Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 10, 2026

Info X Reporters

Kanak-kanak perempuan 6 tahun rentung dalam kebakaran

TAMBUNAN: Seorang kanak-kanak perempuan rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kejadian kebakaran melibatkan dua rumah di Kampung Patau, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mayat kanak-kanak malang berusia enam tahun itu ditemui di dalam bilik oleh pasukan bomba sebaik api berjaya dikawal. Manakala seorang lagi wanita berusia 31 tahun turut mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.08 pagi. Katanya, seramai lapan anggota dan pegawai bersama jentera dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 16 kilometer dari BBP Tambunan. “Kebakaran melibatkan dua rumah dan tiga kenderaan. Selain itu, terdapat dua mangsa iaitu seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui rentung di dalam sebuah bilik. “Seorang lagi mangsa mengalami kecederaan semasa menyelamatkan diri daripada kebakaran dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi memadam kebakaran dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba. “Mayat mangsa rentung diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 7 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya wujud di lokasi,” katanya. – Info X

February 10, 2026

Info X Reporters

SMJ 2.0 pacu lonjakan ekonomi, pemangkin perubahan di Sabah – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri terus memperkasa pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) sebagai fasa lonjakan baharu bagi memacu daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha itu bagi memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara inklusif oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang. Beliau berkata, SMJ 2.0 bukan sekadar kesinambungan kepada pelan pembangunan sebelum ini, sebaliknya menjadi pemangkin perubahan menyeluruh yang menuntut peningkatan keupayaan diri, termasuk perubahan cara berfikir, bekerja serta mencipta nilai baharu demi kesejahteraan rakyat Sabah. “SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan ke hadapan yang menekankan pembangunan ekonomi, pemerkasaan modal insan dan kesejahteraan rakyat. Perpaduan kekal sebagai kunci utama kepada kestabilan serta kemakmuran negeri,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Karnival Tahun Baharu Cina 2026 di Dataran Deasoka, di sini, pada Isnin. Teks ucapan Hajiji dibacakan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Rubin Balang. Ketua Menteri berkata, kejayaan pelaksanaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 sebelum ini memberi keyakinan bahawa Sabah berada di landasan tepat, manakala SMJ 2.0 pula dirangka selari dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026-2030. Jelasnya, pendekatan pembangunan berterusan itu penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta mampu menangani cabaran masa depan secara lebih strategik dan bersepadu. Hajiji turut menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum menjadi asas kekuatan sosial Sabah yang perlu terus dipelihara. “Karnival seperti ini mencerminkan keunikan Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, di mana setiap perayaan diraikan bersama dalam semangat saling menghormati dan muhibah,” katanya. Beliau berkata, pendekatan inklusif kerajaan negeri selari dengan aspirasi membina sebuah Sabah yang aman, bersatu padu dan sejahtera untuk semua. Hajiji turut mengiktiraf peranan penting masyarakat Cina sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri, khususnya dalam sektor ekonomi, keusahawanan, pendidikan dan pemeliharaan warisan budaya. Sehubungan itu, katanya kerajaan negeri akan terus menyokong inisiatif serta penglibatan aktif pertubuhan masyarakat Cina sebagai rakan pelaksana agenda pembangunan Sabah di bawah kerangka Sabah Maju Jaya. Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah yang menghimpunkan lebih 160 persatuan dari seluruh negeri dan Wilayah Persekutuan Labuan atas sumbangan berterusan dalam menjayakan pelbagai program jemasyarakatan. Katanya, kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat tanpa mengira kaum amat penting bagi memastikan dasar pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Hajiji turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2026 kepada seluruh masyarakat Cina di Sabah, sambil berharap sambutan perayaan itu terus menjadi pemangkin kepada perpaduan, keharmonian dan kemajuan bersama demi masa depan negeri yang lebih cemerlang. – Info X

February 10, 2026

Info X Reporters

Empat pegawai badan berkanun, dua pekerja agensi pelancongan ditahan SPRM

KOTA KINABALU: Empat pegawai awam Badan Berkanun Persekutuan bersama dua pekerja sebuah syarikat agensi pelancongan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah berhubung tuntutan palsu membabitkan pembelian tiket kapal terbang, pada Isnin. Menurut sumber, tuntutan itu dipercayai melibatkan butiran penerbangan yang dipalsukan, manakala tiket sebenar tidak disediakan oleh syarikat berkenaan kepada pegawai dan kakitangan jabatan terbabit. “Tuntutan ini membabitkan nilai hampir RM1.3 juta. “Enam suspek, terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun, ditahan sekitar jam 9.30 malam ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah untuk memberikan keterangan,” kata sumber itu. Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu. Tambahnya, permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pada Selasa bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. “Beberapa siri tangkapan dijangka dibuat pada masa akan datang berdasarkan perkembangan siasatan kes,” katanya. – Info X

February 10, 2026

Info X Reporters

Lesen tamat, Toyota Supra mewah milik ahli perniagaan disita

KOTA KINABALU: Sebuah kenderaan mewah milik seorang ahli perniagaan di Sabah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Ops Khas Luxury, pada Isnin. Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kenderaan Toyota Supra 3.0L yang disita di Jalan Tuaran itu dikesan atas kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans sah. “Selain itu, kenderaan berkenaan juga didapati tidak mengikut spesifikasi nombor pendaftaran yang ditetapkan. “Kesalahan itu melanggar peraturan dan undang – undang jalan raya mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), seksyen 23(1) dan 90(1),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kenderaan disita bagi tindakan selanjutnya mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Beliau menambah operasi penguatkuasaan akan diteruskan secara berterusan. “JPJ tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan di mahkamah mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya. – Info X

February 9, 2026

Info X Reporters

Sabah FC ucap terima kasih kepada Joh Wid

KOTA KINABALU: Sabah FC mengucapkan terima kasih kepada bekas Pengurus Besar kelab itu, Md Joh Wid yang menamatkan perkhidmatan pada 31 Januari lalu. Ucapan itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook Sabah FC pada Isnin. “Terima kasih kepada mantan Pengurus Besar Sabah FC, Md Joh Wid atas kepimpinan, sumbangan, komitmen dan dedikasi sepanjang bersama kelab ini. “Beliau telah menamatkan perkhidmatan pada 31 Januari 2026. Semoga terus maju jaya dan melakar kejayaan di masa akan datang. Jasa anda bersama Sabah FC akan dikenang,” kata perkongsian itu. Joh menggantikan Ahmad Marzuki Nasir sejak Jun 2023 yang sebelum itu mengetuai Sabah FC sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kelab. – Info X

February 9, 2026

Info X Reporters

20 peratus kepentingan medan minyak North Sabah EOR kini dipegang SMJE

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri, melalui SMJ Energy Sdn Bhd (SMJE) memperoleh 20 peratus kepentingan penyertaan dalam Perjanjian ‘Farm-out’ 2011 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) North Sabah EOR susulan pemeteraian Perjanjian Farm-Out (FOA) bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di ibu negara pada Isnin. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyifatkan perkembangan itu sebagai cerminan strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor tenaga Sabah melalui pelaburan berkualiti tinggi dan kerjasama erat dengan PETRONAS. “Dengan peluang yang kini semakin berkembang di seluruh negeri dari Pantai Barat hingga Pantai Timur, kita mengalu-alukan pelabur bereputasi untuk bekerjasama bagi memastikan manfaat yang mampan dan berkekalan kepada rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis pertukaran dokumen-dokumen sempena memperingati kerjasama di antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS. Pengambilalihan itu yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 adalah susulan kepada Perjanjian Dasar Induk (HOA) yang ditandatangani di antara SMJE dan PCSB pada November 2025, sekali gus membuka laluan kepada transaksi muktamad hari ini. Hajiji berkata, ia adalah pengambilalihan huluan kedua SMJE sejak menyertai PSC Samarang pada April 2023, yang seterusnya mengukuhkan peranan sebagai pemain strategik dalam landskap minyak dan gas Sabah. Katanya, North Sabah EOR PSC merangkumi empat medan minyak yang sedang beroperasi, terletak di perairan cetek pada kedalaman kira-kira 70 meter di luar pesisir Kota Belud. “Aset ini terdiri daripada 20 platform luar pesisir yang dihubungkan oleh saluran paip sepanjang 143 kilometer berdiameter 24 inci untuk menyalurkan minyak mentah ke Terminal Minyak Mentah Labuan (LCOT),” katanya. Ketua Menteri berkata, selepas transaksi itu, SMJE akan memegang 20 peratus kepentingan rakan bukan pengendali, manakala SEA Hibiscus Sdn Bhd kekal sebagai Pengendali dengan 50 peratus kepentingan penyertaan, manakala PCSB mengekalkan 30 peratus pegangan. “Langkah ini dijangka meningkatkan peruntukan minyak mentah SMJE, dengan jumlah pengangkutan kargo meningkat daripada 4.7 kargo pada 2025 kepada 7.0 kargo pada 2026, sekali gus memperkukuh aliran hasil dan kebolehpercayaan bekalan untuk Sabah,” katanya. Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri Kewangan dan Pengerusi SMJE, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata North Sabah adalah aset pengeluaran strategik, menjadikan penyertaan SMJE sebagai tanda peranan negeri yang semakin matang dalam akti viti huluan. “Langkah ini menjamin nilai jangka panjang, membina keupayaan komersial, dan memastikan lebih banyak manfaat disalurkan secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya. Di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah ketika ini, katanya SMJE terus mempercepat penciptaan nilai melalui perkongsian strategik, penglibatan tempatan dan pengurusan sumber yang bertanggungjawab. Terdahulu, satu pertukaran dokumen berlangsung bagi Perjanjian Dasar Induk (HOA) di antara PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC) untuk Kluster Mutiara. HoA itu menetapkan rangka kerja bagi Perjanjian Jualan Gas (GSA) masa hadapan bagi memudahkan pembangunan kluster itu yang disasarkan pada suku pertama 2029. Selain itu, pertukaran dokumen turut dilakukan bagi PSC Kluster Permata yang terletak di luar pesisir Sabah di antara PETRONAS dan Bridge Petroleum Limited, sebuah Kontraktor Pengaturan Petroleum (PAC) yang baru dilantik. – Info X

February 9, 2026

Info X Reporters

Wartawan harus utamakan kredibiliti dan integriti – Lichong

KOTA SERANG (Banten, Jakarta): Setiap wartawan harus mengutamakan kredibiliti dan integriti dalam menghadapi cabaran transformasi dunia kewartawanan, kata Ketua Pengarang Utusan Borneo Sabah, Datuk Lichong Angkui. Beliau berkata, ia penting demi menjaga ekosistem kewartawanan sebagai sumber maklumat sahih yang boleh dipercayai, sekali gus meletakkanya kekal relevan. “Dengan meletakkan kredibiliti dan integriti sebagai keutamaan, ia dapat memperkukuh kualiti kewartawanan dan meningkatkan kepercayaan umum. “Ini kerana apabila masyarakat memperoleh maklumat daripada media yang berwibawa dan dipercayai, ia membantu menyuburkan lagi dunia kewartawanan,” katanya selepas pertemuan bersama Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Indonesia-Malaysia (ISWAMI) Indonesia, Asro Kamal Rokan, di sini hari ini. Delegasi ISWAMI Malaysia diketuai Pemangku Presiden Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, diundang ke Banten sempena Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2026. Lichong yang juga Ahli Majlis Pentadbir ISWAMI Malaysia berkata wartawan akhbar kini berdepan cabaran dengan perkembangan media sosial yang merentasi seluruh dunia. Sehubungan dengan itu, katanya, adalah perlu bagi wartawan media arus perdana untuk mengekalkan momentum kewartawanan sebenar melalui pemberitaan yang jujur, berimbang dan bertanggung jawab. Katanya, transformasi digital kini membawa cabaran besar kepada media arus perdana, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan soal etika dalam pemberitaan. “Jangan kita terikut-ikut dengan trend mengejar kepantasan menyebarkan maklumat, kerana kita perlu mendapatkan kesahihan terlebih dahulu,” katanya. Beliau mengingatkan bahawa wartawan bukan sekadar berfungsi sebagai penyampai informasi, tetapi lebih penting harus menjadi penegak (pilar) demokrasi yang menjaga keseimbangan antara pemerintah dan masyarakat. Sebab itu, katanya, adalah penting bagi wartawan menulis berdasarkam fakta, selain harus bersikap jujur, berimbang dan bertanggung jawab. Lichong juga memuji pemilihan tema HPN 2026 iaitu `Pers Sehat, Ekonomi Berdaulat, Bangsa Kuat’, yang disifatkannya sebagai bertepatan dalam era digitalisasi kini. Katanya, melalui amalan media yang sihat, ia pasti memperkukuh pembangunan ekonomi dan sekali gus memperkuatkan jati diri bangsa dan negara. – Info X

February 9, 2026

Info X Reporters

KDCA Youth Council, KupiKupi FM jayakan program kebajikan warga emas

KINARUT: Keprihatinan terhadap kebajikan warga emas dizahirkan menerusi program kerja amal bertemakan ‘Hands that Give, Hearts that Remember’ anjuran KDCA Youth Council (KYC) dengan kerjasama KupiKupi FM dan Info X di Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard, di sini, pada Sabtu.KDCA Youth Council (KYC) dengan kerjasama KupiKupi FM dan Info X di Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard, di sini, pada Sabtu. Program berkenaan diketuai Naib Pengerusi KYC, Jessica Julius dan turut dihadiri Pengerusi KYC, Steve Mositun, bersama barisan sukarelawan serta rakan kolaborasi. Jessica berkata, program itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan, sebaliknya menjadi platform mendekatkan golongan belia dengan warga emas yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. “Kami mahu anak muda memahami bahawa warga emas adalah sebahagian penting dalam masyarakat yang perlu dihargai dan diraikan, bukan dilupakan,” katanya. Menurutnya, pengalaman berinteraksi secara langsung dengan penghuni rumah warga emas itu memberi kesan mendalam kepada semua sukarelawan yang terlibat. “Mendengar kisah kehidupan mereka membuka mata kami tentang erti kesabaran, pengorbanan dan kekuatan jiwa. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna dan menyentuh hati,” katanya. Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten dan melibatkan lebih ramai belia pada masa akan datang. “Kami di KDCA Youth Council komited untuk terus menjalankan program kebajikan yang menyemai nilai kemanusiaan, empati dan perpaduan dalam kalangan generasi muda,” katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KupiKupi FM Sabah, Lester Calvin Miol berkata, penganjuran program itu bertujuan menyemai nilai kasih sayang, hormat dan rasa prihatin terhadap golongan warga emas melalui sumbangan serta aktiviti kebajikan. Menurutnya, meskipun program berlangsung dalam suasana ceria, sesi interaksi bersama penghuni turut menyentuh perasaan apabila pelbagai kisah kehidupan dikongsikan. “Kisah – kisah ini mengingatkan kita betapa rapuhnya usia dan pentingnya nilai kemanusiaan dalam masyarakat. “Inisiatif ini adalah cara kami memberi kembali kepada komuniti sebagai tanda kasih, hormat dan belas ihsan kepada warga Sri Pritchard. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak pernah dilupakan,” katanya. Beliau berkata, KupiKupi FM bersama Info X merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada semua penderma, rakan kerjasama serta KDCA Youth Council atas kejayaan penganjuran program berkenaan dan menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha kebajikan seumpama itu pada masa hadapan. Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur program, Travis Jingulam turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program khidmat masyarakat berkenaan sehingga berlangsung dengan lancar dan penuh makna. “Penghargaan kepada KDCA Youth Council selaku penganjur serta KupiKupi FM dan Info X atas sokongan padu. “Terima kasih juga kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang menyumbang masa, tenaga, kewangan serta barangan keperluan. Setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, membawa kegembiraan dan senyuman kepada para penghuni,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan penghuni Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard atas sambutan mesra yang diberikan. “Semoga program ini menjadi inspirasi untuk kita terus berbakti kepada masyarakat dengan penuh kasih sayang dan semangat perpaduan,” katanya. – Info X