April 24, 2026
Info X Reporters
Tindakan pantas selamatkan warga emas rebah di Tanjung Aru
KOTA KINABALU: Tindakan pantas anggota Menara Penyelamat Pantai (MPP) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) berjaya menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang ditemui tidak sedarkan diri di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 60-an ditemui orang awam dalam keadaan terlungkup di sebuah pondok rehat sebelum bantuan segera diminta. Anggota penyelamat yang tiba beberapa minit kemudian terus menjalankan pemeriksaan awal dan mendapati mangsa masih tidak sedarkan diri. Tanpa berlengah, CPR dilakukan bagi memastikan aliran oksigen ke otak mangsa dapat dikekalkan sementara menunggu ketibaan ambulans. CPR diteruskan secara berterusan sehingga ambulans APM Kota Kinabalu dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tiba di lokasi selang beberapa minit kemudian. Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut sebelum dibawa ke hospital. Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, tindakan pantas anggota di lokasi menjadi faktor penting dalam membantu menyelamatkan nyawa mangsa. “Keadaan operasi terkawal dan semua anggota bertugas selamat sepanjang operasi dijalankan,” katanya. Operasi yang bermula jam 9.41 pagi itu membabitkan seorang pegawai dan lima anggota bersama kelengkapan kit pertolongan cemas. – Info X
April 24, 2026
Info X Reporters
Siang mekanik, malam ‘masak’ ketum
PUTATAN: Siang bergelumang minyak hitam di bengkel, malam bertukar ‘tukang masak’ ketum. Itu kegiatan seorang lelaki yang akhirnya terbongkar apabila dicekup polis dalam serbuan di Kampung Seberang Ulu, di sini, tengah malam tadi. Dalam operasi ‘Ops Gempur Khas’ kira-kira jam 12.30 tengah malam, sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah menyerbu sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Ramayah sebelum menahan lelaki tempatan berusia 41 tahun itu. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan di ruang tamu menemukan guni mengandungi lima ketulan mampat daun ketum dengan anggaran berat lebih lima kilogram. “Turut dirampas 18 botol berisi cecair disyaki air ketum dengan jumlah keseluruhan kira-kira 27 liter. “Di bahagian belakang rumah, kita percaya lokasi memasak, polis menemui dapur gas, tong gas dan periuk besi yang digunakan untuk memproses air ketum,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai mekanik itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan secara sampingan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut. “Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan rekod menunjukkan dia mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah dan racun. “Semua rampasan dianggarkan bernilai RM860 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. Sementara itu, beliau berkata usaha mengesan pembekal ketum masih giat dijalankan. – Info X
April 23, 2026
Info X Reporters
Cubaan seleweng 10,000 liter diesel gagal, pemandu lori ditahan
LAHAD DATU: Cubaan menyeleweng kira-kira 10,000 liter minyak diesel gagal apabila Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menahan seorang lelaki dalam Op Tiris di Jalan Paris 3, di sini, hari ini. Suspek tempatan itu ditahan selepas didapati memandu sebuah lori tangki diesel dalam keadaan mencurigakan. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati lori berkenaan tidak mempunyai pelekat daripada mana-mana depot sah. Menurutnya, pemandu terbabit juga gagal mengemukakan dokumen penghantaran bagi mengesahkan destinasi minyak diesel berkenaan. “Pemeriksaan ke atas tangki mendapati ia mengandungi anggaran lebih 10,000 liter diesel yang disyaki cuba diseleweng dan diseludup ke negara jiran. “Seorang lelaki tempatan ditahan, manakala lori bersama muatan diesel dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan minyak diesel dianggarkan mencecah RM51,200. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. Ahmad berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi, sekali gus memastikan ketirisan dapat dibendung. – Info X
April 23, 2026
Info X Reporters
Badan korporat, NGO serah sumbangan untuk mangsa kebakaran Kampung Bahagia
KOTA KINABALU: Pelbagai badan korporat menyerahkan sumbangan kepada mangsa kebakaran Kampung Bahagia, Sandakan di Depoh Jabatan Perkhidmatan Kebajikan di Sembulan, di sini, pada Khamis. Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Datuk Walter Kenson menerima sumbangan daripada PETRONAS, Sabah Electricity, BTC Group, Hasani Group of Companies dan SAMIMA Books and Stationery. Sumbangan tersebut merangkumi bakul makanan dan pakej bantuan yang akan dihantar kepada mangsa melalui jalan darat ke Sandakan. “Bagi pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang. “Ini mencerminkan kemurahan hati rakyat kita yang sangat prihatin. Dalam hanya lima hari selepas insiden itu, kami telah menerima bantuan daripada 150 NGO dan sektor swasta,” kata Walter. – Info X
April 23, 2026
Info X Reporters
Nahas dua kereta: Saga dipercayai masuk laluan bertentangan
PAPAR: Kemalangan maut membabitkan dua kereta di Kilometer 35 Jalan Kimanis – Keningau, di sini, pagi tadi dipercayai berpunca daripada sebuah Proton Saga yang hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, pemandu Perodua Axia berusia 61 tahun dan pemandu Proton Saga berusia 34 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala seorang penumpang wanita berusia 52 tahun cedera dan kini dirawat di Hospital Papar. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga berkenaan bertembung secara hadapan dengan Perodua Axia dari arah bertentangan. “Perlanggaran itu menyebabkan kedua-dua pemandu maut di tempat kejadian. “Siasatan lanjut turut mendedahkan terdapat elemen ketidakpatuhan undang-undang jalan raya, termasuk pemandu yang tidak memiliki lesen memandu sah selain kenderaan dengan cukai jalan tamat tempoh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, Heryan berkata, pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan serta lebih berhati-hati terutama ketika melalui laluan berisiko seperti Jalan Kimanis – Keningau yang mencabar. “Pemandu perlu memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, selain memiliki lesen memandu dan cukai jalan yang sah bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pihak polis,” katanya. Dalam pada itu, Polis Daerah Papar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbabit kemalangan dan berharap supaya mereka diberikan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini. – Info X
April 23, 2026
Info X Reporters
Dua maut tersepit dalam nahas dua kereta
PAPAR: Dua lelaki maut selepas tersepit dalam kenderaan masing-masing dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Bukit Kimanis – Keningau, dekat sini, tengah hari tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah Perodua Axia dan Proton Saga yang dipercayai bertembung, menyebabkan dua pemandu lelaki berusia 61 dan 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba Nelson Ponji berkata, sepasukan tujuh anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan. “Sebaik tiba, didapati kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. “Pasukan bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini. Menurutnya, seorang lagi mangsa wanita berusia 52 tahun yang juga penumpang Perodua Axia mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk rawatan lanjut. “Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. “Operasi terkawal pada jam 12.20 tengah hari sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari selepas tiada bahaya lain di lokasi,” katanya. – Info X
April 23, 2026
Info X Reporters
Daya tahan ekonomi Sabah kukuh sejak lima tahun lalu – Tun Musa
KOTA KINABALU: Sabah memperlihatkan daya tahan ekonomi yang kukuh sejak lima tahun kebelakangan ini, walaupun berdepan pelbagai cabaran di peringkat domestik atau global. Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berkata dalam tempoh itu, Sabah kekal sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing dan berpotensi tinggi. Katanya, pencapaian ketara pada tahun lalu dengan rekod RM7.6 bilion pelaburan dalam sektor pembuatan, menunjukkan peningkatan hampir 208 peratus berbanding 2024. “Untuk terus melonjakkan prestasi ekonomi, kerajaan negeri komited memperkukuh dan memacu pembangunan melalui pendekatan yang kebih inklusif serta mampan dan memastikan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan pengukuhan infrastruktur. “Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0) 2026-2030 sudah dilancarkan sebagai kerangka induk yang menerajui pembangunan negeri dengan mengekalkan tiga teras utama iaitu Sektor Utama Pertumbuhan Ekonomi, Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat, serta Jaringan Infrastruktur dan Kelestarian Hijau. “Pelan ini diperkukuhkan lagi dengan penekanan strategik terhadap pembangunan ekonomi biru, pendigitalan dan penerapan teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Khamis. Sementara itu, Tun Musa berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030, sebanyak 10 bidang keutamaan berpaksikan keperluan dan potensi sebenar negeri Sabah sudah dikenal pasti. Katanya, sebanyak 1,173 projek sudah dirancang, dengan 933 daripadanya adalah projek baharu, manakala selebihnya adalah projek sambungan. “Secara keseluruhannya, jumlah siling peruntukan yang diperakukan adalah RM12.024 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 141.62 peratus berbanding siling di bawah RMK12. Peningkatan ini mencerminkan kesungguhan Kerajaan negeri dalam memacu pembangunan,” katanya. – Info X
April 23, 2026
Info X Reporters
Krisis Asia Barat: Tun Musa minta semua bertenang, amal perbelanjaan berhemah
KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman meminta semua pihak di negeri ini supaya bertenang dan mengamalkan perbelanjaan berhemah bagi menghadapi kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat. Katanya, krisis yang berlaku di Asia Barat turut memberi kesan kepada ekonomi domestik yang boleh mempengaruhi inflasi berikutan kenaikan kos minyak dan logistik antarabangsa. “Seperti yang semua sedia maklum, ketegangan geopolitik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk ekonomi domestik. “Keadaan ini dijangka memberi tekanan inflasi terhadap harga barangan keperluan dan bekalan makanan susulan kenaikan kos minyak serta peningkatan perbelanjaan logistik antarabangsa. “Dalam menghadapi situasi yang tidak menentu ini, saya menyeru semua pihak agar kekal tenang dan mengamalkan perbelanjaan secara berhemah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Kerajaan sempena Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Yang Ke-17 di Bangunan DUN Sabah, di sini, pada Khamis. Tun Musa berkata, menyedari cabaran luaran itu, kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah proaktif bagi memastikan setiap perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan. Usaha itu, katanya penting bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memperkukuh daya tahan ekonomi negeri dan memastikan kestabilan yang berterusan. “Perancangan dan pembangunan yang telah dirangka ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan kerjasama semua pihak. “Sudah tiba masanya kita bersatu hati, tanpa mengira kaum, bangsa, agama mahupun fahaman politik untuk bersama membangunkan negeri ini dengan penuh tanggungjawab, demi kemajuan serta kesejahteraan bersama,” katanya. Beliau turut menyatakan penghargaan kepada seluruh anggota perkhidmatan awam, pasukan keselamatan dan semua pihak yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan keselamatan, keamanan serta kestabilan negeri. Katanya, komitmen dan dedikasiseperti itu menjadi tonggak dalam memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan seperti yang dirancang. – Info X