Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 16, 2026

Info X Reporters

PGA, KPDN tahan dua lelaki seleweng diesel, petrol di Semporna

SEMPORNA: Cubaan dua lelaki dipercayai menyeleweng minyak diesel dan petrol gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Operasi Bersepadu Intra/Inter (Op Taring Bravo 1) di sebuah stesen minyak di Kilometer 3, di sini, petang semalam. Serbuan kira-kira jam 2.40 petang itu dijalankan Cawangan Risik/Task Force Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Semporna. Menerusi kenyataan di laman Facebook Batalion 22 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kunak pagi ini, operasi dijalankan hasil maklumat risikan sebelum pemeriksaan dibuat ke atas sebuah Toyota Hilux di lokasi berkenaan. Katanya, hasil pemeriksaan menemukan 13 gelen putih berisi diesel, empat gelen putih berisi petrol serta satu gelen kosong yang disimpan tanpa sebarang dokumen atau permit jual beli sah. “Dua individu yang berada di dalam kenderaan berkenaan turut ditahan untuk tindakan lanjut. “Siasatan awal mendapati suspek mengaku membeli minyak diesel dan petrol melebihi had yang dibenarkan tanpa permit sah sebelum dihantar ke sebuah resort di kawasan perairan Semporna,” menurut kenyataan itu. Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM131,025.75 merangkumi bahan bakar bernilai RM1,025.75 serta sebuah Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM130,000. “Kes diserahkan kepada KPDN Semporna untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961. “Operasi itu sekali gus memperlihatkan ketegasan serta komitmen Task Force Perisikan Batalion 22 PGA dalam membanteras aktiviti penyeludupan minyak di kawasan tanggungjawab terutama di perairan dan sempadan Sabah. – Info X

March 15, 2026

Info X Reporters

Remaja jatuh sungai ditemui lemas

TUARAN: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh ke dalam sungai di Kampung Rangalau Lama, Jalan Kiulu, di sini, petang tadi. Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan terjatuh ke dalam sungai sebelum gagal timbul berdasarkan maklumat awal yang dimaklumkan oleh rakan mangsa. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.03 petang. “Sepasukan anggota kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai bagi menjalankan operasi. “Menurut maklumat awal, mangsa dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dan tidak timbul sebelum rakan mangsa memaklumkan kejadian itu kepada orang awam yang berada berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, mangsa sudah berjaya ditemui oleh orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke hospital bagi tindakan lanjut. “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia. “Pasukan bomba kemudian mengambil maklumat di lokasi kejadian dan memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya,” katanya. Operasi berkenaan membabitkan tiga anggota BBP Tuaran yang digerakkan menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis D-Max. – Info X

March 15, 2026

Info X Reporters

Sabah alu-alukan inisiatif Kerajaan Persekutuan bantu rakyat

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan pendekatan strategik Kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat, termasuk penyaluran awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) menjelang sambutan Aidilfitri. Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata langkah berkenaan mampu meringankan beban rakyat membuat persiapan perayaan, sekali gus mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan. Selain itu, katanya, inisiatif bantuan khas RM400 menerusi program FlySiswa kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi penerbangan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena cuti Hari Raya turut memberi manfaat besar kepada golongan mahasiswa. “Kerajaan Negeri juga menyediakan bantuan tambahan sebanyak RM600 kepada pelajar anak Sabah yang menuntut di Semenanjung dan Sarawak bagi subsidi tiket penerbangan pulang ke kampung halaman. “Bagi pelajar yang menuntut di dalam negeri pula, mereka akan menerima bantuan RM300 seorang untuk perbelanjaan pulang menyambut Aidilfitri,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa MADANI 2026 Bersama Perdana Menteri di Dewan Kuliah Pusat Ke-2, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, pada Ahad. Hajiji berkata, pelbagai insentif yang disediakan kerajaan Persekutuan dan negeri itu mencerminkan komitmen berterusan dalam membantu rakyat, khususnya golongan yang memerlukan. Pada masa sama, beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan dan dokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta memacu kemajuan ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Katanya, kepimpinan PMX juga berjaya memulihkan serta memperkukuh ekonomi negara dengan pencapaian pelaburan yang memberangsangkan. Katanya, Malaysia mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam sejarah tahun lalu berjumlah RM426.7 bilion, meningkat 11 peratus berbanding 2024, melibatkan lebih 8,000 projek pelaburan dengan potensi mewujudkan 244,902 peluang pekerjaan kepada rakyat. Hajiji berkata, pengukuhan nilai ringgit pada masa sama turut mencerminkan keyakinan terhadap hala tuju ekonomi negara di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI. Sebelum menghadiri majlis berkenaan, PMX diiringi Ketua Menteri turut mengadakan sesi tinjauan Bazar Ramadan dan menyantuni rakyat di kawasan Universiti Apartment (UA), Sepanggar. – Info X

March 15, 2026

Info X Reporters

Bekalan beras Sabah mencukupi hingga sembilan bulan – Jamawi

KOTA KINABALU: Bekalan beras untuk keperluan pengguna di Sabah mencukupi dan berada pada tahap selamat walaupun terdapat laporan kekurangan bekalan di beberapa daerah sejak kebelakangan ini. Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Jamawi Jaafar, berkata setakat ini stok simpanan beras di Sabah mampu menampung keperluan rakyat Sabah untuk tempoh sembilan bulan. Katanya, jumlah itu menjadi lebih stabil apabila digabungkan dengan stok perdagangan, stok yang dipegang oleh pemborong dan bekalan beras tempatan yang ada ketika ini. “Jika digabungkan dengan stok perdagangan, stok pemborong dan bekalan beras tempatan, jumlah keseluruhan bekalan beras di Sabah boleh bertahan sehingga sembilan bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu kekurangan bekalan beras yang dilaporkan berlaku di beberapa daerah di negeri ini. Jamawi berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Bernas Negeri Sabah yang bertanggungjawab mengurus dan mengedarkan bekalan beras di negeri ini bagi mendapatkan penjelasan mengenai situasi itu. Katanya, Bernas memaklumkan bahawa bekalan beras adalah mencukupi, manakala kekurangan yang berlaku di beberapa daerah hanya bersifat sementara. “Bekalan beras untuk daerah-daerah tertentu yang mengalami kekurangan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pembekal yang dilantik oleh Bernas,” katanya. Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya tidak panik kerana kerajaan sentiasa memantau keadaan bekalan makanan asas di negeri ini. Dalam masa sama, Jamawi berkata, kementeriannya mengambil langkah proaktif sejak awal lagi bagi meningkatkan pengeluaran padi dan beras di Sabah. Beliau berkata, satu sesi libat urus diadakan di kawasan jelapang padi Terusan Sapi pada Februari lalu bagi meneliti usaha meningkatkan pengeluaran padi di kawasan berkenaan. Selain itu, libat urus turut diadakan dengan pihak berkaitan di kawasan jelapang padi Kota Belud bagi membincangkan isu-isu yang menjejaskan pengeluaran padi di kawasan itu. “Hasil perbincangan itu, kita telah mengenal pasti beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan bagi meningkatkan hasil padi dan beras di Sabah,” katanya. Jamawi berkata, kerajaan juga menerima jaminan peruntukan daripada Kementerian Ekonomi bagi membuka tambahan kawasan sawah padi terbiar seluas 2,000 hektar. Katanya, kawasan baharu itu melibatkan lokasi di Kota Belud, Terusan Sapi, Telupid, Tambunan, Keningau dan Tenom. Langkah itu, katanya bertujuan meningkatkan tahap sara diri (SSL) pengeluaran beras Sabah pada masa akan datang. “Kerajaan negeri melalui kementerian saya akan terus berusaha meningkatkan hasil serta bekalan padi dan beras di Sabah bagi memastikan keperluan rakyat sentiasa mencukupi,” katanya. Bagaimanapun beliau mengakui Sabah masih perlu bergantung kepada import beras bagi memenuhi permintaan semasa. “Kebergantungan kepada import tidak dapat dielakkan kerana keadaan ini telah berlarutan sekian lama, namun Kerajaan akan terus memastikan bekalan beras di Sabah kekal stabil dan mencukupi untuk keperluan rakyat,” katanya. – Info X

March 15, 2026

Info X Reporters

Wanita melecur, rumah musnah terbakar di Tambunan

TAMBUNAN: Seorang wanita melecur di bahagian lengan selepas rumah didiaminya terbakar dalam kejadian di Kampung Lubong, Jalan Lubong, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian itu, rumah jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 149 meter persegi dilaporkan terbakar sehingga 89 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 8.30 pagi sebelum sepasukan enam anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai. Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 8.36 pagi sebelum operasi pemadaman dijalankan. “Seorang mangsa wanita dewasa dilaporkan mengalami kecederaan melecur kira-kira 10 peratus di bahagian lengan dan telah diberikan rawatan awal oleh pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) di lokasi kejadian. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera serta pili bomba,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.16 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.20 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian. Operasi turut disertai anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi membantu mengawal keadaan di lokasi kejadian. – Info X

March 15, 2026

Info X Reporters

700 kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran stor di Tuaran

TUARAN: Sebanyak 700 kenderaan terpakai musnah dalam kebakaran melibatkan sebuah stor penyimpanan kenderaan terpakai di Jalan Dungun Marabahai Tambalang 2, di sini, hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.10 tengah hari. Katanya, sepasukan anggota dari BBP Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba kira-kira lapan minit kemudian. “Operasi pemadaman turut dibantu anggota dari BBP Lintas dan BBP Kota Kinabalu dengan keseluruhan kekuatan seramai 23 anggota. “Kebakaran melibatkan stor penyimpanan kenderaan terpakai dan dianggarkan memusnahkan kira-kira 700 buah kenderaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, kebakaran dipercayai berpunca daripada kebakaran hutan berhampiran sebelum merebak ke kawasan stor yang menempatkan kenderaan berkenaan. Menurutnya, kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira dua ekar, namun pasukan bomba berjaya menyelamatkan kira-kira 30 kenderaan yang berada berhampiran. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan beberapa aliran hos dan pancutan air daripada jentera BBP Tuaran, BBP Lintas serta BBP Kota Kinabalu dengan sumber air diperoleh daripada jentera water tanker. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.31 petang dan kerja-kerja overhaul masih diteruskan bagi memastikan tiada sisa api yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya. Tambahnya, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa. Turut hadir Komander Operasi Kanan, PKPgB Mohd Rashid bin Daud. – Info X

March 15, 2026

Info X Reporters

Motosikal hilang di Menggatal ditemui semula di Kota Marudu

KOTA MARUDU: Sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Menggatal, Kota Kinabalu ditemui semula kira-kira 110 kilometer dari lokasi kejadian selepas dikesan polis dalam rondaan pencegahan jenayah di Taman Marudu, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, anggota Rondaan Mobile Patrol Vehicle (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) IPD Kota Marudu terserempak dengan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, dua anggota MPV iaitu Koperal Razinnizam Jalil dan Koperal Ismail Sarani yang sedang menjalankan rondaan kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas motosikal terbabit. “Hasil semakan nombor casis dan enjin melalui sistem MCAD mendapati motosikal berkenaan dilaporkan hilang berdasarkan laporan polis Menggatal dengan nombor laporan RPT/13703/2025. “Kenderaan itu dipercayai terbabit dalam kes curi kenderaan yang disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun turut ditahan di lokasi bagi membantu siasatan. Beliau berkata, suspek bersama motosikal berkenaan kemudian dibawa ke balai polis sebelum kes tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. Simiun turut menasihatkan orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membantu memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara. – Info X

March 15, 2026

Info X Reporters

Harga diesel subsidi di Sabah Sarawak kekal RM2.15 – PM

KOTA KINABALU: Harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak masih kekal pada kadar RM2.15 seliter walaupun kerajaan Persekutuan terpaksa menanggung subsidi yang besar berikutan kenaikan harga minyak dunia ketika ini. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berikutan itu berkata kerajaan dijangka menanggung subsidi hingga RM4.6 bilion pada tahun ini jika harga semasa diesel tidak berubah. Pada tahun lalu, katanya subsidi diesel di Sabah dan Sarawak hanya RM2 bilion atau masing-masing RM1 bilion berdasarkan harga diesel sebelum ini. “Berapa subsidi diesel untuk Sabah dan Sarawak tahun lalu? RM2 bilion dan setakat ini Kerajaan Persekutuan harus bayar kepada Sabah dan Sarawak RM4.6 bilion, RM2 bilion untuk Sabah dan RM2 bilion lebih untuk Sarawak . “Tapi, tanggungjawab kita meringankan nasib rakyat. Berapa harga diesel di pam, RM2.15 dan berapa kos sebenar, RM4.30, dua kali ganda. “Setiap kali beli minyak RM2.15, kos sebenar RM4.30, siapa yang bayar lebih? Kerajaan Persekutuan, bila kita faham ini maka kita hiduplah dengan baik,” katanya. Beliau berkata demikian pada pelancaran Hari Pengguna Kebangsaan (HPK) 2026, di sini, pada Ahad. Program Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki. Anwar berkata, walaupun berlaku lonjakan harga minyak dunia yang turut menyebabkan kenaikan harga pasaran diesel di Malaysia, kerajaan memutuskan untuk mengekalkan harga diesel RM2.15 seliter di Sabah dan Sarawak dan kadar itu kekal buat masa ini. Jelasnya, kerajaan juga memutuskan untuk mengekalkan harga petrol RON95 untuk rakyat Malaysia pada kadar RM1.99 seliter. “Selain di Brunei, inilah harga terendah di dunia. Dengan mengekalkan harga pada RM1.99 seliter, subsidi Kerajaan untuk BUDI95 meningkat daripada sekitar RM0.3 bilion kepada RM2 bilion sebulan. “Kalau kekal pada harga semasa, ini membabitkan subsidi RM24 bilion setahun,” katanya. – Info X