May 13, 2026
Info X Reporters
‘Cigku Farhan pikul beras cerita palsu’ – Jabatan Pendidikan
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menafikan insiden seorang guru terpaksa memikul beras untuk dihantar ke asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pinawantai, Ranau seperti tular di media sosial sebelum ini. Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata realitinya sekolah terbabit bukan saja tidak mempunyai asrama, malah lokasinya terletak berhampiran jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah. Katanya, selain di Ranau, sebuah lagi sekolah dengan nama yang sama di Kudat juga tidak mempunyai kemudahan asrama dan lokasinya terletak berhampiran jalan raya. Sehubungan itu, katanya tiada isu guru memikul beras untuk dihantar ke sekolah terbabit memandangkan situasi sebenar tidak sama seperti digambarkan dalam dakwaan yang tular di media sosial. “Jabatan Pendidikan Sabah amat berdukacita dengan satu viral dalam media sosial berkenaan dengan SK Pinawantai, Ranau. “Terdapat dua sekolah di Sabah yang memiliki nama yang sama iaitu SK Pinawantai, Kudat dan SK Pinawantai, Ranau. Kedua-dua sekolah itu tidak ada asrama dan terletak berhampiran dengan jalan raya dan semua guru menggunakan kenderaan peribadi untuk ke sekolah. “Sehubungan ini, tidak ada isu guru memikul beras untuk dihantar ke asrama sekolah berkenaan. Guru Besar SK Pinawantai, Ranau telah membuat penafian tentang isu yang diviralkan dan menegaskan bahawa tidak ada guru bernama Farhan di sekolah berkenaan. “JPN Sabah turut menafikan kenyataan tidak benar yang tular di media sosial berkaitan perkara ini,” katanya. Berikutan itu, Raisin menyeru kepada netizen supaya lebih bertanggungjawab dalam membawa isu berkaitan pendidikan. Beliau menegaskan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan JPN Sabah sentiasa komited meningkatkan kualiti pendidikan di negeri ini. Sebelum ini, tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa seorang guru muda bernama Farhan terpaksa memikul beras meredah hutan selama tiga jam untuk dihantar ke asrama SK Pinawantai selepas tidak sampai hati melihat murid sekolah itu hanya memakan ubi kayu setiap malam. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Dua rumah, tiga kenderaan musnah dalam kebakaran
KENINGAU: Dua rumah dan tiga kenderaan musnah dalam kebakaran di Taman Bersatu, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 5.29 pagi itu, sebuah rumah separuh kekal terbakar 90 peratus manakala sebuah lagi rumah jenis tidak kekal musnah sepenuhnya. Turut terbakar sebuah lori Isuzu tiga tan, Proton Wira dan sebuah motosikal yang semuanya dilaporkan hangus 100 peratus. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) tiba di lokasi kira-kira jam 5.36 pagi. “Setibanya di lokasi, kebakaran membabitkan dua rumah dengan keluasan kira-kira 105 meter persegi setiap satu. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 91 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada pili bomba berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke tiga rumah berhampiran. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.39 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
‘Kolam di kawasan ladang jadi perangkap maut gajah’
KOTA KINABALU: Operator ladang diarah memastikan struktur kolam yang dibina di kawasan mereka tidak menjadi ‘perangkap maut’ hidupan liar, khususnya gajah. Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, mengingatkan sebarang pembinaan kolam berhampiran habitat hidupan liar itu perlu dipastikan mempunyai tebing yang landai. Peringatan itu berikutan penemuan 11 ekor gajah termasuk satu anak gajah terperangkap dalam kolam di sebuah ladang kelapa sawit dekat Hutan Simpan Deramakot di Kinabatangan, baru-baru ini. “Insiden ini menjadi satu peringatan penting bahawa kolam, parit dan struktur berbahaya lain dekat koridor hidupan liar berterusan mendedahkan mereka kepada bahaya, khususnya gajah pigmi Borneo yang begitu ikonik dan dilindungi sepenuhnya. “Jabatan Hidupan Liar juga sudah mengarahkan operator ladang untuk memastikan bahawa struktur kolam yang sama tidak dibina tanpa langkah mitigasi yang betul. “Jika perlu membina kolam, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing dibuat landai bagi membolehkan hidupan liar melepaskan diri dengan selamat jika ia jatuh ke dalam kolam,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, ada kemungkinan juga gajah terbabit masuk secara sukarela ke kolam terbabit disebabkan cuaca panas, berikutan sifat mamalia itu yang memerlukan air untuk menyejukkan badan. Katanya, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) akan bekerja rapat dengan operator ladang, komuniti tempatan dan rakan konservasi bagi mengukuhkan langkah perlindungan hidupan liar. Pendekatan itu juga, katanya bagi memperbaiki keupayaan tindak balas rapid dan memastikan aktiviti pembangunan berdekatan koridor ekologi dilaksanakan secara mapan dan bertanggungjawab. “Melindungi biodiversiti Sabah adalah tanggungjawab bersama. Kejayaan menyelamat gajah ini menunjukkan pentingnya laporan awal, kerjasama dan komitmen bersama dalam memastikan spesies terancam ini terus berkembang untuk generasi akan datang,” katanya. Sementara itu, Jafry menyatakan penghargaannya terhadap tindakan pantas dan profesional pihak JHLS, field rangers, pekerja ladang dan semua pihak yang terbabit dalam menangani kes gajah terperangkap dalam kolam, baru-baru ini. Katanya, berdasarkan maklumat JHLS, kejadian itu berlaku di kawasan ladang, namun tidak jelas sama ada gajah terbabit masuk sendiri ke dalam kolam atau terjatuh. Bagaimanapun, katanya pihak JHLS dan pengurusan ladang mengambil tindakan pantas dengan meratakan tebing kolam bagi membolehkan gajah terbabit melepaskan diri sekali gus dapat diselamatkan tanpa sebarang kecederaan atau kematian. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Angin kencang rosakkan bumbung rumah di Labuan
LABUAN: Beberapa rumah di Perumahan MPL Tanjung Aru di sini, mengalami kerosakan pada bahagian bumbung selepas dilanda angin kencang dalam kejadian malam tadi. Kejadian kira-kira jam 10.25 malam itu turut menyebabkan pokok tumbang sehingga menghalang laluan jalan raya di kawasan terbabit. Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Labuan dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima satu aduan berhubung kejadian bencana berkenaan sebelum anggota digerakkan ke lokasi. Menurutnya, kejadian itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk, namun setakat ini tiada kecederaan serius dilaporkan. “Pasukan APM bersama agensi berkaitan menjalankan kerja pemantauan, pembersihan serta membantu penduduk yang terjejas akibat kejadian berkenaan. “Pokok tumbang yang menghalang jalan turut dialihkan bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurut kenyataan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terutama ketika cuaca buruk selain mengelakkan berada berhampiran pokok besar dan struktur yang tidak kukuh. Katanya, operasi ditamatkan selepas keadaan di lokasi terkawal. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Ops Tiris 4.0: 1,520 liter petrol cuba diseleweng dirampas
SEMPORNA: Cubaan menyeleweng 1,520 liter minyak petrol di kawasan atas jambatan Kampung Air di sini, berjaya dipatahkan menerusi Ops Tiris 4.0 (Bersepadu), semalam. Rampasan tanpa tuan itu membabitkan 60 gelen berisi petrol dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,600. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima serahan kes rampasan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut. Menurutnya, rampasan berkenaan membabitkan 56 gelen putih berisi 1,400 liter petrol dan empat gelen biru berisi 120 liter petrol yang dipercayai cuba diselewengkan. “Susulan itu, KPDN Semporna membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. “KPDN memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat supaya sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan dan tidak terbabit dalam sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya. Menurut kenyataan itu, mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama. Katanya, bagi kesalahan berikutnya, pesalah boleh didenda sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. “Bagi syarikat pula, jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM2 juta dan bagi kesalahan berikutnya sehingga RM5 juta,” katanya. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Pengorbanan abang berakhir pilu, adik OKU rentung
KOTA MARUDU: Pengorbanan seorang abang yang cuba menyelamatkan adiknya yang juga orang kurang upaya (OKU) dalam kebakaran rumah di Kampung Torintidon, Jalan Kampung Lampada, awal pagi tadi, berakhir pilu apabila remaja itu ditemukan rentung. Dalam kejadian kira-kira jam 3.20 pagi itu, Lorex Sindam, 16, dipercayai terperangkap di dalam rumah yang terbakar 100 peratus. Abang mangsa, Razani Sindam, 28, pula mengalami kecederaan melecur ketika cuba menyelamatlan adiknya sebelum dihantar penduduk kampung ke Hospital Kota Marudu untuk rawatan lanjut. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Debli Mamoi berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, seramai 10 anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Vigo dikerahkan ke lokasi yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai. “Bagaimanapun, jentera FRT hanya dapat melalui perjalanan sejauh 14 kilometer sehingga berhampiran SK Lampada sebelum anggota meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan Vigo berikutan keadaan jalan tidak berturap menuju ke kampung berkenaan. “Setibanya di lokasi pada jam 4.48 pagi, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 78 meter persegi itu didapati sudah terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman dan kerja overhaul menggunakan sumber air daripada paip penduduk kampung. “Seorang mangsa ditemukan rentung dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Seorang lagi mangsa yang melecur sudah dihantar ke hospital sebelum ketibaan bomba,” katanya. Debli berkata, operasi turut berdepan kesukaran apabila tiada liputan selain rangkaian telefon yang kurang stabil di kawasan kampung terbabit. Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.53 pagi selepas bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Kenaikan bil elektrik dipengaruhi faktor penggunaan semasa – Sabah Electricity
KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) menjelaskan peningkatan bil elektrik pengguna kebelakangan ini banyak dipengaruhi faktor penggunaan semasa, khususnya ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri, cuaca panas serta penggunaan peralatan elektrik berkuasa tinggi secara berterusan. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata penggunaan peralatan seperti penghawa dingin, pemanas air dan peti sejuk tambahan boleh meningkatkan jumlah bil pengguna. Sehubungan itu, beliau menyarankan pengguna supaya memantau penggunaan elektrik secara berkala dan mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah bagi mengawal jumlah bil bulanan. “Pengguna juga digalakkan untuk menggunakan aplikasi mySE+ bagi menyemak bil, merekod penggunaan dan mendapatkan maklumat berkaitan akaun elektrik dengan lebih mudah serta pantas. “Selain itu, pengguna boleh mendapatkan nasihat dan khidmat Sabah Electricity di semua 23 pejabat kawasan untuk menyemak meter elektrik dan penggunaan tenaga di premis mereka. “Sabah Electricity juga menegaskan bahawa hasil kutipan bayaran bil adalah penting untuk memastikan operasi sistem bekalan elektrik dapat diteruskan secara mampan termasuk kerja penyelenggaraan, penambahbaikan infrastruktur dan kestabilan bekalan elektrik kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan berhubung isu peningkatan bil elektrik pengguna yang banyak tular di media sosial. Berikutan itu, beliau menasihatkan pengguna supaya sentiasa membuat semakan bil elektrik dan memastikan pembayaran dibuat mengikut tempoh ditetapkan bagi mengelak tunggakan dibawa ke bil seterusnya. Tunggakan yang tidak dijelaskan, katanya boleh menyebabkan jumlah keseluruhan bil meningkat dan memberi kesan kepada pengurusan pembayaran pengguna. Dalam pada itu, Mohd Yaakob turut menjelaskan Sabah Electricity memandang serius kes usikan pepasangan meter (KUPM), termasuk penyambungan haram, pengusikan meter dan aktiviti mencuri elektrik. “Perbuatan ini bukan saja menyalahi undang-undang, malah boleh mengundang risiko keselamatan seperti kebakaran dan renjatan elektrik. “Tindakan penguatkuasaan terhadap kesalahan ini dilaksanakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa bertujuan melindungi kepentingan majoriti pengguna yang membayar bil secara sah dan bertanggungjawab,” katanya. Katanya, Sabah Electricity memahami kebimbangan dan sentimen pengguna berhubung isu peningkatan bil elektrik dan menanganinya secara berhemah, telus dan bertanggungjawab dalam memastikan kebajikan pengguna terus dipelihara, di samping menjamin kelestarian sistem bekalan elektrik di Sabah dan Labuan. Sementara itu, beliau turut menjelaskan mengenai cagaran tambahan yang merujuk kepada bayaran deposit tambahan dikenakan kepada pengguna berdasarkan peningkatan penggunaan semasa atau rekod pembayaran tertentu, sebagai jaminan bagi memastikan bayaran bil elektrik dibuat dengan teratur. “Semakan cagaran ini dilaksanakan secara berkala selaras dengan peruntukan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 2024 serta Akta Bekalan Elektrik 1990 yang memberi kuasa kepada pemegang lesen untuk mengenakan cagaran sebagai jaminan pembayaran bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Katanya, keperluan melaksanakan semakan cagaran tambahan setiap enam bulan bagi memastikan jumlah cagaran yang dipegang adalah selaras dengan corak penggunaan semasa dan risiko pembayaran pengguna. Semakan berkala itu, jelasnya membantu memastikan akaun pengguna mempunyai jaminan yang mencukupi jika berlaku peningkatan penggunaan elektrik atau tunggakan bayaran, sekali gus menyokong kelangsungan operasi dan kestabilan sistem bekalan elektrik secara menyeluruh. Beliau berkata Sabah Electricity terus komited untuk memperkukuh komunikasi bersama pengguna serta memastikan setiap isu yang dibangkitkan ditangani secara profesional, telus dan berintegriti demi kepentingan bersama. Pada masa yang sama, beliau menasihati pengguna yang mempunyai kemusykilan berkaitan bil mereka supaya menghubungi Sabah Electricity Careline 15444, 088-515000, Whatsapp 019-852 5427 atau menggunakan aplikasi mySE+. – Info X
May 13, 2026
Info X Reporters
Masidi Timbalan Pengerusi baharu GRS, Armizan ambil alih Setiausaha Agung
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merombak beberapa jawatan tertinggi parti, termasuk mengisi kekosongan bekas pemimpin parti komponen yang meninggalkan gabungan itu. Berdasarkan maklumat diperolehi media, Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun kini dilantik sebagai Timbalan Pengerusi GRS bagi mengekalkan lima jawatan itu, termasuk empat disandang Presiden parti komponen. Timbalan Ketua Menteri II itu yang sebelum ini Setiausaha Agung GRS mengisi kekosongan ditinggalkan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berikutan peletakan jawatannya sebelum membawa USNO keluar GRS pada April lalu. Empat Timbalan Pengerusi GRS yang kekal ialah pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam; Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Senator Tan Sri Anifah Aman; Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah dan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin. Sementara itu, Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS ‘naik’ pangkat sebagai Setiausaha Agung GRS yang baharu menggantikan Masidi. Jawatan Timbalan Setiausaha Agung GRS pula diambil alih Setiausaha Agung Gagasan Rakyat yang juga ADUN Dilantik, Datuk Mohamed Razali Razi. ADUN Kiulu yang juga Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai pula dilaporkan kekal sebagai Ketua Penerangan GRS, manakala seorang lagi pemimpin PBS, Datuk Lo Su Fui yang juga Ahli Parlimen Tawau dilantik sebagai Bendahari Agung GRS. Difahamkan, rombakan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) GRS yang dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) yang dihadiri semua Timbalan Pengerusi GRS dan pemimpin tertinggi lain pada Selasa. – Info X