Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 20, 2026

Info X Reporters

Ujian Matriks Pembelajaran bagi pelajar darjah 4 bermula tahun ini – PM

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelaksanaan Ujian Matriks Pembelajaran melibatkan penilaian darjah empat yang akan bermula tahun ini. Beliau berkata, penilaian berkenaan merangkumi empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, dan akan dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. “Mulai tahun ini, ujian penilaian darjah empat akan dilaksanakan bagi menilai tahap penguasaan pembelajaran murid,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) dan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 di Putrajaya, hari ini. Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut memaklumkan bahawa Pengukuran Pembelajaran Tingkatan Tiga bagi lima mata pelajaran utama, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah akan dilaksanakan bermula 2027. Menurut beliau, kedua-dua pengukuran berkenaan akan ditadbir secara berpusat oleh Lembaga Peperiksaan, dan dikenali sebagai Matriks Pembelajaran Malaysia. – Info X

January 20, 2026

Info X Reporters

Prasekolah mula usia 5 tahun, darjah satu di usia 6 tahun bermula 2027 – PM

KOTA KINABALU: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan struktur baharu pendidikan awal kanak-kanak apabila pendidikan prasekolah akan dimulakan pada usia lima tahun, manakala kemasukan ke darjah satu pada usia enam tahun bermula tahun depan. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan perubahan bagaimanapun buat masa ini tidak diwajibkan kepada ibu bapa bagi memberi ruang penyesuaian kepada semua pihak, khususnya warga pendidik dan institusi pendidikan. Menurut beliau, tempoh peralihan itu penting bagi memastikan ekosistem pendidikan negara bersedia sepenuhnya sebelum dasar berkenaan dilaksanakan secara menyeluruh. “Maknanya mulai tahun depan, (biarpun) kita belum bersedia mewajibkan kerana mungkin ada ibu bapa yang rasa anak-anaknya belum bersedia, (maka) kita tetapkan masih boleh masuk Tahun Satu (pada usia) tujuh tahun. “Tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia daripada sekarang, supaya anak-anak umur lima tahun masuk prasekolah. Prasekolah sekarang ini kita beri tumpuan, seluruh sistem prasekolah itu kita sudah minta Kementerian Pendidikan (KPM) ambil alih dan selaraskan,” katanya berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 di Putrajaya, hari ini. Yang turut sama hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta beberapa menteri Kabinet lain. Anwar berkata, persiapan segera perlu dilakukan KPM dalam menerima perubahan kepada sistem baru pendidikan negara. “Sebab itu saya arah mulai sekarang hal yang diumumkan itu (memerlukan) tindakan cepat dan segera oleh kementerian dan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi untuk pastikan kemudahan asas itu ditambah. “Kalau tanya unjuran KPM semua 2029, 2030. Jadi saya kata bagus, cuma kerana saya yakin dengan keupayaan kedua-dua kementerian ini, semua kita akan percepatkan. Semua ‘fast track’ kerana negara ini mampu menjadi negara yang berjaya,” katanya. – Info X

January 20, 2026

Info X Reporters

Kerajaan negeri, ConocoPhilips kukuhkan kerjasama sektor minyak dan gas

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, menegaskan kepentingan kerjasama berterusan di antara kerajaan dan pemain industri tenaga bagi memastikan sektor itu terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata ia juga bagi memastikan sektor berkenaan dapat terus mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sabah. “Kerjasama berterusan di antara kerajaan dan pemain industri tenaga ini penting bagi memastikan sektor itu terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan memberi manfaat berterusan kepada rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menerima kunjungan hormat delegasi syarikat tenaga multinasional dari Amerika Syarikat (AS), ConocoPhillips, di pejabatnya, pada Isnin. Kunjungan hormat diketuai Presiden ConocoPhillips Malaysia, Connor Dunn itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan membincangkan perkembangan semasa serta potensi kerjasama strategik dalam sektor minyak dan gas, khususnya melibatkan operasi serta pelaburan ConocoPhillips di Sabah. Dalam pertemuan itu, Masidi diberi taklimat mengenai hala tuju dan perancangan syarikat, termasuk aspek keselamatan operasi, pematuhan peraturan, kelestarian alam sekitar dan komitmen ConocoPhillips terhadap pembangunan industri tenaga yang mampan. Masidi berkata, kunjungan hormat itu mencerminkan hubungan baik yang terjalin di antara Kerajaan Negeri dan ConocoPhillips serta komitmen bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik demi pembangunan sektor tenaga yang berdaya saing dan mampan. Turut hadir Naib Presiden Hal-ehwal Kerajaan dan Kejuruteraan Pembangunan ConocoPhillips Malaysia, Ian Lim; Ketua Pegawai Eksekutif SMJ Energy, Datuk Dr Dionysia Kibat; Pengarah Eksekutif Upstream SMJ Energy, Datuk Albert Lo dan Pengarah Eksekutif OGSE dan Korporat SMJ Energy, Terry Biusing. – Info X

January 20, 2026

Info X Reporters

Jadikan titah Agong pedoman urus isu MA63

KOTA KINABALU: Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan pedoman bersama dalam mengurus isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sering dibahaskan secara terbuka. Pemangku Ketua Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata perbincangan mengenai isu itu memerlukan kebijaksanaan semua pihak demi kepentingan bersama. Katanya, penegasan baginda agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama eratdi antara Sabah, Sarawak dan Kerajaan Persekutuan adalah peringatan yang amat tepat pada masanya. “Malaysia tidak dibina atas perbezaan pandangan yang memisahkan, sebaliknya atas semangat perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama. “Sebagai anak muda Sabah, kami menuntut hak bukan untuk memecah-belahkan tetapi untuk memperkukuh Persekutuan. “Justeru, usaha menuntut danmenunaikan hak Sabah di bawah MA63, khususnya berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah, terus diperkasakan melalui komitmen berterusan Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Beliau berkata, pendekatan berunding, berfakta dan berlandaskan perlembagaan membuahkan kemajuan yang signifikan apabila beberapa tuntutan MA63 berjaya direalisasikan, manakala usaha melengkapkan tuntutan lain sedang diteruskan secara berperingkat dan penuh kesepakatan. Katanya, ia membuktikan bahawa ketegasan tidak memerlukan retorika dan keberanian tidak menuntut hasutan. Dalam masa yang sama, katanya titah baginda agar hak-hak negeri dihormati tanpa mengabaikan kepentingan Malaysia secara keseluruhan perlu difahami secara seimbang dan matang. “Memperjuangkan hak Sabah bukan bermakna menafikan semangat Persekutuan, sebaliknya pembangunan Sabah yang adil dan bermaruah akan memperkukuh kemajuan, kestabilan dan perpaduan negara. “Pemuda khususnya harus menolak politik yang memperbesarkan perbezaan pandangan dan menggantikannya dengan politik solusi yang berasaskan kebijaksanaan, integriti dan rasa tanggungjawab. “Seperti yang dititahkan olehSeri Paduka Baginda, setiap keputusan politik hari ini bukan sekadar pendirian parti tetapi penentu masa depan negara,” katanya. Pada Isnin, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam titahnya menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Baginda bertitah demikain pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 (2026) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. – Info X

January 19, 2026

Info X Reporters

Dua maut nahas motosikal dan van

KOTA KINABALU: Perjalanan malam bertukar tragedi apabila dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, di sini, malam ini. Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Vario disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah van jenis Kia. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati van berkenaan bergerak dari arah Kampung Numbak menuju ke One Borneo. Bagaimanapun katanya, sebaik tiba di lokasi, kedua-dua kenderaan bertembung selepas motosikal jenis Honda Vario 125 dipercayai memasuki laluan bertentangan. “Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. “Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II (HQEII),” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pemandu van dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. “Pemeriksaan awal mendapati van mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala motosikal mengalami kerosakan teruk. “Tiada pihak yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun sampel darah akan diambil untuk analisis toksikologi,” katanya. Syed Lot berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222,” katanya. – Info X

January 19, 2026

Info X Reporters

Bot lampu ditahan, musnahkan ekosistem marin

KOTA KINABALU: Sebuah bot lampu ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan lampu di dasar laut yang boleh memusnahkan ekosistem marin, dalam rondaan penguatkuasaan di perairan timur Tanjung Melanim, di sini, semalam. Bot berkenaan ditahan kira-kira 0.5 batu nautika timur Tanjung Melanim selepas dikesan melakukan aktiviti menyalahi undang-undang dan berpotensi menjejaskan keseimbangan hidupan laut. Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, penggunaan lampu di dasar laut adalah kaedah penangkapan yang dilarang kerana mampu menarik hidupan marin secara tidak terkawal. “Pemeriksaan lanjut mendapati dokumen pengenalan diri kru vesel adalah meragukan selain kegagalan mengemukakan dokumen pertukaran juragan yang sah. “Hasil pemeriksaan mendapati dua kru warga Filipina berusia 54 dan 19 tahun berada di atas vesel terbabit. Semua kru bersama bot lampu itu ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti perikanan yang menggunakan lampu di dasar laut kerana ia memberi kesan buruk kepada sumber perikanan negara dan usaha pemuliharaan yang sedang dilaksanakan kerajaan. “Jika dibiarkan, kegiatan ini bukan sahaja merugikan nelayan yang mematuhi undang-undang, malah mengancam kelangsungan sumber laut dan sumber rezeki generasi akan datang,” katanya. Beliau turut mengingatkan semua nelayan dan kru vesel supaya mematuhi undang-undang perikanan serta mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang lestari. “Tindakan tegas termasuk penahanan vesel dan tindakan kompaun akan diambil terhadap mana-mana pihak yang disabitkan kesalahan. “Orang ramai dan komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat aktiviti mencurigakan di perairan kepada Pusat Operasi Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau 999,” katanya. – Info X

January 19, 2026

Info X Reporters

Titah Agong berkaitan MA63 jadi peringatan yang amat bermakna – Mustapha

KOTA KINABALU: Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan asas pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi peringatan yang amat bermakna bahawa negara ini dibina atas semangat perpaduan, hormat-menghormati serta kerjasama erat di antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berkata titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 (2026) di Kuala Lumpur pada Isnin itu membawa makna dan mesej yang sangat penting dalam usaha memelihara hubungan yang kukuh antara ketiga-tiga wilayah. Sambil merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas titah baginda Sultan Ibrahim, Mustapha berkata beliau menyambut baik seruan agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia dan peringatan supaya semua pihak berhati-hati dan tidak menghasut sehingga mewujudkan ketegangan antara wilayah. “Sebarang perbezaan pandangan wajar diselesaikan secara matang, berhemah dan berlandaskan semangat kebersamaan, bukan melalui kebencian atau syak wasangka,” katanya dalam satu kenyataan selepas selesai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada Isnin. Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata sejajar dengan pendekatan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk melaksanakan MA63 secara berperingkat, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dengan mengutamakan prinsip keadilan, ketelusan serta hasil yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Jelasnya, usaha berterusan itu merangkumi penambahbaikan kerangka perundangan dan perlembagaan, penurunan kuasa pentadbiran yang munasabah serta pengukuhan kerjasama strategik di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta Sarawak melalui mekanisme rundingan yang konstruktif dan berterusan. Beliau berkata, dalam konteks pembinaan negara bangsa dan memperkukuh perpaduan nasional, Pelan Pendidikan Negara yang bakal diluncurkan diharap dapat memberi penekanan yang lebih jelas terhadap Sejarah Pembentukan Malaysia, termasuk semangat dan makna MA63, agar difahami secara menyeluruh oleh generasi muda. Pada masa yang sama, katanya peranan Bahasa Melayu sebagai teras perpaduan dan keharmonian dalam kerangka Malaysia MADANI wajar terus diangkat dan diperkasakan, seiring dengan usaha memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris serta bahasa utama lain serta melindungi bahasa-bahasa etnik bagi melahirkan rakyat yang bersatu padu, berdaya saing dan mampu berinteraksi di peringkat global. “Saya ingin menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 bukan sekadar memenuhi tuntutan perjanjian, tetapi merupakan ‘AGENDA NASIONAL MASA HADAPAN NEGARA’ bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang, pengurusan sumber yang berkesan serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih responsif dan berintegriti. “Menjunjung titah Seri Paduka Baginda, Kerajaan MADANI akan terus memastikan semangat MA63 diterjemahkan melalui tindakan yang konkrit dan berpaksikan kepentingan rakyat, demi memperkukuh perpaduan Persekutuan serta menjamin kestabilan dan kemakmuran Malaysia secara menyeluruh,” katanya. – Info X

January 19, 2026

Info X Reporters

Selesai isu sekolah daif – James Ratib

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah memberi keutamaan terhadap usaha menyelesaikan isu sekolah daif yang masih berlaku di negeri ini. Menterinya, Datuk James Ratib, berkata masalah itu yang kebanyakannya dialami sekolah luar bandar perlu diselesaikan demi keselamatan dan keselesaan murid serta guru. Selain itu, katanya sekolah terbabit memerlukan perhatian segera demi kelangsungan proses pembelajaran murid dan kesejahteraan warga pendidik. Tegasnya, sekolah daif bukan sekadar isu bangunan, sebaliknya turut membabitkan isu maruah pendidikan, keselamatan murid dan guru serta keadilan sosial. “Kita komited untuk menjadi suara tegas di peringkat negeri dan Persekutuan selain menyediakan data yang tepat dan terkini. “Selain itu, kita juga akan memastikan setiap projek pembaikan dan pembinaan dilaksanakan dengan berintegriti, telus dan berimpak tinggi. “Saya ingin menegaskan komitmen saya untuk terus memperjuangkan dan membangunkan sekolah-sekolah daif berskala enam dan tujuh di seluruh Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Menteri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, baru-baru ini. James berkata, pihaknya akan memastikan isu itu ditangani secara konsisten di peringkat negeri dan Persekutuan. “Ini termasuk menanganinya berpandukan data yang tepat dan pelaksanaan projek yang berfokus, berintegriti serta berimpak tinggi demi menjamin hak pendidikan yang selamat dan bermaruah untuk setiap anak Sabah,” katanya. Setakat ini, katanya kira-kira 300 sekolah di Sabah dikategorikan sebagai daif. Uaha menaik taraf sekolah terbabit, katanya disasar dilaksanakan pada tahun ini. – Info X