Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 30, 2026

Info X Reporters

Ekonomi Sabah dijangka terus catat pertumbuhan positif

KOTA KINABALU: Ekonomi Sabah diyakini mampu terus berkembang secara positif meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat konflik berpanjangan di Asia Barat dan Eropah Timur. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keyakinan itu bersandarkan pelaksanaan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi teras utama agenda pembangunan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang. “Dengan selesainya proses Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) pada akhir November tahun lalu, kerajaan negeri yang saya pimpin ini bertekad untuk memperhebatkan agenda pembangunan bagi tempoh lima tahun mendatang bersandarkan Hala Tuju SMJ 2.0 yang dilancarkan pada 30 Januari lalu. “Hala tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang bermula pada tahun ini sehingga 2030. Justeru, saya amat yakin, melalui Hala Tuju SMJ 2.0, ekonomi negeri mampu berkembang dengan positif meskipun berlaku tekanan luaran seperti kesan kemelesetan ekonomi dunia akibat peperangan yang sedang berlaku di Timur Tengah dan di Eropah Timur,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan menjunjung kasih pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di Istana Seri Kinabalu, pada Isnin. Hajiji berkata, pergolakan di wilayah terbabit mengakibatkan bekalan minyak dunia turut terjejas. “Keadaan ini mencetuskan krisis tenaga di peringkat global, yang juga bakal dirasai di negara ini. Justeru, saya mengajak seluruh rakyat untuk mengambil langkah berjimat cermat khususnya dalam berbelanja dan penggunaan kenderaan seharian,” katanya. Pada masa sama, beliau turut mengingatkan rakyat agar lebih berhemah dalam penggunaan air berikutan peningkatan suhu yang menunjukkan tanda-tanda fenomena El-Nino yang berpotensi menyebabkan kemarau panjang. “Untuk itu, elakkanlah daripada melakukan pembakaran terbuka dan kurangkan aktiviti luar terutama ketika suhu mencapai tahap panas yang luar biasa,” katanya. Menyentuh prestasi ekonomi negeri, Hajiji berkata Kerajaan Negeri mula menerokai potensi Ekonomi Biru sebagai pemacu strategik utama di bawah SMJ 2.0, berasaskan kelebihan maritim dan biodiversiti Sabah. “Ia merangkumi pembangunan bioteknologi marin, perikanan pintar, marikultur moden, logistik dan pelancongan lestari serta penggunaan sungai sebagai nadi ekonomi luar bandar,” katanya. Menurut beliau, inisiatif itu turut melibatkan perlindungan pesisir pantai, bakau dan terumbu karang serta pembangunan karbon biru ke arah pertumbuhan ekonomi bernilai tambah yang lebih tinggi. “Penerokaan Ekonomi Biru ini, terutama dalam sektor perikanan dan akuakultur, dijangka mampu menjana pendapatan hasil laut sehingga RM3.25 bilion setahun,” katanya. Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program pembangunan berjalan secara teratur, cekap dan berkesan. “Projek-projek pembangunan, khususnya yang menjadi keutamaan, meliputi pembangunan infrastruktur, kesihatan, pendidikan, keselamatan dan kebajikan perlu dipantau lebih rapi agar berjalan lancar dan terlaksana seperti yang dijadualkan,” katanya. Sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri, Hajiji turut mengajak seluruh kepimpinan negeri termasuk penjawat awam dan sektor swasta untuk bersama memperkukuh azam dan iltizam dalam memacu kemajuan Sabah. “Saya ingin mengajak seluruh kepimpinan negeri, untuk kita terus mencurahkan khidmat bakti demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan seluruh rakyat,” katanya. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

Christa sudah pulang dengan selamat

KOTA MARUDU: Kegusaran keluarga berakhir apabila remaja perempuan yang dilaporkan hilang pada 28 Mac lalu ditemui semula dalam keadaan selamat di Kampung Tingkalanon, di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Simiun Lomudin berkata, Christa Natalia Majaron, 17, ditemui kira-kira jam 11 pagi hasil maklumat dan tindakan pihak polis. “Christa sebelum ini dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 28 Mac lalu sebelum berjaya dikesan semula hari ini dalam keadaan selamat. “Susulan penemuan itu, ahli keluarga mangsa telah menarik semula laporan orang hilang kira-kira jam 11.41 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pihak polis bersama keluarga turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga mangsa berjaya ditemui. “Orang ramai dinasihatkan supaya terus menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

Tun Musa tekankan keperluan naik taraf jalan raya, bekalan air dan elektrik di Sabah

KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menekankan keperluan untuk menaik taraf jalan raya, sistem bekalan air bersih dan elektrik yang stabil di Sabah. Perkara itu ditekankan beliau dalam perutusan khas sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 beliau pada Isnin. Musa berkata usaha itu amat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara. Jelasnya, tiga kemudahan asas itu juga penting bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh jaringan perhubungan antara bandar dan luar bandar. “Pembangunan prasarana yang terancang dan berdaya tahan akan menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri secara menyeluruh bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir daripada arus kemajuan,” katanya. Musa turut menekankan kepentingan aspek pendidikan dan pembangunan modal insan bagi melahirkan generasi muda yang berilmu, berkemahiran tinggi dan berdaya saing, selaras keperluan pasaran kerja masa kini. Katanya, penekanan terhadap aspek kesihatan juga perlu bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui peningkatan kemudahan perubatan yang berkualiti dan perkhidmatan kesihatan secara menyeluruh. Musa turut menggesa agar seluruh rakyat Sabah terus memelihara perpaduan, memperkukuh integriti dan mengutamakan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi demi kestabilan dan kemajuan Sabah. “Negeri Sabah melalui pelbagai cabaran dan perubahan. Namun, dengan adanya kerjasama erat antara kerajaan dan rakyat, kita terus melangkah ke hadapan dalam usaha memperkukuh ekonomi, meningkatkan kesejahteraan sosial serta memastikan pembangunan yang lebih inklusif dan seimbang, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya. Beliau berkata, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Sabah memperlihatkan perkembangan yang memberangsangkan dalam sektor ekonomi, pelaburan dan pembangunan infrastruktur. Pelbagai inisiatif, katanya dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi negeri melalui pemerkasaan sektor utama seperti pertanian, pelancongan, perindustrian serta ekonomi berasaskan sumber. “Usaha menarik pelaburan domestik dan asing turut dipergiatkan bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan yang mampan,” katanya. Beliau juga menyatakan kegembiraannya atas pelaksanaan transformasi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam yang disifatkannya meningkatkan kecekapan, ketelusan dan kemudahan akses kepada rakyat yang membolehkan perkhidmatan kerajaan lebih pantas, tepat dan berkesan. Pada masa yang sama, Musa turut menekankan keperluan untuk memperkukuh integriti dalam perkhidmatan awam agar sentiasa menjadi keutamaan dalam usaha membina sebuah pentadbiran yang dihormati dan diyakini rakyat. “Dalam masa yang sama, akauntabiliti dan ketelusan dalam pengurusan kewangan negeri amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat. “Setiap keputusan perbelanjaan hendaklah dibuat secara teliti, berpandukan prinsip tadbir urus yang baik serta mengambil kira keberkesanan dan impak jangka panjang,” katanya. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

Cabaran AI, isu bayaran, PERTISA tetap hargai sumbangan artis tempatan Sabah

PENAMPANG: Artis tempatan Sabah banyak menyumbang kepada perkembangan dunia hiburan Sabah meskipun kini berdepan cabaran kecanggihan dunia digital. Hakikat itu dijelaskan Presiden Persatuan Artis Tempatan Sabah (PERTISA), Guadik Ansiw pada Majlis Apresiasi dan Makan Malam PERTISA 2026, di Donggongon, di sini, pada Sabtu. Beliau berkata, sumbangan setiap artis tempatan yang datang dari pelbagai etnik di Sabah itu wajar diberi penghargaan sebagai tanda sokongan terhadap karier seni masing-masing. Berikutan itu, katanya PERTISA mengambil inisiatif menganjurkan malam apresiasi untuk artis tempatan negeri ini, khususnya yang bernaung di bawah persatuan itu sebagai penghargaan kepada mereka. “Jarang majlis untuk menghargai jasa artis diadakan dan atas sebab itu PERTISA mengambil inisiatif memulakannya. Kalau mahu lebih besar kita kena mulakan sesuatu, tidak payah tunggu orang lain buat untuk kita. “Kita boleh ikhtiar mulakan sendiri, umpamanya majlis malam ini adalah atas usaha PERTISA sendiri dan kita harap acara ini juga dapat diteruskan pada masa depan,” katanya ketika berucap pada majlis itu. Majlis apresiasi dan makan malam yang dihadiri kira-kira 100 artis dan penggiat industri hiburan tempatan Sabah itu dirasmikan Penaung PERTISA, Drs Monih Epin. Mereka tersiri daripada artis pelbagai etnik di Sabah seperti Dusun, Kadazan, Murut, Tatana, Rungus, Bisaya, Bajau dan Bugis. Guadik berkata, sumbangan artis tempatan dapat dinilai melalui lagu-lagu tempatan Sabah yang berkumandang di saluran radio berpangkalan di negeri ini. “Lagu kita berkumandang di radio, jika kita tidak hantar lagu di stesen radio apa akan jadi..jadi, sumbangan kita kepada dunia hiburan cukup besar. Nilai kita ialah keikhlasan menghasilkan karya,” katanya. Artis etnik Tatana yang popular dengan panggilan Adex itu turut menyuarakan cabaran semasa yang dihadapi artis tempatan Sabah untuk menerus dan mengembangkan lagi karier seni masing-masing. Selain penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau AI yang kini boleh digunakan untuk ‘melahirkan’ penyanyi alam maya, beliau turut membangkitkan isu bayaran diterima artis tempatan. Beliau mendakwa artis tempatan Sabah masih menerima bayaran yang lebih rendah untuk membuat persembahan, berbanding artis bertaraf nasional. Katanya, adalah tidak adil meletakkan bayaran yang rendah kepada artis tempatan hanya kerana jumlah mereka yang ramai atau berlaku ‘lambakan’. “Artis tempatan Sabah memang ramai dan adakah kerana ramai artis di Sabah, harga kita jatuh kerana ada lambakan. “Jadi kita kena fikir supaya tiada ‘double standard’..sama seperti hasil pertanian, bila berlambak harga jatuh atau murah. Kita sama-sama fikir jalan penyelesaiannya,” katanya. Sementara itu, Monih turut menyuarakan cabaran artis masa kini termasuk artis tempatan Sabah yang tiada lagi produk fizikal untuk dijual, berbanding zaman kaset dan cakera padat pada era 1980-an hingga awal 2000-an. Katanya, artis masa kini perlu memikirkan kaedah untuk memasarkan lagu nyanyian atau ciptaan masing-masing agar terus mendapat hasil pendapatan atau pulangan daripada karya seni mereka. “Cabaran sekarang ialah macam mana jual lagu, bagaimana dapat hasil daripada kegiatan seni mengikut trend yang baharu pada masa kini. “Kita kena belajar apa caranya, semua sama cabaran di seluruh dunia, iaitu macam mana dapat ‘income’ dari lagu kita. Dulu ada produk fizikal, sekarang tiada, jadi macam mana mahu jual lagu,” katanya. Beliau turut memuji perkembangan PERTISA yang kini sudah berusia 25 tahun sebagai sebuah persatuan yang mengumpulkan penyanyi, penulis lirik, pencipta lagu dan penggiat seni di Sabah. Pada majlis itu, PERTISA turut menjemput seramai 10 artis tempatan ‘legend’ atau veteran sebagai penghargaan terhadap sumbangan terdahulu mereka dalam perkembangan dunia hiburan tempatan Sabah. Mereka ialah Jimmy Ginggor, Juanis Mantahan, Joseph Singkawan, Frankie Pulian Masanggon, Steven Jimin, Rosdi Bambangan, Jonthan Ensin, Clarice Vitini Lojobin, Eustachius John Jinuli dan Alosius Mojilis. Majlis itu turut dihadiri wakil dari rakan strategik PERTISA, antaranya RTM dan KupiKupi FM, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah serta lain-lain penggiat industri hiburan tempatan. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

Enam cedera Hilux terbabas

LAHAD DATU: Enam individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki terbabas sendiri di Jalan Lahad Datu–Sandakan, Kilometer 33, berhampiran Sandau, pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.16 pagi sebelum sepasukan sembilan anggota bersama dua jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, pasukan tiba di tempat kejadian pada jam 8.42 pagi selepas menempuh jarak kira-kira 30 kilometer. “Kemalangan membabitkan sebuah Toyota Hilux Single Cab yang dipercayai terbabas ke bahu jalan. “Terdapat enam mangsa terlibat iaitu empat lelaki dewasa, seorang wanita dan seorang kanak-kanak yang mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan tersepit dan semua mangsa berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. “Semua mangsa diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS),” katanya. Menurutnya, operasi turut dibantu empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota APM dan enam petugas KKM. “Tiada liputan GIRN di lokasi kejadian. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.26 pagi selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

12 kru warga Indonesia ditahan, bot nelayan dirampas bernilai RM2 juta

KOTA KINABALU: Seramai 12 kru warga Indonesia ditahan selepas dipercayai bekerja tanpa permit sah dalam satu operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan utara Pulau Manukan, di sini, semalam. Dalam rondaan kira-kira 0.70 batu nautika dari pulau berkenaan, pasukan penguat kuasa menahan sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang didapati menggunakan kru tanpa kebenaran. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, penahanan dibuat selepas bot itu dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 12 kru termasuk nakhoda berada di atas vesel berkenaan. “Sebahagian daripada mereka disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63 kerana menggunakan Pas Lawatan Sosial tanpa permit kerja sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bot berkenaan turut disyaki melanggar Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa jumlah kru mencukupi seperti ditetapkan. Katanya, kesemua kru berusia antara 21 hingga 54 tahun itu ditahan sebelum vesel terbabit diiring masuk ke jeti untuk siasatan lanjut. “APMM turut menyita vesel berkenaan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan mencecah RM2 juta,” katanya. Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan kesalahan imigresen dan keselamatan pelayaran. “Tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terkawal. “Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut kepada pihak berkuasa bagi tindakan segera,” katanya. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

61 kontinjen sertai perbarisan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-75 TYT

KOTA KINABALU: Sebanyak 61 kontinjen mengambil bahagian dalam istiadat perbarisan sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi ke-75 Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah di Padang Merdeka, di sini, pada Isnin. Jumlah itu merangkumi sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO), persatuan etnik, syarikat swasta dan badan berkanun, jabatan kerajaan tidak berpakaian seragam dan jabatan kerajaan berpakaian seragam. Secara keseluruhan istiadat itu disertai dan dihadiri kira-kira 5,000 orang. Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor antara kenamaan yang turut menghadiri istiadat berkenaan. Beliau yang diiringi isteri, Datin Seri Juliah Salag, tiba pada jam 7.55 pagi sebelum menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebaik naik ke pentas utama. Istiadat penuh adat dan tradisi itu mencapai kemuncak dengan keberangkatan tiba TYT Tun Musa Aman bersama Toh Puan Faridah Tussin pada jam 8 pagi. Sebaik tiba, lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku dimainkan diikuti tembakan meriam 17 das sebagai tanda penghormatan, sebelum TYT menerima tabik hormat diraja dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama. Beliau kemudiannya memeriksa kontinjen perbarisan yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan berkanun, NGO, persatuan etnik, institusi pengajian tinggi serta pelajar sekolah. Istiadat turut diserikan dengan persembahan koir serta persembahan khas oleh Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah sempena sambutan ulang tahun rasmi berkenaan. Pelbagai dif kenamaan termasuk anggota Kabinet Negeri dan Persekutuan, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen serta ketua jabatan hadir memeriahkan istiadat berkenaan. – Info X

March 30, 2026

Info X Reporters

Turun padang tangani jenayah pecah rumah

KOTA KINABALU: Pejabat Perhubungan Parlimen Kota Kinabalu mengambil inisiatif turun padang meninjau kesan jenayah pecah rumah yang dilapor berlaku di kawasan Likas, minggu ini. Ketua Pegawai Perhubungannya, Kaven Lee Seng Vui, berkata berulangnya jenayah itu memberi gambaran pentingnya aspek keaelamatan komuniti ditingkatkan menerusi kerjasama masyarakat dan polis. Beliau menegaskan, aspek keselamatan masyarakat tidak boleh dipandang ringan, sebaliknya perlu ditangani bersama dengan sebaik mungkin. Sehubungan itu, katanya beliau mengambil inisiatif dengan turun padang ke lokasi kejadian bersama mangsa dan polis dari Balai Polis Bandaran bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas berhubung insiden jenayah terbabit. “Keselamatan rakyat bukan perkara yang boleh ditangguhkan atau dipandang ringan. Setiap insiden adalah isyarat jelas bahawa tindakan tegas dan segera mesti diambil. Saya tidak akan berdiam diri apabila keselamatan komuniti terancam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Dalam masa yang sama, beliau turut bersama mangsa membuat laporan rasmi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Setakat ini, katanya kes itu masih dalam siasatan polis dan suspek belum ditemui. “Hasil tinjauan di lokasi, beberapa aspek keselamatan dikenal pasti untuk diberi perhatian, termasuk akses masuk ke kawasan perumahan, keadaan persekitaran serta potensi risiko yang boleh ditambah baik. “Maklumat tersebut telah disalurkan kepada pihak PDRM bagi tindakan susulan. “Pihak Polis IPD Kota Kinabalu dan Balai Polis Bandaran juga mengambil maklum berhubung kejadian ini dan akan meningkatkan rondaan di kawasan terlibat bagi memastikan keselamatan penduduk terus terjamin,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menyeru penduduk agar meningkatkan tahap kewaspadaan dan segera melaporkan sebarang pergerakan mencurigakan kepada pihak berkuasa. Beliau juga menasihatkan penduduk agar tidak panik, sebaliknya terus bekerjasama dan saling menjaga antara satu sama lain demi keselamatan bersama. Kaven turut merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM atas tindakan yang efisien serta komitmen berterusan dalam menangani kes itu. “Perkembangan siasatan akan terus dipantau dari semasa ke semasa dan diharapkan suspek dapat dikesan serta dibawa ke muka pengadilan dengan segera,” katanya. – Info X