June 20, 2026
Info X Reporters
Kerajaan komited dekati usahawan muda melalui pelbagai bantuan, inisiatif
TAWAU: Usaha mendekati dan membantu usahawan muda menerusi Jelajah Outreach Usahawan Muda diteruskan di Zon Tawau dan Kalabakan, baru-baru ini. Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Azrul Ibrahim, berkata program itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyantuni golongan belia dan usahawan muda melalui pelbagai bantuan, inisiatif serta program yang signifikan. Katanya, keprihatinan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terhadap pembangunan modal insan dan keusahawanan anak muda itu selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). “Ini selaras dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pemerkasaan generasi muda sebagai pemacu kemajuan negeri,” katanya mengulas pelaksanaan program berkenaan dalam satu kenyataan pada Sabtu. Jelajah Outreach Usahawan Muda Zon Tawau dan Kalabakan itu disempurnakan Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy. Turut dihadiri ialah ADUN Tanjung Batu, Datuk Dr Andi Mohd Mohd Sainal dan ADUN Balung, Shamsureezal dan Syed Ahmad Syed Abas. Azrul berkata, program mendekati usahawan muda di seluruh negeri itu disasar untuk melahirkan usahawan muda berjaya dan berdaya saing. “Semoga usaha berterusan ini akan melahirkan lebih ramai usahawan muda yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah,” katanya. – Info X
June 20, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditahan bersama 10 tenggiling, sisik disyaki hidupan dilindungi
KINABATANGAN: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati memiliki beberapa hidupan liar dan bahagian hidupan liar yang dipercayai dilindungi dalam satu operasi di Kampung Paris 3, di sini, malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 8.30 malam itu, Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 menjalankan pemeriksaan terhadap suspek berusia 27 tahun di pintu masuk Tye Yang Plantation. Pengarah JHL Sabah, Mohd Soffian Abu Bakar berkata, hasil pemeriksaan menemukan 10 ekor tenggiling hidup yang disimpan dalam jaring, selain dua bungkusan plastik mengandungi sisik tenggiling dengan anggaran berat kira-kira sembilan kilogram. “Turut ditemukan ialah satu objek yang disyaki gading gajah dan semua barangan berkenaan dirampas untuk tindakan lanjut. “Suspek yang merupakan warganegara Filipina turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, JHL Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa bagi membanteras aktiviti pemilikan dan perdagangan haram hidupan liar di negeri ini. Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah hidupan liar diminta menyalurkannya kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut. – Info X
June 20, 2026
Info X Reporters
Pillars of Sabah hasilkan mural unik untuk KupiKupiFM, tonjol kepelbagaian etnik Sabah
KOTA KINABALU: Persatuan Seni Masyarakat Tonggak Sabah (Pillars of Sabah) mencipta sejarah tersendiri apabila menghasilkan mural khas untuk stesen radio komuniti nombor satu Sabah, KupiKupiFM, yang mengetengahkan identiti serta kepelbagaian etnik di negeri ini. Wakil persatuan itu, Jared Abd Rahman, 39, berkata mural berkenaan adalah karya asli yang dihasilkan sepenuhnya oleh pasukan mereka tanpa meniru mana-mana reka bentuk sedia ada. Menurutnya, kebanyakan corak atau reka bentuk mural lazimnya diperoleh daripada sumber dalam talian atau buku, namun projek itu menampilkan idea dan interpretasi tersendiri yang diinspirasikan daripada kepelbagaian etnik di Sabah. “Setiap elemen dalam mural ini melambangkan etnik yang berbeza, namun mesej utama yang ingin disampaikan ialah walaupun kita datang daripada pelbagai latar belakang budaya, kita semua adalah rakyat Sabah. “Apa yang menyatukan kita sebagai Sabahan menjadi tema utama dalam penghasilan karya ini,” katanya ketika ditemui Info X. Jared berkata, proses menyiapkan mural berkenaan mengambil masa kira-kira 10 hari dengan penglibatan empat hingga lima individu. Katanya, tidak semua yang terbabit adalah artis profesional kerana persatuan berkenaan turut memberi peluang kepada ahli lain untuk menyertai projek seni komuniti. “Antara cabaran terbesar ialah menghasilkan corak yang mewakili identiti etnik tertentu. Jika terlalu realistik dan terdapat kesilapan kecil, ia mungkin menimbulkan salah faham atau kritikan. “Sebab itu kami memilih pendekatan yang lebih kreatif dan imaginatif tanpa menghilangkan elemen identiti yang ingin diketengahkan,” katanya. Walaupun memiliki bakat dalam bidang lukisan dan reka bentuk, Jared menjelaskan peranannya dalam projek itu lebih kepada penyelaras pasukan. Beliau yang mempunyai latar belakang akademik dalam bidang psikologi dan geografi berkata, minat terhadap seni mula berkembang sebelum aktif bersama persatuan itu sejak 2018. “Kebiasaannya kami melaksanakan antara dua hingga tiga projek setiap tahun, bergantung kepada peluang dan kerjasama yang diterima,” katanya. Mengulas mengenai konsep yang dibawa oleh persatuan itu, Jared berkata mereka memberi tumpuan kepada pendekatan placemaking, iaitu usaha menjadikan sesuatu ruang bukan sekadar kawasan fizikal, tetapi mempunyai makna dan nilai kepada komuniti setempat. “Bagi kami, sesebuah tempat bukan hanya ruang yang dilihat secara fizikal, tetapi ruang yang mempunyai cerita, identiti dan makna kepada masyarakat,” katanya. Sementara itu, Presiden Sabah Human Development and Empowerment Association (SAHDEA), Arthur Erik berkata pihaknya sentiasa menyokong usaha yang dijalankan oleh Pillars of Sabah, termasuk dalam menjayakan projek mural berkenaan. Menurutnya, SAHDEA berperanan sebagai rakan sokongan dengan membantu menyediakan keperluan yang diperlukan sepanjang pelaksanaan projek. “Kami memang sentiasa menjadi penyokong kepada usaha mereka. Dalam projek ini, apa sahaja kekurangan yang ada, kami cuba bantu, termasuk menyediakan cat, peralatan dan keperluan lain bagi memastikan projek dapat disiapkan dengan baik,” katanya. Beliau berkata, mural itu bukan sahaja menampilkan kepelbagaian budaya Sabah, malah membawa mesej yang lebih luas mengenai perpaduan dan identiti masyarakat. “Apabila dilihat secara keseluruhan, mural ini menggambarkan gabungan masyarakat Sabah dan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang. Setiap individu mempunyai pegangan, identiti dan peranan masing-masing dalam masyarakat. “Semua orang mempunyai hak serta identiti tersendiri, dan itulah yang menjadikan masyarakat kita unik. Walaupun berbeza, kita tetap boleh berdiri bersama sebagai satu komuniti,” katanya. Beliau turut berharap mural berkenaan dapat menjadi tarikan kepada pengunjung KupiKupiFM yang sering menjadikan kawasan stesen radio itu sebagai lokasi bergambar. “Kalau kita lihat, banyak sesi temu bual dan program di KupiKupiFM menjadi tumpuan orang ramai untuk bergambar. Jadi, kami mahu menghasilkan latar belakang yang lebih menarik dan bermakna untuk mana-mana individu atau kumpulan yang datang ke sini. “Selain mencantikkan ruang, mural ini juga boleh menjadi medium untuk menyampaikan mesej perpaduan dan identiti masyarakat Sabah kepada orang ramai,” katanya. – Info X
June 20, 2026
Info X Reporters
166 PATI warga Filipina dihantar pulang ke negara asal
LAHAD DATU: Seramai 166 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dihantar pulang ke negara asal menerusi program pemindahan tahanan yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah melalui Pelabuhan Lahad Datu, di sini. Pemindahan itu membabitkan tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Depot Imigresen Sandakan yang dibawa ke Pelabuhan Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menggunakan perkhidmatan feri komersial. JIM menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya malam tadi memaklumkan, semua tahanan terbabit terdiri daripada 143 lelaki dewasa, enam wanita dewasa, sembilan kanak-kanak lelaki dan lapan kanak-kanak perempuan berusia antara empat bulan hingga 66 tahun. Menurut kenyataan itu, kanak-kanak yang menyertai program pemindahan berkenaan turut diiringi ibu bapa atau penjaga masing-masing sepanjang proses penghantaran pulang ke negara asal. Sebelum ini, pada 16 Jun lalu, JIM Sabah turut melaksanakan pemindahan PATI warga Filipina melalui udara membabitkan 11 tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu yang dihantar terus ke Manila menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). Pada tarikh sama, Depot Imigresen Tawau turut melaksanakan pemindahan sembilan warga China yang terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita dewasa ke Guangzhou melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Tawau. Menurut JIM Sabah, sehingga kini seramai 2,428 tahanan PATI warga Filipina dan 70 warga China daripada keseluruhan 3,625 tahanan warga asing berjaya dipindahkan ke negara asal masing-masing. Kesemua tahanan yang dipindahkan itu sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang serta memiliki dokumen perjalanan sah yang melayakkan mereka mengikuti proses penghantaran pulang. JIM Sabah menegaskan pihaknya akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah. Menurutnya, majikan yang didapati melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi PATI. – Info X
June 19, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditemui meninggal dunia di belakang kedai buku
TAWAU: Seorang lelaki berusia lingkungan 50-an ditemui meninggal dunia di kawasan belakang sebuah kedai buku di Batu 3, Jalan Apas, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerima maklumat berhubung penemuan lelaki terbabit kira-kira jam 2.08 petang sebelum sepasukan polis dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, setibanya di lokasi, polis menemui seorang lelaki dalam keadaan terbaring di tepi jalan dan tidak sedarkan diri. Menurutnya, pasukan perubatan yang tiba di lokasi kemudian mengesahkan lelaki berkenaan telah meninggal dunia. “Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kecederaan, kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa. “Pemeriksaan di sekitar lokasi kejadian juga tidak menemukan sebarang petunjuk mencurigakan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, identiti mangsa kemudiannya berjaya dikenal pasti oleh ahli keluarga yang hadir membuat pengecaman di Unit Forensik Hospital Tawau. Katanya, berdasarkan maklumat waris, mangsa mempunyai sejarah penyakit tibi dan asma. “Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tawau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. “Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan,” katanya. – Info X
June 19, 2026
Info X Reporters
KPDN rampas diesel disimpan dalam lori peti ikan
SEMPORNA: Taktik menyembunyikan minyak diesel bersubsidi di dalam lori yang diubah suai dengan peti ikan bagi mengaburi pihak berkuasa terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Ops Tiris 4.0 di Kampung Simunul, di sini, hari ini. Dalam operasi kira-kira jam 10.30 pagi itu, sepasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Semporna mengesan sebuah lori Mitsubishi berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan Kampung Ais Box, Simunul. Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan sempat melarikan diri ke kawasan perumahan atas air sebaik menyedari kehadiran pihak penguat kuasa. Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori itu menemukan 12 drum plastik berkapasiti 200 liter, sebuah pam elektrik, hos serta satu drum mengandungi kira-kira 200 liter minyak disyaki diesel. “Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat penyimpanan drum untuk menjalankan aktiviti pemindahan dan penyimpanan minyak diesel bersubsidi secara tidak sah. “Modus operandi digunakan adalah dengan menyembunyikan drum di dalam lori yang dilengkapi peti ikan sebelum bahan api itu disimpan di kawasan setinggan atas air yang sukar dipantau pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, nilai rampasan minyak diesel dianggarkan RM430, manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dan peralatan yang digunakan berjumlah RM25,530. Katanya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan individu yang melarikan diri serta mengenal pasti tujuan sebenar penyimpanan bahan api berkenaan. “Operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membanteras aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi dan memastikan bekalan yang disediakan kerajaan sampai kepada golongan yang layak,” katanya. – Info X
June 19, 2026
Info X Reporters
Sotong ‘inti’ ikan bukan ‘mainan’ peniaga – KPDN diberitahu
KOTA KINABALU: Peniaga di Pasar Besar Kota Kinabalu, di sini, menafikan memasukkan ikan dalam badan sotong bagi menambah berat makanan laut itu apabila dibeli pengguna. Penafian itu dijelaskan kepada Pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ketika menyiasat aduan pengguna yang mengesyaki ditipu peniaga apabila mendapati sotong dibelinya ‘disumbat’ dengan ikan, dipercayai bagi menambah berat. Aduan yang disertakan dengan gambar sotong bersama dua ekor ikan ditemui dalam perut sotong itu tular di media sosial, sebelum KPDN menjalankan siasatan terhadap peniaga yang dimaksudkan. “Susulan aduan tersebut, satu pasukan operasi KPDN Sabah telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan penjelasan daripada peniaga yang terlibat. “Hasil siasatan awal mendapati peniaga memaklumkan bahawa keadaan tersebut bukan dilakukan secara sengaja bagi menambah berat timbangan. “Menurut peniaga, ikan dan sotong ditangkap secara bercampur dan berkemungkinan terdapat ikan yang masih hidup memasuki rongga badan sotong semasa berada dalam hasil tangkapan sebelum dipasarkan. “Selain itu, bahagian dalam sotong sememangnya mengandungi sisa makanan daripada habitat semula jadinya yang dalam keadaan tertentu boleh masih menyerupai bentuk seekor ikan yang belum hadam sepenuhnya,” kata kenyataan KPDN Sabah pada Jumaat. Kenyataan itu menyebut, pemeriksaan lanjut yang dijalankan oleh KPDN Sabah mendapati peniaga terbabit secara keseluruhannya mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa KPDN. “Pemeriksaan turut mendapati tanda harga dipamerkan dengan jelas kepada pengguna, manakala alat timbang yang digunakan masih mempunyai sijil penentusahan yang sah dan berada dalam tempoh yang dibenarkan,” katanya. Bagaimanapun, kenyataan itu menyebut KPDN Sabah memberi teguran dan nasihat kepada peniaga supaya menjalankan pemeriksaan yang lebih teliti terhadap semua hasil dan produk makanan laut sebelum dipasarkan kepada pengguna. Langkah itu, katanya penting bagi memastikan produk yang dijual dalam keadaan baik, mengelakkan kekeliruan pengguna serta meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap amalan perdagangan yang dijalankan. “KPDN Sabah akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat bukti berlakunya pelanggaran undang-undang di bawah bidang kuasa kementerian. “Selain itu, pengguna disaran menyalurkan sebarang aduan melalui saluran rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X
June 19, 2026
Info X Reporters
India sokong hubungan terus dengan Sabah
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia menyatakan sokongan terhadap perbincangan untuk mewujudkan penerbangan terus Sabah-India bagi meneroka potensi kerjasama pelancongan dan ekonomi. Perkara itu menjadi tumpuan ketika kunjungan hormat pemangku Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Hitesh Rajpal terhadap Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai selaku Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), di sini, pada Khamis. Hitesh berkata, India melihat potensi yang kuat di Sabah, khususnya dalam sektor pelancongan, perdagangan dan teknologi yang menjadi keutamaan kerajaan India dalam strategi libat urus antarabangsanya. Katanya, fasiliti kemasukan bebas visa Malaysia untuk pemegang pasport India mengukuhkan lagi permintaan pengembaraan dan meletakkan Malaysia sebagai destinasi menarik kepada pelawat India, khususnya sempena inisiatif Tahun Melawat Malaysia. Bagaimanapun, katanya kesalinghubungan masih menjadi halangan utama yang perlu diatasi dengan menambah baik hubungan udara bagi membuka seluasnya peluang untuk warga India mengembara ke Sabah. “Saya menghargai usaha STB atas libat urus proaktifnya dengan pasaran India, termasuk pemegang taruh pelancongan dan penerbangan seperti IndiGo. “Dari segi penerbangan awam, mungkin kita boleh mengadakan perbincangan lanjut. Jika kita boleh mewujudkan hubungan terus, ia akan menjadi pengubah keadaan. “Apa-apa daripada kami, kami gembira untuk berkolaborasi dan melaksanakannya bersama,” katanya. Hitesh turut menekankan peluang berkolaborasi dalam industri filem, terutama dengan adanya insentif dan proses pemudahcara yang dapat menggalakkan lebih banyak produksi India memilih Sabah sebagai destinasi perfileman. Sementara itu, Joniston dalam maklum balasnya berkata Sabah terus melihat India sebagai pasaran penting yang sedang berkembang, disokong oleh populasinya yang besar dan peluasan segmen pengembaraan luar negara itu. “Kita berusaha mewujudkan hubungan yang kuat dengan India, termasuk kemungkinan penerbangan terus. “Sabah akan terus bekerja rapat dengan rakan yang berkaitan untuk mengukuhkan kehadiran kami dalam pasaran India,” katanya. Joniston berkata, STB juga memudah cara produksi filem di Sabah dengan membantu dari segi koordinasi membabitkan pihak yang berkaitan dan menyediakan sokongan seperti logistik dan pengangkutan apabila diperlukan. Ketika ini, pelancong India melancong ke Sabah melalui Kuala Lumpur, Singapura dan Brunei. Pada tahun lalu, Sabah merekodkan seramai 11,282 ketibaan pelawat India, manakala seramai 3,802 ketibaan antara Januari hingga April tahun ini. – Info X