Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

February 8, 2026

Info X Reporters

Diskaun 20 peratus guna elektrik di luar waktu puncak untuk pengguna komersial – Sabah Electricity

KOTA KINABALU: Pengguna komersial dan industri voltan rendah Sabah Electricity yang menyertai skim Off Peak Tariff Rider (OPTR) layak menikmati diskaun sehingga 20 peratus bagi penggunaan elektrik ketika waktu luar puncak. Menerusi satu kenyataan, syarikat utiliti itu bagaimanapun menyatakan diskaun itu tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan. Syarikat berkenaan menjelaskan skim itu membantu perniagaan mengurangkan kos operasi dengan menawarkan diskaun 20 peratus ke atas tarif tenaga (kWj) bagi penggunaan elektrik pada waktu luar puncak iaitu dari jam 10.01 malam hingga jam 7.59 pagi. “Ia membolehkan perniagaan yang beroperasi lewat malam atau mempunyai faktor beban tinggi untuk mengoptimumkan bil elektrik bulanan. “Pelaksanaan OPTR bertujuan menggalakkan penggunaan elektrik di luar waktu puncak, meningkatkan kecekapan sistem bekalan elektrik serta membantu pengguna terutamanya sektor komersial dan industri mengurangkan kos operasi melalui kadar tarif yang lebih rendah,” katanya. Sabah Electricity menjelaskan, OPTR disasarkan kepada pengguna komersial dan industri yang mempunyai fleksibiliti operasi untuk mengalihkan penggunaan elektrik ke waktu luar puncak, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan syarikat itu. Makluman lanjut mengenai skim itu, katanya boleh didapati melalui sesawang Sabah Electricity di www.sesb.com.my. – Info X

February 8, 2026

Info X Reporters

Sabah First kekal teras dasar Kerajaan Negeri – KM

KOTA KINABALU: Prinsip ‘Sabah First’ terus menjadi teras kepada setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah sentiasa diutamakan. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menekankan perkara itu, berkata ia juga untuk memastikan hasil negeri diurus dengan bertanggungjawab dan peluang ekonomi diperluas secara adil kepada seluruh masyarakat. “Oleh itu menjadi harapan saya untuk kita semua rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama untuk bersama-sama menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya dalam ucapan pada acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu. Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun. Hajiji berkata, tahun 2026 menandakan lembaran baharu buat negeri Sabah untuk terus melangkah ke hadapan iaitu fasa baharu pembangunan setelah berakhirnya Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 (PRN17) pada November lalu. “Jika Pelan Pembangunan SMJ 1.0 adalah fasa pemulihan, penyusunan semula dan penstabilan, maka Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan yakni lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri,” katanya. Jelasnya, kejayaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 memberikan keyakinan bahawa negeri ini berada pada landasan yang tepat. Justeru, katanya Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah lanjutan yang menuntut perubahan berterusan dalam meningkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat. “Hala Tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dilaksanakan bermula tahun ini sehingga 2030. “Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai kerangka pembangunan menyeluruh yang menekankan perpaduan rakyat, kestabilan politik dan pembangunan yang inklusif serta mampan,” katanya. Mengenai acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang, Hajiji berkata ianya bukan sekadar gabungan perayaan tetapi manifestasi nilai saling menghormati, kebersamaan dan kasih sayang yang telah lama menjadi amalan hidup rakyat Sabah. “Keharmonian inilah yang menjadikan Sabah sebuah negeri yang aman, stabil dan dicontohi, di mana rakyat pelbagai etnik dan kepercayaan hidup bersama dalam suasana saling memahami,” katanya. Mengenai cubaan untuk memecahkan rekod ASEAN Yee Sang terpanjang iaitu sepanjang 1,500 meter, beliau berkata ia bukan sekadar pencapaian dari sudut angka atau ukuran fizikal tetapi membawa makna yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negeri Sabah. “Ia adalah simbol penyatuan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan, disatukan dalam satu niat dan tujuan yang sama, iaitu untuk membina dan memajukan negeri Sabah yang kita cintai bersama. “Semoga acara ini dapat memupuk semangat kerjasama serta saling membantu yang melibatkan semua pihak, sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, usahawan serta orang awam, dalam menjayakan satu usaha yang bersejarah di peringkat ASEAN. “Berteraskan semangat saling menghormati dan kepercayaan, hubungan ini menjadikan ASEAN rakan strategik penting untuk negeri Sabah dalam pelancongan, perdagangan dan pelaburan,” katanya. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

Belum sempat pecah masuk rumah, lelaki dicekup polis

TAWAU: Niat seorang lelaki untuk menceroboh sebuah rumah berakhir apabila gerak-gerinya dikesan polis sebelum sempat melakukan sebarang perbuatan dalam kejadian di Taman Rainbow, di sini, petang tadi. Suspek warga tempatan berusia 29 tahun ditahan jam 5.40 petang ketika sepasukan anggota polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya mendapati suspek berada di kawasan rumah berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum bantuan tambahan dipanggil ke lokasi. “Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tombol pintu belakang rumah berkenaan tiada dipercayai telah diumpil, selain turut menemui sebilah pemotong paip di belakang rumah. “Suspek bagaimanapun tidak sempat masuk ke dalam rumah dan mengambil barang sebelum berjaya ditahan anggota polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan. Tambahnya, polis memandang serius sebarang cubaan pecah rumah dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang cuba mengganggu ketenteraman awam. “Orang ramai juga dinasihatkan supaya segera menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan perumahan. “Selain itu, jiran-jiran diminta sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling, mengamalkan konsep kejiranan serta segera menghubungi polis sekiranya mengesan kehadiran individu tidak dikenali atau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan perumahan,” katanya. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

Lelaki terlibat kes pecah rumah, curi tabung masjid diberkas

TAWAU: Seorang lelaki dipercayai terbabit dalam kegiatan pecah rumah dan curi wang tabung surau ditahan polis selepas didapati membawa pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk melakukan jenayah itu dalam satu operasi rondaan, awal pagi tadi. Suspek warga tempatan berusia 27 tahun itu ditahan sepasukan anggota Balai Polis Tawau ketika Ops Ronda Cegah Jenayah di sekitar Taman Semarak, kira-kira jam 4.30 pagi. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan dilakukan ke atas beg galas yang dipakainya. “Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah termasuk pemotong besi, pemutar skru, besi tajam yang diubah suai, batang besi serta lampu suluh. “Siasatan awal turut mendapati suspek mengaku terlibat dalam satu kes curi duit tabung di sebuah surau yang dilaporkan Khamis lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai beberapa rekod lampau membabitkan kes berkaitan dadah serta jenayah harta benda di daerah Semporna dan Tawau. “Susulan penahanan itu, suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya. Dalam pada itu, Jasmin menegaskan polis akan terus mempergiat rondaan dan operasi pencegahan secara berterusan bagi membanteras kegiatan jenayah serta memastikan keselamatan penduduk di daerah ini sentiasa terjamin. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

Pekerja ladang hilang, dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat

KINABATANGAN: Seorang pekerja ladang dilaporkan hilang dan dikhuatiri dibaham buaya ketika memukat ikan di sungai berhampiran Ladang Kompas Tenggara Sukau, di sini, malam tadi. Mangsa, Stefanus Martin, 48, disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah sehingga kira-kira jam 8 malam selepas memaklumkan kepada rakan sekerja bahawa dia keluar memukat ikan di sungai berkenaan. Difahamkan, beberapa pekerja ladang menjalankan usaha pencarian awal di sekitar tebing sungai sejurus menyedari kehilangan mangsa, namun hanya menemukan pakaian serta pukat ikan yang dipercayai milik mangsa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada polis pada jam 1.07 tengah hari tadi. “Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 35 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). “Operasi SAR dijalankan dengan kerjasama polis, memfokuskan kawasan sungai serta persekitaran berhampiran bagi mengesan mangsa. “Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Tambahnya, perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

Hasrat bertemu isteri tidak kesampaian, lelaki maut kemalangan

PAPAR: Perjalanan seorang lelaki berakhir tragedi apabila motosikal yang ditungganginya dipercayai terbabas ke dalam parit sebelum dia disahkan maut di lokasi kejadian di Jalan Limbahau, di sini, pagi tadi. Lebih memilukan, mangsa berusia 54 tahun itu difahamkan sedang dalam perjalanan dari Beluran untuk bertemu isterinya di Labuan. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam, kira-kira jam 7 pagi, sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan awal. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan lelaki tempatan dipercayai hilang kawalan sebelum motosikalnya terbabas sendiri ketika melalui laluan berkenaan. “Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, siasatan awal turut mendapati mangsa difahamkan sedang dalam perjalanan dari Beluran menuju ke Labuan untuk bertemu isterinya ketika kejadian berlaku. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pemeriksaan teknikal di lokasi, penyediaan lakaran rajah kemalangan serta rakaman percakapan saksi bebas. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor El Najeeb Abdul Rahman di talian 016-8813880 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Papar,” katanya. Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju ditetapkan serta memastikan pemakaian topi keledar dengan sempurna bagi mengurangkan risiko kecederaan serius. “Kerjasama orang ramai dalam membantu siasatan amat dihargai,” katanya. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

Operasi bersepadu ESSCOM, 14 ditahan di Sandakan

SANDAKAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menggempur beberapa lokasi di daerah ini menerusi operasi bersepadu yang membawa kepada penahanan 14 individu, membabitkan kes pendatang asing tanpa izin (PATI), narkotik serta pelbagai kesalahan lain, pada Khamis. Operasi bersepadu itu dilaksanakan di sekitar kawasan bandar Sandakan termasuk penempatan koloni setinggan, pinggir bandar dan kampung, selain pemantauan laluan kritikal yang dikenal pasti sering digunakan bagi aktiviti penyeludupan berhampiran sempadan daratan dan perairan. Komander ESSCOM, Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi berkenaan bertujuan menjamin keselamatan dan memelihara ketenteraman awam di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE), selain mengekang penyusupan PATI serta ancaman jenayah rentas sempadan. “Hasil operasi menyaksikan 13 lelaki dan wanita dewasa diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan untuk tindakan mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. “Manakala seorang lelaki diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, IPD Sandakan selepas didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta jabatan dan agensi Persekutuan, Negeri dan pihak berkuasa tempatan. “Dalam operasi sama, Sabah Electricity melaksanakan pemotongan sambungan elektrik haram di beberapa lokasi sekitar daerah ini, membabitkan kerugian dianggarkan RM310,000 mengikut Seksyen 61B Enakmen Bekalan Elektrik 2024. “Jabatan Air Sabah (JAS) Sandakan mengesan beberapa kes sambungan paip air secara haram dengan kerugian dianggarkan RM27,215 di bawah Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sandakan mengeluarkan 137 saman trafik (POL 257) atas pelbagai kesalahan lalu lintas. “Dalam operasi sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas barang kawalan dan bersubsidi bernilai RM5,316.46 serta mengeluarkan lima kompaun berjumlah RM1,200. “Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) pula merampas peralatan perniagaan tanpa lesen bernilai RM500 selain rokok tidak bercukai dianggarkan RM5,898 di sekitar kawasan pasar untuk tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, Victor berkata ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu selaras prinsip ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’, selain menyeru orang ramai menyalurkan maklumat keselamatan kepada Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072. – Info X

February 7, 2026

Info X Reporters

3 lelaki diberkas, ketum 25kg dan syabu dirampas di Lahad Datu

LAHAD DATU: Polis menahan tiga lelaki dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini, semalam, susulan rampasan serbuk disyaki ketum seberat 25 kilogram dan dadah jenis syabu seberat 18.84 gram. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan polis. Menurutnya, tindakan itu bertujuan membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini. “Dalam operasi pertama, polis menahan dua lelaki dalam satu operasi khas di Jalan Reno Fajar, jam 11.10 pagi, selepas menahan sebuah Perodua Myvi di hadapan sebuah premis perkhidmatan kurier hasil maklumat risikan. “Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui satu karung guni mengandungi 25 paket plastik lutsinar disyaki berisi serbuk ketum dengan anggaran berat keseluruhan 25,000 gram, bernilai kira-kira RM2,125. “Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, dalam operasi kedua pula, polis menahan seorang lelaki tempatan dan merampas syabu seberat 18.84 gram dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Cempaka, kira-kira jam 4 petang, pada hari sama. “Hasil pemeriksaan menemui lima paket plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu bagi siasatan lanjut,” katanya. – Info X