May 12, 2026
Info X Reporters
Axia mencurigakan bawa kepada rampasan syabu, kabel
PAPAR: Tindakan seorang suspek melarikan diri selepas kenderaannya dikesan dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Kampung Mook, Kinarut, membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah, semalam. Dalam kejadian itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar yang menjalankan rondaan cegah jenayah mengesan sebuah Perodua Axia dalam keadaan mencurigakan. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis. “Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan beberapa barangan disyaki berkaitan kegiatan pecah rumah, curi kabel serta bahan disyaki dadah jenis syabu. “Turut dirampas beberapa peralatan termasuk mesin pemotong, chain block, kabel tembaga, alat pemotong wayar dan sebuah telefon bimbit dipercayai milik suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, suspek berjaya meloloskan diri ke kawasan semak berhampiran dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan. Katanya, semua barang rampasan bersama kenderaan terbabit diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. “Syabas dan tahniah kepada anggota MPV BPJKK IPD Papar atas tindakan pantas, komitmen dan kecekapan dalam menjalankan tugas demi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara,” katanya. Beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan curi kabel kepada Pusat Gerakan IPD Papar di talian 088-916064 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X
May 12, 2026
Info X Reporters
Wanita warga asing ditahan bantu siasatan kes buang bayi
SEMPORNA: Seorang wanita warga asing ditahan selepas dipercayai terbabit dalam kes penemuan bayi lelaki yang ditinggalkan di laluan pejalan kaki depan sebuah rumah kosong di Kampung Panji, di sini, pagi tadi. Bayi dipercayai berusia dua bulan itu ditemukan orang awam dalam keadaan berbungkus kain kira-kira jam 7 pagi sebelum laporan dibuat kepada polis pada jam 8.16 pagi. Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Tan Hiap Wah berkata, bayi seberat kira-kira tiga kilogram itu kemudian dibawa ke Hospital Semporna untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut. “Pemeriksaan mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami sebarang kecederaan. “Bayi itu masih berada di bawah pemantauan pihak hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, susulan siasatan dijalankan, polis menahan seorang wanita bukan warganegara berusia 28 tahun bagi membantu siasatan kes berkenaan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan kanak-kanak berumur bawah 12 tahun dengan niat membuangnya. “Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya. Sementara itu, beliau berkata pihaknya menghargai kerjasama orang ramai yang menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan kes kepada pegawai penyiasat, Inspektor Munnesh A/L Jegathesuran di talian 012-9922566 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X
May 12, 2026
Info X Reporters
Mayat pelajar lelaki ditemukan di Sungai Padas
TENOM: Mayat seorang pelajar lelaki ditemukan terapung di Sungai Padas berhampiran Empangan Hydro Electric Pangie, di sini, pagi tadi. Mangsa berusia 19 tahun itu ditemui orang awam sebelum maklumat disalurkan kepada pihak polis kira-kira jam 8.54 pagi. Difahamkan, mangsa sebelum ini dilaporkan keluar dari asrama sebuah sekolah di Kemabong sejak Ahad lalu. Pemangku Ketua Polis Daerah Tenom, Asisten Superintendan Polis Ahmad Razali Shaari berkata, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan pemeriksaan. “Sebaik tiba di lokasi, polis menemukan mayat mangsa dalam keadaan tertiarap di tepi sungai sebelum dibawa ke Hospital Tenom untuk tindakan lanjut. “Hasil semakan mendapati terdapat laporan dibuat berhubung kehilangan seorang pelajar dari asrama sekolah berkenaan pada 10 Mei lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pengecaman awal oleh pihak warden asrama mendapati pakaian dipakai mangsa menyerupai pakaian asrama sekolah terbabit. Katanya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian dan hospital mendapati tiada kecederaan berunsurkan jenayah ditemukan pada tubuh mangsa. “Mayat mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. “Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. – Info X
May 12, 2026
Info X Reporters
JIM Sabah tahan 38 PATI di Kudat, Tawau
TAWAU: Seramai 38 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di Kudat dan Tawau, baru-baru ini. Operasi menerusi Ops Sapu, Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar itu dijalankan bagi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) serta individu yang melakukan kesalahan imigresen. Dalam operasi di Kudat, seramai 20 individu diperiksa sebelum 15 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah dan melanggar syarat pas. Semua yang ditahan membabitkan warga Filipina terdiri daripada tiga lelaki dewasa, lima perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan. Sementara itu di Tawau, operasi Ops Mahir, Ops Selera dan Ops Gegar memeriksa seramai 56 individu dengan 23 warga asing ditahan. Mereka yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki dewasa, enam perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan warga Filipina selain seorang lelaki dewasa dan tiga perempuan dewasa warga Indonesia. Turut ditahan seorang lelaki warga India kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini memaklumkan, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara sentiasa terpelihara. – Info X
May 12, 2026
Info X Reporters
Doktor bersama pasangan disogit RM15,000 kerana langgar adat
KENINGAU: Seorang doktor bersama pasangannya diperintah membayar sogit bernilai RM15,000 atau bersamaan tiga ternakan besar selepas didapati melanggar adat berkaitan mengahwini isteri atau suami orang lain. Perintah itu dikeluarkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) Keningau mengikut Kaedah 19(1), Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dan Pindaan Undang-Undang Adat Anak Negeri 1995 pada prosiding, di sini, hari ini. Ia susulan satu tuntutan saman ‘lapau’ difailkan suami kepada pasangan doktor terbabit selepas wanita berkenaan didakwa berkahwin ketika masih berstatus isteri kerana perkahwinan terdahulunya belum dibubarkan. Saman ‘lapau’ adalah tuntutan di bawah adat Anak Negeri yang merujuk kepada tuntutan terhadap pihak yang didakwa mengganggu atau merosakkan hubungan rumah tangga orang lain, termasuk membabitkan isu perkahwinan sedia ada yang belum dibubarkan mengikut adat dan undang-undang berkaitan. Keputusan itu dibacakan panel Mahkamah Anak Negeri Keningau selepas meneliti keterangan, dokumen dan hujahan yang dikemukakan sepanjang prosiding. Mahkamah memutuskan bahawa tuntutan itu adalah berasas dan disokong bukti yang mencukupi mengikut Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 dan Pindaan Undang-Undang Adat Anak Negeri 1995. Mahkamah turut berpendapat pihak plaintif dan Defenden 2 (pasangan) masih mempunyai hubungan perkahwinan yang sah berdasarkan rekod perkahwinan yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada 2018 serta dikurniakan dua orang anak. Mahkamah juga meneliti isu berkaitan perkahwinan Defenden 2 dengan Defenden 1 (doktor) ketika hubungan perkahwinan sedia ada dengan pihak plaintif masih belum dibubarkan. Sepanjang prosiding, isu berkaitan pengisytiharan status perkahwinan Defenden 2 dalam dokumen yang melibatkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHEINS) turut disentuh berdasarkan keterangan dan dokumen yang dikemukakan di mahkamah. Selain sogit utama bernilai RM15,000, kedua-dua defendan turut diperintah membayar sogit tambahan berkaitan dua anak defendan 2 bernilai RM4,000. Mahkamah menetapkan tempoh pembayaran selama 21 hari bekerja bermula tarikh keputusan dibacakan dan jika gagal mematuhi perintah itu boleh menyebabkan tindakan lanjut diambil mengikut peruntukan undang-undang berkaitan. Dalam keputusan sama, mahkamah turut menasihatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan berbentuk penghinaan, ugutan atau kenyataan yang boleh menjatuhkan maruah mana-mana pihak, khususnya di media sosial. – Info X
May 12, 2026
Info X Reporters
Remaja 17 tahun didakwa dirogol ketika pulang kenduri kahwin
TAWAU: Seorang buruh warga asing diberkas kurang sejam selepas laporan dibuat berhubung kes rogol membabitkan remaja perempuan berusia 17 tahun di kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Brumas, di sini. Dalam kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 11 malam Ahad lalu, mangsa dikatakan diserang ketika berjalan pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri kahwin. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, laporan polis dibuat bapa tiri mangsa kira-kira jam 12.55 tengah malam selepas dimaklumkan mengenai kejadian menimpa remaja terbabit. Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa mendakwa ditahan sebelum ditarik masuk ke rumah suspek yang dikenalinya. “Suspek kemudian dipercayai menutup mulut mangsa menggunakan kain sebelum bertindak merogol mangsa. “Susulan laporan diterima, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai bersama anggota Polis Bantuan Sabah Softwood Berhad menjalankan operasi mengesan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, hasil tindakan pantas itu, suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an berjaya diberkas kira-kira jam 12.10 tengah malam di hadapan perumahan pekerja di Brumas. Katanya, polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan termasuk sehelai baju, seluar dan tilam dipercayai digunakan ketika kejadian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya. Menurutnya, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta segera membuat laporan sekiranya melihat sebarang perlakuan mencurigakan demi menjaga keselamatan diri dan komuniti setempat. – Info X
May 12, 2026
Info X Reporters
RM12.02 bilion diluluskan untuk Sabah di bawah RMK13
KOTA KINABALU: Sebanyak RM12.02 bilion siling pembangunan diluluskan untuk Sabah di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membiayai 1,173 program danprojek. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jumlah itu adalah peruntukan pembangunan terbesar dalam sejarah negeri ini. Beliau bagaimanapun mengingatkan ia bukan sekadar soal perbelanjaan tetapi mengenai pelaksanaan, impak dan memastikan pembangunan sampai kepada komuniti di seluruh Sabah. “Industri pembinaan akan memainkan peranan utama dalam transformasi ini. Di seluruh Sabah, kita sedang menyaksikan momentum kukuh dalam pembangunan infrastruktur, daripada jalan raya dan kemudahan kesihatan kepada utiliti serta jaringan digital. “Lebuhraya Pan Borneo khususnya menggambarkan momentum ini. Ia bukan sekadar mewujudkan hubungan, malah membuka peluang ekonomi dan meningkatkan akses di seluruh negeri. “Pusat bandar kita – Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau sedang berkembang menjadi hab moden dan dinamik yang mencerminkan Sabah baharu yang sedang kita bina,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis perasmian International Construction Week (ICW) Borneo dan BuildXpo di Hotel Sheraton Kota Kinabalu, di sini, pada Selasa. Ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun. Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan. Hajiji berkata, berdasarkan cabaran pelaksanaan sebelum ini, keutamaan pada masa hadapan adalah mempercepatkan penyampaian, memperkukuh koordinasi dan memastikan projek dilaksanakan dengan nilai yang berkekalan. Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun akan datang, tumpuan akan diberikan kepada strategi memperkukuh jaringan perhubungan menerusi rangkaian pengangkutan, sistem logistik dan pembangunan pelabuhan bagi memacu perdagangan serta pertumbuhan ekonomi, selain memastikan pertumbuhan yang mampan dan berdaya tahan supaya kemajuan tidak menjejaskan peluang masa hadapan. “Strategi lain termasuk memperluaskan akses kepada perumahan mampu milik, menterjemahkan pembangunan kepada penambahbaikan nyata dalam kehidupan rakyat Sabah serta meningkatkan standard industri menerusi tadbir urus yang lebih baik, keupayaan lebih kukuh dan akauntabiliti yang lebih tinggi,” katanya. Dalam hal itu, Hajiji berkata ICW Borneo adalah platform penting yang menghimpunkan idea, kepakaran dan kerjasama yang diterjemahkan kepada hasil sebenar. “Ia membolehkan Sabah berhubung secara langsung dengan pemimpin industri, pelabur dan profesional yang boleh menjadi rakan dalam perjalanan pertumbuhan kita. “Kepada semua yang hadir hari ini, Sabah mengalu-alukan kerjasama anda. Kita mencari rakan yang membina dengan tujuan, melaksanakan dengan integriti dan komited terhadap kualiti. “Peluang yang ada amat besar, meliputi infrastruktur, pembangunan bandar dan pertumbuhan mampan,” katanya. Hajiji turut menegaskan Sabah dibuka untuk perniagaan, bersedia menerima pelaburan dan komited terhadap kemajuan. – Info X
May 12, 2026
Info X Reporters
KPPIS dedah lima kelompongan Akta 860 dakwa hakis autonomi imigresen Sabah
KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) mendakwa terdapat lima kelompongan kritikal dalam Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) yang disifatkan berpotensi menghakis autonomi imigresen Sabah serta menjejaskan pengurusan pintu masuk negeri itu. Presiden KPPIS, Azizah S Ahmad, berkata peruntukan dalam akta berkenaan dilihat membuka ruang kepada pertindihan kuasa antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan kerajaan negeri, khususnya dalam aspek kawalan imigresen di Sabah. Katanya, perkara itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai imigresen di negeri berkenaan kerana boleh menyebabkan kekeliruan terhadap rantaian arahan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP). Beliau berkata, antara isu utama dibangkitkan ialah pengecualian kuasa AKPS di bawah Jadual Kedua Akta 860 yang didakwa hanya terhad kepada Seksyen 9, Seksyen 9A dan Bahagian V Akta Imigresen 1959/63. “Situasi ini membolehkan AKPS menguatkuasakan semua peruntukan di bawah Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 yang sebenarnya mengandungi peruntukan khas berkaitan kuasa eksklusif kerajaan negeri Sabah. “Sekiranya Bahagian VII tidak dikecualikan secara khusus daripada bidang kuasa AKPS, ia boleh menjejaskan kedaulatan wilayah serta hak pentadbiran pintu masuk Sabah,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa. Azizah berkata, ketika ini kawalan di pintu masuk Sabah dilaksanakan di bawah kuasa mutlak pihak berkuasa negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63. Namun, beliau mendakwa penguatkuasaan Akta 860 berpotensi membolehkan AKPS mengambil alih kawalan pintu masuk tanpa sempadan bidang kuasa yang jelas sehingga mencetuskan pertindihan kuasa. Selain itu, katanya, Seksyen 6(3) Akta 860 juga didakwa mengandungi kelompongan apabila AKPS hanya diwajibkan mematuhi arahan pihak berkuasa negeri bagi fungsi pemeriksaan keluar masuk individu secara fizikal. Sebaliknya, beliau berkata, fungsi pengeluaran pas atau permit di bawah Seksyen 6(1)(a)(viii) didakwa terdedah kepada campur tangan AKPS. “Keadaan ini dikhuatiri bercanggah dengan Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 65 Akta Imigresen 1959/63 yang memberi kuasa kepada Ketua Menteri Sabah untuk menyekat atau membatalkan pengeluaran pas dan permit di Sabah. “Kuasa mutlak Ketua Menteri untuk menyekat atau membatalkan pas di Sabah tidak wajar dibiarkan dalam ruang kelabu perundangan,” katanya. Menurut Azizah, KPPIS turut mempersoalkan penstrukturan pentadbiran di bawah Seksyen 4(4) Akta 860 yang meletakkan Ketua Pengarah AKPS sebagai pemegang kuasa mutlak terhadap semua arahan dan kawalan operasi. Katanya, langkah itu dikhuatiri memintas peranan Pengarah Imigresen Sabah yang sepatutnya mempunyai kuasa pengawasan terhadap penugasan pegawai imigresen di negeri berkenaan. “Rantaian arahan berpusat ini boleh menyebabkan pegawai di lapangan berdepan dilema berhubung arahan pihak mana yang perlu dipatuhi,” katanya. Beliau berkata, KPPIS juga membantah Seksyen 8 Akta 860 yang memperuntukkan penyelesaian pertindihan fungsi secara pentadbiran sekiranya berlaku konflik kuasa antara AKPS dan pihak berkuasa negeri. Katanya, pendekatan itu dianggap tidak selaras dengan jaminan Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) kerana boleh dipinda tanpa proses kelulusan Parlimen. “Autonomi imigresen Sabah bukan sesuatu yang boleh dirundingkan kerana ia adalah hak eksklusif yang perlu dipelihara,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan Seksyen 7(1) Akta 860 yang memberi kuasa luas kepada AKPS untuk mengambil alih keupayaan “pihak berkuasa berwibawa” secara automatik. Katanya, sebarang penurunan kuasa berkaitan hak kemasukan ke Sabah sepatutnya memerlukan persetujuan rasmi dan kebenaran bertulis Yang di-Pertua Negeri Sabah. “Pemberian kuasa secara pukal kepada AKPS ini dilihat sebagai pencerobohan terhadap autonomi yang selama ini melindungi ruang kerja pegawai imigresen di Sabah,” katanya. Mengulas lanjut, Azizah menegaskan tindakan KPPIS membangkitkan perkara itu bukan bertujuan menentang pelaksanaan akta berkenaan, sebaliknya bagi memastikan perlindungan perundangan dan keselamatan kerjaya pegawai imigresen di Sabah terus terjamin. Katanya, kegagalan menangani kelompongan dalam Akta 860 boleh mendedahkan pegawai imigresen kepada risiko ketidakpatuhan statutori serta pelaksanaan arahan yang melampaui bidang kuasa perundangan. – Info X