Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 21, 2026

Info X Reporters

Penganjur Songkran Sunset Splash Run tidak peka masalah air penduduk KK – Tham

KOTA KINABALU: Penganjur Songkran Sunset Splash Run dan pihak berkuasa tempatan (PBT) gagal mengambil kira sensitiviti masyarakat apabila mengadakan program ‘pesta air’ itu ketika ramai penduduk di bandar raya ini berdepan gangguan bekalan air. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook, berkata kecaman terhadap penganjur dan pihak berkuasa bukan disebabkan budaya yang dibawa masuk dari Thailand itu, sebaliknya berkaitan ketidakpekaan terhadap masalah semasa dihadapi rakyat setempat. “Kita menghormati bahawa Songkran merupakan budaya dari negara luar dan sebagai masyarakat majmuk, saya tidak memperlekeh atau mengaibkan budaya mana-mana pihak selagi ia tidak bercanggah dengan nilai-nilai budaya dan norma tempatan. “Namun demikian, kita juga tidak boleh mengetepikan realiti semasa yang dihadapi oleh rakyat Kota Kinabalu khususnya di Likas yang ketika ini sedang berdepan dengan isu gangguan bekalan air, berminggu lamanya memberi kesan besar kepada kehidupan harian penduduk. “Saya bersama pasukan saya tidak henti-henti memantau kawasan yang terkesan dengan gangguan bekalan air ini dan memastikan Jabatan Air dapat membaiki kebocoran saluran paip tidak kira siang dan malam. “Sehubungan itu, adalah wajar pihak penganjur serta pihak berkuasa tempatan mengambil kira sensitiviti masyarakat. “Dalam keadaan rakyat berdepan kesukaran mendapatkan bekalan air, penganjuran acara yang melibatkan penggunaan air secara besar-besaran boleh menimbulkan persepsi yang kurang baik dan dianggap tidak peka terhadap keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan. Pemimpin Parti Warisan itu berpendapat, dengan mengambil kira situasi semasa, penganjuran pesta seperti itu sepatutnya ditangguhkan ke satu masa yang lebih sesuai. Langkah ini, katanya bukan bertujuan menolak budaya tersebut, tetapi sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab terhadap kesulitan yang sedang dihadapi oleh rakyat. “Saya ingin menegaskan bahawa setiap penganjuran acara awam perlu mengambil kira keseimbangan antara kepelbagaian budaya, tanggungjawab sosial dan situasi semasa rakyat. “Ke hadapan, saya berharap agar semua pihak dapat lebih berhati-hati dalam membuat keputusan supaya keharmonian masyarakat terus terpelihara dan kepercayaan rakyat tidak terjejas,” katanya. Sebelum ini, ADUN Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan dan pelbagai pihak lain turut mengkritik penganjuran program berkenaan sebelum Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan kenyataan bahawa penganjurnya gagal mematuhi syarat yang ditetapkan. Program itu diadakan pada Sabtu lalu. – Info X

April 21, 2026

Info X Reporters

Op Gempur Khas: Dua lelaki positif syabu ditahan di Telipok Ria

TUARAN: Dua lelaki ditahan dalam Op Gempur Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah di tepi jalan Taman Telipok Ria, Tuaran, semalam selepas didapati positif dadah. Kedua-dua suspek berusia 40 dan 31 tahun itu ditahan dalam keadaan mencurigakan sebelum dibawa ke BSJND Tuaran untuk ujian saringan awal air kencing. Hasil ujian mendapati kedua-duanya positif methamphetamine dan amphetamine. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seorang suspek adalah lelaki tempatan bekerja sebagai pemandu lori, manakala seorang lagi warga asing tanpa dokumen bekerja sebagai tukang rumah. “Tiada rampasan dadah dibuat dalam operasi berkenaan. “Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan sumber bekalan dadah, manakala risikan dan pemantauan akan terus dipergiat di kawasan terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Info X

April 21, 2026

Info X Reporters

Kontraktor elektrik terbabas, rempuh tiang lampu

TAWAU: Perjalanan pulang seorang kontraktor elektrik bertukar detik cemas apabila kenderaan dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang lampu dalam kejadian kemalangan di Batu 11, Jalan Apas, semalam. Dalam kejadian jam 5.15 petang itu, jip jenis Isuzu dipandu lelaki berusia 44 tahun bersama seorang penumpang lelaki, 41, dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh di lokasi kejadian. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit dalam perjalanan dari Kampung Inderasabah menuju ke Batu 4 selepas selesai menjalankan kerja pembaikan wayar elektrik milik Sabah Electricity. “Setibanya di selekoh, pemandu dipercayai hilang kawalan menyebabkan jip terbabas dan terseret kira-kira 35 meter sebelum menaiki pembahagi jalan. “Kenderaan itu kemudian merempuh tiang lampu jalan hingga tumbang sebelum terkena sebuah Proton Saga yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, Proton Saga berkenaan dipandu wanita berusia 35 tahun dari arah Batu 10 menuju ke Kampung Mambalua. Katanya, kedua-dua pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun penumpang jip cedera patah bahu kanan dan dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya. Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati terutama ketika melalui kawasan berselekoh serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum digunakan. – Info X

April 21, 2026

Info X Reporters

Gempa bumi di Kundasang

KOTA KINABALU: Satu gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 skala Richter dikesan berlaku di Kundasang pada jam 3.02 pagi tadi. Berdasarkan info dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), gempa bumi berlaku di koordinat 6.1 darjah utara dan 116.7 darjah timur. Pusat gempa itu terletak lapan kilometer di barat laut Ranau dengan kedalaman 10 kilometer. MetMalaysia berkata, gegaran mungkin dirasai di sekitar Ranau. Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan, pemantauan awal di sekitar Pekan Ranau dan Kundasang tidak menemui sebarang kerosakan setakat ini. “Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau menjalankan rondaan pada jam 6.35 pagi membabitkan premis kedai, bangunan kerajaan serta kawasan tumpuan awam. “Hasil makluman orang awam dan pemerhatian di lokasi mendapati tiada kerosakan struktur dilaporkan, keadaan terkawal serta selamat, selain tiada kecederaan atau insiden susulan direkodkan,” katanya. JBPM Sabah memaklumkan pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa selain bersedia menghadapi sebarang kemungkinan gempa susulan. “Orang ramai dinasihatkan supaya kekal tenang dan berwaspada, selain mengelakkan memasuki bangunan sekiranya terdapat keraguan terhadap struktur. – Info X

April 21, 2026

Info X Reporters

Bas ekspres musnah terbakar di Jalan Semporna – Kunak

SEMPORNA: Sebuah bas ekspres dua tingkat musnah 100 peratus dalam kebakaran di Jalan Semporna-Kunak, malam tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 10.49 malam sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. Katanya, jentera bomba yang membawa lapan anggota tiba di lokasi kira-kira 20 kilometer dari balai pada jam 11.10 malam. “Kebakaran membabitkan sebuah bas jenis Scania K420 dua tingkat yang terbakar sepenuhnya. “Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air dari jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rastam berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.28 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.52 malam selepas memastikan tiada lagi punca bahaya di lokasi. Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian itu kerana bas berkenaan tidak membawa penumpang ketika kebakaran berlaku. “Difahamkan, bas terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Kota Kinabalu bagi tujuan pembaikan ketika insiden berlaku,” katanya.

April 21, 2026

Info X Reporters

Diesel 2,100 liter cuba diseleweng, dua ditahan

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menggempur sebuah stor penyimpanan minyak diesel di Kampung Batu 11, Jalan Seguntor, di sini, petang tadi, dan menahan dua lelaki tempatan disyaki terbabit dalam kegiatan penyelewengan bahan bersubsidi. Serbuan kira-kira jam 2.45 petang itu dilakukan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemindahan minyak diesel secara tidak sah. Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, pemeriksaan di lokasi mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti memindahkan minyak diesel bersubsidi daripada sebuah lori ke tangki skid. “Dipercayai minyak itu dipindahkan untuk tujuan penyelewengan sebelum dijual di pasaran. “Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, pihak polis turut merampas sebuah lori 10 tan jenis Nissan bersama beberapa peralatan yang digunakan dalam aktiviti berkenaan. “Selain itu, kira-kira 2,100 liter minyak diesel turut dirampas dengan anggaran nilai RM12,537 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. “PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiat operasi bagi membanteras kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barangan bersubsidi demi menjaga kepentingan ekonomi negara,” katanya. – Info X

April 20, 2026

Info X Reporters

SAR hari kedua: Seorang masih hilang di perairan Kota Belud

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua mangsa bot karam di perairan Kampung Tamau Batu Gadung, di sini, hari ini diteruskan dengan pencarian diperluas sehingga radius lima kilometer, namun seorang mangsa masih belum ditemui. Operasi yang bermula seawal jam 8.05 pagi itu memfokuskan kawasan sekitar lokasi bot karam dan muara Sungai Batu Gadung dengan pembahagian beberapa sektor pencarian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, operasi SAR membabitkan sembilan anggota dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta orang awam. “Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6.25 petang dan akan disambung semula esok,” katanya dalam kenyataan hari ini. Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 5.20 petang semalam, bot yang dinaiki lapan lelaki untuk keluar memancing dipercayai dipukul ombak sebelum terbalik di muara sungai kampung berkenaan. Enam mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dipercayai lemas. Seorang daripada mangsa, Mohammad Dzul Nazri Abdul, 18, ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi bot karam pada jam 9.50 malam sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Belud. Seorang lagi mangsa, Mohammad Iqram Jumaat, 23, masih belum ditemui setakat ini. – Info X

April 20, 2026

Info X Reporters

Penjawat awam ditahan kes dokumen palsu RM1.3 juta

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu membabitkan tuntutan kerja pembersihan bernilai kira-kira RM1.3 juta. Suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 11 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kota Kinabalu. Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek yang juga pengarah sebuah syarikat pembinaan dipercayai melakukan perbuatan itu pada 2024. “Suspek disyaki mengemukakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan kontrak kerja pembersihan di sebuah pejabat polis di negeri ini untuk tempoh Februari 2025 hingga Januari 2027. “Selain itu, suspek turut dipercayai menggunakan beberapa syarikat lain dengan modus operandi sama bagi mendapatkan kontrak kerja di beberapa agensi kerajaan sekitar Sabah,” katanya. Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – Info X