Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 27, 2026

BERNAMA

Amaran ribut petir, hujan lebat di tiga negeri hingga 3 petang

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di tiga negeri hingga 3 petang ini. MetMalaysia memaklumkan amaran itu melibatkan Pulau Pinang (Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan). Amaran sama turut dikeluarkan di Kedah bagi kawasan Yan, Kuala Muda dan Kulim. Sementara itu di Sabah, kawasan terjejas ialah Pantai Barat (Tuaran, Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Papar), Pedalaman (Membakut dan Pensiangan) serta Tawau (Kalabakan, Semporna dan Tawau).

August 27, 2026

BERNAMA

Azmin dipelawa sertai semula PKR? Saya tidak dimaklumkan – Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai sebarang pelawaan kepada bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk menyertai semula parti itu. “Ada orang jemput ke? Ada pelawaan? Saya tidak dimaklumkan,” kata Perdana Menteri ringkas ketika ditemui media selepas merasmikan Expo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini. Selasa lepas, Mohamed Azmin yang kini Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilaporkan berkata beliau tidak akan sesekali kembali menyertai PKR meskipun terdapat pelawaan kepada bekas ahli parti itu untuk berbuat demikian. Sebelum ini, bekas Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Kamarudin Jaffar dan bekas Ahli Parlimen Nibong Tebal Datuk Mansor Othman, dilaporkan dijangka menyertai semula PKR. Bekas Naib Presiden PKR Datuk Dr Xavier Jayakumar turut mengesahkan kembali menyertai parti itu. – BERNAMA

August 27, 2026

Info X Reporters

Pemandu tertidur, penumpang maut kereta terbalik dalam parit

TAWAU: Seorang wanita warga Indonesia maut selepas kereta Proton Saga dinaiki terbabas, melanggar pokok sebelum terbalik ke dalam parit di Batu 16, Jalan Apas, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 3.26 petang itu, mangsa berusia 24 tahun tercampak keluar dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam ketika menerima rawatan di Hospital Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kemalangan berlaku ketika Proton Saga terbabit dipandu seorang wanita warga Indonesia berusia 26 tahun dari Semporna menuju ke Tawau. Katanya, siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tertidur ketika memandu sebelum hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan. “Kenderaan itu kemudian melanggar sebatang pokok sebelum terbalik ke dalam parit. “Pemandu mengalami kecederaan pada bahagian muka dan tengkuk, manakala penumpang mengalami kecederaan pada muka, badan dan dada serta tercampak keluar dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan, namun penumpang berkenaan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9.20 malam. Menurutnya, siasatan awal turut mendapati pemandu tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala kereta berkenaan adalah milik rakannya. “Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi melengkapkan siasatan serta mengenal pasti keseluruhan keadaan yang membawa kepada kejadian,” katanya. Beliau menasihatkan pengguna jalan raya supaya memastikan diri cukup rehat sebelum memulakan perjalanan. “Sekiranya berasa mengantuk ketika memandu, berhenti di lokasi selamat dan berehat terlebih dahulu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272,” katanya. – Info X

August 27, 2026

admin

PM arah kenal pasti segera rakyat Malaysia terjejas di Nepal

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua jabatan berkaitan supaya segera mengenal pasti dan menghubungi rakyat Malaysia yang terjejas susulan kejadian banjir kilat di Nepal. Anwar berkata arahan itu melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Luar, termasuk usaha menghubungi kementerian serta kedutaan Malaysia di New Delhi, India dan Kathmandu, Nepal. “Saya dah minta semua jabatan termasuk MKN dan Kementerian Luar untuk segera mengenal pasti dan hubungi kementerian dan kedutaan kita, kedua-duanya di India dan Kathmandu untuk menyegerakan usaha-usaha membantu mereka,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan Expo Inovasi dan Pengkomersialan Kebangsaan (NICE) 2026 di sini hari ini. Terdahulu, Anwar yang menzahirkan rasa dukacita atas bencana banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa, Nepal memaklumkan kerajaan kini giat menjalankan usaha mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi. Menurut laporan media, kejadian banjir kilat yang melanda kawasan sempadan Nepal-Tibet semalam, berpunca daripada hujan lebat serta runtuhan glasier di sepanjang laluan Sungai Bhote Koshi. Bencana itu mengganggu rangkaian komunikasi serta memutuskan akses jalan raya utama yang menghubungkan kawasan berkenaan dengan ibu negara, Kathmandu, sekali gus menyukarkan perhubungan dan pergerakan keluar masuk mangsa terjejas.— BERNAMA  

August 27, 2026

Info X Reporters

Pegawai trafik udara maut, motosikal terperosok bawah kereta

TAWAU: Seorang Pegawai Trafik Udara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Tawau maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum terjatuh dan terperosok di bawah sebuah Toyota Camry di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa lelaki tempatan berusia 55 tahun mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Ambulans Hospital Tawau. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Jusoh, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan terbabit bergerak dalam arah sama. Katanya, Toyota Camry dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun dari Kampung Titingan menuju Batu Payung, manakala motosikal Yamaha RXZ ditunggang mangsa dari Bandar Tawau menuju Taman Millenium. “Ketika Toyota Camry berada di kawasan lampu isyarat Batu 3 yang bertukar daripada merah kepada hijau, pemandu meneruskan perjalanan secara perlahan. “Pada masa sama, motosikal ditunggang mangsa berada di sebelah Toyota Camry sebelum dipercayai hilang keseimbangan akibat keadaan permukaan jalan yang tidak sama aras,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, pemeriksaan awal mendapati lorong sebelah kanan jalan baru diturap dan mempunyai aras lebih tinggi berbanding lorong sebelah kiri yang masih belum diturap. Menurutnya, keadaan itu dipercayai menyebabkan mangsa hilang keseimbangan sebelum terjatuh di hadapan Toyota Camry. “Pemandu Toyota Camry tidak sempat membrek menyebabkan mangsa bersama motosikalnya terperosok di bawah bahagian hadapan kenderaan. “Pemandu Toyota Camry tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tawau dan bedah siasat dijadualkan pada jam 9 pagi hari ini di Jabatan Forensik Hospital Tawau. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Joseph Jelian di talian 016-806 7272 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X

August 27, 2026

Info X Reporters

70 lot kedai bundle musnah terbakar

TAWAU: Kira-kira 70 lot kedai menjual pakaian bundle jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, awal pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.44 pagi sebelum jentera tiba di lokasi tujuh minit kemudian. Katanya, kebakaran membabitkan kawasan lot kedai jenis tidak kekal seluas kira-kira 12,000 meter persegi. “Operasi pemadaman dilakukan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 213 meter dengan enam pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada jentera dan pili bomba. “Api berjaya dikawal pada jam 5.23 pagi. Sebanyak 70 lot kedai musnah sepenuhnya, namun kira-kira 350 rumah dan lot kedai lain berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, seramai 16 anggota BBP Tawau dibantu 10 anggota Bomba Komuniti terbabit dalam operasi berkenaan. Katanya, operasi turut mendapat bantuan 10 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). “Tiada mangsa dilaporkan terbabit dan operasi ditamatkan pada jam 7.42 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi. “Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

Anggota polis cedera terkena tembakan ketika bertugas di Lahad Datu

LAHAD DATU: Seorang anggota Pasukan Polis Marin (PPM) cedera selepas terkena tembakan ketika bertugas di Pos Pengawal Marin di sini, semalam. Mangsa berpangkat Lans Koperal mengalami kecederaan pada jari tengah tangan kiri dan perut. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada hari sama. Katanya, mangsa terkena tembakan ketika seorang rakan setugas sedang mengosongkan senjata api di lokasi kejadian. “Mangsa menerima rawatan awal di Hospital Lahad Datu sebelum dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut. “Keadaannya dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan serta pemantauan pihak hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dzulbaharin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 berkaitan kesalahan melepaskan tembakan sehingga mencederakan mana-mana orang. “Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian. “Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini,” katanya. – Info X

August 26, 2026

Info X Reporters

Liga Super: Jangan selesa sangat jumpa Pulau Pinang – Garrido

KOTA KINABALU: Sabah FC enggan pemainnya mengambil mudah atau terlalu selesa melayan kunjungan Penang FC dalam perlawanan kedua Liga Super di Stadium Likas, Jumaat ini. Pengendalinya, Juan Torres Garrido menegaskan kemenangan pertama skuad Sang Badak apabila menewaskan Star City FC 3-1 pada Isnin lalu tidak boleh melekakan mereka. Tegasnya, pemain Sabah perlu kekal fokus berdepan Pulau Pinang bagi memastikan mereka mencapai sasaran untuk melakar kemenangan kedua pada Jumaat nanti. Beliau mahu pasukan bimbingannya mengekalkan intensiti, disiplin dan keberanian menghadapi lawan yang disifatkannya sebagai sebuah pasukan berbahaya. “Kita berpuas hati kerana memulakan musim dengan kemenangan dan berjaya menunjukkan gaya permainan yang kita mahukan, tetapi sekarang kita perlu melihat ke hadapan. “Pulau Pinang adalah pasukan yang berbeza dan perlawanan ini juga akan menjadi cabaran yang berbeza. Mereka adalah pasukan yang kukuh, tersusun dan berbahaya menerusi situasi bola mati. “Kita perlu konsisten, agresif dan terus berusaha sehingga ke wisel penamat,” katanya mengulas perlawanan kedua Liga Super 2026 / 2027 yang bakal dihadapi Sabah FC. Sementara itu, Garrido mengakui tempoh pemulihan yang singkat memerlukan pengurusan pemain yang baik, namun persaingan sengit dalam latihan memberi lebih banyak pilihan untuk mengubah kesebelasan utama mengikut pelan permainan. “Semua pemain Sabah berlatih dengan baik dan bersaing untuk memulakan perlawanan. Selagi pemain yang masuk dari bangku simpanan mampu memberikan sumbangan, kita mempunyai ruang untuk menyesuaikan kesebelasan utama,” katanya. Mengenai sasaran enam mata daripada dua perlawanan awal musim, Garrido berkata Sabah mahu menjadi pasukan yang kuat di laman sendiri. Beliau turut menegaskan proses membangunkan pasukan lebih penting, terutama selepas menurunkan tujuh pemain baharu dalam kesebelasan utama ketika menentang Star City. “Kita mahu menang tetapi yang paling penting ialah cara kita bermain dan usaha untuk terus membangunkan pasukan ini,” katanya. Katanya, Sabah hanya memperoleh kelebihan selesa selepas minit ke-89 ketika menentang Star City pada Isnin lalu, sekali gus menegaskan keputusan akhir bukan satu-satunya ukuran prestasi pasukan. “Jika pemain sekali lagi mampu menerapkan gaya permainan yang berkesan ketika menentang Pulau Pinang nanti, ia akan menjadi satu langkah yang sangat baik untuk skuad Sang Badak,” katanya. – Info X