August 18, 2026
Info X Reporters
Pesaing tarik diri, jawatan tertinggi Pemuda PBS menang tanpa tanding
KOTA KINABALU: Jawatan tertinggi Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) dimenangi tanpa bertanding sebelum pemilihan parti pada September depan selepas calon pesaing membuat keputusan menarik diri. Menerusi satu kenyataan, di sini, jawatan Ketua Pemuda PBS kekal disandang Datuk Dr Christopher Mandut, selepas pesaingnya, Dr Rockey Jerome Budin menarik diri daripada bertanding jawatan itu. Mengulas keputusan itu, Rockey berkata ia dibuat selepas mengambil kira pelbagai aspek dan pertimbangan mendalam demi kepentingan perpaduan serta masa depan PBS. Katanya, peralihan kepemimpinan parti memerlukan sokongan padu ahli bagi memberi ruang kepada presiden dan barisan kepemimpinan baharu untuk menstabilkan parti, merapatkan saf serta memperkukuhkan organisasi. “Saya percaya kita harus memberi peluang penuh kepada pucuk pimpinan baharu untuk mengukuhkan asas parti, merapatkan saf dan menstabilkan pentadbiran tanpa sebarang gangguan dalaman,” katanya. Rockey berkata keputusan itu turut mengambil kira keperluan PBS untuk memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persediaan menghadapi PRU akan datang. Sehubungan itu, Rockey berkata beliau berlapang dada memberi laluan sepenuhnya kepada Christoper untuk terus menerajui kepemimpinan Pemuda PBS. Selain jawatan ketua, beberapa jawatan tertinggi lain turut dimenangi tanpa bertanding selepas calon lain yang menawarkan diri bagi jawatan dalam barisan kepemimpinan Pemuda PBS turut menarik diri bagi memberi laluan kepada penyandang serta pemimpin lain yang untuk mengisi jawatan. Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda, Pegawai Penerangan Pemuda PBS, Steve Johnny Mositun, mengambil keputusan menarik diri bagi memberi laluan kepada Stanley Leo untuk menang tanpa bertanding. Satu lagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda PBS bagi kuota Bumiputera Islam turut dimenangi tanpa bertanding oleh Naib Ketua Pemudanya, Mohd Khairol Majde selepas Setiausaha Pemuda PBS Kepayan, Adlu Shah menarik diri. Jawatan Naib Ketua Pemuda PBS bagi kuota Bumipura bukan Islam pula menyaksikan EXCO Pemudanya, Rainy Valentine menarik diri daripada pertandingan bagi memberi laluan kepada rakan beliau dalam barisan Exco Pemuda, Kevin Jon Johnny, untuk menang tanpa bertanding. Mengulas perkembangan itu, Christoper berkata ia mencerminkan semangat kesatuan dan sikap mendahulukan kepentingan parti yang kuat dalam jiwa pemimpin Pemuda PBS. “Proses pemilihan parti tidak seharusnya meninggalkan jurang atau kelompok yang boleh melemahkan perjuangan PBS, sebaliknya semua pihak perlu kembali bergerak sebagai satu pasukan di bawah kepimpinan Presiden PBS. “Tiada lagi Team Christoper atau Team Rockey, tetapi kita adalah Team Presiden PBS yang akan memimpin parti kita seterusnya,” katanya. Beliau berkata semangat kesatuan penting dalam memastikan Pemuda PBS kekal sebagai sebuah sayap yang kukuh dan mampu memainkan peranan utama dalam memperkasakan parti serta mempersiapkan jentera menghadapi cabaran politik akan datang. – Info X
August 18, 2026
Info X Reporters
64 warga asing ditahan dalam operasi Imigresen di tiga daerah
KOTA KINABALU: Seramai 64 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan serentak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau. Kesemua mereka ditahan selepas disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas mengikut Akta Imigresen 1959/63. Di Kota Kinabalu, menerusi Ops Selera, seramai 38 individu diperiksa dengan tujuh warga asing ditahan membabitkan enam warga Filipina dan seorang lelaki warga Pakistan. Sementara itu, di Sandakan, Ops Bersama dan Ops Kutip menyaksikan 145 individu diperiksa sebelum 28 warga asing ditahan. Tangkapan di daerah itu membabitkan 21 warga Filipina, tiga warga India serta empat warga Indonesia termasuk seorang kanak-kanak. Di Tawau pula, seramai 66 individu diperiksa menerusi Ops Kutip dan Ops Belanja dengan 29 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka terdiri daripada lima warga Filipina dan 24 warga Indonesia, termasuk beberapa kanak-kanak. Secara keseluruhan, seramai 249 individu diperiksa dalam operasi di ketiga-tiga daerah berkenaan sebelum 64 warga asing ditahan untuk tindakan lanjut. JIM Sabah dalam kenyataannya berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI). Menurutnya, tindakan berterusan itu juga bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa dipelihara. – Info X
August 17, 2026
Info X Reporters
AWCL: Sabah FA berpesta gol, belasah Rovers FC dari Guam 13-0
KOTA KINABALU: Sabah FA membelasah Rovers FC dari Guam 13-0 dalam perlawanan kedua peringkat awal Kumpulan A, Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL) 2026/2027 di Stadium Likas, di sini, malam ini. Jaringan tuan rumah bermula seawal minit ke-10 menerusi pemain import dari Jepun, Ayuri Terawaki, sebelum empat lagi gol menyusul untuk meletakkan Sabah FA selesa dengan lima gol pada separuh masa pertama. Tiga daripada gol dijaringkan pemain tengah berasal dari Amerika Syarikat, Mai Lisa Atis, iaitu masing-masing gol kedua dan ketiga pasukan pada minit ke-24 dan ke-33, manakala satu lagi pada minit kecederaan babak pertama, iaitu gol kelima untuk Sabah FA. Jaringan keempat untuk Sabah FA pula disumbangkan penyerang yang juga berasal dari Amerika Syarikat, Enzi Hekima Starks Broussard pada minit ke-39. Tidak cukup lima gol pada separuh masa pertama, Sabah FA meneruskan ‘pesta gol’ pada babak kedua perlawanan bermula dengan jaringan kedua Enzi Hekima untuk menjadikan enam gol milik Sabah pada minit ke-50. Enzi Hekima sekali lagi mencipta hatrik apabila menjaringkan gol ketujuh dan kelapan untuk pasukan serta gol ketiga dan keempat buat dirinya, masing-masing pada minit ke-57 dan ke-62. Rakannya, Mai Lisa turut mencipta hatrik keempatnya malam ini apabila menyumbang jaringan kesembilan untuk Sabah FA pada minit ke-65, sebelum satu lagi hatrik pada minit ke-80 untuk menyumbang gol ke-11 buat Sabah FA. Sebelum itu, pada minit ke-69, Sabah FA melengkapkan 10 gol menerusi jaringan Misaki Nakayama, manakala pada minit ke-83 seorang lagi pemain tengahnya, An Sebin menjaringkan gol ke-12 untuk pasukan. Ayuri yang membuka jaringan untuk Sabah pada minit ke-10 kemudian menambah satu lagi jaringan untuk menjadikan kedudukan 13-0 pada minit kecederaan sebagai penutup aksi perlawanan malam ini. – Info X
August 17, 2026
Info X Reporters
Wanita Gagasan Rakyat teguh bersama Redonah, tolak politik fitnah – Aziah
KOTA KINABALU: Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan sokongan padu kepada Ketua Pergerakannya, Datuk Redonah Bahanda berdasarkan mandat dan kepercayaan kepimpinan daripada ahli sayap parti itu di seluruh Sabah. Naib Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh, berkata pihaknya memandang serius penyebaran poster dan naratif yang cuba mempertikaikan kepimpinan Redonah. Beliau berkata, Redonah terus mendapat kepercayaan kepimpinan dan ahli Wanita Gagasan Rakyat untuk menerajui pergerakan berkenaan, selain memperkasakan gerak kerja di peringkat akar umbi. “Di bawah kepimpinan beliau, Wanita Gagasan Rakyat terus diperkasa untuk bergerak lebih aktif di peringkat akar umbi, khususnya dalam memperluas khidmat kepada rakyat serta memberi perhatian terhadap agenda kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, pada Isnin. Aziah berkata, Wanita Gagasan Rakyat menolak sekeras-kerasnya sebarang usaha menggunakan isu berbentuk persepsi, propaganda atau naratif tidak berasas untuk melemahkan parti dari dalam. Sehubungan itu, katanya, Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat akan terus memberi tumpuan kepada kerja di lapangan, turun padang dan mendekati rakyat bagi memastikan agenda serta perjuangan GRS/Gagasan Rakyat terus difahami dan dirasai masyarakat. Beliau turut menyeru seluruh ahli Wanita Gagasan Rakyat supaya kekal tenang, bersatu dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang propaganda atau naratif negatif yang bertujuan melemahkan semangat serta perpaduan parti. “Sudah tiba masanya kita mengukuhkan saf, memperteguh perpaduan dan memperluas khidmat kepada rakyat, bukannya meretakkan tembok yang telah kita bina bersama,” katanya. Aziah berkata, Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh bersama kepimpinan parti, selain memberi fokus kepada usaha memperkukuh organisasi dan memastikan suara serta khidmat parti terus sampai ke akar umbi.- Info X
August 17, 2026
Info X Reporters
Maritim dekati komuniti menerusi Kembara Jalur Gemilang 2026
KOTA KINABALU: Bukan hanya menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara, Maritim Malaysia turut turun padang mendekati masyarakat menerusi pelbagai inisiatif baharu sempena Kembara Maritim Jalur Gemilang 2026. Program dilaksanakan Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan itu mengetengahkan pendekatan berteraskan komuniti, selain menyemarakkan semangat cintakan negara dan patriotisme dalam kalangan masyarakat di Sabah. Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, antara inisiatif diperkenalkan ialah Kotak Kembara Cilik di Nabawan serta Pek Kembara Cilik. Katanya, Kotak Kembara Sejahtera pula diperkenalkan di Kalabakan, manakala Beg Kembara Sejahtera dan pin ‘Malaysia Tanah Airku, Saya Sayang Sabah’ dilancarkan di Semporna. “Pek Kembara Sejahtera turut akan diperkenalkan di Paitan sebelum diperluaskan ke lokasi persinggahan kembara yang lain. “Inisiatif ini menjadi medium menyemarakkan semangat cintakan negara serta memupuk nilai patriotisme dalam kalangan komuniti setempat,” katanya. Mohd Khairulanuar berkata, pendekatan berkenaan membolehkan Maritim Malaysia bukan sahaja menyampaikan mesej berkaitan keselamatan dan kedaulatan perairan negara, malah mengeratkan hubungan dengan masyarakat secara lebih dekat, inklusif dan berimpak. Menurutnya, Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan terus memperkasakan program berteraskan komuniti bagi meningkatkan kesedaran bahawa tanggungjawab mempertahankan kedaulatan negara turut bermula dengan semangat patriotisme rakyat. Katanya, usaha berkenaan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati dalam memastikan peranan Maritim Malaysia tidak hanya tertumpu kepada aspek penguatkuasaan di laut, sebaliknya turut mendekati masyarakat di setiap pelosok Sabah. – Info X
August 17, 2026
Info X Reporters
Pasang lampu isyarat pintar dengan teknologi AI di KK – ADUN Likas
KOTA KINABALU: Pengurusan trafik di bandar raya ini perlu dinaik taraf, termasuk melalui pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan AI, seperti yang dilaksanakan Perbadanan Putrajaya di Semenanjung. Menyuarakan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata sistem pengurusan trafik sedia ada di bandar raya Kota Kinabalu perlu dinilai semula bagi meningkatkan keberkesanannya. Sambil merakamkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut di Likas pada awal pagi Ahas (16 Ogos), beliau mahu insiden seumpama itu dijadikan peringatan dalam menamvah baik sistem pengurusan trafik sedia ada. “Kemalangan itu sekali lagi mengingatkan kita bahawa isu keselamatan jalan raya dan pengurusan trafik di Kota Kinabalu perlu diberikan perhatian yang lebih serius. Siasatan pihak polis masih berjalan dan kita tidak seharusnya membuat kesimpulan awal mengenai punca kemalangan. “Namun, kejadian seperti ini wajar menjadi pencetus kepada kita untuk menilai semula sama ada sistem pengurusan trafik yang digunakan di Kota Kinabalu hari ini benar-benar seiring dengan keperluan sebuah bandar raya yang semakin berkembang. “Sudah tiba masanya Kota Kinabalu mempertimbangkan pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar berasaskan AI, seperti yang sedang dilaksanakan oleh Perbadanan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin. Beliau berkata Putrajaya kini sedang beralih kepada sistem pengurusan trafik berasaskan AI yang menggunakan kamera Video Analytics untuk mengesan jumlah dan jenis kenderaan serta mengukur panjang barisan kenderaan. Sistem itu, katanya boleh melaraskan tempoh lampu hijau berdasarkan keadaan trafik semasa dan menganalisis corak trafik. “Malah, Perbadanan Putrajaya menyatakan bahawa 132 daripada 141 persimpangan lampu isyarat di Putrajaya telah dilengkapi sistem pintar, dengan baki persimpangan sedang dinaik taraf. “Sistem ini juga bergerak ke arah integrasi kamera AI bagi pengiraan kenderaan masa nyata, pengesanan barisan serta pengesanan insiden,” katanya. Beliau berkata, bagi Kota Kinabalu, ia juga perlu bergerak daripada pendekatan ‘lampu isyarat hanya bertukar mengikut masa yang ditetapkan’ kepada sistem yang mampu membaca keadaan trafik secara masa nyata dan bertindak mengikut keadaan sebenar di jalan raya. Jelasnya, ia bukan bermaksud teknologi AI mampu menghapuskan semua kemalangan, tetapi teknologi seperti itu boleh membantu pihak berkuasa memahami aliran trafik dengan lebih baik, mengenal pasti lokasi berisiko, mengurus kesesakan dan dalam jangka panjang, meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya. “Saya mencadangkan supaya DBKK, JKR bersama Kerajaan Negeri Sabah menjalankan kajian menyeluruh terhadap persimpangan-persimpangan kritikal di Kota Kinabalu, termasuk kawasan Likas, Inanam, Jalan Tuaran dan laluan-laluan utama yang sering mengalami kesesakan atau mempunyai rekod kemalangan. “Kita tidak semestinya perlu melaksanakan sistem AI di seluruh Kota Kinabalu sekali gus. Mulakan dengan projek perintis di beberapa persimpangan kritikal, nilai keberkesanannya dan kemudian kembangkan ke kawasan lain,” katanya. Tham berkata, Kota Kinabalu yang sedang berkembang sebagai pusat ekonomi Sabah yang pesat membangun nemerlukan pengurusan trafik bergerak daripada pendekatan konvensional kepada pengurusan trafik pintar, berasaskan data dan teknologi masa nyata. “Jika benar seperti yang ditegaskan oleh Perdana Menteri bahawa Sabah tidak boleh dipinggirkan, maka prinsip itu mesti diterjemahkan melalui tindakan dan pembangunan yang nyata, bukan sekadar kata-kata. “Jangan sampai kemajuan teknologi dan pembangunan infrastruktur pintar hanya tertumpu di Putrajaya dan bandar-bandar utama di Semenanjung, sedangkan Kota Kinabalu sebagai ibu negeri Sabah juga berdepan dengan kesesakan, pertambahan jumlah kenderaan, keperluan infrastruktur moden serta isu keselamatan jalan raya yang memerlukan penyelesaian segera. “Kota Kinabalu juga adalah sebahagian daripada Malaysia dan juga sebuah wilayah yang memerlukan pembangunan serta pelaburan infrastruktur secara segera. Rakyat Sabah berhak menikmati kemudahan awam dan teknologi pengurusan bandar yang setanding dengan apa yang sedang dibangunkan di Putrajaya,” katanya. Beliau berharap Kerajaan Negeri melalui JKR dan DBKK dapat melihat teknologi lampu isyarat AI bukan sekadar sebagai usaha mengurangkan kesesakan, tetapi sebagai sebahagian daripada strategi meningkatkan keselamatan jalan raya dan membina Kota Kinabalu sebagai sebuah bandar raya yang lebih selamat, cekap, pintar dan responsif. – Info X
August 17, 2026
Info X Reporters
Hampir RM1 bilion untuk pertanian, perindustrian dan pelancongan tahun ini – KM
KENINGAU: Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk pembangunan sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan selaku antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah tahun ini. Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu setiap Pegawai Daerah melihat potensi ekonomi yang ada di kawasan masing-masing. “Ada daerah yang mempunyai kekuatan dalam pertanian. Ada yang mempunyai potensi pelancongan. Ada yang mempunyai sumber marin. Ada juga yang mempunyai potensi dalam industri dan perdagangan. “Potensi ini perlu dikenal pasti dan dibangunkan secara terancang. Tugas kita ialah memastikan potensi itu dapat diterjemahkan kepada peluang pelaburan, pekerjaan dan peningkatan pendapatan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Pegawai Daerah Negeri Sabah ke-29 di Hotel Perkasa, di sini, pada Isnin. Dalam hal itu, Hajiji berkata beliau melihat Ekonomi Biru sebagai satu bidang yang mempunyai potensi besar, khususnya di kawasan luar bandar. Jelasnya, Sabah mempunyai sumber marin, biodiversiti dan kawasan pesisir luas yang berpotensi dimanfaatkan secara berhemah untuk mewujudkan peluang ekonomi baharu dan meningkatkan pendapatan masyarakat. “Saya berharap Pegawai Daerah dapat membantu mengenal pasti potensi tersebut dan memudah cara pelaburan yang sesuai dengan keperluan serta kekuatan setiap daerah,” katanya. Hajiji berkata, Kerajaan Negeri pada tahun ini mempunyai siling peruntukan pembangunan sebanyak RM12.02 bilion bagi 1,173 program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), iaitu yang tertinggi dalam sejarah Belanjawan Sabah. Siling peruntukan itu, katanya adalah untuk 241 projek sambungan, manakala 932 adalah projek baharu. “Namun, semakin besar peruntukan yang disediakan, semakin besar juga tanggungjawab kita untuk memastikan pelaksanaannya benar-benar berkesan,” katanya. Justeru, Ketua Menteri mahu setiap Pegawai Daerah memberikan perhatian serius terhadap pelaksanaan projek dan program di daerah masing-masing. Tegasnya, pemantauan juga perlu dibuat secara berterusan bagi mengenal pasti sebarang masalah yang mungkin timbul di daerah masing-masing. “Sekiranya terdapat masalah, ia perlu dikenal pasti lebih awal dan sekiranya berlaku kelewatan, puncanya perlu diketahui dan tindakan sewajarnya perlu diambil,” katanya. Beliau berkata, Pegawai-Pegawai Daerah dan Daerah Kecil juga perlu mengubah cara melihat kejayaan pembangunan dan bukan hanya melihat kepada jumlah projek yang diluluskan atau disiapkan. “Kita perlu melihat kepada impak untuk rakyat. Adakah masalah rakyat telah diselesaikan, kemudahan mereka bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan adakah kualiti hidup rakyat meningkat? Inilah ukuran sebenar kejayaan pembangunan,” katanya. Hajiji memberi jaminan pembangunan luar bandar akan terus menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri terutamanya kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. “Begitu juga perumahan, pendidikan, peluang pekerjaan, keusahawanan dan pembangunan ekonomi masyarakat. “Kita mahu jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar terus dirapatkan,” katanya. Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri juga akan terus memperkukuh pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan awam. Beliau mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah atas pembangunan Aplikasi Online Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai satu langkah penting untuk menjadikan penyampaian perkhidmatan kerajaan lebih cepat, telus dan mesra rakyat. “Saya berharap aplikasi ini terus diperkasakan, termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan atau AI. Teknologi ini boleh membantu rakyat mendapatkan maklumat dengan lebih mudah, selain memudahkan proses permohonan dan semakan,” katanya. Ketua Menteri juga mahu budaya kerja dalam pentadbiran daerah terus diperkukuhkan. “Kita mahu perkhidmatan yang cepat, keputusan yang tepat, tatakelola yang baik dan setiap tindakan haruslah sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. “Kita tidak boleh setiap kali berlaku perubahan, perancangan pembangunan turut berubah. Rakyat memerlukan kesinambungan manakala pelabur memerlukan keyakinan dan jentera kerajaan memerlukan hala tuju yang jelas,” katanya. Beliau berkata, kejayaan kerajaan bukan hanya diukur melalui dasar yang diumumkan atau jumlah peruntukan yang disediakan tetapi melalui perubahan yang dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat. “Apabila jalan menjadi lebih baik, bekalan air bertambah baik, peluang ekonomi bertambah dan kehidupan rakyat menjadi lebih sejahtera, maka itulah hasil sebenar pembangunan,” katanya. – Info X
August 17, 2026
Info X Reporters
Pegawai Daerah perlu berani ambil pendekatan baharu – KM
KENINGAU: Pegawai Daerah dan Pegawai Daerah Kecil digesa supaya sentiasa mengamalkan budaya kerja yang responsif, proaktif dan berintegriti serta berani mengambil pendekatan baharu. Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata tindakan berani mengambil pendekatan baharu perlu jika pendekatan itu dapat meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. “Namun, pada masa yang sama, setiap tindakan hendaklah dibuat berdasarkan peraturan, tatakelola dan kepentingan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Sabah kali ke-29 di Hotel Perkasa, di sini, pada Isnin. Beliau berkata tema persidangan pada tahun ini, ‘Memacu Inovasi, Memperkasa Komuniti’, amat bertepatan dengan keperluan pentadbiran awam pada masa kini. “Kita berhadapan dengan perubahan yang begitu pantas. Kemajuan teknologi, perubahan ekonomi global, perubahan sosial serta peningkatan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam menuntut kita supaya terus memperbaiki cara kita bekerja. “Pentadbiran kerajaan perlu lebih cekap, responsif dan berpaksikan kepada keperluan rakyat,” katanya. Dalam konteks itu, Ketua Menteri berkata Pejabat Daerah menjadi antara institusi penting dalam jentera Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi. Katanya, Pegawai Daerah mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan dasar, program dan projek kerajaan dapat diterjemahkan kepada tindakan di lapangan. “Tuan-Tuan dan Puan-Puan bukan sahaja berperanan dalam menyelaras pembangunan daerah, tetapi turut menjadi penghubung antara kerajaan dengan rakyat,” katanya. Hajiji berkata Kerajaan Negeri kini meneruskan agenda pembangunan Sabah melalui Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 yang menjadi kesinambungan kepada asas pembangunan sebelum ini. Namun, katanya kejayaan agenda pembangunan itu tidak hanya bergantung kepada perancangan di peringkat Kerajaan Negeri, malah turut bergantung kepada keupayaan seluruh jentera kerajaan untuk melaksanakannya. Dalam hal itu katanya, Pegawai Daerah dan Pejabat Daerah mempunyai peranan yang amat penting. “Pejabat Daerah menjadi antara institusi kerajaan yang paling hampir dengan rakyat. Oleh itu, peranan saudara dan saudari dalam memastikan dasar kerajaan sampai kepada rakyat adalah sangat besar. “Kita juga perlu melihat pembangunan negeri dalam perspektif jangka panjang. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, kita telah melalui pelbagai cabaran, termasuk kesan pandemik dan ketidaktentuan ekonomi. “Namun, kita terus melaksanakan pembangunan dan memperkukuh asas ekonomi negeri. Apa yang telah dibina perlu diteruskan dan diperkukuhkan,” katanya. Hajiji berkata, atas sebab itu, kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran amat penting kerana pembangunan tidak boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat. Katanya, usaha itu memerlukan perancangan yang konsisten, dasar yang jelas dan jentera kerajaan yang mampu melaksanakan perancangan berkenaan. Dalam hubungan itu, Ketua Menteri mahu seluruh jentera kerajaan, termasuk Pejabat Daerah, memahami hala tuju pembangunan negeri. “Kita mempunyai perancangan. Kita mempunyai peruntukan. Kita mempunyai projek-projek yang telah dikenal pasti dan kita mempunyai jentera kerajaan di semua peringkat. “Apa yang diperlukan ialah penyelarasan, disiplin pelaksanaan dan komitmen untuk memastikan semua perancangan tersebut menghasilkan manfaat kepada rakyat,” katanya. Beliau turut mengarahkan Pegawai Daerah agar memberi perhatian kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan dan tidak menunggu sesuatu masalah menjadi besar. “Jika terdapat isu, ambil tindakan lebih awal. Jika memerlukan penyelarasan dengan agensi lain, lakukan segera. Jika terdapat potensi yang boleh dibangunkan, bantu memudahkannya. “Pendekatan seperti ini perlu menjadi budaya kerja dalam pentadbiran daerah,” katanya. Hajiji turut mengingatkan bahawa kelewatan projek tidak boleh dianggap sebagai perkara biasa kerana setiap kelewatan memberi kesan kepada rakyat. “Jika terdapat masalah dalam pelaksanaan, kita perlu bertindak lebih awal. Jika terdapat isu penyelarasan, kita perlu duduk bersama dan mencari penyelesaian. “Matlamat kita adalah memastikan setiap projek yang dirancang dapat memberikan manfaat kepada rakyat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya. – Info X