February 9, 2026
Info X Reporters
KDCA Youth Council, KupiKupi FM jayakan program kebajikan warga emas
KINARUT: Keprihatinan terhadap kebajikan warga emas dizahirkan menerusi program kerja amal bertemakan ‘Hands that Give, Hearts that Remember’ anjuran KDCA Youth Council (KYC) dengan kerjasama KupiKupi FM dan Info X di Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard, di sini, pada Sabtu.KDCA Youth Council (KYC) dengan kerjasama KupiKupi FM dan Info X di Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard, di sini, pada Sabtu. Program berkenaan diketuai Naib Pengerusi KYC, Jessica Julius dan turut dihadiri Pengerusi KYC, Steve Mositun, bersama barisan sukarelawan serta rakan kolaborasi. Jessica berkata, program itu bukan sekadar menyampaikan sumbangan, sebaliknya menjadi platform mendekatkan golongan belia dengan warga emas yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. “Kami mahu anak muda memahami bahawa warga emas adalah sebahagian penting dalam masyarakat yang perlu dihargai dan diraikan, bukan dilupakan,” katanya. Menurutnya, pengalaman berinteraksi secara langsung dengan penghuni rumah warga emas itu memberi kesan mendalam kepada semua sukarelawan yang terlibat. “Mendengar kisah kehidupan mereka membuka mata kami tentang erti kesabaran, pengorbanan dan kekuatan jiwa. Ia satu pengalaman yang sangat bermakna dan menyentuh hati,” katanya. Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan secara konsisten dan melibatkan lebih ramai belia pada masa akan datang. “Kami di KDCA Youth Council komited untuk terus menjalankan program kebajikan yang menyemai nilai kemanusiaan, empati dan perpaduan dalam kalangan generasi muda,” katanya. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KupiKupi FM Sabah, Lester Calvin Miol berkata, penganjuran program itu bertujuan menyemai nilai kasih sayang, hormat dan rasa prihatin terhadap golongan warga emas melalui sumbangan serta aktiviti kebajikan. Menurutnya, meskipun program berlangsung dalam suasana ceria, sesi interaksi bersama penghuni turut menyentuh perasaan apabila pelbagai kisah kehidupan dikongsikan. “Kisah – kisah ini mengingatkan kita betapa rapuhnya usia dan pentingnya nilai kemanusiaan dalam masyarakat. “Inisiatif ini adalah cara kami memberi kembali kepada komuniti sebagai tanda kasih, hormat dan belas ihsan kepada warga Sri Pritchard. Kami mahu mereka tahu bahawa mereka tidak pernah dilupakan,” katanya. Beliau berkata, KupiKupi FM bersama Info X merakamkan setinggi – tinggi penghargaan kepada semua penderma, rakan kerjasama serta KDCA Youth Council atas kejayaan penganjuran program berkenaan dan menegaskan komitmen untuk meneruskan usaha kebajikan seumpama itu pada masa hadapan. Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur program, Travis Jingulam turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program khidmat masyarakat berkenaan sehingga berlangsung dengan lancar dan penuh makna. “Penghargaan kepada KDCA Youth Council selaku penganjur serta KupiKupi FM dan Info X atas sokongan padu. “Terima kasih juga kepada semua penyumbang dan sukarelawan yang menyumbang masa, tenaga, kewangan serta barangan keperluan. Setiap sumbangan, sama ada besar atau kecil, membawa kegembiraan dan senyuman kepada para penghuni,” katanya. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan penghuni Rumah Warga Orang Tua Sri Pritchard atas sambutan mesra yang diberikan. “Semoga program ini menjadi inspirasi untuk kita terus berbakti kepada masyarakat dengan penuh kasih sayang dan semangat perpaduan,” katanya. – Info X
February 9, 2026
Info X Reporters
Sediakan surau di Bazar Ramadan – Aliakbar
KOTA KINABALU: Pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini digesa menyediakan surau sementara di setiap Bazar Ramadan di kawasan masing-masing sepanjang Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi. Gesaan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan bagi memberi kemudahan kepada umat Islam yang berniaga atau berkunjung ke Bazar Ramadan. “Saya menyeru kepada semua PBT di Sabah agar menyediakan surau sementara atau ruang solat yang sesuai di setiap tapak Bazar Ramadan sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. “Bazar Ramadan bukan sekadar ruang ekonomi, tetapi juga medan menghidupkan syiar Islam. Dalam kesibukan peniaga mencari rezeki dan orang ramai membeli juadah berbuka, kewajipan solat tidak boleh diketepikan. “Kemudahan surau yang berdekatan akan membantu peniaga dan pengunjung menunaikan perintah Allah dengan mudah, teratur dan selesa. “Dengan adanya ruang solat, mereka tidak perlu lagi tergesa-gesa meninggalkan tapak bazar atau berkejar mencari masjid dan surau yang jauh,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Pesuruhjaya PAS Sabah itu berkata, apabila urusan ibadah dipermudahkan, peniaga juga dapat menguruskan perniagaan dengan lebih lancar tanpa kekangan masa. “Insya-Allah, rezeki yang diperoleh akan menjadi lebih berkat. Saya berharap semua pihak, termasuk penganjur dan agensi berkaitan, dapat memberi perhatian serius terhadap perkara ini supaya bazar Ramadan di negeri kita bukan saja meriah, malah dipenuhi nilai takwa serta menjadi contoh pengurusan yang mesra ibadah. “Negeri yang diberkati bukan diukur pada ramainya manusia berniaga, tetapi pada ramainya manusia yang taat kepada perintah Tuhan,” katanya. Umat Islam dijangka menunaikan ibadah puasa selama sebulan sempena Ramadan bermula pada 18 atau 19 Februari ini. – Info X
February 9, 2026
Info X Reporters
Piala Cabaran gelanggang mantapkan semula Sang Badak
KOTA KINABALU: Piala Cabaran 2026 yang bermula malam tadi menjadi gelanggang untuk memantapkan semula kedudukan Sabah FC selepas perpindahan beberapa pemain dan kemasukan pemain import baharu. Pengendali sementaranya, Alto Linus, mengakui pemain baharu Sang Badak kini dalam proses menyesuaikan diri dengan suasana baharu, selain mendapatkan keserasian bersama pasukan kendaliannya. “Secara keseluruhannya kalau kita lihat mereka cuba mengadaptasi keadaan di sini. Kita tahu bukan mudah untuk mengadaptasi apabila mereka datang dari negara yang berbeza suasananya dengan kita. “Ini yang kita lihat dan kita harus membantu mereka untuk segera mengadaptasi terutama sekali cuaca dan masa di sini. Sebab kita faham mana-mana pemain import selalunya berdepan kesukaran apabila mereka datang sini. “Tapi, dari segi permainan kita lihat mereka sangat bekerja keras untuk membantu kita mendapatkan sesuatu di sini,” katanya pada sidang media selepas perlawanan suku akhir pertama Piala Cabaran. menentang PDRM FC di Stadiuam Likas, malam tadi. Sabah membawa masuk lima pemain import baharu menerusi jendela perpindahan kedua MFL musim ini bagi menambah kekuatan dan menggantikan pemain yang berpindah. Mereka ialah penyerang dari Perancis, Chris Marlon Ondong Mba; pemain tengah dari Croatia, Duje Ljubic; pemain pertahanan dari Thailand, Ernesto Amantegui Phumipha; seorang lagi pemain serangan dari Haiti, Kervens Fils Belfort dan pemain pertahanan berasal dari Sepanyol, Jose Angel Alonso. Pemain Sang Badak yang berpindah sebelum ini pula ialah Daniel Ting yang menyertai kelab dalam Liga Thailand, diikuti Stuart John Wilkin yang kembali ke Johor Darul Ta’zim (JDT) dan penyerang import dari Bosnia, Ajdin Mujagic yang turut menyertai JDT. Tonggak baharu Sabah yang pertama kali turun beraksi bersama skuad Sang Badak malam tadi antara yang membantu pasukan menundukkan PDRM FC 2-0, sebelum ke perlawanan kedua Piala Cabaran nanti. Mengulas mengenai perlawanan itu, Alto menyifatkan aksi menentang PDRM bermula agak sukar berikutan ketiadaan perlawanan membabitkan Sabah FC selama hampir dua minggu. Katanya, keadaan itu menyebabkan corak permainan anak buahnya kurang menyerlah pada awal babak pertama, namun berjaya ditambah baik hingga akhirnya mendapat dua jaringan kemenangan pada separuh masa kedua. “Secara keseluruhannya apabila kita lihat pada masa pertama di mana kita tidak bermula begitu baik. Kredit kita berikan kepada pasukan PDRM yang dapat bertahan dengan baik pada masa pertama. “Tapi, apa yang kita lihat pada perlawanan itu kita cuba perbaiki dan sekali gus kita dapat menjaringkan dua gol,” katanya. Gol pembukaan Sang Badak dijaringkan pada minit ke-53 hasil sepakan bola tinggi pemain pertahanannya, Dane James Ingham, disusuli gol kedua oleh Fergus Tierney setelah bola terlepas dari tangan penjaga gol PDRM, Nor Hakeem Hamidun ketika berlaku kekecohan di depan gawang pada minit ke-57. Sabah akan bertandang ke Stadium Selayang, Selangor pada aksi timbal balas suku akhir kedua Piala Cabaran menentang PDRM pada 15 Februari ini. – Info X
February 9, 2026
Info X Reporters
Dua maut pacuan empat roda terbabas dekat Dewan Hakka
KOTA KINABALU: Dua individu maut manakala beberapa yang lain cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok dan masuk ke dalam parit di Jalan Signal Hill Park berhampiran Dewan Hakka, di sini, malam tadi. Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala seorang wanita berusia 33 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit sedang bergerak dari arah sebuah kawasan kediaman menuju ke Likas. “Kenderaan dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan selekoh sebelum terbabas, melanggar pokok dan seterusnya masuk ke dalam parit di lokasi kejadian. “Akibat kemalangan itu, dua penumpang disahkan meninggal dunia, seorang di lokasi kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, beberapa individu lain termasuk pemandu kenderaan mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I dan II. “Polis sudah menjalankan siasatan di lokasi kejadian termasuk pemeriksaan ke atas kenderaan terlibat serta dokumentasi tempat kejadian. “Kenderaan terbabit ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas serta memandu dengan berhemah, terutama di kawasan jalan selekoh dan pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu atau Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222,” katanya. – Info X
February 9, 2026
Info X Reporters
Kes jenayah komersil cecah RM119.8 juta, Kota Kinabalu tertinggi di Sabah
KOTA KINABALU: Daerah ini kekal sebagai penyumbang tertinggi jenayah komersil di Sabah sepanjang 2025 dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM119.8 juta. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu membuka 1,347 kertas siasatan bagi tempoh Januari hingga Disember 2025, meningkat berbanding 1,091 kes pada 2024. Menurutnya, peningkatan itu membabitkan pertambahan 256 kes, dengan nilai kerugian meningkat hampir RM24 juta berbanding RM95 juta tahun sebelumnya. “Sebahagian besar kes berpunca daripada penipuan atas talian yang terus menjadi ancaman utama kepada masyarakat. “Daripada 1,347 kes direkodkan, sebanyak 959 kes membabitkan penipuan dalam talian dengan jumlah kerugian RM63.2 juta,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan IPD Kota Kinabalu, hari ini. Beliau berkata, kes pelaburan tidak wujud mencatat kerugian tertinggi sekitar RM29 juta, diikuti phone scam sebanyak 258 kes, penipuan belian dalam talian (213 kes) serta tawaran kerja sambilan palsu (72 kes). “Sindiket menggunakan pelbagai helah termasuk tawaran pulangan segera, penyamaran sebagai pegawai pihak berkuasa dan iklan pekerjaan palsu di media sosial,” katanya. Mengulas perkembangan terkini, Kasim berkata bagi tempoh 1 hingga 31 Januari 2026, sebanyak 144 kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM10.5 juta. “Daripada jumlah itu, 107 kes melibatkan penipuan atas talian dengan kerugian RM9.4 juta, menunjukkan trend jenayah ini masih aktif pada awal tahun,” katanya. Menurutnya, polis mempergiat risikan dan operasi penguatkuasaan termasuk menahan 20 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing dalam serbuan ke atas premis calling centre yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian. Katanya, serbuan berasingan turut membawa kepada penahanan tujuh warga tempatan yang dipercayai membeli kad ATM orang awam untuk dijadikan akaun keldai. “Kedua-dua kes sudah lengkap siasatan dan suspek dihadapkan ke Mahkamah Kota Kinabalu,” katanya. Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyewakan akaun bank dengan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 kerana perbuatan itu adalah kesalahan serius. “Pemilik akaun boleh didakwa mengikut Seksyen 424A atau 424B Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 atau penjara minimum setahun,” katanya. Dalam usaha membendung jenayah berkenaan, beliau berkata polis bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Bank Negara Malaysia (BNM), institusi perbankan serta National Scam Response Centre (NSRC) bagi mempercepatkan pembekuan akaun dalam tempoh 48 jam selepas laporan dibuat. Beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mendapatkan pengesahan pihak polis atau bank sebelum membuat sebarang pelaburan atau menerima tawaran pekerjaan meragukan. “Pencegahan awal mampu mengelakkan kerugian besar,” katanya. – Info X
February 9, 2026
Info X Reporters
Bekas anggota keselamatan antara dalang curi kabel
KOTA KINABALU: Dua lelaki termasuk seorang bekas anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi berjaya ditahan selepas dikejar lebih sejam, pada Sabtu lalu. Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, kedua-dua lelaki terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti memotong kabel telekomunikasi di kawasan Maktab Gaya, Luyang. Bagaimanapun, ketika cuba ditahan, kedua-dua suspek bertindak agresif meloloskan diri daripada ditahan kereta peronda polis (MPV) dengan menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, semasa dikejar, kedua-dua suspek bukan sahaja enggan memberhentikan kenderaan, malah cuba mengancam anggota penguat kuasa dengan menghimpit kenderaan polis ke laluan bertentangan. “Tindakan berbahaya itu turut membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain apabila suspek memandu secara melulu dan berisiko tinggi di beberapa laluan awam. “Bagaimanapun, insiden berkenaan berakhir di Taman Putra Perdana, Telipok selepas kenderaan dinaiki suspek terbabas akibat tayar belakang kenderaannya pecah,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pada Majlis Perhimpunan Bulanan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, hari ini. Kasim berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan dan pemeriksaan di dalam kenderaan menemui tiga batang kabel Telekom, peralatan memotong kabel, sepucuk pistol tiruan dan pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti jenayah. Katanya, pasukan polis turut menemui dadah jenis syabu seberat 0.44 gram dan hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis syabu. “Kedua-dua suspek akan direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 431A akta sama berkaitan kecurian kabel serta Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960,” katanya. Terdahulu, kejadian melibatkan dua penjenayah terbabit berjaya dirakam orang awam sebelum tular di media sosial. Malah, kejadian turut menimbulkan salah faham dalam kalangan netizen apabila ada yang mendakwa salah seorang anggota polis cedera ditikam suspek. Bagaimanapun, polis mengesahkan anggota berkenaan hanya mengalami kecederaan biasa di kaki akibat bergelut dengan salah seorang suspek Sehubungan itu, Kasim menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap individu yang bertindak ganas terhadap anggota polis serta terlibat dalam jenayah yang menjejaskan keselamatan awal serta infrastruktur negara. Katanya, orang awam turut dinasihatkan supaya tidak terlibat atau bersubahat dalam kegiatan kecurian kabel dan diminta segera menyalurkan maklumat terhadap sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing. – Info X
February 9, 2026
Info X Reporters
KPD keluar 800,000 unit cendawan setahun
KUNDASANG: Korporasi Pembangunan Desa (KPD) mengeluarkan kira-kira 800,000 unit pelbagai jenis cendawan setahun menerusi pusat penanamannya di Kampung Mesilou, di sini. Kapasiti itu dimaklumkan kepada Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar ketika lawatannya ke beberapa projek KPD dan Jabatan Pertanian di kawasan tanah tinggi ini pada Ahad. Jamawi dimaklumkan cendawan dikeluarkan KPD merangkumi jenis Black Jelly, Tiram dan Shiitake untuk makanan serta cendawan Ling Zhi bagi tujuan perubatan. Taklimat disampaikan Pengurus Besar (Operasi) KPD, Andree Funk ketika lawatan Jamawi ke kilang pemprosesan dan tapak penanaman cendawan milik KPD di Kampung Mesilou. Hadir sama dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengarah Urusan KPD, Jailis Masarip serta beberapa lagi Pegawai KPD dan MAFFI. Jamawi turut melawat aktiviti dijalankan Jabatan Pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Mesilou, termasuk Pusat Pengumpulan Hasil Tani (APCC) Kundasang. Di TKPM Mesilou, Jamawi meninjau 91 rumah perlindungan hujan yang digunakan belia tempatan untuk penanaman tomato, cili dan tanaman lain dengan kadar sewaan rendah. Mengulas mengenai fasiliti itu, Jamawi berkata pihaknya akan berusaha mendapatkan peruntukan bagi menambah bilangan rumah perlindungan hujan pada masa akan datang. “Ini komitmen Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) untuk memastikan peluang disediakan kepada belia yang tidak memiliki tanah tetapi berminat dalam bidang pertanian. TKPM juga terdapat di Tawau, Sook, Keningau dan beberapa lokasi lain,” katanya. Pada lawatan itu, Jamawi turut bertemu dengan Shahrizal Denci yang mengusahakan penanaman bawang di atas tanah KPD seluas 40 ekar secara sewaan. Jamawi berkata, Shahrizal juga terlibat dalam program mentor-mentee di bawah Inisiatif Kebun Dapur dan akan berkongsi pengetahuan serta pengalaman dengan golongan muda yang berminat dalam penanaman bawang. – Info X
February 9, 2026
Info X Reporters
Pukul lelaki dengan batang besi, tiga sekawan ditahan polis
TAWAU: Tindakan tiga lelaki menyerang seorang individu di sebuah kedai peralatan rumah dan elektrik di Jalan Chong Thien Vun, di sini, semalam membawa padah apabila semua mereka diberkas polis selepas mangsa membuat laporan berhubung kejadian berkenaan. Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa didatangi seorang lelaki yang dikenalinya bersama dua lagi rakan sebelum dipukul secara tiba-tiba menggunakan batang besi hingga menyebabkan kesakitan dan trauma. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas laporan polis yang diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau berjaya mengesan seorang lelaki tempatan berusia kira-kira 25 tahun. “Suspek terbabit ditahan di kawasan Lorong Perdana Jaya 5 bagi untuk siasatan lanjut. “Dalam tangkapan itu, polis turut merampas batang besi dan sebilah pisau pemotong yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan dua lagi suspek lelaki berusia antara 34 hingga 36 tahun bagi membantu siasatan. “Semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X