May 11, 2026
Info X Reporters
Kosmetik pelbagai jenis bernilai RM360,986 dipercayai dari Filipina dirampas
LAHAD DATU: Cubaan membawa masuk puluhan ribu produk kosmetik tanpa dokumen sah dari Filipina gagal apabila sebuah feri ditahan dalam operasi khas di perairan Lahad Datu, semalam. Dalam operasi kira-kira jam 8.05 pagi itu, Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menahan feri berkenaan hasil maklumat risikan. Pemeriksaan menyeluruh dilakukan dari aras bawah hingga ke aras atas feri sebelum menemui kira-kira 70 longgokan kotak mengandungi pelbagai jenis kosmetik dipercayai dibawa masuk dari Bongao, Tawi-Tawi, Filipina menuju ke Lahad Datu. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil pemeriksaan mendapati terdapat lebih kurang 24,176 unit pelbagai jenis kosmetik di dalam feri terbabit. Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM360,986. “Pemeriksaan lanjut mendapati semua barangan berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit sah daripada Bureau of Customs Filipina. “Semua rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. Beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi dan pemantauan di perairan negara bagi mengekang aktiviti penyeludupan serta kemasukan barang tanpa cukai yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara. “Orang ramai juga diseru supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dan penyeludupan kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Penunggang maut selepas motosikal disyaki dipandu laju terbabas sendiri
BELURAN: Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri di Kilometer (KM) 85 Jalan Sapi Nangoh – Botition, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 9.45 pagi itu, mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan sebelum disahkan meninggal dunia. Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas video kemalangan terbabit tular di media sosial. Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan hanya membabitkan sebuah motosikal yang ditunggang mangsa. “Siasatan mendapati motosikal mangsa dipercayai terbabas sendiri dan ketika kejadian mangsa disyaki menunggang dalam keadaan laju. “Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan serius di muka selain patah tulang hidung dan kaki,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Nangoh sebelum mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk tindakan lanjut. Hasan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada mangsa dan dipercayai lelaki itu adalah warga asing. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Polis turut meminta mana-mana saksi yang melihat kejadian tampil membantu siasatan,” katanya. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Dua anak Sabah gegar gelanggang Twins Championship 104
KOTA KINABALU: Dua peninju kelahiran Sabah mencuri tumpuan apabila berjaya mengharumkan nama negeri dalam kejohanan tinju profesional antarabangsa, Twins Championship 104: Sabah Showdown di Dewan Kebudayaan Penampang, di sini, semalam. Kejohanan berprestij itu menghimpunkan peninju dari beberapa negara termasuk Malaysia, Indonesia, Filipina dan India sekali gus menjadi pentas terbaik buat atlet tempatan Sabah membuktikan kemampuan mereka di gelanggang profesional. Antara paling menyerlah ialah peninju muda berbakat dari Sepanggar, Dzareez Redza atau lebih dikenali sebagai ‘USK’ yang berjaya menewaskan Mikha Skywalker dari Selangor dalam kategori featherweight 57 kilogram. Kemenangan itu cukup bermakna buat Dzareez, 25, yang turun membuat penampilan sulung dalam arena tinju profesional selepas sebelum ini merekodkan 11 kemenangan dan tiga kekalahan di peringkat amatur. Lebih membanggakan, peninju dari Kota Kinabalu Boxing Club (KKBC) itu mempamerkan aksi penuh disiplin dan keberanian sepanjang pertarungan untuk muncul juara di hadapan penyokong sendiri. Dzareez yang dibimbing jurulatih Khairul Azim turut dilihat mempunyai potensi besar untuk digilap sebagai antara prospek terbaik Sabah dalam arena tinju profesional negara. Turut mencuri perhatian ialah seorang lagi anak Sabah, Khairul Azim atau ‘King Azim’, 28, yang berjaya menewaskan peninju Indonesia, Suryadi Tambunan. Kemenangan itu dianggap cukup besar memandangkan Suryadi sebelum ini berada di kedudukan nombor satu BoxRec Indonesia, manakala Khairul Azim berada di ranking kedua Malaysia. Peninju kelahiran Sepanggar itu yang berlatih di bawah kendalian jurulatih Adzlin Apat sekali lagi membuktikan kemampuannya sebagai antara nama besar tinju Sabah apabila kini memiliki rekod profesional lima kemenangan dan satu kekalahan. Sepanjang kejohanan berlangsung, Dewan Kebudayaan Penampang dibanjiri penyokong yang hadir memberikan sokongan kepada atlet masing-masing bermula dari kategori amatur, undercard sehingga kemuncak aksi profesional pada sebelah malam. Penganjuran Twins Championship 104 turut dianggap sebagai titik kebangkitan baharu sukan tempur di Sabah dengan ramai berharap lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa dibawa ke negeri ini pada masa depan. Selain membuka ruang kepada atlet tempatan bersaing di peringkat lebih tinggi, kejohanan seperti ini juga mampu menjadi inspirasi kepada golongan muda untuk menceburi sukan secara positif dan berdisiplin. Sabah sekali lagi membuktikan negeri itu bukan sahaja kaya dengan budaya dan warisan, malah memiliki ramai pejuang berbakat yang mampu membawa nama negeri ke pentas dunia. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Pengusaha pertanian tempatan bantu kurangkan import makanan
TAMBUNAN: Sabah memerlukan lebih ramai pengusaha pertanian tempatan yang berdaya maju bagi membantu meningkatkan pengeluaran bekalan makanan dan seterusnya mengurangkan kebergantungan terhadap import hasil pertanian dari luar negara. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, peranan pengusaha tempatan amat penting dalam memastikan bekalan makanan negeri terus mencukupi selain membantu menstabilkan harga pasaran. Beliau berkata, Sabah ketika ini masih berdepan cabaran berkaitan import hasil pertanian terutama dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia. “Namun begitu, kita berharap dapat mencari situasi menang-menang dan pihak kementerian akan sentiasa membantu para pengusaha tempatan. “Yang penting, kita dapat mengawal selia pengeluaran dan seterusnya membantu menstabilkan harga pasaran,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke beberapa lokasi pertanian di Tambunan, hari ini. Antara lokasi yang dikunjungi ialah Kolam Bio Flok Kampung Karas Maras, Pusat Pembenihan Ikan Air Tawar Stesen Mahua, syarikat Borneo Top dan Kampung Linuk. Dalam lawatan itu, Jamawi berkesempatan bertemu pengusaha ternakan ikan, Barry Ronald yang mengusahakan ternakan ikan tilapia merah, tilapia hitam dan ikan keli Afrika sejak dua tahun lalu. Beliau turut melawat syarikat Borneo Top milik Alan See yang mengusahakan tanaman hidroponik dan fertigasi melibatkan tomato, salad, timun serta cili untuk dipasarkan di sekitar Kota Kinabalu selain Sarawak dan Brunei. Menurut Jamawi, kementeriannya akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan pengusaha pertanian tempatan bagi memastikan kapasiti pengeluaran dapat dipantau secara lebih sistematik. Katanya, sebuah persatuan melibatkan pengusaha dan petani wajar diwujudkan bagi mengumpul data penanaman sebelum diserahkan kepada Jabatan Pertanian untuk menilai keperluan sebenar import makanan dari luar negara. “Jadi kita akan berbincang dengan Jabatan Pertanian supaya kita tahu berapa kapasiti pengeluaran para petani dan pengusaha lain. “Dengan itu, kita boleh mengurangkan import dari luar,” katanya. Beliau berkata, langkah mendapatkan data pengeluaran yang tepat penting bagi membantu kerajaan merancang dasar bekalan makanan negeri secara lebih efektif selain memastikan hasil tempatan mendapat pasaran sewajarnya. Dalam perkembangan sama, Jamawi turut meminta pegawai pertanian turun padang bertemu pengusaha bagi membantu mereka mendaftar dalam aplikasi Kebun Dapur yang bakal diperkenalkan kementerian itu. Katanya, aplikasi berkenaan dijangka membantu memudahkan pemantauan pengeluaran serta penyelarasan maklumat berkaitan sektor pertanian tempatan. Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Alan kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat sejak penubuhan Borneo Top di Kampung Tiang. Jamawi turut mengadakan lawatan ke Kampung Libang Ulu yang mempunyai kawasan tanaman nanas seluas kira-kira 400 ekar. Beliau memuji penglibatan golongan muda berusia antara 19 hingga 30-an yang aktif menceburi sektor pertanian di kawasan berkenaan dan menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda positif terhadap masa depan industri agromakanan negeri. Dalam lawatan itu juga, beliau berkesempatan beramah mesra dengan penduduk kampung selain menyampaikan penghargaan kepada pemenang kategori Penanam Nanas Terbaik di kampung berkenaan. Turut hadir, Pembantu Menteri I, Ruslan Muharam; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Jumain Abdul Ghani; Timbalan Pengarah Pertanian Sabah, Jackson R Jaimi; Pegawai Daerah Tambunan, Mohd Azri Jaini Jeffrey serta pegawai kementerian lain. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Mangsa bot berlanggar ditemukan terdampar di pantai Pulau Mengalum
KOTA KINABALU: Lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut susulan insiden pelanggaran bot di perairan Pulau Mengalum, di sini, 4 Mei lalu ditemukan meninggal dunia hari ini. Mangsa dikenali sebagai Nur Amin, 21, ditemukan terdampar di pantai Pulau Mengalum kira-kira jam 10.30 pagi oleh ahli keluarganya yang turut menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama pasukan penyelamat. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Taman-Taman Sabah kira-kira jam 1.10 tengah hari. Mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut termasuk bedah siasat. Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas kejadian pelanggaran bot kira-kira jam 9.30 pagi pada 4 Mei lalu di perairan Pulau Mengalum. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Kanak-kanak perempuan ditemukan lemas
KUDAT: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemukan lemas di sungai Kampung Andap Bangau, di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa dipercayai lemas selepas keluar bersama rakannya berhampiran kawasan sungai berkenaan. Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian daripada Unit Kecemasan Hospital Kudat kira-kira jam 8 malam. Katanya, mangsa ditemukan penduduk kampung kira-kira jam 6.10 petang sebelum dibawa ke Hospital Kudat. “Anggota bomba turut menjalankan CPR terhadap mangsa, namun mangsa disahkan meninggal dunia di hospital. “Hasil pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Lelaki ditemui meninggal dunia belakang rumah
KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di belakang sebuah rumah di Taman Iramanis, Luyang, di sini, petang semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Balai Polis Luyang menerima panggilan daripada seorang pengadu yang meminta bantuan selepas menemui lelaki tidak dikenali terbabit terbaring di belakang rumahnya. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, siasatan awal mendapati pengadu dimaklumkan jirannya mengenai kehadiran seorang lelaki yang terbaring di kawasan belakang rumahnya. “Pengadu kemudian bergegas pulang ke rumah sebelum menemui lelaki berkenaan terbaring berhampiran pintu dapur rumahnya. “Pengadu seterusnya menghubungi ambulans dan pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pemeriksaan dilakukan doktor dari Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) mengesahkan lelaki terbabit meninggal dunia kira-kira jam 6.34 petang. Katanya, hasil pemeriksaan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah mendapati tiada unsur jenayah ditemui pada tubuh mangsa. “Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan polis. – Info X
May 10, 2026
Info X Reporters
Dua lagi suspek curi kabel positif dadah di Beaufort
BEAUFORT: Dua lagi lelaki tempatan yang ditahan bagi membantu siasatan kes kecurian kabel milik Sabah Electricity Sdn Bhd di Menumbok, di sini, didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 33 tahun itu dikesan positif dadah selepas menjalani pemeriksaan saringan air kencing di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Beaufort. Katanya, pemeriksaan dilakukan susulan tangkapan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Beaufort berkaitan kes khianat dan kecurian kabel di sebuah pencawang berhampiran Perkuburan Cina Kampung Asam Jawa, Menumbok. “Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek sudah dimasukkan ke lokap Balai Polis Beaufort untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Terdahulu, BSJ IPD Beaufort dilaporkan berjaya menahan seorang suspek utama bersama beberapa barang kes termasuk kabel yang sudah dipotong, dawai, enjin sangkut Yamaha 40HP serta tong minyak petrol dalam operasi di Jalan Kampung Melikai, Menumbok. Hasil siasatan awal mendapati kumpulan suspek dipercayai merosakkan kunci pencawang sebelum memutuskan bekalan elektrik dan meleraikan kabel serta komponen tembaga transformer sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM100,000. Siasatan turut mendapati suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes kecurian kabel di sekitar Beaufort dan Kuala Penyu. – Info X