July 4, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut tersepit dalam kemalangan dua kenderaan
KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 21 tahun maut selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan UMS berhampiran Alamesra, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, mangsa yang memandu Perodua Viva disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Manakala pemandu Perodua Alza, lelaki berusia 57 tahun, terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan 10 anggota bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah EMRS ke lokasi. Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati kedua-dua kenderaan terbabit bertembung sebelum terbabas ke bahu jalan. “Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan pemandu Perodua Viva yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas (Rescue Tools). “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan KKM sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi ditamatkan selepas pasukan bomba memastikan keadaan di lokasi selamat. – Info X
July 4, 2026
Info X Reporters
Kanak-kanak melecur, rumah dan dua kenderaan terbakar
KUNAK: Seorang kanak-kanak lelaki cedera melecur di kaki kiri selepas sebuah rumah jenis tidak kekal terbakar dalam kejadian di Kampung Kasnuri di sini, malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak, Mohamad Omarbatha berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.20 malam. Katanya, sepasukan sembilan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti digerakkan ke lokasi dan tiba enam minit kemudian. “Hasil pemeriksaan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berukuran 20 kaki x 30 kaki yang musnah sepenuhnya. “Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta jenis Perodua Kancil dan sebuah motosikal, masing-masing terbakar 100 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki mengalami kecederaan melecur di kaki kiri dan diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba di lokasi kejadian. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada tangki jentera bomba. “Api berjaya dikawal pada jam 9 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.17 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko kebakaran semula. “Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X
July 4, 2026
Info X Reporters
12 rumah terbakar dalam kebakaran di Kampung Kalansanan
KOTA KINABALU: Sebanyak 12 rumah di Kampung Kalansanan, Inanam, di sini, terjejas dalam kebakaran malam tadi. Dalam kejadian itu, 11 rumah musnah sepenuhnya manakala sebuah lagi mengalami kerosakan 50 peratus. Bagaimanapun, kejadian itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa apabila semua penghuni dilaporkan berjaya menyelamatkan diri sebelum api merebak. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 9.20 malam sebelum menggerakkan anggota bersama bantuan dari BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang ke lokasi kejadian. “Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati kebakaran membabitkan 12 rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan kira-kira 277.34 meter persegi. “Daripada jumlah itu, 11 rumah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan enam pancutan air. “Sumber air diperoleh daripada tangki jentera, Water Tanker dan sungai berhampiran. “Seramai 37 anggota bersama tiga jentera, dua Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah water tanker serta beberapa kenderaan operasi terbabit dalam operasi berkenaan. “Api berjaya dikawal sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya selepas pemeriksaan memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula,” katanya. Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X
July 3, 2026
Info X Reporters
Perdana Park Tanjung Aru dibuka semula mulai Sabtu
KOTA KINABALU: Perdana Park Tanjung Aru, di sini, akan dibuka semula kepada orang awam untuk melakukan aktiviti rekreasi bermula pada Sabtu, 4 Julai 2026. Taman yang popular sebagai lokasi joging warga bandar raya itu sebelum ini ditutup sejak Disember 2024 selepas insiden serangan memerang. Pada Khamis, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, mengetuai Walkabout Pra Pembukaan taman berkenaan sebagai persediaan menjelang pembukaan semulanya. Bahagian Pengurusan Media dan Perhubungan Awam DBKK dalam satu kenyataan, berkata sesi walkabout itu bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan serta memastikan kemudahan asas dan persekitaran taman berada dalam keadaan selamat, bersih dan selesa untuk menerima kehadiran pengunjung. Katanya, pembukaan semula itu dibuat susulan penyerahan rasmi pengurusan Perdana Park Tanjung Aru oleh Kementerian Kewangan Negeri kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada 29 Jun 2026. “Perdana Park Tanjung Aru akan beroperasi setiap hari bermula jam 7 pagi hingga 7 malam. Bagi memastikan kawalan dan keselamatan fasiliti taman, pintu pagar akan ditutup selepas waktu operasi dan orang awam tidak dibenarkan berada di kawasan taman. “Buat masa ini, caj tempat letak kereta adalah percuma sehingga sistem pembayaran tempat letak kereta digital dilaksanakan,” katanya. Bagaimanapun katanya, beberapa kawasan masih ditutup sepenuhnya kepada orang awam kerana masih berada dalam fasa penilaian keselamatan. Katanya, kawasan yang terlibat ialah air pancut berirama, air pancut interaktif, alat permainan kanak-kanak bersebelahan pejabat operasi serta sistem dispenser air. “Orang awam dilarang memasuki kawasan tersebut dan DBKK tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan atau kecederaan akibat pelanggaran larangan berkenaan. “DBKK akan melaksanakan kerja-kerja naik taraf secara berperingkat bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengunjung. “Pengunjung juga dinasihatkan supaya berhati-hati ketika menggunakan kemudahan taman, khususnya trek joging sintetik dan kawasan permainan kanak-kanak, yang mungkin berada dalam keadaan licin semasa hujan,” katanya. Selain itu, katanya orang awam diminta untuk sentiasa mematuhi peraturan dan larangan taman, antaranya menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah merata-rata tempat, mematuhi arahan dan papan tanda peraturan taman dan arahan Pegawai DBKK yang bertugas. Pengunjung turut dilarang memetik tanaman atau bunga, merokok atau menyalakan api, merosakkan harta benda taman, membuat bising, membawa binatang peliharaan dan memasang sepanduk “Aktiviti memancing, mandi-manda, barbeku, berkhemah dan menjaja adalah tidak dibenarkan. Sebarang penganjuran aktiviti atau program yang ingin dianjurkan di kawasan taman hendaklah mendapat kelulusan DBKK terlebih dahulu. “DBKK menyeru kepada orang ramai untuk sentiasa mengamalkan sikap bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan, mematuhi arahan serta bersama-sama memastikan kemudahan awam di taman ini sentiasa berada dalam keadaan baik untuk kegunaan bersama,” katanya. – Info X
July 3, 2026
Info X Reporters
208 PATI ditahan dalam tiga hari
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan 208 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) menerusi 26 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh negeri. Operasi selama tiga hari bermula 30 Jun lalu itu dilaksanakan di beberapa kawasan strategik dan tumpuan warga asing termasuk Pasar Besar Kota Kinabalu, Pekan Inanam dan beberapa penempatan setinggan. Dalam kenyataan yang dikeluarkan JIM Sabah menegaskan, semua operasi berkenaan dilaksanakan bagi mempergiatkan operasi penguatkuasaan yang dijalankan secara serentak di seluruh negeri Sabah. Katanya, ia dalam usaha membanteras kehadiran PATI serta bagi mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen. “Hasil pemeriksaan terhadap 1,187 orang, seramai 208 PATI ditangkap terdiri daripada warganegara Filipina yang melibatkan 53 lelaki, 72 wanita dan 39 kanak-kanak. “Pasukan operasi turut berjaya menahan 15 lelaki dan 15 wanita warga Indonesia, lima warga Pakistan dan enam lelaki warga China serta tiga lelaki warga India,”katanya dalam kenyataan media, semalam. Menurutnya, JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan di lokasi-lokasi strategik di seluruh negeri. Katanya, orang ramai turut diingatkan agar tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara. “Orang ramai juga disarankan agar melaporkan sebarang kegiatan PATI menerusi saluran rasmi JIM Sabah untuk tindakan penguatkuasaan. “Sebarang maklumat boleh disalurkan menerusi laman portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) https://spab.gov.my atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) https://eapp.imi.gov.my,” katanya. – Info X
July 2, 2026
Info X Reporters
‘Betulkan rekod, bayaran khas diterima kerajaan Warisan pada 2019 masih interim’ – Darell
KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan menolak jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan yang dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan Warisan sebelum ini. Timbalan Presiden Warisan, Datuk Darrel Leiking, berkata jawapan itu menimbulkan tanggapan bahawa pentadbiran kerajaan Warisan pada 2019 bersetuju menerima kadar pemberian khas yang lebih rendah sebagai penyelesaian muktamad. “Saya merujuk kepada jawapan lisan YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di Parlimen pada 30 Jun 2026 berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan. “Saya menghargai kesediaan YAB Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan mengenai isu yang telah sekian lama menjadi tuntutan rakyat Sabah. “Namun demikian, jawapan tersebut telah menimbulkan tanggapan bahawa pentadbiran Parti Warisan pada tahun 2019 telah bersetuju menerima kadar Pemberian Khas yang lebih rendah sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak perlembagaan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis. Beliau berkata, Warisan tidak pernah menyerahkan, menggadaikan atau berkompromi terhadap hak perlembagaan Sabah. Jelasnya, cadangan untuk meningkatkan Pemberian Khas daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta pada Oktober 2019 bukanlah suatu penyelesaian muktamad. “Ia dipersetujui semata-mata sebagai bayaran interim (sementara) yang diterima secara ‘without prejudice’, tanpa menjejaskan hak Sabah untuk terus menuntut formula sebenar sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C, Perkara 112D dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. “Tujuan pendekatan tersebut adalah jelas. Selepas lebih empat dekad tanpa semakan yang bermakna, Kerajaan Negeri ketika itu mengambil pendekatan pragmatik supaya Sabah menerima tambahan dana dengan segera sementara rundingan mengenai formula sebenar diteruskan melalui Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). “Penerimaan bayaran interim tersebut sama sekali tidak boleh ditafsirkan sebagai pengguguran atau penyerahan hak perlembagaan Sabah,” katanya. Darell berkata, lebih penting lagi, rundingan itu berlangsung dengan pengetahuan dan penglibatan penuh Kerajaan Persekutuan ketika itu yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Timbalan Perdana Menteri dan Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan. Jelas Darell, semua pihak yang terlibat memahami bahawa cadangan RM53.4 juta hanyalah satu bayaran interim yang dibuat secara without prejudice, sementara rundingan bagi memuktamadkan formula sebenar diteruskan. “Atas sebab itulah tiada Perintah Perlembagaan mahupun Warta Persekutuan dikeluarkan pada tahun 2019 kerana rundingan tersebut masih berjalan dan belum dimuktamadkan. “Sekiranya masih terdapat sebarang keraguan mengenai kedudukan sebenar rundingan tersebut, saya dengan hormat mencadangkan agar YAB Perdana Menteri mendapatkan penjelasan daripada mereka yang menganggotai Kabinet Persekutuan ketika itu. “Mereka terlibat secara langsung dalam proses tersebut dan berada dalam kedudukan terbaik untuk menjelaskan konteks sebenar rundingan yang berlangsung,” katanya Darell berkata, keadaan itu bagaimanapun berubah sama sekali pada 2022 yang mana Warisan membantah Perintah Perlembagaan Persekutuan (Review of Special Grant Under Article 112D) (State of Sabah) Order 2022 [P.U. (A) 119] kerana pendekatan itu menyimpang daripada persefahaman yang dicapai pada 2019. Pertama, katanya Kerajaan Persekutuan ketika itu telah menyatakan bahawa formula asal yang menjadi asas hak Sabah tidak lagi terpakai. “Kedua, tidak seperti pendekatan tahun 2019, Perintah Tahun 2022 tidak lagi memasukkan klausa ‘interim’ atau ‘without prejudice’. “Keadaan ini menimbulkan kebimbangan yang serius dari sudut perundangan kerana ia boleh ditafsirkan sebagai menggantikan hak perlembagaan Sabah dengan suatu jumlah pukal dan bukannya berdasarkan formula yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya. Berikutan itu, katanya isu berkenaan tidak seharusnya dipolitikkan kerana ia melibatkan hak perlembagaan Sabah dan integriti Perlembagaan Persekutuan. “Sehubungan itu, saya menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menyahklasifikasikan (declassify) dengan segera Laporan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai MA63; Minit Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet MA63; Kertas-kertas Kabinet yang berkaitan; dan Dokumen teknikal rundingan bagi tempoh 2018 hingga 2020. “Rekod rasmi tersebut akan membuktikan bahawa Cadangan RM53.4 juta hanyalah satu bayaran interim; Rundingan mengenai formula sebenar masih berjalan; Warisan tidak pernah berganjak daripada mempertahankan hak perlembagaan Sabah; dan Tidak pernah wujud sebarang persetujuan untuk menjadikan RM53.4 juta sebagai penyelesaian muktamad terhadap hak Sabah,” katanya. Jelasnya, ketelusan adalah demi kepentingan semua pihak, khususnya rakyat Sabah dan akhirnya, perbahasan itu bukan mengenai RM26.7 juta atau RM53.4 juta. “Perbahasan ini adalah mengenai sama ada Perlembagaan Persekutuan akan dihormati dan dilaksanakan sebagaimana yang diperuntukkan. “Hak Sabah bukan ihsan mana-mana Kerajaan Persekutuan. Hak Sabah adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan wajib dilaksanakan dengan penuh amanah serta berlandaskan kedaulatan undang-undang,” katanya. – Info X
July 2, 2026
Info X Reporters
Kilang roti terbakar di Kolombong
KOTA KINABALU: Sebuah kilang membuat roti di Kolombong, di sini, hampir musnah selepas terbakar, tengah hari tadi. Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan ataupun kemalangan jiwa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 11.14 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian. “Kebakaran melibatkan sebuah kilang memproses roti yang terletak di tingkat 1 sebuah bangunan 3 tingkat yang terbakar sehingga 80 peratus. “Pasukan bomba terus bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan tiga aliran sepanjang 60 meter dengan lima pancutan dari sumber air daripada jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 12.16 tengah hari dan tiada sebarang mangsa dilaporkan terlibat. “Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang,” katanya. – Info X
July 2, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang ketika menyeberangi sungai ditemukan lemas
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika menyeberangi sungai di Kampung Lebak Engad, di sini ditemukan meninggal dunia selepas hampir dua hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan. Mangsa ditemukan orang awam pada jam 6.15 petang, kira-kira 150 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, PKPgB Elge Bakuk berkata, operasi SAR hari kedua bermula pada jam 8.50 pagi dengan kerjasama beberapa agensi penyelamat. Katanya, operasi dibahagikan kepada dua kaedah iaitu pencarian di permukaan sungai menggunakan bot penyelamat melalui teknik Water Surface Search serta pencarian darat di sepanjang tebing sungai. “Mangsa akhirnya ditemukan oleh orang awam pada jam 6.15 petang dalam keadaan meninggal dunia. “Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, mangsa sebelum itu dilaporkan hilang selepas dipercayai lemas ketika menyeberangi sungai pada petang 1 Julai. Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada jam 1.18 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. “Operasi hari pertama dijalankan menggunakan kaedah Surface Rescue dengan pencarian di permukaan dan sepanjang tebing sungai sejauh kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dipercayai hilang. “Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Kota Marudu kemudian menjalankan selaman di lokasi mangsa kali terakhir dilihat dengan radius pencarian sejauh 500 meter,” katanya. Beliau berkata, selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.54 petang. Operasi membabitkan 19 anggota bomba bersama Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pangkalan Abai serta penduduk kampung. – Info X