July 10, 2026
Info X Reporters
Tiga ditahan, lebih 165 gram serbuk ekstasi dirampas di Penampang
KOTA KINABALU: Polis menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah Penampang, semalam. Dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu, tiga lelaki termasuk seorang warga asing diberkas bersama rampasan dadah dianggarkan seberat 168.39 gram. Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, serbuan pertama dijalankan kira-kira jam 2 petang di Beverly Hills, Jalan Bundusan. Katanya, seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun ditahan selepas pemeriksaan menemukan 83.83 gram dadah disyaki serbuk ekstasi dan 1.42 gram ketamin. “Susulan tangkapan itu, polis menjalankan risikan lanjut sebelum menyerbu sebuah kondominium di daerah Penampang pada jam 3.40 petang. “Dalam serbuan kedua, dua lelaki tempatan masing-masing berusia 22 tahun ditahan. “Hasil pemeriksaan menemui 81.39 gram dadah disyaki serbuk ekstasi dan 1.75 gram ketamin,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, keseluruhan rampasan membabitkan 165.22 gram serbuk ekstasi dan 3.17 gram ketamin. Beliau berkata, polis turut menyita beberapa kenderaan serta telefon bimbit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. “Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara sehingga 30 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali. “Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan atau pengedaran dadah. “Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah boleh disalurkan kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras kegiatan itu,” katanya. – Info X
July 10, 2026
Info X Reporters
Lelaki dikhuatiri hilang ketika cari ikan di Sungai Takula
SIPITANG: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas gagal pulang ke rumah sejak keluar mencari ikan di Sungai Takula Besar, Kampung Takula, Jalan Skim Sindumin, di sini. Mangsa dikenali sebagai Andrew Udan, 52, dilaporkan keluar dari rumah pada jam 2 petang, 3 Julai lalu bersama seorang rakannya untuk mencari ikan sebelum memaklumkan kepada ahli keluarga bahawa dia akan pulang pada 5 Julai. Bagaimanapun, mangsa tidak pulang seperti dijanjikan, menyebabkan anaknya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang pada jam 8.26 malam, 8 Julai. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Desmond AK Micky @ Dominic, berkata, pihaknya menerima panggilan daripada IPD Sipitang berhubung kejadian itu pada jam 9.06 pagi tadi. “Sepasukan lima anggota bersama sebuah kenderaan utiliti dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai dan tiba pada jam 9.29 pagi. “Pasukan operasi kemudian mendapatkan maklumat daripada ahli keluarga mangsa sebelum memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Sungai Takula Besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, operasi SAR dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Beliau berkata, operasi berdepan cabaran apabila kawasan pencarian tidak mempunyai liputan rangkaian Government Integrated Radio Network (GIRN) selain mengalami masalah talian komunikasi. “Setakat ini mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR masih diteruskan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
July 10, 2026
Info X Reporters
Carlsberg angkat kisah sebenar di sebalik sambutan Pesta Kaamatan dan Gawai menerusi siri ‘People Behind The Rhythm’
SHAH ALAM: Carlsberg Malaysia memperkenalkan siri filem dokumentari bertajuk People Behind The Rhythm bagi mengetengahkan kisah individu tempatan yang menjadi tulang belakang kepada penghasilan kempen Rhythm of Harvest, sekali gus meraikan warisan budaya Sabah dan Sarawak sempena musim pesta menuai. Siri tiga filem itu dihasilkan berteraskan konsep ‘By Locals, For Locals’ dengan memaparkan pengalaman sebenar komuniti, penggiat seni dan pengamal budaya yang memainkan peranan penting dalam menghidupkan semangat Pesta Kaamatan dan Hari Gawai melalui muzik, tarian, pakaian tradisional serta penceritaan budaya. Pengarah Urusan Carlsberg Malaysia, Stefano Clini, berkata Rhythm of Harvest bukan sekadar sebuah video muzik, sebaliknya menjadi lambang penghargaan terhadap identiti, rasa syukur dan semangat kekitaan masyarakat Sabah dan Sarawak yang kaya dengan tradisi serta budaya. Katanya, setiap elemen yang dipersembahkan termasuk irama muzik, koreografi, busana tradisional dan visual ikonik seperti burung kenyalang, Gunung Kinabalu serta bunga Rafflesia dipilih dengan teliti bagi mencerminkan keunikan sambutan pesta menuai di kedua-dua negeri. “Sejak awal lagi, Rhythm of Harvest diwujudkan bagi meraikan Sabah dan Sarawak dengan cara yang benar-benar mencerminkan masyarakat serta komuniti di sana. Melalui People Behind The Rhythm, kami mahu memberi ruang kepada suara mereka kerana inilah kisah mereka yang disampaikan mengikut cara mereka sendiri. Itulah makna sebenar Raikan Bersama Sabah & Sarawak,” katanya. Kempen itu turut meneruskan kerjasama Carlsberg bersama artis tempatan, termasuk pelukis dari Sabah, Nelson Lip dan artis Sarawak, T. Bagak, yang sebelum ini menghasilkan rekaan pembungkusan khas Carlsberg berinspirasikan padi sebagai simbol kehidupan dan hasil tuaian. Siri dokumentari berkenaan diarahkan pembikin filem kelahiran Sarawak, Sarah Lois, yang terkenal dengan karya berteraskan warisan masyarakat Kelabit serta pendekatan penceritaan yang menitikberatkan keaslian budaya melalui kerjasama rapat bersama komuniti tempatan. Setiap episod menampilkan tema berbeza, antaranya perjalanan individu menghayati semula akar budaya, bagaimana muzik menjadi medium memelihara memori dan identiti, serta evolusi tarian tradisional yang terus diwariskan kepada generasi baharu. Penulis lirik Rhythm of Harvest, Melina William, berkata muzik mempunyai keupayaan menyatukan masyarakat walaupun berada jauh dari kampung halaman. “Apabila saya kembali mengenali akar budaya melalui muzik, saya sedar bahawa bunyi dan irama dari tanah air sentiasa bersama kita walau di mana berada. Bagi mereka yang merantau, muzik mampu membawa kita pulang secara emosi dan mengingatkan bahawa sebahagian daripada rumah sentiasa berada dalam diri kita,” katanya. Sementara itu, koreografer Arthur Darren berkata setiap gerakan tarian membawa kisah tersendiri dan menjadi jambatan antara warisan tradisional dengan ekspresi moden. Katanya, Rhythm of Harvest memberi penghormatan kepada asas tarian tradisional sambil mempersembahkannya dalam pendekatan yang lebih dekat dengan generasi muda agar budaya terus dipelihara dan berkembang mengikut peredaran zaman. Carlsberg berkata kempen Raikan Bersama Sabah & Sarawak akan terus menghimpunkan masyarakat bagi meraikan warisan, identiti bersama dan tradisi yang kekal subur di Sabah dan Sarawak, selain menggalakkan amalan menikmati minuman beralkohol secara bertanggungjawab.- Info X
July 10, 2026
Info X Reporters
Pemberian Khas: RM600 juta daripada RM1.5 bilion sudah dibayar kepada Sabah – MOF
KOTA KINABALU: Sebanyak RM600 juta sudah dibayar kepada kerajaan negeri daripada keseluruhan RM1.5 bilion Pemberian Khas yang diberikan Kerajaan Persekutuan kepada Sabah pada tahun ini. Bayaran itu dibuat pada 12 Jun lalu seperti dijelaskan Kementerian Kewangan (MOF), sebagai sebahagian daripada amaun baharu Pemberian Khas kepada Sabah yang dipersetujui di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah. Perkara itu dijelaskan oleh MOF dalam jawapan bertulis terhadap soalan lisan yang dikemukakan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau ketika Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Isnin. MOF menjelaskan baki sebanyak RM900 juta lagi akan disalurkan selepas Perintah Pemberian Khas baharu berkuatkuasa. “Beberapa proses dan prosedur perlu diselesaikan terlebih dahulu melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah. “Draf Perintah Yang di-Pertuan Agong perlu digubal dan diwartakan selaras dengan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” jelas MOF. Pada Isnin lalu, Madius meminta MOF menyatakan bila pembayaran khas interim RM1.5 bilion dilaksanakan dan sama ada ia adalah sebahagian daripada pembayaran 40 peratus hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan. Jika ya katanya, bilakah bayaran selebihnya akan dilaksanakan, manakala sekiranya tidak berapakah dan bilakah pembayaran 40 peratus hak perlembagaan rakyat Sabah dilaksanakan. MOF menjelaskan, kerajaan Persekutuan melalui platform Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) terus berunding bagi menambah baik Pemberian Khas kepada Sabah dengan mengambil kira formula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah serta mematuhi peruntukan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Perkara 112D. Kementerian itu turut menjelaskan di bawah Kerajaan MADANI, Pemberian Khas kepada Sabah telah dinaikkan secara berperingkat daripada RM125.6 juta pada 2022 kepada RM300 juta pada 2023, seterusnya hampir sekali ganda kepada RM600 juta pada 2025 dan kini RM1.5 bilion seperti diumumkan Perdana Menteri pada 30 Mei lalu. Pada masa sama, MOF berkata kerajaan Persekutuan dan Sabah masih meneruskan rundingan bagi merumuskan kaedah baharu menentukan amaun pemberian khas pada masa depan dengan mengambil kira keperluan kewangan Sabah berkaitan kos perkhidmatan negeri. “Sebarang pelaksanaan formula 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah perlu dilaksanakan secara teratur, berlandaskan undang-undang dan memenuhi semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya. – Info X
July 10, 2026
Info X Reporters
Isu beras: LPBS perlu diberi kuasa lebih besar pantau bekalan di Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan Pusat diminta memberikan bidang kuasa yang lebih besar kepada Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dalam pemantauan bekalan beras di negeri ini. Menyuarakan perkara itu, Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata langkah itu penting bagi memastikan sebarang isu berkaitan bekalan beras dapat dikenal pasti dan ditangani. Katanya, LPBS perlu diberi peranan lebih signifikan sebagai rakan strategik Kerajaan Persekutuan, khususnya dalam pemantauan bekalan beras, pengumpulan data stok dan penguatkuasaan bersama. Beliau berkata, peranan LPBS juga harus meliputi aspek perancangan keselamatan makanan negeri dan penyelarasan pengagihan bekalan ketika berlaku krisis. “Pendekatan ini bukan untuk mengambil alih kuasa Persekutuan, tetapi bagi memperkukuhkan kerjasama demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur. Katanya, dalam hal itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Persekutuan perlu berganding bahu dan menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah. Sambil menyifatkan langkah Kerajaan Sabah menubuhkan LPBS sebagai berpandangan jauh, Matbali turut membangkitkan tiga persoalan penting untuk ditangani Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkaitan isu padi dan beras di Sabah. “Pertama, mengapakah subsidi pesawah di Sabah masih dihadkan kepada enam ekar sedangkan struktur pengusahaan, keluasan tanah dan kos pengeluaran di Sabah jauh berbeza daripada Semenanjung. “Kedua, bolehkah kementerian memberi jaminan bahawa kuota 25,000 tan metrik beras sebulan untuk Sabah akan dipenuhi secara konsisten tanpa sebarang kekurangan atau kelewatan. “Ketiga, adakah kerajaan bersedia mewujudkan Stok Penimbal Beras Sabah serta memberikan peranan yang lebih besar kepada LPBS dalam pemantauan bekalan, pengurusan stok dan perancangan keselamatan makanan negeri?,” katanya. Mengenai RUU yang dibentangkan, beliau menyifatkannya sebagai benteng baharu kepada sistem bekalan makanan negara. “Ia memperkukuh pemantauan, memperkemaskan penguatkuasaan, membanteras manipulasi dan mematahkan kerakusan kartel. “Lebih penting, ia mengembalikan keyakinan rakyat bahawa kerajaan tidak membiarkan makanan ruji mereka terus diperdagangkan sesuka hati oleh golongan tidak bertanggungjawab,” katanya. Sehubungan itu, beliau menyokong penuh cadangan menaikkan penalti terhadap mereka yang melanggar undang-undang berkaitan padi dan beras. Matbali turut meminta kerajaan mengenal pasti lebih banyak kawasan jelapang padi baharu serta menggunakan teknologi moden, termasuk kecerdasan buatan dalam membangunkan industri tanaman padi. Katanya, Sabah masih mempunyai khazanah tanah yang luas dan berpotensi untuk dibangunkan, contohnya di kawasan pantai Barat Sabah. Beliau berkata, dari Papar hingga ke Sipitang sahaja terdapat lebih 4,000 hektar tanah yang dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan padi. “Jika kawasan ini dibangunkan secara moden dengan mekanisasi, sistem pengairan pintar dan teknologi baharu, Sabah mampu menjadi antara penyumbang penting bekalan beras negara,” katanya.- Info X
July 10, 2026
Info X Reporters
Rumah, motosikal musnah dalam kebakaran di Kota Marudu
KOTA MARUDU: Empat rumah dan empat motosikal musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Talantang, Jalan Damai, di sini, awal pagi tadi. Kejadian kira-kira jam 2 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Debli Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.19 pagi. Katanya, sepasukan 12 anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak 15 kilometer dari BBP Kota Marudu untuk membantu. “Setibanya di lokasi, kebakaran melibatkan empat rumah jenis separuh kekal dan usaha memadamkan ke akaran terus dilaksanakan segera. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang 122 meter dengan tiga pancutan dari sumber air daripada jentera dan air parit. “Terdapat empat motosikal yang berada di lokasi turut musnah sepenuhnya selepas gagal dipindahkan pemilik,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan operasi berjaya mengawal api daripada terus merebak pada jam 3.17 pagi dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. “Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.33 pagi,” katanya. – Info X
July 10, 2026
Info X Reporters
Penganggur cari duit mudah jual dadah, berakhir di lokap
KENINGAU: Hasrat tiga penganggur untuk meraih wang mudah melalui kegiatan pengedaran dadah tidak kesampaian apabila mereka ditahan bersama syabu dalam serbuan di hadapan sebuah inap desa di daerah ini, semalam. Dalam operasi jam 5.50 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan sebuah Perodua Bezza yang berada dalam keadaan mencurigakan. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sebuah kotak besi berwarna coklat yang diletakkan di bahagian hadapan gear. “Pemeriksaan lanjut ke atas kotak itu membawa kepada penemuan enam paket plastik lutsinar mengandungi ketulan jernih disyaki syabu dengan anggaran berat keseluruhan 10.15 gram. “Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM1,500,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, pemeriksaan terhadap ketiga-tiga suspek berusia 21 hingga 23 tahun tidak menemukan sebarang barangan lain yang menyalahi undang-undang. Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek negatif dadah, manakala seorang lagi positif methamphetamine dan amphetamine. “Ketiga-tiga suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala suspek yang positif dadah turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama. “Siasatan masih diteruskan termasuk mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah berkenaan,” katanya. – Info X
July 9, 2026
Info X Reporters
Op Chiller Briged Sabah: 21 ditahan, nilai rampasan cecah RM24.15 juta
KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan 21 individu serta merampas pelbagai barangan bernilai RM24.15 juta menerusi Operasi Bersepadu Op Chiller Briged Sabah yang dilaksanakan pada 8 Julai lalu. Operasi yang berlangsung bermula jam 8 pagi itu dijalankan serentak di 11 daerah di negeri ini iaitu Kota Kinabalu, Papar, Penampang, Tawau, Keningau, Semporna, Sandakan, Beluran, Lahad Datu, Sook dan Sipitang. Operasi bersepadu kali ini melibatkan seramai 147 pegawai terdiri daripada anggota Briged Sabah PGA, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN). Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, berkata operasi berkenaan bertujuan untuk mengesan dan membanteras aktiviti penyeludupan. Katanya, ia turut menumpukam kesalahan lain termasuk penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku. “Hasil operasi, sebanyak 14 serbuan berjaya dilaksanakan yang membawa kepada penahanan 21 individu termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 66 tahun. “Operasi turut berjaya merampas pelbagai produk sejuk beku melibatkan produk makanan segera termasuk nugget, sosej, daging import jenama Allana, lamb shoulder, daging ayam, ikan, daging shabu-shabu serta organ dalaman lembu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dan sitaan dianggarkan sebanyak RM24.152 juta iaitu melibatkan produk sejuk beku bernilai RM10.348 juta serta sitaan aset bernilai RM13.804 juta. Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Enakmen Haiwan 2015, Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan termasuk Food Establishment By-Law 2022, Sabah Uniform Building By-Law 2022, Licensing the Use of Premises for Trade, Business, Industry and Profession By-Law 2022 serta Akta Kawalan Bekalan 1961. “Semua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut bidang kuasa masing-masing,” katanya. Sehubungan itu, Mohd Yusri menegaskan PDRM akan terus komited dan konsisten membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku dan lain-lain kesalahan yang menyalahi undang-undang, khususnya di Sabah. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti berkenaan digesa supaya menyalurkannya kepada pihak PDRM bagi membantu usaha penguatkuasaan,” tegasnya. – Info X