April 12, 2026
Info X Reporters
Mangsa kedua kemalangan lima kenderaan meninggal dunia
LAHAD DATU: Seorang lagi mangsa kemalangan lima kenderaan di Kilometer 14, Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, disahkan meninggal dunia, menjadikan jumlah korban kini dua orang. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang, semalam di Kilometer 14 jalan berkenaan, kemalangan membabitkan dua kereta, sebuah lori, sebuah motosikal dan sebuah jentera berat jenis Hitachi. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah Proton Saga dipandu wanita berusia 21 tahun dari arah Tawau ke Lahad Datu hilang kawalan sebelum memasuki lorong bertentangan. “Kereta itu kemudian bertembung dengan sebuah lori jenis Nissan Rigid-Dumper dipandu lelaki berusia 45 tahun dari arah bertentangan. “Akibat pelanggaran itu, lori terbabit masuk ke lorong bertentangan sebelum melanggar sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berusia 32 tahun serta sebuah motosikal ditunggang lelaki berusia 20 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, impak kemalangan turut menyebabkan lori dan Perodua Alza terbabit terjatuh ke gaung di sebelah kiri jalan. “Malah, Perodua Alza itu turut melanggar sebuah jentera Hitachi yang berada di lokasi,” katanya. Beliau berkata, pemandu Proton Saga wanita berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala penumpang hadapan wanita berusia 35 tahun meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Lahad Datu. Katanya, semua penumpang lain serta penunggang motosikal dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala pemandu lori dan Perodua Alza dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X
April 12, 2026
Info X Reporters
Anak beruang madu ‘sesat’ masuk kampung, panjat pokok kelapa
KENINGAU: Kehadiran seekor anak Beruang Madu di Kampung Bariawa Laut, di sini, pagi tadi mengejutkan penduduk apabila haiwan itu ditemui memanjat pokok kelapa di kawasan kampung. Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, haiwan berstatus terancam yang kebiasaannya mendiami hutan tebal berkenaan dipercayai ‘tersesat’ sebelum disedari orang awam. Susulan itu, penduduk kampung bertindak pantas dan berani apabila berjaya menangkap anak beruang itu sebelum ketibaan pihak bomba. Sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau yang diketuai Penyelia Operasi, PBK II Selverinus Sixtus Geoffrey kemudian digerakkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. “Pasukan bomba mengambil alih situasi dengan memindahkan haiwan berkenaan ke dalam sangkar khas dengan selamat sebelum dibawa ke balai,” katanya. Katanya lagi, pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) turut dihubungi bagi tindakan lanjut termasuk proses serahan dan pemuliharaan haiwan berkenaan. Operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 9.10 pagi. Beruang madu merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997 dan sebarang aktiviti memburu, menangkap atau memiliki haiwan ini secara haram adalah satu kesalahan serius. Sementara itu, kejadian berkenaan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk mengenai punca haiwan liar itu boleh memasuki kawasan kampung. Selain kemungkinan kehilangan habitat, pemerhatian awal mendapati tingkah laku anak beruang itu agak tenang dan jinak, sekali gus mencetuskan tanda tanya sama ada ia pernah terdedah dengan manusia sebelum ini. Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri jika berdepan situasi sama, sebaliknya segera melaporkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko. – Info X
April 11, 2026
Info X Reporters
Wanita maut, empat cedera dalam nahas lima kenderaan
LAHAD DATU: Seorang wanita maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 8, Jalan Silam, di sini, petang tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang sebelum sepasukan 11 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian. Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah lori, jentera pengorek (excavator), dua kereta iaitu Perodua Alza dan Proton Saga FLX serta sebuah motosikal. “Sebaik tiba pada jam 5.16 petang, pasukan mendapati kemalangan membabitkan kenderaan dari dua arah bertentangan, manakala excavator berada di kawasan pembinaan Projek Pan Borneo. “Proton Saga FLX dinaiki enam mangsa, namun empat daripadanya termasuk seorang lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak sudah dihantar ke hospital sebelum ketibaan pasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, dua lagi mangsa wanita dewasa ditemui di lokasi, dengan seorang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi cedera dan dihantar ke hospital. Katanya, tiga lelaki yang menaiki Perodua Alza serta pemandu excavator dilaporkan selamat. “Pemandu lori dan penunggang motosikal turut dibawa ke hospital lebih awal oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba. “Operasi tertumpu kepada penstabilan mangsa dan kenderaan serta memastikan keadaan selamat di lokasi dengan kerjasama polis dan KKM sebelum ditamatkan pada jam 6.29 petang,” katanya. – Info X
April 11, 2026
Info X Reporters
Enam lelaki warga asing ditahan susulan video tular bergaduh
PAITAN: Enam lelaki warga asing ditahan yang dipercayai terbabit dalam kejadian pergaduhan di Kampung Kubambangan di sini, petang semalam. Keenam-enam lelaki warga Pakistan itu ditahan hari ini selepas laporan polis dibuat mangsa pada jam 6.49 petang semalam. Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang semalam ketika mangsa yang juga warga Pakistan didatangi sekumpulan lelaki di hadapan sebuah kedai runcit. Katanya, berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak akibat salah faham yang membawa kepada pergaduhan. “Akibat pergaduhan itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan mendapat tujuh jahitan. “Semua suspek akan direman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini. Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial yang memaparkan sekumpulan lelaki bergaduh di hadapan sebuah kedai runcit. Hasan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan. Beliau turut meminta saksi yang melihat kejadian tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X
April 11, 2026
Info X Reporters
74 ‘scammer’ warga China dilanjut tahanan reman
TAWAU: Perintah tahanan reman terhadap 74 warga China yang dipercayai terbabit sindiket penipuan dalam talian selepas ditahan di sebuan resort, di sini, Selasa lalu, disambung antara dua hingga tiga hari lagi setelah tempoh sebelum ini tamat hari ini. Lanjutan tempoh tahanan reman itu diberikan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas membenarkan permohonan Pegawai Penyiasat, Inspektor Siti Dayana Adillah bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kesemua suspek. Mahkamah membenarkan seramai 57 suspek direman selama dua hari lagi, manakala 17 lagi suspek dilanjutkan tahanan reman selama tiga hari bermula hari ini. Semua suspek berumur antara 17 hingga 46 tahun itu turut dibenar mendapatkan khidmat peguam dan berhubung dengan ahli keluarga masing-masing. Mahkamah juga membenarkan suspek yang mempunyai masalah kesihatan dirujuk ke Hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut serta membolehkan mereka membuat laporan polis jika mendakwa dikasari ketika dalam tahanan. Kes disiasat mengikut Seksyen 420/120B Kanun Keseksaan. Pada 7 April lalu, seramai 80 individu ditahan dalam operasi kira-kira jam 9.20 malam, masing-masing 78 warga China termasuk empat wanita, selain seorang warga Myanmar dan seorang warga Laos. Daripada jumlah itu, enam orang termasuk seorang warga Laos dibebaskan, namun masih diminta untuk membantu siasatan jika diperlukan. Operasi dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Kontinjen Sabah dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Tawau, Sandakan dan Keningau. Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan premis di sebuah resort sebagai pusat operasi dan panggilan. Sindiket terbabit juga dipercayai menyamar sebagai anggota polis dari China bagi memperdaya mangsa, khususnya warga Amerika Syarikat berketurunan Cina. Pelbagai barangan dirampas dalam termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, beg, pasport, sepanduk, modem dan pakaian seragam polis China. – Info X
April 11, 2026
Info X Reporters
Murid SK Balaban Jaya dipindah ke SK Pekan Beluran, pengangkutan disediakan – KPM
KOTA KINABALU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, Beluran akan dipindahkan sementara ke SK Pekan Beluran sehingga pembinaan bangunan baharu sekolah itu siap. Tindakan segera itu dijelaskan Kementerian Pendiidkan (KPM) menerusi satu kenyataan pada Sabtu berikutan laporan ketidakselesaan murid SK Balaban Jaya yang terpaksa belajar di bawah khemah dan kaki lima masjid. “KPM prihatin terhadap isu akses pendidikan dan keselamatan yang berbangkit di SK Balaban Jaya, Beluran. Isu ini berpunca daripada kerosakan sebahagian infrastruktur yang diakibatkan pergerakan tanah dan cerun, menjadikan sekolah tidak berada dalam keadaan selamat. “Beberapa sesi libat urus (SLU) telah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah bersama-sama dengan pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi mencari jalan penyelesaian. “Tindakan segera yang akan diambil termasuk memindahkan sementara murid ke SK Pekan Beluran dan menyediakan pengangkutan untuk membawa murid ke sekolah berkenaan. “Langkah ini bagi memastikanpembelajaran murid tidak terjejas dan ibu bapa tidak terbeban. Kerja naik taraf di SK Sungai Nangka juga akan dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan penyuraian murid sementara menunggu pembinaan baharu SK Balaban Jaya,” katanya. KPM berkata, pihaknya bertanggungjawab penuh memastikan keperluan pendidikan untuk semua murid terjejas di SK Balaban Jaya terpelihara serta pada masa sama aspek keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga sekolah diberi perhatian. Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam maklum balasnya di Facebook beliau, berkata ketidakselesaan dihadapi murid SK Balaban Jaya sangat mengesankan. “Perkara sebegini cukup mengesankan. Arahan telah diberikan kepada Kementerian Pendidikan dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri untuk penyelesaian segera. “Keselesaan dan kebajikan anak-anak dalam menuntut ilmu mesti diberi perhatian utama dan tindakan segera wajib dilaksanakan,” katanya. Pada Jumaat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook mendedahkan masalah dihadapi murid SK Balaban Jaya dan meminta pihak yang bertanggungjawab menanganinya dengan segera. – Info X
April 11, 2026
Info X Reporters
KPDN Sabah, TLDM perkukuh kerjasama strategik
KOTA KINABALU: Kerjasama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah dengan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus diperkukuh menerusi kunjungan hormat Timbalan Panglima Armada Timur ke pejabat agensi itu, semalam. Kunjungan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Aras 4, KPDN Sabah itu menjadi platform mengeratkan hubungan strategik antara kedua-dua agensi, khususnya dalam aspek penguatkuasaan dan perkongsian maklumat. Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, antara perkara utama dibincangkan termasuk pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat. Menurutnya, cadangan pelaksanaan Operasi Bersepadu turut diperhalusi dari segi mekanisme bagi meningkatkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan di lapangan. “Selain itu, perbincangan turut menyentuh permohonan penggunaan fasiliti TLDM pada masa akan datang bagi menyokong keperluan operasi dan logistik, khususnya dalam menangani isu penyelewengan barangan kawalan di Sabah,” katanya. Beliau berkata, kerjasama erat antara KPDN dan TLDM amat penting dalam memastikan tindakan bersepadu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. “Kunjungan ini juga membuka ruang kepada penyelarasan tindakan, selain memperkukuh perkongsian maklumat dalam usaha membanteras penyelewengan subsidi kerajaan serta memastikan kestabilan bekalan dan pasaran terus terpelihara,” katanya. Hadir sama, Timbalan Panglima Armada Timur TLDM, Laksamana Pertama Erman Shahril Adlan, Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN, Fredeck Kantod, serta pegawai kanan kedua-dua agensi. – Info X
April 11, 2026
Info X Reporters
Ops Mabuk kesan 2 lelaki memandu di bawah pengaruh alkohol
PENAMPANG: Dua lelaki ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Pintas, di sini, awal pagi tadi. Operasi berkenaan dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kedua-dua individu itu ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melebihi had alkohol yang ditetapkan. Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000, selain hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun. “Dalam operasi sama, sebanyak 14 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk empat kes membabitkan pemandu yang tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, operasi berkenaan diketuai Ketua BSPT IPD Penampang, Inspektor Rozami Ahmad bersama enam anggota polis. “Sepanjang operasi dijalankan, seramai 67 individu dan 56 kenderaan diperiksa bagi memastikan pengguna jalan raya mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas,” katanya. Menurutnya, Op Mabuk akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membendung kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol. Katanya, langkah itu juga bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di daerah ini. – Info X