Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 19, 2026

Info X Reporters

Tiga cedera diserang penunggang motosikal selepas ditegur bunyi enjin kuat

PENAMPANG: Teguran terhadap seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan bunyi enjin kuat bertukar menjadi pergaduhan sehingga menyebabkan tiga lelaki cedera di Kampung Muhibbah, Petagas di sini, malam tadi. Kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu dipercayai tercetus selepas seorang daripada mangsa menegur suspek yang juga jirannya ketika melalui kawasan berkenaan dengan motosikal. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai pergaduhan membabitkan sekumpulan individu yang sedang berkumpul dan bermain karom di luar sebuah rumah. Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek berusia 37 tahun melalui kawasan itu dengan menunggang motosikal dan menghasilkan bunyi enjin yang kuat. “Seorang daripada mangsa kemudian menegur suspek sebelum berlaku pertengkaran yang kemudiannya bertukar menjadi pergaduhan. “Dalam kejadian itu, tiga lelaki berusia antara 35 hingga 40 tahun mengalami kecederaan akibat penggunaan objek tajam,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sammy berkata, semua mangsa mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Katanya, susulan kejadian, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Balai Polis Putatan menahan suspek di sebuah kampung di Putatan kira-kira jam 10 malam. “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku secara spontan akibat salah faham dan ketidakpuasan hati suspek selepas ditegur berhubung bunyi motosikal. “Setakat ini, tiada rekod perselisihan atau dendam terdahulu antara suspek dengan mangsa,” katanya. Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan termasuk mengambil keterangan beberapa saksi dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian bagi melengkapkan kertas siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada pihak pendakwaan untuk tindakan selanjutnya. “Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau memuat naik imej serta video kejadian yang boleh mengganggu siasatan dan menimbulkan kegusaran masyarakat,” katanya. – Info X

August 19, 2026

Info X Reporters

‘Saya tidak terlibat dalam sebarang rundingan BN-GRS’ – Salleh

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata beliau tidak terbabit dalam sebarang rundingan politik di antara Barisan Nasional (BN) dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau yang juga Ketua Merinyu Projek Sabah, berkata sebarang rundingan di antara kedua-dua gabungan itu sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai. Kenyataan itu dibuatnya menerusi satu hantaran di Facebook bagi menjelaskan pertemuannya dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Pejabat Merinyu Projek Sabah, di sini, pada Selasa. Jelasnya, pertemuan itu tertumpu kepada perbincangan mengenai usaha memastikan projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan, dipantau dengan berkesan dan memberi hasil yang diharapkan rakyat. Dalam hantaran itu, Salleh membuat penafian mengenai sebarang soal politik atau hubungan BN-GRS menerusi pertemuan berkenaan, sambil menegaskan beliau tidak terbabit dalam sebarang rundingan politik BN-GRS. “Untuk mengelakkan sebarang salah faham, pertemuan ini tidak menyentuh soal politik atau hubungan BN-GRS. “Perkara tersebut sewajarnya diuruskan oleh kepimpinan kedua-dua pihak melalui saluran yang sesuai. Saya sendiri tidak terlibat dalam sebarang rundingan politik antara BN dan GRS. “Tanggungjawab saya adalah membantu Kerajaan Negeri dalam pemantauan dan penyelarasan projek, mengenal pasti masalah atau kelewatan lebih awal serta membantu mempercepatkan tindakan susulan,” katanya. Sementara itu, Salleh yang juga pemimpin BN negeri berpandangan BN Sabah perlu melihat peranannya berdasarkan realiti politik Sabah hari ini. Katanya, dengan pengalaman dan kekuatan akar umbi yang ada, BN boleh memainkan peranan yang konstruktif dalam melengkapi GRS serta menyumbang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran, bukan semata-mata mengejar kedudukan dominan. Bagaimanapun, katanya ia hanya pandangan peribadinya dan beliau menyerahkan soal politik kepada kebijaksanaan kepimpinan parti. “Tumpuan saya adalah membantu Kerajaan Negeri memastikan pembangunan dilaksanakan dengan baik dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat Sabah,” katanya. – Info X

August 19, 2026

Info X Reporters

Reformasi pendidikan tinggi: UMS komited memperkasa kualiti graduan untuk kemajuan Sabah

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyambut baik langkah kerajaan meneliti dan memperbaharui kerangka perundangan pendidikan tinggi, termasuk berkaitan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem universiti awam agar terus relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan. Bagi UMS, katanya, setiap pembaharuan sewajarnya dilihat sebagai peluang untuk mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan, tadbir urus, pembangunan mahasiswa dan keupayaan universiti melahirkan graduan yang berilmu, berintegriti, kompeten serta bersedia menghadapi persekitaran pekerjaan dan masyarakat yang semakin mencabar. Dalam konteks Sabah pula katanya, usaha itu amat penting kerana pembangunan negeri memerlukan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang dalam pelbagai bidang strategik, termasuk sektor profesional, perkhidmatan awam, industri, teknologi, keusahawanan, kesihatan, pendidikan dan pembangunan komuniti. “UMS akan terus memperkukuh pengalaman pembelajaran mahasiswa melalui keterlibatan industri, pembangunan kepimpinan, kemahiran digital, keusahawanan dan pendedahan kepada cabaran sebenar masyarakat. “Pendekatan ini penting bagi memastikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik yang baik, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk menyumbang secara berkesan selepas tamat pengajian,” katanya dalam satu kenyataan. Pada masa yang sama, katanya UMS berpandangan sebarang reformasi pendidikan tinggi perlu dilaksanakan secara teratur, inklusif dan seimbang, mengambil kira kepentingan mahasiswa, universiti, kerajaan, industri serta masyarakat. “Pada akhirnya, ukuran kejayaan sesuatu reformasi pendidikan tinggi adalah sejauh mana ia membantu kita melahirkan graduan yang berkualiti dan memperkasa modal insan. “Seiring dengan slogan ‘The Brain of Borneo’, UMS komited menjadi pemacu ilmu, bakat dan inovasi yang menyokong agenda Sabah Maju Jaya (SMJ), sekali gus menyumbang kepada pembinaan Sabah yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera,” katanya. – Info X

August 19, 2026

Info X Reporters

Petrol, tong gas, minyak masak tanpa permit dirampas

TAWAU: Sebanyak 220 liter petrol, 12 tong gas petroleum cecair (LPG) dan 340 kilogram (kg) minyak masak dirampas dalam tindakan di Jalan Inderasabah, di sini, semalam. Rampasan dilakukan selepas individu terbabit gagal menunjukkan sebarang permit memiliki barangan kawalan bersubsidi berkenaan ketika diperiksa Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau. Kes berkenaan kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk tindakan lanjut. Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM104,138.40. KPDN Tawau sudah membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. KPDN dalam kenyataan berkata, mana-mana individu atau syarikat diingatkan supaya mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan penyelewengan barang kawalan. Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. KPDN turut menegaskan akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras penyelewengan barang kawalan serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang. – Info X

August 19, 2026

Info X Reporters

25 rumah musnah dalam kebakaran Pulau Nunuyan Laut

SANDAKAN: Sebanyak 25 rumah musnah dalam kebakaran di Pulau Nunuyan Laut, dekat sini, awal pagi tadi. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 3.50 pagi, bagaimanapun hanya sampai ke lokasi pada jam 5.25 pagi. Katanya, bomba menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi mendapatkan bantuan penyediaan bot untuk membawa anggota bomba dan peralatan operasi ke pulau itu yang terletak 18 kilometer (km) dari balai. “Seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian. Operasi pemadaman menggunakan sumber air terbuka daripada laut. “Operasi turut berdepan cabaran angin yang kuat sekali gus menyukarkan pergerakan pasukan ke lokasi kejadian. Api juga merebak terlalu cepat,” katanya. Jimmy berkata, kebakaran hanya dapat dikawal pada jam 5.45 pagi dan pasukan bomba berjaya menyelamatkan 162 buah rumah lain di pulau itu daripada terbakar. Katanya, pihaknya masih meneruskan kerja pemadaman dan pemantauan bagi memastikan kebakaran dipadam sepenuhnya serta mengelak risiko kebakaran merebak semula ke kawasan berhampiran. – Info X

August 18, 2026

Info X Reporters

Polis siasat video kanak-kanak dikerumuni di taman permainan

PAPAR: Polis menjalankan siasatan berhubung rakaman video tular memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikerumuni beberapa individu dalam kejadian di sebuah taman permainan di daerah ini. Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 14 Ogos lalu sebelum siasatan dijalankan. Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan membabitkan mangsa bersama beberapa individu lain berusia antara 13 hingga 18 tahun. “Siasatan mendapati berlaku perselisihan selepas mangsa dipercayai cuba menghisap puntung rokok walaupun sudah ditegur dan dilarang individu terbabit. “Mangsa kemudian dipegang beberapa individu, manakala seorang lagi dipercayai menyalakan pemetik api ke arahnya dengan tujuan menakutkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Heryan berkata, sebahagian kejadian itu dirakam menggunakan telefon bimbit sebelum dikongsikan menerusi WhatsApp dan kemudiannya tersebar, namun mangsa disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. Menurutnya, walaupun keluarga terbabit pada peringkat awal menyelesaikan perkara itu secara baik, polis meneruskan siasatan selepas menerima permintaan supaya tindakan lanjut diambil. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah. “Polis sedang melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan pengadu, mangsa, saksi dan individu terbabit selain menjalankan pemeriksaan di lokasi serta mendapatkan bahan bukti berkaitan. “PDRM memandang serius sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya, ketakutan atau kecederaan kepada kanak-kanak walaupun dikatakan dilakukan atas alasan bergurau, menakutkan atau mendidik,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi, menyebarkan maklumat tidak tepat atau terus berkongsi rakaman berkenaan kerana kes itu membabitkan kanak-kanak dan masih dalam siasatan. “Pada masa sama, ibu bapa dan penjaga diminta sentiasa memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak termasuk penggunaan media sosial dan pendedahan kepada tabiat merokok dalam kalangan golongan bawah umur,” katanya. Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak lelaki dikerumuni beberapa individu sebelum dipegang, manakala seorang lagi dilihat menyalakan pemetik api ke arahnya sehingga mengundang perhatian ramai. – Info X

August 18, 2026

Info X Reporters

Bekas Ketua Hakim Negara Richard Malanjum kembali bergelar peguam

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum, 73, diterima masuk dan didaftarkan sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya, hari ini. Menurut laporan FMT, perkembangan itu menjadikan Malanjum antara tokoh kehakiman negara yang kembali menyertai profesion guaman selepas menamatkan perkhidmatan dalam badan kehakiman. Malanjum pernah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara kesembilan pada Julai 2018 dan memegang jawatan berkenaan sehingga persaraannya pada April 2019. Beliau sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Hakim Sabah dan Sarawak bermula 2006, selain pernah menjadi Hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Malanjum yang berasal dari Sabah turut mencipta sejarah sebagai rakyat kelahiran negeri itu yang pertama dilantik ke Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, sebelum menjadi Ketua Hakim Negara. Dalam perkembangan kerjaya guamannya, beliau pernah diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak pada 1977. Beliau juga diterima masuk sebagai peguam bela di Sarawak pada 2020 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan petisyennya untuk didaftarkan sebagai peguam di negeri berkenaan. Malanjum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari University of London pada 1975 sebelum dipanggil ke Badan Peguam England dan Wales pada 1976. Beliau kemudian memulakan kerjaya dalam perkhidmatan perundangan Sabah sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Penasihat Undang-Undang Negeri sebelum menyertai amalan guaman persendirian. Pada 1992, Malanjum menyertai perkhidmatan kehakiman sebagai Pesuruhjaya Kehakiman sebelum dinaikkan ke jawatan Hakim Mahkamah Tinggi, Hakim Mahkamah Rayuan dan seterusnya Hakim Mahkamah Persekutuan. Pelantikan beliau sebagai Ketua Hakim Negara pada 2018 turut mencatat sejarah sebagai tokoh pertama dari Sabah yang memegang jawatan tertinggi dalam badan kehakiman Malaysia.-Info X

August 18, 2026

Info X Reporters

Khairul Shah tekad beri khidmat terbaik di Kota Belud

KOTA BELUD: Ketua Polis Daerah Kota Belud yang baharu, Superintendan Khairul Shah Peri bertekad memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat selepas diberi kepercayaan menerajui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud. Khairul Shah dinaikkan pangkat daripada Deputi Superintendan (DSP) kepada Superintendan dalam Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Daerah Kota Belud yang disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun. Berbekalkan pengalaman luas dalam bidang siasatan jenayah, Khairul Shah berkata, antara keutamaannya adalah memastikan aspek keselamatan, ketenteraman awam dan pencegahan jenayah di daerah itu sentiasa berada pada tahap terbaik. Katanya, perhatian akan diberikan terhadap usaha membanteras jenayah konvensional, jenayah komersial, penyalahgunaan dadah, keganasan rumah tangga, jenayah terhadap kanak-kanak serta pelbagai ancaman yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat. Pada masa sama, beliau mahu pasukan polis bukan sekadar bertindak apabila berlaku jenayah, sebaliknya sentiasa dekat dengan masyarakat, mudah didekati dan prihatin terhadap permasalahan rakyat. Menurutnya, seluruh warga IPD Kota Belud juga perlu mengamalkan prinsip tegas tetapi berhemah, profesional tetapi mesra serta berintegriti dalam setiap tindakan. “Saya mahu kita bekerja sebagai satu pasukan. Jangan ada jurang antara pegawai dan anggota serta jangan ada budaya bekerja secara bersendirian kerana kita saling memerlukan dan melengkapi. “Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah masyarakat dalam satu hari, tetapi kita boleh memastikan setiap aduan didengar, setiap laporan diambil serius dan setiap tindakan dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab,” katanya. Khairul Shah turut menyeru masyarakat menjadikan polis sebagai rakan dan tidak takut tampil menyalurkan maklumat bagi membantu usaha mencegah serta membanteras jenayah. Beliau berkata, konsep ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ bukan sekadar slogan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan, komunikasi dan hubungan erat antara kedua-dua pihak. “Saya tidak menjanjikan kesempurnaan, tetapi saya berjanji memberikan komitmen terbaik, mendengar suara masyarakat, berlaku adil dalam tindakan dan melaksanakan amanah ini dengan penuh kejujuran,” katanya. – Info X