Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

November 9, 2026

Info X Reporters

Hujan lebat berterusan dari Kudat hingga Kinabatangan diramal hingga Rabu

KOTA KINABALU: Enam daerah di utara dan pantai timur Sabah diramal mengalami hujan lebat berterusan tahap waspada akibat luruan monsun hingga 11 November ini. Daerah terbabit ialah Kudat, Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan dan Kinabatangan. Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) dalam satu kenyataan, berkata, amaran tahap waspada dikeluarkan berdasarkan analisis cuaca yang dilakukan jabatan itu. “Analisis terhadap model-model ramalan cuaca menunjukkan bahawa luruan monsun dijangka memasuki rantau negara sehingga 11 November 2026. “Keadaan ini berpotensi membawahujan lebat berterusan di pantai timur Semenanjung dan timur Sabah dalam tempoh tersebut,” katanya. Amaran dalam tempoh yang sama dikeluarkan di daerah Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli, Kelantan, selain Hulu Terengganu di Terengganu dan Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut di Pahang. Selain itu, amaran hujan tahap buruk dalam tempoh yang sama dikeluarkan di daerah lain di Kelantan dan Terengganu. – Info X

November 9, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut selepas motosikal terbabas ke dalam parit berbatu

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berbatu di Jalan Sapulut – Tambunan berhampiran Kampung Notorus, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa berusia 41 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kemalangan berkenaan. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan ketika menunggang motosikal di laluan berkenaan. “Akibat kejadian itu, motosikal mangsa terbabas ke dalam parit berbatu sebelum mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan. “Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133 bagi membantu siasatan. Sammy turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, mengawal kelajuan kenderaan dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kemalangan. – Info X

November 9, 2026

Info X Reporters

Belanjawan Negeri 2027: Peruntukan besar tangani masalah infrastruktur asas – Masidi

KOTA KINABALU: Peruntukan besar akan terus ditumpukan terhadap usaha menangani masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya menerusi Belanjawan Negeri 2027. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata penyediaan Belanjawan Negeri 2027 perlu mengambil kira kedudukan hasil negeri bagi memastikan perancangan perbelanjaan selaras dengan kemampuan kewangan kerajaan. Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, pengurusan kewangan dan tata kelola yang baik amat penting bagi memastikan setiap peruntukan digunakan secara berhemah dan menepati keutamaan pembangunan negeri. Katanya, antara yang masih menjadi keutamaan di Sabah ialah penyediaan peruntukan untuk menangani masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air, elektrik dan jaringan jalan raya. “Dalam menyediakan Belanjawan 2027, kita perlu memastikan anggaran perbelanjaan bersesuaian dengan hasil negeri. Pengurusan kewangan yang baik amat penting supaya setiap peruntukan dapat dimanfaatkan mengikut keutamaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Sambutan Deepavali di Magellan Sutera Resort, di sini, pada Ahad. Masidi berkata, penyelesaian isu bekalan air memerlukan perancangan jangka panjang dan pelaksanaan secara berperingkat, dengan beberapa projek dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun untuk disiapkan. “Masalah bekalan air bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dalam tempoh singkat. Kita perlu melihatnya dalam jangka masa panjang kerana pelaksanaan projek berkaitan mungkin mengambil masa antara dua hingga tiga tahun,” katanya. Dalam perkembangan lain, Masidi berkata baki peruntukan tambahan sebanyak RM900 juta daripada Kerajaan Persekutuan dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan peruntukan yang berpotensi diterima Sabah kepada hampir RM8 bilion, tahun ini. Bagaimanapun, beliau berkata peruntukan tambahan berkenaan masih dalam proses memenuhi prasyarat serta syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan. Katanya, Kerajaan Negeri kini menunggu penyaluran peruntukan tersebut dan berharap ia dapat diterima menjelang penghujung tahun ini. “Peruntukan tambahan itu akan dimanfaatkan bagi membiayai pembangunan negeri demi meningkatkan kesejahteraan dan memberikan manfaat kepada rakyat,” katanya. – Info X

November 8, 2026

Info X Reporters

EMGS sasar tarik lebih ramai pelajar Korea ikuti pengajian tinggi di Malaysia

Seoul: Education Malaysia Global Services (EMGS) terus mempergiat usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi antarabangsa menerusi penyertaan dalam Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026. Pengerusi EMGS, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie berkata penyertaan berkenaan merupakan kesinambungan usaha agensi berkenaan memperluas promosi pendidikan tinggi Malaysia di pasaran Asia Timur selepas turut mengambil bahagian dalam Malaysia Fair di Tokyo. Beliau berkata Asia Timur merupakan antara pasaran penting bagi EMGS dalam usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pengajian di Malaysia selaras sasaran negara untuk menerima 500,000 pelajar antarabangsa menjelang 2035. “Sasaran itu merupakan antara tujuh teras dalam Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia yang memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pengantarabangsaan sektor pendidikan tinggi negara. “Melalui penyertaan ini, kita membawa pendidikan tinggi Malaysia ke luar negara untuk memperkenalkan peluang pengajian kepada lebih ramai pelajar antarabangsa, khususnya dari Korea Selatan. “Kita akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan termasuk perwakilan negara di luar negara dan Tourism Malaysia bagi mempromosikan pendidikan tinggi serta pelancongan pendidikan (Edu Tourism) Malaysia,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Malaysia Fair in Seoul (MFIS) 2026 yang berlangsung di Dongdaemun Design Plaza (DDP) pada Ahad. MFIS 2026 dirasmikan Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid. Turut hadir Presiden Persatuan Kebudayaan Korea, Samuel Chung. Dalam pada itu, Ahmad Shalimin menyatakan EMGS turut membawa beberapa universiti serta pusat Bahasa Inggeris, termasuk institusi pendidikan awam dan swasta bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai pilihan pengajian yang ditawarkan di Malaysia. Mengulas sambutan pengunjung, beliau berkata hari pertama penganjuran menunjukkan perkembangan positif dengan kehadiran ramai pengunjung yang berminat mendapatkan maklumat menerusi ekspo berkenaan. Ujarnga penyertaan EMGS bukan hanya tertumpu kepada jumlah pengunjung sepanjang dua hari penganjuran sebaliknya lebih kepada meningkatkan kesedaran masyarakat Korea Selatan mengenai Malaysia sebagai destinasi pendidikan tinggi. Beliau berkata, Malaysia kini turut berada dalam kelompok 14 negara utama dunia dalam sektor pendidikan tinggi. Dalam pada itu, beliau menjelaskan peranan EMGS bukan sekadar mempromosikan institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia malah turut mengurus pemprosesan kemasukan serta kebajikan pelajar antarabangsa bagi memastikan mereka mendapat pengalaman pembelajaran yang baik sepanjang berada di negara ini. Tambahnya, EMGS merupakan agensi pelaksana di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertanggungjawab melaksanakan agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara. “Harapan kita adalah untuk terus bekerjasama dengan semua agensi kerajaan dan sektor swasta dalam mengangkat martabat pendidikan tinggi Malaysia serta menjadikan negara ini hab pendidikan tinggi terbaik di Asia,” katanya. – Info X

November 8, 2026

Info X Reporters

Media rakan strategik AADK ubah persepsi masyarakat terhadap pemulihan dadah

KOTA KINABALU: Media memainkan peranan penting dalam mengubah stigma negatif masyarakat terhadap penagih dadah, sekali gus menggalakkan golongan terbabit tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan. Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Zainudin Abdullah berkata, media bukan sekadar penyampai maklumat, sebaliknya rakan strategik dalam membentuk persepsi positif masyarakat terhadap usaha menangani penyalahgunaan dadah. Katanya, kuasa pena, lensa kamera dan papan kekunci pengamal media mampu menjadi antara medium paling berkesan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan rawatan dan pemulihan dadah. “Media bukan sekadar melaporkan berita tangkapan berkaitan dadah, tetapi turut berperanan mengubah stigma negatif terhadap penagih kepada pendekatan lebih berperikemanusiaan. “Kita mahu individu terbabit dalam penyalahgunaan dadah tampil secara sukarela mendapatkan rawatan dan pemulihan di premis disediakan AADK,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hi-Tea SKUAD Antidadah Negeri Sabah Bersama Media di Hotel Hilton, di sini, hari ini. Zainudin berkata, kerjasama media juga penting sebagai jambatan dalam menyampaikan khidmat nasihat, pendidikan dan mesej antidadah kepada masyarakat. Menurutnya, isu penyalahgunaan dadah semakin membimbangkan apabila majoriti individu terbabit terdiri daripada golongan usia produktif yang sepatutnya menjadi penyumbang kepada pembangunan negara. “Apa yang lebih membimbangkan, terdapat kanak-kanak seawal usia 10 tahun sudah terdedah kepada dadah dan bahan terlarang. “Usaha pencegahan tidak boleh menunggu sehingga mereka dewasa, sebaliknya perlu bermula lebih awal menerusi pendidikan, kesedaran serta penglibatan keluarga dan komuniti,” katanya. Beliau berharap kerjasama erat AADK bersama pengamal media dapat memperluaskan penyampaian mesej antidadah, selain menggalakkan masyarakat melihat rawatan dan pemulihan sebagai peluang untuk membina kehidupan baharu. – Info X

November 8, 2026

Info X Reporters

Hutang barang runcit bawa maut, suspek diberkas kurang 24 jam

PAPAR: Perselisihan faham dipercayai berpunca daripada hutang pembelian barangan runcit berakhir dengan kematian seorang warga emas berusia 75 tahun yang ditemukan dengan kesan kelar pada leher di rumahnya di Kampung Gading, Ulu Bongawan, di sini, petang semalam. Bagaimanapun, suspek lelaki warga asing berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu berjaya diberkas polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas kejadian dilaporkan. Suspek ditahan kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi di kawasan kuarters pekerja ladang di kampung sama, hasil risikan dan tindakan pantas pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mangsa dalam keadaan tidak bernyawa di kediamannya kira-kira jam 6.15 petang semalam. Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian leher dipercayai akibat kelaran menggunakan senjata tajam. “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berkaitan hutang pembelian barangan runcit antara suspek dengan mangsa. “Bagaimanapun, motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Heryan berkata, suspek berjaya dikesan dan ditahan sepasukan pegawai serta anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar dengan bantuan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah. Menurutnya, polis turut merampas beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu untuk pemeriksaan dan analisis forensik. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok bagi membantu siasatan lanjut. “Polis memandang serius sebarang bentuk jenayah kekerasan dan akan memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh, profesional serta berlandaskan peruntukan undang-undang,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Papar atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X

November 8, 2026

Info X Reporters

Belanjawan Negeri 2027 sedia penyelesaian masalah air, elektrik, jalan raya – KM

KOTA KINABALU: Belanjawan Negeri 2027 yang akan dibentangkan pada 4 Disember depan bakal memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata belanjawan itu antara lain menyediakan penyelesaian kepada masalah air, elektrik dan jalan raya. “Saya tidak mahu mendedahkan terlalu banyak perkara sebelum belanjawan itu dibentangkan, tetapi saya ingin menegaskan bahawa ia adalah belanjawan yang baik untuk rakyat dan pembangunan negeri. “Belanjawan ini akan menyediakan penyelesaian kepada masalah yang kita hadapi di Sabah, termasuk bekalan air, elektrik dan jalan raya,” katanya ketika ditemui pada sambutan Deepavali di Magellan Sutera, di sini, pada Ahad. Mengenai sambutan Deepavali, Hajiji berharap perayaan itu akan membawa cahaya baik dan keberkatan bukan saja kepada masyarakat India, tetapi juga kepada semua kaum di Sabah. “Inilah semangat Malaysia sebenar yang kita mahu lihat, sebuah masyarakat berbilang kaum yang meraikan perayaan bersama-sama. “Marilah kita terus mempertahankan semangat perpaduan ini demi kebaikan bersama,” katanya. Terdahulu, Ketua Menteri bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag, menyempurnakan upacara memotong kek sambutan Deepavali, diiringi Presiden Dewan Perniagaan India Sabah (SICC), Datuk V Jothi san tetamu kehormat lain. Hajiji kemudiannya menyampaikan sumbangan daripada SICC kepada Persatuan Orang Buta Sabah dan Jireh Home di Tuaran. Sambutan Pesta Cahaya yang dianjurkan bersama oleh Kerajaan Negeri dan Dewan Perniagaan India Sabah (SICC) itu dihadiri lebih 1,400 orang. Turut hadir ialah Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri-Menteri Kabinet negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, wakil rakyat serta pemimpin masyarakat. – Info X

November 8, 2026

Info X Reporters

Sabah International Tattoo Convention himpunkan artis tatu dari 16 negara

KOTA KINABALU: Sabah International Tattoo Convention 2026 edisi keempat yang berlangsung selama dua hari bermula Sabtu hingga hari ini, menjadi platform menghimpunkan penggiat seni tatu tempatan dan antarabangsa dalam mengetengahkan kreativiti serta kepelbagaian seni budaya. Berlangsung di Kimanis Ballroom, Hyatt Regency Kota Kinabalu, konvensyen itu disertai artis dan studio tatu dari 16 negara, sekali gus memperlihatkan perkembangan seni tatu pada peringkat antarabangsa. Penganjuran selama dua hari itu menampilkan pelbagai aktiviti termasuk sesi seni tatu secara langsung, pertandingan tatu serta pameran hasil karya artis yang mengambil bahagian. Konvensyen berkenaan turut menampilkan barisan juri antarabangsa dari Thailand, Switzerland dan United Kingdom, iaitu Nui Sangvisead, Christian Nguyen serta Casper Redmer. Selain mengetengahkan seni tatu, pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan kebudayaan, mengunjungi gerai pameran serta berinteraksi dengan artis dari pelbagai negara. Penganjuran edisi keempat itu turut memperkukuh kedudukan Kota Kinabalu sebagai lokasi penganjuran acara seni dan kebudayaan bertaraf antarabangsa, selain membuka ruang kepada pertukaran idea serta jaringan antara penggiat industri kreatif.-Info X