February 10, 2026
Info X Reporters
Lelaki mengaku rogol anak dipenjara 12 tahun, 6 sebatan
KOTA MARUDU: Seorang lelaki dihukum penjara 12 tahun dan enam sebatan selepas mengaku bersalah merogol anak kandungnya pada awal Januari lalu. Tertuduh warga tempatan berumur 37 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, A Akhiruddin Acho ketika sebutan semula kesnya di Mahkamah Kota Marudu, di sini, pada Selasa. Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman. Lelaki berkenaan yang tidak diwakili peguam dituduh melakukan jenayah berkenaan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. Pertuduhan pada 20 Januari lalu itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhayl Aminin Sallehuddin dan tiada jaminan ditawarkan, manakala sebutan semula pada hari ini (Selasa). Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anaknya di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi sungai di Pitas pada kira-kira jam 6 petang, 6 Januari lalu. Sementara itu, berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan pada petang 7 Januari lalu setelah satu laporan polis diterima daripada mangsa, iaitu anak perempuan tertuduh pada awal hari yang sama. Mangsa yang berumur 16 tahun mendakwa dirogol bapanya di dalam sebuah kereta yang diletakkan di tepi sungai di Pitas. Berikutan laporan itu, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bertindak menahan tertuduh. Turut dirampas sebuah kereta pacuan empat roda Toyota Hilux dan pakaian milik suspek untuk siasatan lanjut. Siasatan turut dijalankan dengan bantuan Pasukan Forensik dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Setelah kertas siasatan dilengkapkan, kes kemudian dirujuk ke Jabatan Peguam Negara sebelum lelaki berkenaan dituduh mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan. – Info X
February 10, 2026
Info X Reporters
Miha angkat sumpah sebagai ADUN
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag yang baharu, Mohd Ismail Ayob atau Miha mengangkat sumpah sebagai ADUN di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Selasa. Mohd Ismail, 44, mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN, Datuk Seri Kadzim M Yahya pada upacara angkat sumpah yang berlangsung jam 10 pagi. Beliau memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag pada 24 Januari lalu dengan majoriti 5,681 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah, Mazliwati Abdul Malek. PRK itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu sebelum ini, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lalu. Mohd Ismail yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRK itu sebelum ini adalah calon Bebas ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November tahun lalu. Hadir sama pada majlis angkat sumpah itu ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri yang juga ADUN Sukau, Datuk Jafry Ariffin. – Info X
February 10, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan beri maklumat palsu permohonan Mykad 3 individu
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah selepas disyaki memberikan maklumat palsu semasa membuat permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan. JPN Sabah dalam hantaran dimuat naik menerusi akaun rasmi agensi berkenaan di Facebook, hari ini, memaklumkan mengenai tangkapan berkenaan. “Suspek ditahan kira-kira jam 11 pagi pada 4 Februari di pejabat JPN Kota Kinabalu oleh pegawai penguatkuasa negeri. “Suspek dipercayai bertindak sebagai penganjur atau penjamin dengan mengemukakan maklumat palsu iaitu menyatakan dirinya sebagai bapa dalam beberapa permohonan kad pengenalan,” menurut kenyataan itu. Katanya, kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. JPN Sabah menegaskan, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu yang cuba memberikan maklumat palsu atau menggunakan dokumen tidak sah bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara sentiasa terpelihara. – info X
February 10, 2026
Info X Reporters
Dua kadar zakat fitrah kerana perbezaan beras, ketepatan tunai kewajipan – MUIS
KOTA KINABALU: Penetapan duakadar zakat fitrah di Sabah, RM7.50 dan RM15 seorang pada tahun ini mengambil kira perbezaan jenis beras yang dimakan masyarakat Islam negeri ini. Perkara itu dijelaskan Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Ramlan Awang Ali selepas pengisytiharan dua kadar zakat fitrah itu oleh Yang Dipertua Muis, Datuk Yahya Hussin, di sini, hari ini. Selain perbezaan jenis beras, Ramlan berkata penetapan dua kadar berbeza itu juga bagi memastikan kewajipan zakat fitrah dapat ditunaikan dengan lebih sempurna dan tepat, seterusnya dapat meningkatkan pungutan zakat fitrah di negeri ini. “Untuk makluman, kedua-dua kadar zakat fitrah ini telah mendapat kelulusan daripada Sahibus Samahah Datuk Mufti Negeri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Zakat dan Fitrah. “Penetapan dua kadar zakat fitrah ini adalah mengambil kira perbezaan jenis beras yang dimakan oleh masyarakat Islam di Sabah, di samping memastikan kewajipan zakat fitrah dapat ditunaikan dengan lebih sempurna dan tepat, seterusnya dapat meningkatkan pungutan zakat fitrah di negeri Sabah,” katanya menerusi satu kenyataan. Beliau berkata, kadar pertama zakat fitrah bagi 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, iaitu sebanyak RM7.50 ditetapkan bagi mereka yang memakan beras putih import, manakala kadar kedua iaitu RM15, bagi mereka yang memakan beras wangi. Katanya, kadar yang ditetapkan mengikut jenis beras yang dimakan itu wajib dibayar oleh setiap orang Islam yang bermastautin di Sabah. “Bagi menentukan kadar Zakat Fitrah tahun 1447H / 2026M, Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS dengan kerjasama Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd telah mengadakan sesi perbincangan bagi mendapatkan data dan statistik berkaitan maklumat beras di negeri Sabah. “Mengikut perakuan Beras Corporation (Sabah) Sdn Bhd, beras utama yang dipasarkan di Sabah adalah terdiri daripada beras putih import, beras wangi dan juga beras basmathi. “Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS telah membuat tinjauan kuantiti dan harga jualan beras di Sabah melibatkan beberapa buah pasaraya utama di lapan buah daerah seperti Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Kota Marudu, Beaufort, Keningau dan Ranau. “Hasil daripada tinjauan tersebut, harga purata keseluruhan berdasarkan lapan daerah itu menunjukkan beras putih import adalah sekitar RM2.82 sekilogram, manakala purata harga beras wangi adalah sekitar RM5.43 sekilogram,” katanya. Beliau berkata, penentuan harga Zakat Fitrah bagi negeri Sabah adalah mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.7 kilogram selaras peruntukan Enakmen Zakat dan Fitrah tahun 1993, di bawah Seksyen 56 dan ketetapan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Ke-57 yang bersidang pada 10 Jun 2003. Jelasnya, setakat pengumuman rasmi yang dibuat pada tahun ini, kadar zakat fitrah negeri-negeri di Malaysia ditetapkan mengikut jenis beras yang dimakan, antaranya di Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang dan Perak. “Sehubungan itu, MUIS menyeru seluruh umat Islam di negeri ini agar menunaikan kewajipan zakat fitrah mengikut kadar yang bersesuaian dengan jenis beras yang dimakan. “Mudah-mudahan dengan melaksanakan ibadah zakat fitrah pada bulan Ramadan ini dapat membantu golongan asnaf yang memerlukan,” katanya. – Info X
February 10, 2026
Info X Reporters
Zakat fitrah di Sabah tahun ini RM7.50 dan RM15
KOTA KINABALU: Umat Islam di negeri ini dikenakan dua kadar zakat fitrah pada Ramadan tahun ini, masing-masing RM7.50 dan RM15 seorang, berdasarkan jenis beras yang dimakan. Kadar itu diisytiharkan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin pada majlis pengumuman zakat fitrah 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi, di sini, pada Selasa. Beliau berkata, kadar RM7.50 ditetapkan bagi umat Islam yang menggunakan beras putih import, manakala RM15 bagi mereka yang menggunakan beras wangi. Katanya, kadar itu adalah berasaskan sukatan satu gantang Baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram (kg) beras yang dimakan oleh majoriti penduduk di Sabah. “Saya mewakili Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dengan ini mengisytiharkan bahawa kadar Zakat Fitrah negeri Sabah bagi 1447 Hijrah bersamaan 2026 Masihi bagi penduduk beragama Islam yang bermastautin di Sabah ialah bersamaan dengan dua kadar. “Kadar pertama berjumlah RM7.50 bagi setiap umat Islam yang menggunakan beras putih import dan kadar kedua berjumlah RM15 ke atas setiap umat Islam yang menggunakan beras wangi,” katanya. Pada tahun lalu, umat Islam di Sabah hanya dikenakan satu kadar zakat fitrah iaitu RM7.50 seorang. Umat Islam dijangka menunaikan ibadah puasa selama sebulan sempena Ramadan bermula pada 18 atau 19 Februari ini. – Info X
February 10, 2026
Info X Reporters
Lelaki mengamuk, ugut bakar rumah ibu
TAWAU: Seorang lelaki tempatan ditahan selepas mengamuk, merosakkan harta benda dan mengugut ibunya untuk membakar rumah dalam kejadian di Kampung Langsat, Merotai Besar, di sini, semalam. Kejadian berlaku ketika suspek berusia 25 tahun berada di rumah sebelum bertindak agresif dengan memukul adiknya serta merosakkan barangan di dalam kediaman berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sebelum itu, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. Katanya, suspek turut mengeluarkan ugutan terhadap ibunya dengan kata-kata mahu membakar rumah, menyebabkan wanita itu bimbang akan keselamatan diri serta ahli keluarga lain. “Berikutan laporan dibuat, sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau digerakkan ke lokasi dan berjaya mengesan serta menahan suspek di kawasan sama kejadian berlaku. “Semasa penahanan, polis turut merampas sebilah pisau panjang kira-kira 28 sentimeter yang dipercayai digunakan untuk mengugut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Jasmin berkata, semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan. “Orang ramai dinasihatkan supaya segera membuat laporan sekiranya berdepan situasi mengancam keselamatan diri dan keluarga,” katanya. – Info X
February 10, 2026
Info X Reporters
Mekanik dilastik besi hingga tembus kaki selepas tolak permintaan suspek tanpa bayaran
TAWAU: Seorang mekanik cedera selepas kaki kirinya dilastik menggunakan besi halus hingga menembusi anggota badan itu dalam kejadian di Kampung Kongsi 8, di sini, 3 Februari lalu. Kejadian berlaku pada jam 9.24 malam selepas mangsa enggan membaiki motosikal seorang lelaki kerana tidak dibayar upah. Difahamkan, mangsa dihubungi suspek untuk datang membaiki motosikal di rumahnya. Setibanya di lokasi, suspek meminta mangsa terus melakukan pembaikan tanpa membayar upah terlebih dahulu. Mangsa menolak, menyebabkan berlaku pertengkaran sebelum suspek bertindak agresif dengan menggunakan besi halus melastik kaki kiri mangsa sehingga menembusi anggota badan itu. Mangsa yang menahan kesakitan kemudian dibawa ke hospital oleh suspek dan terpaksa menjalani pembedahan akibat kecederaan serius. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kes mendatangkan cedera menggunakan senjata dan ugutan jenayah. “Susulan laporan diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun di kawasan sama kejadian berlaku,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau melibatkan pelbagai jenayah dan dadah serta pernah ditahan dan dijatuhi hukuman sebelum ini. “Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera menggunakan senjata serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. – Info X
February 10, 2026
Info X Reporters
SEC, PETRONAS meterai perjanjian bangunkan sumber gas Kluster Mutiara di perairan Sandakan
KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) pada Isnin mengumumkan pertukaran Heads of Agreement (HoA) dengan PETRONAS bagi pembangunan Kluster Mutiara, iaitu sumber gas luar pesisir strategik yang terletak di perairan luar Sandakan. SEC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Adzmir Abd Rahman, manakala PETRONAS diwakili Pengurus Besar Kanan, Pengurusan Hidrokarbon Bersepadu, PETRONAS, Ziaril Faiz Zakaria. Majlis pertukaran perjanjian itu yang diadakan di Kuala Lumpur disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong; Pengerusi SEC, Datuk Annuar Ayub dan Naib Presiden Kanan, Malaysia Petroleum Management (MPM), Datuk Bacho Pilong. Menerusi satu kenyataan, SEC menjelaskan HoA itu menetapkan rangka kerja komersial dan kerjasama ke arah perjanjian jual beli gas pada masa hadapan, bagi menyokong pembangunan serta pengewangan sumber gas dari Kluster Mutiara untuk memenuhi keperluan tenaga jangka panjang Sabah. Dengan sasaran pengeluaran gas pertama pada awal 2029, Kluster Mutiara dijangka memainkan peranan penting dalam merombak landskap bekalan tenaga di negeri ini. Ketika ini, gas asli menjana 86 peratus keperluan tenaga elektrik Sabah, namun tumpuan bekalan itu lebih terarah ke Pantai Barat, manakala Pantai Timur bergantung kepada penghantaran gas petroleum cecair (LNG) berskala kecil. Pembangunan Kluster Mutiara bertujuan menangani ketidakseimbangan itu dengan membolehkan bekalan gas yang berskala, boleh dipercayai dan sesuai untuk kegunaan industri ke Pantai Timur, sekali gus menyokong keselamatan tenaga, aktiviti ekonomi dan pembangunan industri hiliran di Sandakan serta kawasan sekitarnya. Menurut SEC, di samping pembangunan infrastruktur, HoA itu turut mencerminkan komitmen bersama SEC dan PETRONAS untuk memperkukuh kerjasama dalam membuka potensi sumber gas tempatan Sabah secara bertanggungjawab, di samping menyokong pasaran tenaga negeri yang lebih seimbang dan berdaya tahan. Jelas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri itu, pembangunan Kluster Mutiara juga selari dengan agenda pembangunan SMJ 2.0 dan dijangka menyumbang kepada pelaburan berterusan, penciptaan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi jangka panjang negeri. – Info X