May 14, 2026
Info X Reporters
Monsun Barat Daya: JBPM siap siaga hadapi kebakaran hutan
PUTATAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini memperkukuh kesiapsiagaan logistik dan aset udara bagi menghadapi risiko kebakaran hutan susulan Monsun Barat Daya yang dijangka bermula hari ini hingga September, membawa cuaca lebih panas dan kering. Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, pihaknya menjangkakan trend kebakaran meningkat tahun ini berbanding tahun lalu berikutan kesan El Nino pada peringkat awal tahun. Menurutnya, Monsun Barat Daya lazimnya menyebabkan tempoh hari tanpa hujan menjadi lebih panjang selain meningkatkan risiko kebakaran terbuka. “Fokus kita sekarang ialah menggerakkan pasukan dan membuat persiapan logistik untuk menghadapi kebakaran hutan. “Trend tahun ini memang meningkat berbanding tahun lalu kerana ada sedikit kesan El Nino yang menyebabkan keadaan lebih kering,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Community Fire Learning Centre (CFLC) Balai Bomba dan Penyelamat (BBL) Putatan, hari ini. Nor Hisham berkata, walaupun JBPM tidak menjangka musim Monsun Barat Daya kali ini terlalu buruk, persiapan tetap dipertingkat termasuk kesiapsiagaan aset udara. Katanya, lima helikopter JBPM kini berada dalam keadaan siap sedia untuk operasi sekiranya diperlukan. “Kita pernah berdepan tujuh kebakaran besar serentak di Kota Kinabalu sebelum ini, jadi pengalaman itu dijadikan persediaan menghadapi musim panas kali ini,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengawal aktiviti pembakaran terbuka bagi mengelakkan kebakaran tidak terkawal. “Kalau mahu membakar, pastikan dalam kawalan penuh dan jangan tinggalkan api tanpa pemantauan. “Kalau berlaku kebakaran, jangan tunggu api merebak baru panggil bomba,” katanya. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
Cubaan seleweng diesel, minyak masak digagalkan
SEMPORNA: Cubaan menyeleweng barang kawalan bersubsidi membabitkan minyak diesel dan minyak masak paket berjaya dipatahkan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna, semalam. Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan ditahan manakala pelbagai barangan termasuk kenderaan dan pump bot dirampas dengan nilai keseluruhan lebih RM52,000. KPDN Sabah dalam kenyataan berkata, dua kes serahan diterima Pejabat KPDN Semporna pada 13 Mei lalu hasil tindakan Batalion N22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak serta Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna. Menurutnya, kes pertama membabitkan serahan daripada PGA Kunak selepas menahan seorang lelaki tempatan bersama sebuah Toyota Hilux berwarna hitam dan 150 liter minyak diesel disimpan dalam enam jeriken. “Pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki atau menyimpan barang kawalan berkenaan. “Nilai rampasan minyak diesel dianggarkan RM322.50 manakala jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM50,822.50,” menurut kenyataan itu. Sementara itu, katanya, dalam kes kedua, PPM Semporna menyerahkan kes rampasan tanpa tuan di kawasan laut Pulau Larapan membabitkan 425 kilogram minyak masak paket. “Turut dirampas sebuah pump bot tanpa nombor pendaftaran, enjin pump bot 18HP jenama Pro Quip serta satu unit shaft propeller. “Nilai rampasan barang kawalan dianggarkan RM1,062.50 dengan jumlah keseluruhan sitaan bernilai RM2,165.50,” katanya. Susulan itu, KPDN Semporna membuka dua kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. KPDN turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya mematuhi undang-undang berkaitan barang kawalan bersubsidi. Menurut kenyataan itu, individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama dan sehingga RM3 juta bagi kesalahan berikutnya atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi syarikat pula, denda sehingga RM2 juta boleh dikenakan dan meningkat sehingga RM5 juta bagi kesalahan berikutnya. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
‘Wujudkan Majlis Keselamatan Sempadan Sabah’
KOTA KINABALU: Majlis Keselamatan Sempadan Sabah dicadang diwujudkan bagi menyelaras fungsi pelbagai agensi penguatkuasaan sempadan di negeri ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku, Assaffal P Alian yang mencadangkan perkara itu, berkata majlis dipengerusikan Ketua Menteri itu perlu bagi menyelaras fungsi Imigresen, ESSCOM, PDRM dan agensi berkaitan. “Dengan adanya majlis ini, Sabah akan dilihat membawa solusi keselamatan yang bersepadu, membuktikan bahawa kita mampu menguruskan keselamatan wilayah kita sendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada agensi pusat yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Penubuhan majlis itu adalah antara enam solusi yang dicadang pemimpin Parti Warisan itu bagi mengembalikan keseimbangan kuasa yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebelum ini. Beliau mengemukakan cadangan itu sebagai maklum balas terhadap keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) di Sabah selepas dikesan mengandungi perkara yang menghakis kuasa autonomi Imigresen Sabah. “Keputusan ini adalah langkah kanan, namun kita tidak boleh sekadar berhenti pada penangguhan. Sabah perlu membawa solusi yang progresif tanpa mengetepikan tuntutan asal bagi memulihkan hak eksekutif negeri. “Sabah tidak menolak kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, tetapi kita menolak sebarang bentuk pemusatan kuasa yang menghakis semangat asal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Model yang kita mahukan adalah ‘perkongsian kuasa’ yang berteraskan prinsip wilayah berdaulat, bukannya konfrontasi politik semata-mata,” katanya. Pada Rabu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan keputusan kerajaan negeri untuk menangguhkan pelaksanaan AKPS di Sabah sehingga ada jaminan ia tidak menjejaskan kuasa autonomi imigresen Sabah. Sementara itu, cadangan lain Assafal berhubung pengembalian kuasa MA63 termasuk menuntut Restorasi Kuasa Eksekutif: Kembali kepada Teks Asal 1963 yang membabitkan restorasi penuh teks asal Akta Imigresen. Katanya, pindaan-pindaan sebelum ini, terutama melalui Act A985 (1997) dan Act A1154 (2002) secara sistematik memindahkan kuasa pelantikan dan arahan daripada peringkat Negeri kepada Menteri Persekutuan (KDN). “Pindaan ini meremehkan peranan eksekutif Ketua Menteri Sabah yang dijamin dalam RUU1963. Maka, semua pindaan yang mengambil alih kuasa eksekutif negeri ini wajib dikaji semula dan dikembalikan kepada punca kuasa asal,” katanya. Selain itu, beliau juga mencadangkan Mekanisme Pelantikan Bersama sebagai Langkah Transisi dengan memastikan pelantikan Pengarah Imigresen Sabah dibuat secara bersama (joint-appointment) antara Kerajaan Negeri dan KDN. Katanya, Sabah mesti mempunyai suara dalam menentukan siapa yang mentadbir pintu masuk wilayah negeri ini, bagi memastikan individu itu mempunyai tanggungjawab perlembagaan terus kepada Pihak Berkuasa Negeri. Assaffal turut mencadangkan Pemerkasaan Aset dan Teknologi Jabatan Imigresen Sabah dengan menuntut tambahan aset kritikal seperti radar pantai, dron pemantauan, bot peronda laju dan teknologi biometrik moden diberikan terus kepada Jabatan Imigresen Negeri. “Pemerkasaan ini jauh lebih efektif daripada mewujudkan lapisan agensi persekutuan baharu yang hanya akan merumitkan birokrasi operasi,” katanya. Tidak ketinggalan, Assaffal juga menekankan supaya keutamaan diberikan kepada anak Sabah dalam penguatkuasaan sempadan kerana mereka lebih memahami keadaan tempatan dan sensitiviti kawasan. Selain itu, katanya satu Kertas Putih mengenai PATI dan keselamatan sempadan perlu dibentangkan untuk melihat impak lambakan warga asing terhadap ekonomi rakyat—termasuk tekanan terhadap kadar gaji, peluang kerja serta bebanan kemudahan hospital dan pendidikan di Sabah. Beliau juga mencadangkan supaya Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah mengenai MA63 ditubuhkan bagi membahaskan perkara berkaitan. “Isu autonomi ini tidak boleh diselesaikan di peringkat Eksekutif semata-mata. Saya mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas DUN Sabah mengenai MA63 dan Keselamatan Sempadan. Suara Dewan Undangan adalah suara rasmi rakyat Sabah; isu kedaulatan ini perlu dibahas dan diputuskan oleh wakil rakyat secara berterusan, bukan hanya ketika timbul kontroversi,” katanya. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
Cari ikan bertukar tragedi
KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri selepas dihanyutkan arus ketika mencari ikan di Sungai Rampayan berhampiran Kampung Dombung, Manggatal, petang semalam disahkan meninggal dunia. Dalam kejadian kira-kira jam 3.05 petang itu, mangsa Muhammad Hamizan Aqil Ahmad, 11, dikatakan pergi ke sungai berkenaan bersama sembilan rakannya dari kawasan sama. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama seorang rakannya dipercayai tersasar sebelum dihanyutkan arus sungai. Katanya, rakan mangsa kemudian meminta bantuan orang ramai yang berada berhampiran lokasi kejadian sebelum anggota Balai Polis Manggatal bergegas ke lokasi. “Pasukan anggota dari Bomba dan Penyelamat Lintas tiba di lokasi kira-kira jam 4 petang sebelum mangsa berjaya ditemukan pada jam 4.17 petang. “Mangsa kemudian diberikan bantuan pernafasan CPR di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Likas menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada jam 5.46 petang oleh doktor Hospital Likas. Katanya, polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan mengawasi kanak-kanak ketika berada di kawasan sungai atau perairan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Polis juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
Rip Curl Malaysia tampil koleksi khas bersama Pangrok Sulap
KOTA KINABALU: Jenama pakaian luncur terkenal, Rip Curl Malaysia tampil dengan koleksi terbaharu dikenali sebagai “Artist of The Search” menerusi kolaborasi bersama kolektif seni terkenal dari Sabah, Pangrok Sulap. Koleksi edisi terhad itu menggabungkan elemen budaya tempatan, kehidupan pesisir pantai dan ekspresi seni urban menerusi rekaan autentik yang dihasilkan Pangrok Sulap. Ini juga menjadi kolaborasi pertama antara Rip Curl Malaysia dan Pangrok Sulap, sekali gus membawa perspektif baharu kepada landskap kreatif jenama berkenaan. Menurut kenyataan Rip Curl Malaysia, kempen itu diinspirasikan daripada semangat komuniti, budaya Borneo dan gaya hidup ombak yang diterjemahkan melalui rekaan unik pada koleksi baju-T terbabit. Pangrok Sulap yang ditubuhkan pada 2010 di Ranau dikenali sebagai kolektif seni yang menghimpunkan pelbagai disiplin termasuk artis, penulis, penyelidik, aktivis, pemuzik dan pereka grafik. Kolektif itu juga aktif menjalankan pelbagai program komuniti, pameran seni, bengkel serta projek pembangunan sosial dan pendidikan di dalam serta luar negara sejak 2013. Antara rekaan utama diperkenalkan ialah “Spirit of the Waves” yang mengetengahkan kehidupan kampung di Borneo dengan elemen ombak, permainan tradisional dan budaya ‘tarik upih’ sebagai simbol hubungan antara darat dan laut. Selain itu, rekaan “Waves and Roots” pula menggambarkan suasana zaman kanak-kanak di kampung dengan gabungan motif tradisional Borneo serta budaya luncur moden. Rip Curl Malaysia turut memaklumkan sebahagian hasil jualan koleksi berkenaan akan disalurkan kepada inisiatif komuniti yang dipilih Pangrok Sulap sebagai usaha memberi impak positif kepada masyarakat. Koleksi “Artist of The Search” kini boleh didapati di semua cawangan Rip Curl seluruh negara dan secara dalam talian menerusi Rip Curl Malaysia. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
Dua lelaki ditahan, 40 botol air ketum dirampas
KOTA MARUDU: Kegiatan memproses dan mengedar air ketum terbongkar selepas dua lelaki tempatan diberkas dalam serbuan di dua lokasi berasingan di daerah ini, semalam. Dalam operasi dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu bermula kira-kira jam 10 pagi itu, kedua-dua suspek masing-masing berusia 34 dan 28 tahun ditahan bagi membantu siasatan. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, serbuan pertama dilakukan di sebuah premis cuci kereta di Kampung Radu hasil maklumat risikan. Katanya, pemeriksaan di lokasi menemui sebotol minuman berwarna hijau jenama Mountain Dew disyaki mengandungi air ketum dengan anggaran isipadu kira-kira 200 mililiter. “Hasil soal siasat awal terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua kira-kira jam 12.30 tengah hari di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tinonkudan Bodoi. “Dalam operasi itu, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan memproses dan menjual air ketum,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan belakang rumah suspek menemui 40 botol air mineral disyaki mengandungi cecair ketum selain peralatan memasak dan tong penyimpanan dipercayai digunakan untuk memproses bahan terbabit. Katanya, kedua-dua suspek kemudian dibawa ke IPD Kota Marudu untuk tindakan lanjut manakala semua barang kes turut dirampas bagi tujuan siasatan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. Simiun berkata, pihak polis memandang serius kegiatan pengedaran air ketum yang semakin berleluasa di daerah itu dan akan terus mempergiat operasi bagi membanteras aktiviti berkenaan. Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu usaha membendung kegiatan itu demi keselamatan komuniti setempat. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
Muhamad Hamizan Aqil meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika mandi sungai
KOTA KINABALU: Kanak-kanak lelaki yang ditemui tidak sedarkan diri ketika mandi di sungai berhampiran Kampung Dombung, Jalan Rampayan, Manggatal, di sini, petang tadi disahkan meninggal dunia. Mangsa dikenali sebagai Muhamad Hamizan Aqil Ahmad, 10 dan disahkan meninggal dunia pada jam 7 malam tadi. Terdahulu, mangsa dikatakan mandi bersama beberapa rakannya sebelum dipercayai lemas. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.51 petang. Katanya, setibanya di lokasi terdapat dua mangsa dipercayai lemas ketika mandi di sungai. “Seorang mangsa berjaya diselamatkan rakannya, manakala seorang lagi ditemukan pasukan bomba dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Anggota bomba kemudian memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) sebelum mangsa diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya. – Info X
May 14, 2026
Info X Reporters
Dua beradik hilang ketika memancing ditemui selamat
SIPITANG: Dua beradik wanita yang dikhuatiri hilang selepas keluar memancing di kawasan hutan berhampiran Kampung Padang Berempah, di sini, ditemukan selamat malam tadi. Mangsa Maimun Sibun, 59, dan adiknya, Zaleha Sibun, 56, ditemui orang awam kira-kira jam 11.29 malam pada jarak satu kilometer dari lokasi mereka dilaporkan hilang. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Penolong Penguasa Bomba Calvin Joe Jeafery berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa keluar ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) bagi pemeriksaan serta proses pengecaman oleh ahli keluarga. “Selepas selesai pemeriksaan dan pengesahan dijalankan, kedua-dua mangsa dibawa pulang oleh ahli keluarga dalam keadaan selamat. “Pasukan bomba kemudian menamatkan operasi sepenuhnya selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi pagi ini. Menurutnya, pihak bomba sebelum itu menerima panggilan kecemasan pada jam 8.54 malam berhubung dua wanita yang belum pulang ke rumah selepas keluar memancing sejak jam 8.30 pagi. Terdahulu, kedua-dua mangsa dilaporkan gagal dihubungi sehingga mencetuskan kebimbangan ahli keluarga sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan di kawasan hutan berhampiran kampung berkenaan. – Info X