January 27, 2026
Info X Reporters
APM selamatkan wanita cedera jatuh lubang di Sandakan
SANDAKAN: Seorang wanita cedera selepas terjatuh ke dalam lubang saliran parit berhampiran Wisma Persekutuan Sandakan, di sini, sebelum diselamatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pagi tadi. Kejadian itu berlaku di kawasan berhampiran Jabatan Kebajikan, sekali gus menarik perhatian orang awam yang berada di lokasi sebelum bantuan kecemasan diminta. Menurut APM Daerah Sandakan, pasukan penyelamat digerakkan sebaik menerima maklumat sebelum bertindak menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa dari dalam lubang berkenaan. “Mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh singkat dan diberikan rawatan awal di lokasi kejadian,” menurut kenyataan APM, hari ini. Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun mengalami kesakitan di bahagian belakang badan serta kecederaan pada buku lali kanan. Susulan itu, mangsa dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Info X
January 27, 2026
Info X Reporters
Lebih setengah juta pengguna dapat manfaat rebat elektrik
KOTA KINABALU: Lebih setengah juta pengguna elektrik di Sabah dan Labuan menerima manfaat menerusi pemberian rebat 2.5 peratus yang dilaksanakan Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity). Syarikat utiliti itu pada Selasa mengumumkan pemberian rebat elektrik sebanyak 2.5 peratus kepada pengguna yang layak sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat serta memastikan kebajikan pengguna terus terpelihara. Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata pemberian rebat itu memberi manfaat kepada seramai 661,774 pelanggan, membabitkan pemulangan rebat keseluruhan berjumlah RM10.4 juta. Rebat itu katanya akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna berdaftar secara berperingkat bermula pada Januari 2026. “Rebat ini diberikan kepada pengguna di bawah Electricity Supply Enactment 2024, Licensee Supply Regulations 2024 Regulation (5) (1) yang mana menyatakan pihak Sabah Electricity dikehendaki membuat pembayaran faedah 2.5 peratus ke atas deposit tunai pada bulan Januari setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Inisiatif itu, katanya mencerminkan komitmen Sabah Electricity untuk mengimbangi keperluan kemampanan kewangan syarikat dengan kepentingan pengguna, khususnya dalam suasana ekonomi semasa. Sementara itu, beliau berkata wang cagaran yang dikenakan kepada pengguna dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik, berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan. “Penambahan wang cagaran akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan berbanding wang cagaran sedia ada. “Bagaimanapun, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat ke atas bil elektrik mereka,” katanya. Katanya, Sabah Electricity turut menggalakkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah dan memanfaatkan kemudahan pemantauan penggunaan elektrik melalui portal serta aplikasi rasmi syarikat bagi membantu pengurusan perbelanjaan elektrik dengan lebih berkesan. Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut dengan mengunjungi pejabat Sabah Electricity berdekatan atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan 15444 atau 088-515000. Selain itu katanya, pengguna juga boleh memuat turun aplikasi Sabah Electricity melalui telefon pintar untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan Sabah Electricity. – Info X
January 27, 2026
Info X Reporters
32 tong gas LPG diniaga tanpa lesen dirampas KPDN
LABUAN: Taktik menyimpan dan mengurus niaga Gas Petroleum Cecair (LPG) tanpa kebenaran akhirnya terbongkar apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas 32 tong gas bernilai RM4,399 dalam serbuan di pinggir bandar Labuan, Isnin lalu. Serbuan kira-kira jam 10 pagi itu diketuai Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri (KPPN) KPDN Labuan, Amiluddin Malang, hasil intipan dan risikan rapi Unit Perisikan KPDN selepas mengesan pergerakan keluar masuk gas secara mencurigakan di premis tidak berdaftar berkenaan. Menurut Amiluddin, sebaik pemeriksaan dijalankan, pasukan penguat kuasa menemukan puluhan tong GPC berisi dalam pelbagai saiz disusun dan disimpan tanpa sebarang kebenaran sah. “Pemilik premis gagal mengemukakan lesen, permit atau kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan, sekali gus menimbulkan syak wujudnya pelanggaran serius melibatkan barang kawalan berjadual, termasuk barangan bersubsidi. “Semua 32 tong gas berkenaan terus disita bagi tujuan siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122), dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM4,399.80,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Amiluddin menegaskan, jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh berdepan denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala syarikat pula boleh dikenakan hukuman lebih berat. Dalam pada itu, beliau berkata KPDN memberi amaran keras bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atas barangan kawalan bersubsidi demi keuntungan peribadi. “Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan bekalan yang menjejaskan kepentingan pengguna serta rakyat,” katanya. – Info X
January 27, 2026
Info X Reporters
3 kampung dalam kawasan OBP terbahagi dua, sebahagian kecil masuk Malaysia
KOTA KINABALU: Tiga kampung yang sebelum ini dilaporkan menjadi milik Malaysia setelah selesai rundingan isu sempadan dengan Indonesia sebenarnya berada di kawasan sempadan yang menjadi pertikaian atau Outstanding Boundary Problem (OBP) membabitkan kedua-dua negara. Memetik laporan sebuah portal berpangkalan di Kalimantan, Indonesia, Niaga.Asia, tiga kampung terbabit iaitu Kabungalor, Lepaga dan Tetagas sebahagian besarnya masih berada dalam Kabupaten Nunukan, wilayah Kalimantan Utara, Indonesia, manakala hanya sebahagian kecil menjadi milik Malaysia. Difahamkan, ketiga-tiga kampung berkenaan yang berada di Kecamatan Lumbis Ulu, Kabupaten Nunukan, bersempadan dengan Pensiangan, Nabawan di pedalaman Sabah. Portal di wilayah jiran itu menyebut bahawa Indonesia-Malaysia mencapai kata sepakat bahawa daripada 5,900 hektar luas Kampung Kabungalor, Lepaga dan Tetagas di Kecamatan Lumbis Ulu itu, seluas 5,207.8 hektar atau 86.81 peratus masuk dalam wilayah Indonesia, manakala bakinya seluas 778.5 hektar atau 13.19 peratus masuk ke negara Malaysia. Menurut portal berkenaan, dengan tercapainya kesepakatan itu, Pemerintah Indonesia memutuskan dan menetapkan bahawa perbahasan mengenai OBP Segmen Sinapad, Sungai Sesai, B2700-B3100, OBP Sungai Simantipal dan OBP Sebatik dengan Malaysia sejak bertahun lamanya sudah selesai. Perkara itu, kata portal berkenaan dijelaskan Bupati Nunukan, Irwan Sabri setelah bertemu dan mendapatkan penjelasan dari Setiausaha Badan Nasional Pengelola Perbatasan (BNPP) Indonesia, Makhruzi Rahman, di Jakarta. Sebelum ini ada pihak beranggapan tiga kampung berkenaan menjadi milik Malaysia, manakala 5,207 hektar yang menjadi milik Indonesia dikatakan diserahkan kepada negara itu sebagai ganti kawasan yang berpindah milik kepada Malaysia. Kenyataan Makhruzi sebelum ini yang dipetik menerusi laporan agensi berita antarabangsa menimbulkan pelbagai reaksi termasuk mendapat maklum balas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar kepada Indonesia. – Info X
January 27, 2026
Info X Reporters
Naim ambil alih kerusi arwah Bung Moktar di Dewan Rakyat
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan yang baharu, Mohd Kurniawan Naim Moktar kini sah sebagai ahli Dewan Rakyat setelah mengangkat sumpah pada Selasa. Anak bekas Ahli Parlimen Kinabatangan, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin itu hadir ke Parlimen di Kuala Lumpur buat julung kali menggantikan tempat bapanya setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lalu. Pada PRK itu, Naim menang dengan majoriti 14,214 undi setelah memperolehi 19,852 undi berbanding pencabar terdekatnya, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) yang memperolehi 5,638 undi dan Goldam Hamid (Bebas) dengan 946 undi. PRK Kinabatangan diadakan serentak dengan PRK DUN Lamag yang turut menyaksikan calon BN, Mohd Ismail Ayob atau Miha memenangi kerusi berkenaan. Miha menang dengan majoriti 5,681 undi setelah mendapat 7,269 undi berbanding lawannya, Mazliwati Abdul Malek (Warisan) yang memperolehi 1,588 undi. PRK di kedua-dua kerusi itu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. Bekas Ketua UMNO Sabah itu sebelum ini mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selama enam penggal, manakala penggal kedua di DUN Lamag menerusi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) pada 29 November lalu. Berikutan pemergian Bung Moktar, kedua-dua kerusi diisytihar kosong sebelum PRK diadakan dan anak Allahyarham dinamakan sebagai calon di kerusi Parlimen Kinabatangan, manakala Miha yang juga bekas calon Bebas di kerusi DUN Lamag pada PRN17 dicalonkan mewakili BN di kerusi DUN berkenaan. – Info X
January 26, 2026
Info X Reporters
Hajiji ucap tahniah kejayaan atlet para Sabah rangkul 10 emas di Thailand
KOTA KINABALU: Atlet para Sabah menyumbang 10 pingat emas, 15 perak dan 15 gangsa kepada kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Ke-13 di Nakhon Ratchasima, Thailand, yang bermula 21 Januari hingga hari ini. Berikutan kejayaan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merakamkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili kontinjen Malaysia pada temasya itu. “Pencapaian itu membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di pentas antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin. Kunjungan itu diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. Turut hadir pada kunjungan itu ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mohd Asneh Mohd Noor dan Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin. Pada temasya para serantau itu, atlet Sabah berjaya meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam acara olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa bagi acara renang; satu gangsa dalam acara powerlifting; dua gangsa bagi acara ping pong; serta masing-masing satu perak dan satu gangsa dalam acara lawn bowls (Demo Sukan). Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi acara renang dan olahraga. Atlet para olahraga Sabah, Wong Kar Gee pula merangkul emas acara lompat jauh lelaki T12, sekali gus mencipta rekod baharu APG dengan lompatan sejauh 6.83 meter. Pada kunjungan hormat itu, Nizam turut menyampaikan jemputan rasmi dan memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026 yang akan diadakan pada 6 Februari depan. Majlis berprestij yang diadakan setiap dua tahun sekali itu dijadualkan berlangsung di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini. Nizam berkata, sebanyak 16 kategori anugerah akan disampaikan pada majlis berkenaan bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet Sabah yang mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah. Ends
January 26, 2026
Info X Reporters
Lelaki mengamuk dicekup polis, rupanya suspek dikehendaki kes tipu
TAWAU: Tindakan pantas polis berjaya menamatkan kekecohan apabila seorang lelaki tempatan yang bertindak mengamuk serta mengancam penduduk kampung ditahan dalam kejadian di Kampung Hidayat, Batu 4, Jalan Apas, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, suspek dilaporkan bertindak agresif sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk setempat. Situasi berkenaan bagaimanapun berjaya dikawal selepas anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC). Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil operasi pantas dengan bantuan dua lagi kenderaan MPV, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun. “Semakan lanjut melalui sistem Mobile Card Acceptance Device (MCAD) mendapati suspek adalah individu dikehendaki polis berkaitan kes tipu yang dilaporkan di Putatan, Kota Kinabalu, tahun lalu. “Pemeriksaan ke atas suspek turut menemukan beberapa barangan berbahaya dipercayai digunakan ketika kejadian termasuk pemutar skru, bilah pisau pemotong kertas, bilah gunting serta sebatang besi, yang kesemuanya dirampas bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, suspek bersama barang rampasan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah. “Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan kes tipu yang dikaitkan dengan suspek. “Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan individu agresif atau mencurigakan, sebaliknya segera menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan pantas diambil demi keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya. – Info X
January 26, 2026
Info X Reporters
Tumpu pengeluaran padi, ternakan tingkatkan keterjaminan makanan di Sabah – Jamawi
KOTA KINABALU: Pengeluaran padi dan beras, selain ternakan dan sayuran diberi tumpuan dalam usaha meningkatkan penghasilan bahan makanan tempatan di negeri ini. Perkara itu ditekankan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) ke arah memperkukuh keterjaminan makanan dan tahap sara diri di Sabah. Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata peningkatan pengeluaran tempatan perlu bagi mengurangkan kebergantungan import bahan makanan secara berperingkat. Katanya, ia adalah langkah strategik yang akan dilaksanakan bermula pada tahun ini menerusi beberapa pendekatan yang dikenal pasti mampu meningkatkan hasil pertanian di negeri ini. “Kementerian akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan seperti lembu dan ayam, selain sayur-sayuran serta perikanan bagi menjamin kestabilan harga, kesinambungan bekalan dan kebajikan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini, pada Isnin. Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengurus Besar LIGS selaku pengerusi penganjur Majlis Amanat, Sabdil Tanjong. Jamawi turut menegaskan keperluan meningkatkan produktiviti serta memodenkan sektor pertanian dan perikanan dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional. Katanya, Kerajaan Negeri meletakkan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai tonggak strategik pembangunan negeri, bukan saja bagi menjamin keselamatan makanan, malah memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar. “Segala perancangan dan pelaksanaan kementerian mesti selari dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dan diperkukuh melalui kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya. Jelasnya, peralihan kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi, amalan pertanian berketepatan tinggi serta pemanfaatan data, teknologi dan inovasi perlu dipercepatkan melalui kerjasama strategik dengan universiti serta institusi penyelidikan. Mengulas penglibatan belia, beliau berkata, masa depan sektor pertanian dan perikanan Sabah amat bergantung kepada golongan muda dan sektor itu perlu diposisikan sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah serta menguntungkan. “Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan agropreneur belia, memperkasa perniagaan dan koperasi baharu serta menambah baik akses kepada tanah, pembiayaan dan sokongan teknikal,” katanya. Dalam masa sama, katanya pemerkasaan petani, nelayan dan komuniti luar bandar kekal sebagai fokus utama bagi meningkatkan pendapatan golongan sasar serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah. Jamawi turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, sistem penyampaian yang cekap serta tahap integriti yang tinggi dengan toleransi sifar terhadap ketirisan dan ketidakcekapan. Beliau berharap semua pegawai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat negeri serta persekutuan bersikap proaktif, turun ke lapangan dan bertanggungjawab menyelesaikan isu rakyat secara tuntas. Bagi memastikan semua inisiatif mencapai sasaran, Jamawi berkata, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas akan dilaksanakan di peringkat jabatan, agensi dan ketua program, disertai pemantauan serta pelaporan berkala. Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, MAFFI akan melancarkan Inisiatif Kebun Dapur secara berstruktur di seluruh Sabah bagi menggalakkan isi rumah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengusahakan tanaman, ternakan kecil serta perikanan skala kecil. Inisiatif itu, katanya, mampu menjadi pemangkin kepada keterjaminan makanan, pengurangan kos sara hidup serta pembudayaan sikap berdikari dalam kalangan masyarakat akar umbi. Beliau berkata, Inisiatif Jelajah Kebun Dapur pertama akan dilancarkan di daerah Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri bulan depan, selain dilaksanakan menggunakan pendekatan mentor-mentee bagi menarik minat generasi muda. – Info X