Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 7, 2026

BERNAMA

Para SUKMA: Sabah kuasai para olahraga, tiga rekod kebangsaan tercipta

SHAH ALAM: Kontinjen Sabah terus mendominasi saingan para olahraga Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) Selangor 2026 selepas meraih 14 pingat emas di Stadium UiTM Shah Alam di sini, pada Isnin. Antara penyumbang emas ialah Eljoe Gotuoh yang mengungguli acara lompat kijang T20 lelaki (kecacatan intelektual) dengan lompatan sejauh 13.95 meter (m), manakala Hazmi Bistani menjuarai rejam lembing F12 lelaki (kecacatan fizikal) menerusi catatan 30.24m. Connie Zeno pula muncul juara lontar peluru F40 wanita (kecacatan fizikal) selepas melakukan lontaran sejauh 4.18m, manakala Paijol Benhar menyumbang emas dalam lompat jauh T46/T47 lelaki (kecacatan fizikal) dengan lompatan 5.90m. Doriah Poulus turut menambah koleksi emas Sabah selepas mengungguli lontar peluru F44/F64 wanita menerusi catatan 8.92m. Sabah turut menguasai acara 400m T20 apabila Nurul Sahada Hawani Abdullah memenangi kategori wanita dengan catatan satu minit 2.54 saat (s), manakala Renoddry Remey menjuarai kategori lelaki dalam 49.48s. Dalam pada itu, Muhammad Hafiq Hizwan dari Melaka mencipta rekod kebangsaan dalam acara 400m T46 lelaki (kecacatan fizikal) selepas mencatat 54.07s untuk meraih emas. Saingan para olahraga diteruskan dengan pelaksanaan langkah pencegahan dan pemantauan susulan keadaan jerebu, termasuk mengehadkan tempoh setiap sesi pertandingan kepada maksimum dua jam. Sementara itu, di Akuatik Selangor, perenang cilik tuan rumah Alysha Aryana Mohd Khairul Azli mencuri tumpuan apabila memperbaharui rekod kebangsaan pada penampilan sulungnya di temasya berkenaan. Perenang berusia 12 tahun itu memenangi acara 100m gaya bebas wanita S14 (kecacatan intelektual) dengan catatan 1:04.84s, mengatasi rekod kebangsaan miliknya sendiri, 1:07.34s, yang dicipta pada Kejohanan Sirkit MSNM Para Siri 2/2026. Di Pusat Dagangan Antarabangsa Selangor (SITC), atlet para powerlifting Sarawak Bibiana Ahmad turut mencipta rekod kebangsaan baharu selepas melakukan angkatan terbaik 86 kilogram (kg) untuk memenangi emas kategori lightweight bawah 61kg wanita. Angkatan itu mengatasi rekod kebangsaan 85kg miliknya sendiri, dengan kejayaan berkenaan lebih bermakna selepas atlet berusia 38 tahun itu hampir tidak menjamah makanan selama dua hari bagi memastikan berat badannya menepati had kategori pertandingan. Pada hari ketiga temasya, Sabah mendahului carta pingat dengan 26 emas, 15 perak dan 15 gangsa, diikuti Selangor di kedudukan kedua dengan 19 emas, 14 perak dan 16 gangsa, manakala Sarawak ketiga dengan 15 emas, 12 perak dan 16 gangsa.– BERNAMA

September 7, 2026

BERNAMA

989 pelajar di Labuan berdepan masalah kehadiran, pengangkutan antara isu utama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 989 pelajar daripada 25 sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan dikenal pasti berdepan masalah kehadiran ke sekolah dengan isu pengangkutan antara faktor utama yang direkodkan. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata sebagai permulaan, sebanyak 437 pelajar di enam sekolah akan dibantu melalui Kemudahan Pengangkutan Pelajar ke Sekolah di Wilayah Persekutuan Labuan. Beliau berkata inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Perbadanan Labuan dengan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, pihak sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak industri menerusi Persatuan Pengusaha Bas Mini Labuan. Hannah berkata kerjasama berkenaan bertujuan memastikan masalah pengangkutan tidak terus menjadi penghalang kepada pelajar untuk hadir ke sekolah. “Ada anak yang mahu ke sekolah. Yang menghalang bukan cita-cita tetapi perjalanan untuk sampai ke tempat mereka membina masa depan. “Masa depan mereka tidak sepatutnya tersekat hanya kerana sukar untuk sampai ke sekolah,” katanya menerusi hantaran Facebook. — BERNAMA

September 7, 2026

Info X Reporters

Berebut penumpang, dua pekerja bas bertumbuk

KOTA KINABALU: Perselisihan faham berkaitan urusan mendapatkan penumpang dipercayai menjadi punca dua pekerja syarikat bas bertumbuk di Terminal Bas Inanam, di sini. Kejadian jam 11.54 pagi Jumaat lalu itu membabitkan dua lelaki berusia 38 dan 37 tahun yang bertumbuk menggunakan tangan tanpa sebarang senjata. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada hari sama. “Pemeriksaan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. “Susulan laporan diterima, polis menahan kedua-duanya kira-kira 2.30 petang kelmarin bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar. Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan menyelesaikan sebarang perselisihan melalui saluran sewajarnya. Katanya, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 29 saat di media sosial yang memaparkan pergaduhan dua lelaki di Terminal Bas Inanam. – Info X

September 7, 2026

Info X Reporters

Isteri mahu cerai, suami ugut dengan parang

TAWAU: Hasrat seorang wanita mahu bercerai dipercayai menjadi punca dia diugut suaminya menggunakan parang di kawasan pusat pemeriksaan Kilometer 52, di sini, Jumaat lalu. Mangsa warga asing berusia 30-an turut bergelut dengan suspek bagi merampas parang berkenaan sebelum membuat laporan polis. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, ketika kejadian, pasangan itu dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna dengan menaiki Perodua Axia. “Suspek memberhentikan kenderaan di lokasi kejadian sebelum keluar dan mengambil sebilah parang pendek dari bahagian belakang kereta. “Lelaki itu kemudian mengacukan parang ke arah mangsa yang berada di dalam kenderaan sambil mengeluarkan kata-kata ugutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada hasrat mangsa untuk bercerai dengan suspek. Katanya, suspek warga tempatan berusia 40-an berjaya dikesan di sekitar bandar Tawau sebelum ditahan kira-kira 2 pagi semalam. “Polis turut merampas sebuah Perodua Axia berserta anak kuncinya bagi membantu siasatan. “Suspek ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya. Wilynton menegaskan, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan ugutan jenayah, selain memastikan keselamatan mangsa sentiasa diberi perhatian. – Info X

September 7, 2026

Info X Reporters

Dua rumah musnah dalam kebakaran

SIPITANG: Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Ranau – Ranau, di sini, petang tadi. Kebakaran membabitkan sebuah rumah separuh kekal dan sebuah lagi rumah tidak kekal yang masing-masing musnah 95 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba Desmond Micky @ Dominic berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.37 petang. Katanya, enam anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer. “Pasukan bomba tiba pada 5.53 petang sebelum menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 61 meter dengan tiga pancutan. “Api berjaya dikawal pada 6.20 petang dan tiada mangsa dilaporkan terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 7.45 malam selepas kerja pemadaman dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi risiko kebakaran berulang. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

September 7, 2026

Info X Reporters

Lelaki cedera jari tersepit dalam mesin pengisar ikan

SANDAKAN: Seorang lelaki cedera selepas jari tangan kanannya tersepit dalam mesin pengisar dalam kejadian di sebuah kilang pemprosesan ikan, di Batu 3, di sini, hari ini. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 26 tahun terpaksa menahan kesakitan sebelum pasukan bomba tiba untuk melepaskan jarinya menggunakan peralatan khas. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Penolong Kanan Penguasa Bomba Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.11 petang. Katanya, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi sejauh dua kilometer. “Pasukan bomba tiba pada 2.14 petang dan menjalankan operasi menyelamat dengan melepaskan jari mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas. “Mangsa mengalami kecederaan pada jari tangan kanan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Jimmy berkata, mangsa kemudian dibawa menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Duchess of Kent untuk mendapatkan rawatan lanjut. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada 3.25 petang selepas keadaan di lokasi disahkan terkawal. – Info X

September 7, 2026

BERNAMA

Kos sara hidup pengaruhi keputusan anak muda berkahwin, miliki anak – Nancy

KUCHING: Kos sara hidup adalah antara faktor yang mempengaruhi keputusan golongan muda untuk berkahwin dan mempunyai anak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri. Beliau berkata golongan muda kini lebih berhati-hati serta membuat perancangan dari segi kemampuan ekonomi sebelum berkahwin dan membina keluarga. “Terdapat golongan yang memilih untuk tidak mempunyai anak kerana belum bersedia dari segi ekonomi. Mereka tidak boleh disalahkan kalau mereka tidak bersedia,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini. Beliau berkata kerajaan melalui program SmartStart membuat persediaan menyeluruh kepada bakal pasangan, termasuk pengurusan ekonomi dan kewangan, selain bantuan kepada pasangan yang berdepan masalah kesuburan menerusi program Rawatan Persenyawaan In-Vitro (IVF) dan rawatan permanian beradas (IUI). Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan turut memberi perhatian kepada keharmonian rumah tangga selepas berkahwin menerusi pelbagai program termasuk pendekatan “bulan madu kali kedua” bagi pasangan dalam tempoh lima tahun perkahwinan. “Bulan madu kali kedua bukan bermakna ia untuk berkahwin kali kedua, namun pelbagai aktiviti menerusi program itu membantu pasangan kembali mendekati antara satu sama lain dan mengukuhkan hubungan rumah tangga,” katanya. Beliau ketika mengulas mengenai usaha mendekati golongan yang memerlukan berkata kerajaan berprinsip untuk menemui orang ramai yang memerlukan di lapangan bagi memperkenalkan perkhidmatan kebajikan yang ditawarkan di bawah kementerian itu menerusi program seperti Kembara Kasih. — BERNAMA

September 7, 2026

BERNAMA

Jerebu: Tiada proses pengajian terjejas, KPT laksana tindakan anjal – Zambry

PUTRAJAYA: Tiada proses pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) yang terjejas susulan keadaan jerebu setakat ini, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir. Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengambil tindakan anjal termasuk membenarkan pelaksanaan pengajian dalam talian bagi memastikan proses pembelajaran kekal dilaksana. “Kita sentiasa memantau keadaan jerebu khususnya di Sabah dan Sarawak yang dilaporkan terjejas lebih serius. “Setakat ini tiada pengajian yang terjejas kerana jika mereka tidak dapat pergi ke bilik kuliah, maka kita buat dalam talian,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis serahan surat tajaan yuran pengajian kepada pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) anjuran KPT dengan kerjasama Majlis Peperiksaan Malaysia di sini hari ini. Zambry berkata KPT juga telah memaklumkan kepada semua IPT termasuk universiti, politeknik dan kolej komuniti supaya sentiasa memantau perkembangan jerebu di kawasan masing-masing. Beliau berkata sebarang tindakan berkaitan proses pembelajaran akan dilaksanakan berdasarkan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dari semasa ke semasa. “Kita mengikuti perkembangan ini dan menerima arahan daripada jabatan berkaitan serta akan memastikan setiap proses pembelajaran pelajar berteraskan kepada arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan,” katanya. Setakat 8 pagi ini, Samarahan menjadi satu-satunya kawasan di Sarawak yang merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat iaitu 226. Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), sebanyak 40 kawasan di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, 24 kawasan pada tahap sederhana dan dua kawasan pada tahap baik.– BERNAMA