Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

May 23, 2026

Info X Reporters

17 barangan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan sempena Kaamatan, Gawai dari 27 Mei – 4 Jun

KUNDASANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 yang disambut pada akhir Mei dan awal Jun ini. Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 akan dilaksanakan mulai 27 Mei hingga 4 Jun 2026 melibatkan keseluruhan 17 barangan meliputi 12 jenis barangan di Sabah dan Sarawak serta 11 di Wilayah Persekutuan (WP) Labuan. Katanya, tempoh pelaksanaan skim itu ialah selama sembilan hari dan ditetapkan dengan mengambil kira kepentingan kedua-dua pihak iaitu pengguna dan komuniti peniaga. “Pengguna dapat menikmati barangan keperluan pada harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama. “Di bawah SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (Sabah), kementerian telah mengenal pasti 12 jenis barangan berbanding 10 barangan pada 2025. Pertambahan dua jenis barangan itu ialah halia tua import dan ubi kentang (China). “Bagi SHMMP Hari Gawai 2026 (Sarawak), sebanyak 12 jenis barangan disenaraikan berbanding 11 barangan pada 2025. Satu barangan yang ditambah ialah daging kerbau import (India),” katanya ketika mengumumkan pelaksanaan SHMMP Kaamatan dan Gawai 2026, di sini, pada Jumaat. Katanya, penentuan jenis dan harga maksimum bagi SHMMP Pesta Kaamatan dan SHMMP Hari Gawai 2026 dibuat melalui perbincangan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan agensi di bawahnya serta mengambil kira pandangan pemain industri. Bagi SHMMP Kaamatan tahun ini, katanya sebanyak enam jenis barangan di Sabah dan Labuan mencatat penurunan harga, tiga barangan kekal harga (dua di Labuan) manakala dua barangan baharu diperkenalkan. Untuk Hari Gawai, analisis perbandingan harga bagi tahun 2026 berbanding 2025 menunjukkan sebanyak lima barangan mengalami penurunan harga, tiga barangan kekal pada harga sedia ada, manakala satu barangan baharu. Armizan berkata, SHMMP Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2026 dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) yang membolehkan penentuan harga maksimum dibuat dan harga maksimum yang ditetapkan boleh disemak melalui laman web KPDN. “Pegawai-pegawai penguat kuasa KPDN akan ditugaskan di lokasi strategik seperti di pasar awam, pasar tani, pasar tamu dan pusat membeli-belah barangan keperluan perayaan. “Pada masa yang sama, penguatkuasaan secara berhemah dilaksanakan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa dan mengamalkan peniagaan yang beretika. “Kerajaan berharap semua pihak dapat mematuhi harga-harga maksimum yang telah ditetapkan dan menggunakan label merah jambu bagi barangan yang dikawal harga,” katanya. Beliau memberi amaran, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta 723 dan boleh dikenakan penalti jika menjual barangan harga terkawal melebihiharga maksimum dan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal. Senarai Barangan Harga Terkawal SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (Sabah): Senarai Barangan Harga Terkawal SHMMP Pesta Kaamatan 2026 (WP Labuan): Barangan Harga Terkawal SHMMP Hari Gawai 2026: Ends

May 22, 2026

Info X Reporters

Lori tangki bawa diesel subsidi kantoi di tepi jalan

TAWAU: Tindakan licik menyimpan 2,000 liter minyak diesel subsidi dalam sebuah lori tangki di tepi Jalan Kampung Aman, Tanjung Batu, di sini, terbongkar selepas dikesan pihak berkuasa, hari ini. Rampasan itu hasil tindakan Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau sebelum kes diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau untuk siasatan lanjut menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu). KPDN Tawau berkata, diesel berkenaan dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan lori tangki jenama Nissan berkapasiti 10,000 liter. “Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM9,940 manakala keseluruhan nilai sitaan termasuk lori tangki berjumlah RM159,940. “Satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, KPDN akan terus memperkukuhkan kerjasama bersama agensi penguat kuasa lain bagi membanteras kegiatan penyelewengan barang kawalan bersubsidi di Tawau dan kawasan perairan sekitarnya. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

Ops Tiris 4.0: 3,300 liter diesel dirampas, aset RM3.5 juta disita

TAWAU: Cubaan menyeludup 3,300 liter minyak diesel dipercayai ke negara jiran berjaya dipatahkan dalam operasi bersepadu Ops Tiris 4.0 di Kampung Merotai, Jalan Pitas, di sini, hari ini. Serbuan dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tawau bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 14 Tawau hasil risikan dan pemantauan berterusan di kawasan perairan daerah berkenaan. Dalam operasi itu, pihak berkuasa merampas minyak diesel yang disimpan di dalam lapan tong drum besi dipercayai untuk tujuan penyeludupan. Turut disita sebuah bot ‘skow’, sebuah bot tunda jenis tugboat, gulung hos sepanjang lima meter serta sebuah pam air 5 kuasa kuda (hp) yang dipercayai digunakan untuk kegiatan pemindahan bahan api terbabit. Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM16,401 manakala keseluruhan rampasan termasuk aset dan peralatan lain mencecah RM3.5 juta. KPDN Tawau dalam kenyataan berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk tindakan lanjut. “KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan bersubsidi. “Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan dan penyeludupan,” katanya. Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Katanya, syarikat pula boleh dikenakan denda sehingga RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya jika sabit kesalahan. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

37 warga asing ditahan dalam operasi bersepadu

KOTA KINABALU: Seramai 37 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Ops Sapu, Ops Kutip, Ops Belanja dan Ops Selera yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah bersama JIM Tawau di sekitar Kota Kinabalu dan Tawau. Operasi berkenaan dijalankan sebagai sebahagian usaha berterusan pihak berkuasa dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen di negeri ini. Dalam operasi yang dijalankan di 17 premis sekitar Kota Kinabalu dan Tawau itu, seramai 190 individu diperiksa membabitkan warga tempatan serta warga asing bagi tujuan semakan dokumen dan status imigresen. Hasil pemeriksaan mendapati seramai 37 individu disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 sebelum ditahan untuk tindakan lanjut. Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa dan 12 perempuan dewasa warga Filipina, selain tujuh lelaki dewasa warga Pakistan, tiga lelaki dewasa warga India serta lima perempuan dewasa warga Indonesia. Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki atau berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah, selain Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan. JIM Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan operasi sedemikian akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah membanteras kebanjiran PATI serta memastikan aspek keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Menurut kenyataan itu, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang imigresen termasuk individu atau majikan yang melindungi serta menggaji warga asing tanpa dokumen sah. JIM Sabah turut menyeru orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing bagi membantu usaha penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan. Katanya, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang khususnya membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman negara. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

Samseng kedai runcit akhirnya diberkas

RANAU: Lelaki yang dipercayai mengugut dan memukul seorang pemuda sehingga rakaman kejadian itu tular di media sosial dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Kampung Matupang, di sini, akhirnya diberkas polis, hari ini. Suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ranau di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kejadian membabitkan mangsa lelaki berusia 19 tahun itu berlaku pada 19 Mei lalu ketika mangsa sedang membeli barangan dapur di sebuah kedai runcit. Katanya, mangsa kemudian terserempak dengan suspek sebelum lelaki terbabit secara tiba-tiba memarahi mangsa tanpa sebab. “Suspek dipercayai mengeluarkan buku lima berwarna keemasan sambil mengugut mangsa. “Suspek kemudian bertindak menumbuk dan menendang mangsa hingga menyebabkan kecederaan di bibir selain sakit di bahagian belakang badan dan bahu kiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, hasil saringan ujian awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. “Semakan rekod lampau juga mendapati suspek pernah mempunyai rekod kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 2014. “Suspek turut akan ditahan bagi membantu siasatan tiga lagi kes pecah rumah mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang masih dalam siasatan polis,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan manakala permohonan reman terhadap suspek akan dilaksanakan. Terdahulu, rakaman video memaparkan kejadian suspek memukul mangsa tular di media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

APMM tahan lebih 4,000 migran sepanjang tahun ini

SANDAKAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan penahanan 4,107 migran dan 316 penyeludup di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) sepanjang tahun ini. Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sindiket penyeludupan migran dikesan masih aktif menggunakan perairan negara susulan kedudukan strategik Malaysia di rantau ini. “Statistik tahun ini menunjukkan warga Myanmar mencatat jumlah tertinggi migran ditahan iaitu seramai 1,932 orang, diikuti Indonesia (1,727) dan Filipina (180). “Situasi ini membuktikan ancaman penyeludupan migran masih serius dan memerlukan tindakan penguatkuasaan agresif serta berterusan di semua kawasan perairan negara,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Operasi Redback 22/2026 yang dilaksanakan bersama Australian Border Force (ABF) di perairan Sandakan bermula 18 hingga 22 Mei lalu. Turut hadir Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Ab Majid; Ketua Staf Bahagian Operasi Laut ESSCOM, Laksamana Pertama Maritim Abdul Razak Mohamed; Pengarah Maritim Zon Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain serta Kaunselor ABF ke Malaysia, Superintenden Brooke Leung. Dalam perkembangan sama, Mohd Zawawi berkata, Maritim Malaysia membuka lapan kertas siasatan berkaitan kes penyeludupan migran tahun ini membabitkan penahanan 19 penyeludup dan 233 migran. “Majoriti penyeludup yang ditahan membabitkan warga Indonesia seramai 13 orang, diikuti Myanmar (tiga), Thailand (dua) dan seorang warga tempatan. “Bagi migran yang ditahan atau diselamatkan pula, seramai 184 adalah warga Indonesia, diikuti Myanmar (46) dan Bangladesh (tiga),” katanya. Beliau berkata, operasi berkenaan turut membabitkan lima aset utama iaitu KM Pintar, KM Tebrau, Bot Banggi 14, Bot Kilat 34 dan Bot Kilat 37 selain rondaan laut, penggunaan Sea Rider, perkongsian risikan serta libat urus komuniti nelayan di Kampung Sungai Daling dan Kampung Bambangan. Katanya, antara kejayaan operasi ialah rampasan 27 kotak minyak masak dalam pemeriksaan di Jeti Nelayan Kampung Pukat pada 21 Mei lalu. “Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan tanpa kebenaran sebelum semua rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut,” katanya. Mohd Zawawi berkata, operasi penguatkuasaan akan terus diperkasa melalui risikan, rondaan dan kerjasama pelbagai agensi di peringkat dalam negara serta antarabangsa bagi membendung aktiviti penyeludupan migran dan jenayah rentas sempadan. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

Pekerja ladang maut motosikal masuk laluan bertentangan

RANAU: Seorang pekerja ladang sawit warga Filipina maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Perodua Viva di KM23 Jalan Ranau – Telupid, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa Mulfie Dela Calsada Gani, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Viva dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun itu sedang dalam perjalanan dari arah Ranau menuju ke Telupid. Katanya, motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa dari arah bertentangan dipercayai memasuki lorong kereta berkenaan sebelum berlaku pertembungan secara berhadapan. “Akibat kemalangan itu, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan manakala penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. “Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Ranau untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri manakala pemandu kereta juga tidak mempunyai rekod saman lampau. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Info X

May 22, 2026

Info X Reporters

Intai wanita mandi, lelaki dicekup polis

TAWAU: Tindakan seorang lelaki dipercayai menghendap seorang wanita yang sedang mandi di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gudang 4, di sini, membawa padah apabila dia diberkas polis, semalam. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan menyedari kelibat seorang lelaki tidak dikenali yang sedang mengintainya ketika berada di dalam bilik mandi rumah berkenaan sebelum membuat laporan polis. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, bertindak atas maklumat dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Tawau bersama Balai Polis Bombalai berjaya mengesan suspek. Katanya, suspek lelaki tempatan berusia lingkungan 30 tahun itu kemudian ditahan bagi membantu siasatan. “Dalam serbuan dijalankan, polis turut merampas sehelai baju dan seluar yang dipercayai dipakai suspek ketika melakukan perbuatan menghendap itu. “Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan. – Info X