargaan atas keprihatinan ditunjukkan ECoS dalam membantu meningkatkan kemudahan serta persekitaran pembelajaran di pusat itu. “Sumbangan ini amat bermakna dalam usaha kami menyediakan suasana yang lebih selesa dan kondusif untuk kanak-kanak serta tenaga pengajar. “Kami berharap lebih banyak pihak tampil menyokong usaha kebajikan seperti ini, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai keperluan kanak-kanak OKU dan autisme,” katanya. Program Khidmat Budi ECoS merupakan antara inisiatif berterusan suruhanjaya itu dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat, selain menyemai nilai keprihatinan sosial dalam kalangan warganya. – Info X

April 14, 2026

Info X Reporters

Rakam CCTV dedah penyelia curi duit rakan

TAWAU: Tindakan seorang penyelia bengkel yang dipercayai ‘mengambil kesempatan’ mencuri wang rakan sekerja akhirnya terbongkar selepas perbuatannya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah kilang di Jalan Apas, di sini. Dalam kejadian Ahad lalu, suspek lelaki berusia 40 tahun itu dipercayai memasuki pejabat mangsa walaupun premis tidak beroperasi pada hujung minggu sebelum mengambil wang tunai yang disimpan di dalam laci meja. Mangsa wanita berusia 33 tahun hanya menyedari kehilangan wang berkenaan kira-kira jam 7.30 pagi semalam sebelum tampil membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil semakan rakaman CCTV berjaya membantu polis mengenal pasti suspek. “Suspek yang juga penyelia bengkel di syarikat berkenaan dipercayai mengambil wang milik mangsa tanpa kebenaran ketika pejabat tidak beroperasi. “Hasil risikan dan maklumat, suspek berjaya ditahan di kawasan kilang sama kira-kira jam 10.30 pagi semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, siasatan mendapati suspek memasuki pejabat mangsa kira-kira jam 11.25 pagi Ahad sebelum melakukan perbuatan itu. Beliau berkata, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. “Semakan turut mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya. Mengulas lanjut, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan, khususnya di tempat kerja. “Perbuatan seperti ini bukan sahaja mengkhianati amanah, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara,” tegasnya. – Info X

April 14, 2026

Info X Reporters

Piala Cabaran: Tiket percuma kepada penyokong, bonus untuk pasukan – Nizam

KOTA KINABALU: Seramai 2,000 peminat bola sepak dan penyokong Sabah FC berpeluang mendapatkan tiket percuma bagi menyaksikan perlawanan akhir kedua Piala Cabaran menentang Penang FC di Stadium Likas, pada 19 April ini. Jika menang, pasukan Sabah FC turut dijanjikan bonus atas kejayaan yang dicapai setelah sekian lama berdepan kemarau piala kejuaraan. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sebanyak 2,000 tiket percuma disediakan kerajaan negeri menerusi kementeriannya secara ‘first come, first serve’ oleh urusetia di Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah pada Sabtu ini. Inisiatif itu, katanya sebagai tanda sokongan kerajaan negeri kepada Sabah FC dan memastikan Stadium Likas dipenuhi penyokong. “Saya menyeru penyokong agar turun beramai-ramai memenuhi stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Selasa. Nizam berkata, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor turut dijangka hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir itu sebagai tanda komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. Katanya, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menimbangkan pemberian bonus kepada pasukan Sabah FC sekiranya berjaya muncul juara pada perlawanan itu nanti. “Jika Sabah FC menang, kita akan sediakan bonus kemenangan sebagai penghargaan kepada pasukan,” katanya. Mengulas peluang Sabah FC, Nizam berkata Sabah FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan bola sepak negeri apabila berjaya mara ke pentas akhir Piala Cabaran 2026. Pencapaian itu, katanya detik yang amat dinantikan seluruh peminat bola sepak negeri selepas sekian lama Sabah tidak menjulang sebarang trofi dalam saingan liga tempatan. “Kita berharap agar Sabah dapat menjadi juara MFL Challenge Cup ini untuk edisi tahun 2026 ini. “Sekiranya kita dapat menang, maknanya kita telah memecahkan kemarau piala bola sepak Malaysia kerana sudah terlalu lama kita tidak memiliki apa-apa piala di dalam Liga Bola Sepak Malaysia itu atau MFL,” katanya. Pada 4 April lalu, Sabah berjaya mengikat Penang FC 1-1 ketika aksi pertama perlawanan akhir Piala Cabaran 2026 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Georgetown, Pulau Pinang. Keputusan itu meletakkan kedua-dua pasukan di kedudukan seimbang untuk bergelar juara, namun Sabah dilihat memiliki kelebihan sebagai tuan rumah pada perlawanan kedua nanti. – Info X