Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 5, 2026

Info X Reporters

Kerajaan didakwa tidak serius laksana syor RCI PATI Sabah

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mengambil serius pelaksanaan syor Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di Sabah apabila hanya 13 mesyuarat diadakan dalam tempoh lebih sedekad sejak jawatankuasa berkaitan ditubuhkan pada 2014. Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, berkata angka itu menunjukkan tahap komitmen yang rendah dalam menangani isu yang sekian lama membelenggu negeri berkenaan. Beliau berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap soalan bukan lisan yang dikemukakannya pada Persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini. Menurutnya, RCI mengenai PATI di Sabah ditubuhkan pada 2012 sebelum laporannya diserahkan kepada kerajaan pada 2014, yang kemudiannya membawa kepada penubuhan Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Negeri Sabah (JKPWAS) pada 3 Disember tahun sama. “Bagaimanapun, menurut jawapan kementerian, sejak penubuhan jawatankuasa itu hanya 13 mesyuarat diadakan dalam tempoh lebih 10 tahun. “Ini bermakna purata mesyuarat yang diadakan tidak sampai sekali setahun, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keseriusan kerajaan dalam melaksanakan syor RCI berkaitan isu PATI di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Madius yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli berkata, berdasarkan jawapan kementerian, perbincangan dalam mesyuarat berkenaan lebih tertumpu kepada isu semasa seperti pelaksanaan Sistem Pengurusan Bersepadu bagi Pekerja Asing dan Bukan Pemastautin di Negeri Sabah (SWIMS) serta pemberian moratorium penguatkuasaan. Katanya, fokus itu dilihat lebih menjurus kepada pengurusan pentadbiran dan bukannya pelaksanaan menyeluruh syor-syor utama yang dikemukakan dalam laporan RCI. “Kalau perbincangan hanya berkisar kepada hal-hal pentadbiran semasa seperti sistem data atau moratorium, timbul persoalan apakah sebenarnya tujuan utama RCI ditubuhkan dan laporan komprehensif itu disediakan. “Isu PATI di Sabah bukan sekadar soal pengurusan data atau langkah sementara, tetapi berkait rapat dengan soal kedaulatan, keselamatan serta hak perlembagaan rakyat Sabah,” katanya. Menurut jawapan bertulis KDN itu lagi, Mesyuarat JKPWAS Ke-13 yang diadakan pada 14 Ogos 2025 antara lain memutuskan supaya tempoh Program Pendataan Digital Warga Asing melalui SWIMS dilanjutkan sehingga 31 Disember 2028. Mesyuarat itu juga bersetuju memberi moratorium penguatkuasaan kepada pekerja asing yang sudah mendaftar dalam sistem berkenaan. Sehingga 31 Disember 2025, seramai 122,228 pekerja asing direkodkan dalam program pendataan tersebut, dengan 67.3 peratus daripadanya dikenal pasti sebagai pekerja asing tidak sah. Sehubungan itu, Madius menggesa kerajaan Persekutuan supaya menunjukkan komitmen politik yang lebih jelas dengan menetapkan garis masa khusus bagi melaksanakan syor-syor utama RCI. Katanya, langkah itu penting bagi memulihkan keyakinan rakyat Sabah terhadap kesungguhan kerajaan dalam menyelesaikan isu PATI secara menyeluruh dan berkesan.-Info X

March 5, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut, motosikal bertembung pacuan empat roda ketika membuat pusingan U

SANDAKAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggang bertembung dengan sebuah kereta pacuan empat roda dalam kejadian di lampu isyarat Jalan Leila, di sini, tengah malam tadi. Lelaki warga tempatan berusia 49 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian jam 12.10 tengah malam itu. Pemandu kereta pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton bersama dua penumpang tidak mengalami kecederaan. Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman, berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan pacuan empat roda yang membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Leila. “Pemandu yang berusia 31 tahun kemudian ditahan reman untuk siasatan lanjut. “Mayat mangsa dihantar ke unit forensik Hospital Duchess of Kent untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. George turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi had laju, papan tanda, lampu isyarat dan menjaga jarak selamat bagi mengelak kemalangan berlaku. – Info X

March 5, 2026

Info X Reporters

Ratusan ribu pelajar Sabah terima manfaat 14 inisiatif bantuan pendidikan – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan modal insan menerusi 14 inisiatif bantuan pendidikan dengan perbelanjaan keseluruhan mencecah RM210.25 juta dalam tempoh lima tahun lalu. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada ratusan ribu pelajar di seluruh negeri, masing-masing 90,296 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 184,911 pelajar sekolah. Katanya, ia membabitkan sebanyak 1,500 sekolah termasuk sekolah agama dan 57 persatuan pelajar IPT Sabah dengan sebanyak 362 program pendidikan dilaksanakan setakat ini. Beliau berkata, bagi tahun ini saja, kerajaan negeri memperuntukkan RM100 juta untuk Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah yang dijangka memberi manfaat kepada 5,000 pelajar. “Peruntukan besar ini membuktikan kemampuan dan komitmen tinggi kerajaan dalam membela nasib rakyat Sabah melalui pendidikan sebagai pelaburan jangka panjang,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, pada Khamis. Pada majlis itu, seramai 3,366 pelajar Sabah di Politeknik Kota Kinabalu menerima bantuan SENTOSA secara tunai. Hajiji berkata, bantuan berkenaan diwujudkan sebagai tanda keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan mahasiswa anak-anak Sabah yang berusaha menimba ilmu demi masa depan diri, keluarga dan negeri. Jelasnya, bantuan itu juga diharap dapat meringankan beban kewangan pelajar, khususnya untuk pulang ke kampung halaman ketika musim perayaan. “Tahun ini, dianggarkan seramai 30,000 pelajar IPT Sabah yang menuntut dalam negeri akan menerima manfaat bantuan SENTOSA,” katanya. Hajiji berkata, kerajaan negeri akan meneruskan kesemua 14 inisiatif pendidikan tahun ini merangkumi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI), Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU). Turut diteruskan ialah Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA), Bantuan Graduan Rindu Sabah atau Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS-SUBFLY), SENTOSA, Sumbangan Kegiatan Sekolah Secara One-Off (SUKSES) serta bantuan baharu Bantuan Pendaftaran Yuran MUET (BAYU). Hajiji berkata, inisiatif berkenaan berbentuk dana dan kemudahan bagi pelbagai tujuan termasuk pendaftaran pelajar IPT, program pendidikan serta kelengkapan kemudahan dan digital selaras dengan agenda Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Hajiji menegaskan, walaupun pendidikan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan, kerajaan negeri tetap proaktif menjalin kerjasama berterusan demi memastikan akses pendidikan yang adil dan saksama kepada semua lapisan masyarakat di Sabah. Katanya, usaha itu selari dengan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 yang menjadi pelan strategik utama melonjakkan daya saing dan produktiviti negeri secara mampan serta inklusif. “Pelajar adalah pemimpin pelapis masa depan. Tumpukan perhatian kepada pembelajaran dan latihan kerana ilmu adalah kunci utama memajukan negeri dan negara. “Manfaatkan sepenuhnya subsidi tiket, bantuan tunai dan zakat yang disediakan kerajaan, selain mengambil tahu setiap agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri termasuk pembangunan infrastruktur air, jalan raya dan elektrik,” katanya.-Info X

March 5, 2026

Info X Reporters

Blok Borneo tidak pernah wujud, Persekutuan, negeri perlu kerjasama – Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menolak kewujudan mana-mana blok wilayah yang memisahkan antara wilayah Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri di Semenanjung. Beliau berkata, Blok Borneo yang didakwa mahu mengawal Semenanjung tidak pernah wujud, malah tidak pernah wujud sebarang blok wilayah di negara ini. Katanya, negeri dan Persekutuan dan semua wilayah serta negeri di Malaysia perlu saling bekerjasama bagi menjadikan negara ini cemerlang. “Tiada Blok Borneo, kita dalam negara Malaysia adalah satu negara, tiada Blok Borneo, Blok Sabah, Sarawak dan Blok Semenanjung, tiada. “Jadi, saya ingin nyatakan kita dalam satu negara perlu ada kerjasama semua pihak, negeri dan federal, negeri dan negeri, jiran-jiran sama-sama cemerlangkan lagi negara Malaysia ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Pelancaran Inisiatif Bantuan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA) Tahun 2026 di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu pada Khamis. Hajiji diminta menyatakan pandangannya mengenai Blok Borneo yang menjadi perdebatan selepas seorang pemimpin di Semenanjung menganggap Blok Borneo bertujuan untuk mengawal Semenanjung. Mengulas lanjut, Ketua Menteri berkata beliau berpandangan tiada siapa yang membentuk Blok Borneo dan sebarang naratif seperti itu perlu dibetulkan. “Kalau pandangan saya, tiada Blok Borneo, siapa yang buat blok Borneo? Tiada, itu tidak timbul. Naratif begitu perlu dibetulkan. “Kita tidak boleh bezakan Sabah, Sarawak daripada negeri lain di Semenanjung dalam satu negara,” katanya. Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri memantau konflik yang sedang berlaku di Timur Tengah ketika ini, terutama kesan terhadap harga minyak yang bakal dirasai Sabah dan Malaysia. “Kita sedang memantau keadaan, memang kadang-kadang kalau ada konflik begini terutama melibatkan negara pengeluar minyak, tentu ada kesan bukan saja kepada Malaysia tetapi juga negara lain,” katanya.-Info X

March 5, 2026

Info X Reporters

RM164 juta untuk pembangunan modal insan di Sabah dalam RMK13

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM164.01 juta untuk program pembangunan modal insan di Sabah menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembangunan modal insan diutamakan menjadi sebahagian daripada program pembangunan anak-anak watan negeri ini ke arah mencapai kemajuan dan kecemerlangan. “Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan,” katanya pada majlis perasmian Program Latihan Guru-Guru untuk Pertandingan Robotik SMJ di SJKC Lok Yuk, di sini, pada Khamis. Teks ucapan beliau disampaikan Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk James Ratib. Ketua Menteri berkata antara bidang yang diutamakan ialah pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), latihan pertanian dan teknologi digital dengan penumpuan terhadap literasi kecerdasan buatan (AI). Hajiji berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha yang membuka peluang pendidikan berkualiti secara lebih meluas dan inklusif, terutama yang mengangkat STEM dan inovasi sebagai budaya pembelajaran di sekolah. “Kita mahu memastikan program seperti ini berjalan dengan teratur dan kemas melalui kerjasama rapat antara pihak pendidikan, sekolah, komuniti dan rakan strategik, supaya guru mendapat sokongan yang sewajarnya dan murid dapat menikmati pengalaman pembelajaran yang bermakna,” katanya. Dalam konteks itu, beliau berkata latihan guru-guru hari ini adalah signifikan kerana murid akan lebih bersedia untuk memahami teknologi, membina keyakinan dan menghasilkan inovasi yang berguna apabila guru mereka diperkasa dengan kemahiran dan alat yang betul. “Program ini tidak sekadar memperkenalkan robotik sebagai aktiviti tambahan, tetapi ia juga dengan pendekatan yang lebih tersusun melalui model pelaksanaan di sekolah. “Ini termasuk keperluan infrastruktur minimum, penggunaan kit robotik, platform pembelajaran serta latihan guru secara Train-the-Trainer untuk memastikan pelaksanaan benar-benar berkesan,” katanya. Hajiji berkata penggunaan kit robotik LEANBOT sebagai alat pembelajaran utama dan menyokong integrasi latihan secara fizikal serta simulasi melalui Digital Twin, di samping penggunaan aksesori latihan seperti Field Track/Field Model untuk aktiviti ujian dan cabaran robotik di dalam kelas adalah pendekatan ‘hands-on’ yang penting. “Ia membantu murid belajar melalui pengalaman membina, menguji, membuat penambahbaikan dan akhirnya memahami konsep secara lebih mendalam, bukan sekadar menghafal teori,” katanya. – Info X

March 5, 2026

Info X Reporters

Segerakan pembinaan jalan Tenom-Pangi, buat audit keselamatan kereta api

KOTA KINABALU: Projek jalan Tenom-Pangi perlu dijadikan keutamaan dengan disertai garis masa pelaksanaan yang diumum secara terbuka bagi menyelesaikan isu perhubungan di kawasan itu yang ketika ini bergantung sepenuhnya kepada kereta api. Pelaksanaan projek itu adalah antara perkara yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook berikutan insiden kegagalan fungsi brek kereta api ketika membawa warga pendidik dari Tenom ke Kampung Pangi, baru-baru ini. Wakil rakyat Parti Warisan itu turut menekankan perlunya audit keselamatan yang bebas dan telus dilaksanakan segera terhadap sistem keselamatan kereta api di pedalaman Sabah. Beliau juga menggariskan kajian menyeluruh terhadap semua jalan luar bandar di seluruh negeri, khususnya laluan ke sekolah yang mesti dimulakan, selain perlunya penetapan penanda aras yang jelas bagi memastikan pembangunan infrastruktur yang saksama antara kawasan bandar dan luar bandar. Katanya, insiden kereta api di Tenom itu tidak boleh dianggap sebagai perkara terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai amaran dasar. “Menunggu tragedi berlaku sebelum melakukan pembaharuan adalah tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima. “Lebih enam dekad selepas Sabah menjadi sebahagian daripada Malaysia, negeri ini berhak mendapat standard infrastruktur yang mencerminkan sumbangannya dan martabat rakyatnya. “Pertumbuhan negara yang seimbang tidak boleh dicapai jika komuniti pedalaman terus menanggung risiko keselamatan yang tidak seimbang,” katanya dalam satu kenyataan. Sebelum ini, sebuah kereta api yang membawa guru dari Tenom ke Kampung Pangi dilaporkan merempuh enam motosikal troli selepas dipercayai hilang kawalan akibat kegagalan brek. Motosikal troli terbabit dijadikan penghalang untuk menghentikan gerabak atas inisiatif penduduk kampung bagi mengelak kemalangan lebih buruk membabitkan kereta api yang menjadi nadi pengangkutan di kawasan itu. Tham berkata, infrastruktur bukan saja mengenai kesalinghubungan, malah turut berkait dengan peluang yang saksama, keselamatan dan hak asas setiap anak dan warganegara untuk mengakses pendidikan tanpa rasa takut. “Kita tidak boleh bergantung kepada nasib untuk melindungi anak-anak kita, kerajaan mesti bertindak sebelum tragedi berlaku,” katanya. Beliau menyifatkan insiden kegagalan brek yang disyaki berlaku di laluan kereta api Tenom–Pangi itu tidak boleh dipandang ringan sebagai kerosakan mekanikal biasa. Sebaliknya, beliau berkata, ia adalah isyarat amaran yang mendedahkan pengabaian struktur yang berpanjangan terhadap infrastruktur pedalaman dan luar bandar di Sabah. “Kita bersyukur tiada nyawa yang hilang. Namun, tadbir urus tidak boleh bergantung kepada nasib. Keselamatan awam mesti dijamin melalui perancangan, pelaburan dan mekanisme akauntabiliti. “Selama beberapa dekad, Sabah, sebagai salah satu Wilayah yang paling kaya dengan sumber asli di Malaysia, telah menyumbang petroleum, gas asli, kayu balak dan pelbagai kekayaan semula jadi lain kepada pembangunan negara. “Namun, banyak kawasan pedalaman masih bergantung kepada infrastruktur yang rapuh, usang dan tidak mencukupi. Ketidakseimbangan antara sumbangan sumber dan pelaburan semula dalam infrastruktur sepatutnya tidak berlaku di Wilayah Sabah,” katanya. Katanya, komuniti di Tenom dan Pangi masih sangat bergantung kepada kereta api lama sebagai pengangkutan utama menyebabkan sebarang kegagalan teknikal boleh membahayakan guru, murid dan keluarga yang menuntut penyesuaian dasar secara segera. “Perbezaan dalam Malaysia amat ketara. Di Kuala Lumpur dan bandar utama lain, guru dan murid boleh bergerak dengan selamat melalui sistem pengangkutan awam moden seperti LRT dan MRT. “Sementara itu, di pedalaman Sabah, anak-anak masih perlu menyeberangi jambatan gantung yang tidak selamat, menggunakan rakit sementara untuk menyeberangi sungai, atau berjalan melalui laluan hutan yang tebal dan lumpur hanya untuk sampai ke sekolah,” katanya. Tham berkata, apabila akses kepada pendidikan sendiri tidak selamat, perbincangan mengenai reformasi pendidikan, kecemerlangan dan daya saing kehilangan kredibiliti. Tegasnya, ketidaksamaan infrastruktur secara langsung menghasilkan ketidaksamaan peluang pendidikan. “Pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui projek lebuh raya mega dan majlis perasmian. Walaupun Lebuhraya Pan Borneo mempunyai kepentingan ekonomi strategik, jalan pedalaman, khususnya yang menghubungkan sekolah, klinik dan perkhidmatan penting, adalah soal keselamatan manusia dan keadilan sosial,” katanya. – Info X

March 5, 2026

Info X Reporters

Telipok Ria terus digempur, enam ditahan

TUARAN: Aktiviti penyalahgunaan dadah di kawasan perumahan Telipok Ria terus digempur apabila enam lelaki ditahan dalam operasi Ops Gempur Telipok Ria yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 9 hingga 11.30 malam, pasukan JSJN menjalankan pemeriksaan di sekitar perhentian bas dan van sewa Telipok Ria Fasa 3, yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seramai enam lelaki diperiksa dalam operasi itu sebelum lima daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine hasil ujian saringan awal air kencing. Menurutnya, empat daripada suspek turut didapati memiliki dadah ketika pemeriksaan dijalankan oleh pasukan polis. “Hasil operasi, polis turut merampas 1.13 gram syabu yang ditemui dalam empat tiub plastik lutsinar dengan anggaran nilai rampasan kira-kira RM150. “Semua suspek yang ditahan berusia antara 35 hingga 44 tahun dan bekerja sebagai nelayan, pengimpal serta buruh, manakala sebahagian lagi tidak mempunyai pekerjaan tetap,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Katanya, semua mereka dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tuaran untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut. “Hasil soal siasat mendapati semua suspek yang positif air kencing mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki yang tidak dikenali di kawasan perhentian bas dan van sewa Telipok Ria. “Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah serta Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya. Sehubungan itu, katanya, pihak polis akan terus menjalankan risikan dan pemantauan di kawasan terbabit bagi mengesan individu yang dipercayai menjadi pembekal dadah. “Kita akan memastikan kawasan penempatan seperti ini tidak dijadikan ‘hideout’ atau tempat berlindung bagi aktiviti pengedaran dadah. “JSJN Sabah akan terus menggempur lokasi-lokasi yang dikenal pasti bagi mengekang kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya. – Info X

March 5, 2026

Info X Reporters

Sabah, Sarawak perlu diperkasa kawal masa depan sendiri – Jeffrey

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, menegaskan sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak diperkasakan untuk mengambil alih kawalan masa depan sendiri, khususnya dalam pengurusan sumber minyak dan gas. Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan berkata, pendekatan lebih berani dan tegas perlu dipertimbangkan demi memastikan kekayaan sumber negeri dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan rakyat, bukan sekadar bergantung kepada model sedia ada. Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berhubung pendekatan berbeza antara Sabah dan Sarawak dalam pengurusan sumber petroleum. Menurutnya, walaupun beliau menghormati pendirian kerajaan Persekutuan yang menekankan pendekatan beransur-ansur, Sabah tidak seharusnya terikat dengan model gradualisme sehingga mengekang potensi sebenar negeri itu. “Sabah berpotensi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dengan bergerak ke arah model pengurusan minyak dan gas yang lebih berdikari, bukan hanya bergantung kepada kerjasama halus dengan Petronas. “Kita tidak boleh berpuas hati dengan pertumbuhan hasil secara perlahan jika peluang untuk kemakmuran lebih besar berada dalam jangkauan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Jeffrey berkata, langkah yang diambil Sarawak sebelum ini membuktikan bahawa negeri itu mampu menegaskan kawalan lebih besar terhadap sumbernya di samping membina kapasiti sendiri dalam sektor minyak dan gas. Beliau turut menyatakan sokongan terhadap tindakan undang-undang yang diambil Sarawak bagi menegaskan kedudukan perlembagaannya, sambil menegaskan ia bukan sekadar cabaran biasa tetapi satu penegasan hak yang sah. “Sabah juga perlu menilai sama ada kita benar-benar memaksimumkan potensi sumber di bawah kawalan sedia ada atau sekadar menerima model yang lebih menguntungkan kerajaan Persekutuan,” katanya. Mengulas mengenai keperluan melindungi Petronas sebagai syarikat minyak nasional yang diiktiraf di peringkat global, beliau berkata kepentingan syarikat itu tidak wajar dilihat secara terasing daripada aspirasi pembangunan Sabah dan Sarawak. “Kita mengiktiraf peranan penting Petronas dalam industri minyak dan gas negara. Namun persoalannya, pada harga apa kepentingan negeri perlu diketepikan? “Pengukuhan industri nasional tidak semestinya bermakna kuasa pengurusan sumber perlu terus berpusat sepenuhnya. Penyertaan lebih bermakna kerajaan negeri mampu mempelbagaikan tadbir urus dan mengukuhkan ekosistem industri,” katanya. Jeffrey turut menolak tanggapan bahawa Sabah belum bersedia membangunkan industri minyak dan gasnya sendiri, dengan alasan masih wujud jurang infrastruktur. Beliau berkata, Sabah memiliki bakat tempatan, kontraktor serta potensi pelaburan yang mampu diperkasa sekiranya diberi ruang dan dasar yang menyokong. “Menutup jurang infrastruktur memang penting, tetapi ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk pergantungan berterusan. Dengan pelaburan dan keazaman politik yang kukuh, Sabah mampu menjadi pemain aktif dan bebas dalam sektor tenaga,” katanya. Dalam pada itu, beliau mengakui keperluan kejelasan undang-undang berhubung hubungan antara kerajaan Persekutuan dan entiti milik negeri, namun menegaskan ia tidak wajar dijadikan alasan mengekalkan status quo. Katanya, tafsiran mahkamah terhadap undang-undang persekutuan perlu dilihat sebagai langkah ke arah rangka kerja lebih adil dan telus yang membolehkan Sabah dan Sarawak menguruskan sumber tanpa campur tangan tidak perlu. “Sudah tiba masanya Sabah dan Sarawak diperkasakan untuk mengambil alih kawalan masa depan kita. “Kita tidak boleh terus bergantung kepada keputusan Persekutuan semata-mata, sebaliknya perlu diberi ruang mengurus kekayaan sendiri demi manfaat rakyat dan generasi akan datang,” katanya.-Info X