Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 3, 2026

Info X Reporters

Tiga ditahan dalam Ops Tapis Narkotik di Sandakan

SANDAKAN: Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan dalam Ops Tapis Narkotik yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan (IPD) Sandakan di sekitar Kampung Sundang Laut, Jalan Batu Sapi dan Kampung Kagayan, Batu 8, di sini, Isnin lalu. Operasi bermula kira-kira jam 7 malam itu dijalankan bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di daerah berkenaan. Dalam serbuan berasingan, dua lelaki ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. Seorang wanita pula ditahan kerana disyaki memasukkan dadah berbahaya ke dalam tubuh badan sendiri dan turut disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan. Semua suspek kemudian dibawa ke pejabat BSJND IPD Sandakan untuk ujian saringan awal air kencing sebelum didapati positif methamphetamine (syabu) dan amphetamine. Berikutan itu, ketiga-tiga mereka ditahan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kini ditempatkan di lokap IPD Sandakan bagi membantu siasatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan, George Abd Rakman berkata operasi berkenaan mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam memerangi jenayah dadah di daerah ini. Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit dengan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta akan terus mempergiat operasi dari semasa ke semasa. – Info X

March 3, 2026

Info X Reporters

Vesel dikendali tekong warga asing ditahan guna lesen luput

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah vesel pukat jerut bilis yang didapati beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh di perairan Kunak, semalam. Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata penahanan dilakukan kira-kira jam 4.45 petang pada kedudukan 2.6 batu nautika timur laut Pangkalan Kunak oleh bot ronda yang sedang melaksanakan Op PLUTO TIMUR 2/2023 dan Op TIRIS 3.0. Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati vesel berkenaan dikendalikan tekong warga Filipina berusia 37 tahun bersama dua kru masing-masing berumur 27 dan 34 tahun. “Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, namun pemeriksaan lanjut mendapati lesen vesel berkenaan telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurutnya, kegagalan memperbaharui lesen adalah satu kesalahan yang boleh menjejaskan aspek kawalan dan pengurusan sumber perikanan negara selain melanggar peruntukan undang-undang sedia ada. “Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan. Rondaan dan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara,” katanya. Vesel bersama kru dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang berkaitan. Dalam pada itu, Maritim Malaysia menggesa komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan menerusi aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera. – Info X

March 3, 2026

Info X Reporters

Blok Borneo tuntut keadilan pembangunan, bukan kawal sesiapa – Azrul Ibrahim

KOTA KINABALU: Blok Borneo yang merujuk kepada gabungan Sabah dan Sarawak adalah kesatuan suara rakyat kedua-dua negeri yang mahukan pembangunan lebih adil dan seimbang dalam Persekutuan Malaysia. Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata Blok Borneo bukan soal ‘mengawal’ sesiapa. Beliau menegaskan sentimen Sabah Sarawak wujud bukan kerana emosi tetapi kerana realiti yang dirasai sejak sekian lama. “Jurang pembangunan antara Malaysia Timur dan Malaysia Barat masih ketara. Di banyak kawasan luar bandar Sabah, khususnya dan Sarawak, isu asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan peluang ekonomi masih menjadi keutamaan rakyat. “Semangat yang dibawa melalui kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah soal hak dan tanggungjawab dalam Persekutuan. “Ia bukan kecenderungan ekstrem dan bukan juga usaha memecah-belahkan semangat persekutuan sebaliknya kebersamaan untuk memperkukuh kedudukan negeri-negeri Borneo supaya agenda pembangunan dapat diperjuangkan dengan lebih tersusun dan signifikan,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Mohd Zaid Ibrahim yang mendakwa Blok Borneo bertujuan untuk mengawal Malaya. Azrul berkata Persekutuan wajar melihat keperluan mendesak untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak secara tuntas dan berani. Tegasnya, apabila hak Sabah dan Sarawak dipenuhi dengan adil, Persekutuan Malaysia akan menjadi lebih kuat. “Blok Borneo adalah mengenai keseimbangan, keadilan pembangunan dan memperkukuh semangat Persekutuan, demi Malaysia yang lebih makmur dan inklusif untuk semua,” katanya. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

RUU had dua penggal Perdana Menteri gagal peroleh sokongan dua pertiga

KOTA KINABALU: Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat pada bacaan kali kedua, hari ini. RUU yang membabitkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan itu hanya mendapat sokongan 146 Ahli Parlimen ketika undian belah bahagi dijalankan. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, ketika mengumumkan keputusan tersebut memaklumkan seramai 44 Ahli Parlimen memilih untuk berkecuali, manakala 32 lagi tidak hadir. “Saya bacakan keputusan belah bahagian, tidak hadir 32, tak undi 44 dan setuju 146,” katanya di Dewan Rakyat. Pindaan Perlembagaan Persekutuan memerlukan sokongan dua pertiga daripada keseluruhan Ahli Dewan Rakyat bagi diluluskan, sekali gus menjadikan keputusan itu tidak mencukupi untuk membolehkan RUU berkenaan diteruskan ke peringkat seterusnya. RUU berkenaan sebelum ini dikemukakan sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan pembaharuan institusi, termasuk mengehadkan tempoh seseorang individu memegang jawatan Perdana Menteri bagi memperkukuh prinsip semak dan imbang dalam sistem pentadbiran negara. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Formula lama tanding lebih separuh kerusi tidak lagi relevan, BN perlu ubah strategi — Salleh

KOTA KINABALU: Pendekatan lama yang menetapkan Barisan Nasional (BN) mesti bertanding sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah kerusi dalam pilihan raya disifatkan sudah tidak lagi sesuai dengan realiti politik semasa. Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata formula berkenaan lahir daripada era politik dominasi yang jauh berbeza dengan landskap hari ini yang lebih kompleks dan berasaskan kerjasama antara gabungan parti. Menurut beliau, kebergantungan kepada angka semata-mata tidak lagi menjamin kejayaan, sebaliknya boleh menjejaskan usaha membina kesepakatan strategik dengan rakan politik. “Idea lama bahawa BN mesti bertanding separuh daripada jumlah kerusi sudah tidak lagi relevan. Politik hari ini bukan lagi soal dominasi, tetapi soal membina persefahaman dan kestabilan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, hari ini. Beliau berkata kenyataan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, mengenai penjenamaan semula gabungan itu adalah tepat pada masanya kerana ia menunjukkan kesedaran bahawa perubahan menyeluruh perlu dilakukan. Salleh menegaskan, penjenamaan semula tidak boleh bersifat kosmetik semata-mata, sebaliknya mesti mencerminkan perubahan cara berfikir, strategi serta budaya politik yang lebih pragmatik. Katanya, dalam suasana politik semasa yang berasaskan rundingan dan kerjasama strategik, kekuatan sesebuah gabungan tidak diukur melalui jumlah kerusi ditandingi, tetapi kemampuan membentuk kerajaan yang stabil dan diyakini rakyat. “Pengundi kini mahukan dasar yang jelas, hala tuju ekonomi yang meyakinkan, integriti dan penyelesaian praktikal. Pendekatan terlalu ideologikal atau konfrontasi bukan lagi pilihan utama,” katanya. Sehubungan itu, beliau berpandangan pembaharuan BN perlu memberi tumpuan kepada kredibiliti, kejelasan dasar dan keupayaan bekerjasama dengan rakan gabungan. “Penjenamaan sebenar bermaksud beralih daripada simbol kepada substansi atau daripada mengejar angka kepada memberi hasil,” katanya. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Majoriti MP Bersatu sokong Hamzah kekal Ketua Pembangkang di Parlimen

KOTA KINABALU: Ketua Whip Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ronald Kiandee, mengesahkan kandungan sepucuk surat yang dihantar kepada Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung sokongan majoriti Ahli Parlimen Bersatu agar Datuk Seri Hamzah Zainudin dikekalkan sebagai Ketua Pembangkang. Menurut laporan portal berita Free Malaysia Today (FMT), surat bertarikh 24 Februari yang dilihat portal itu memaklumkan bahawa 13 Ahli Parlimen Bersatu secara kolektif dan majoriti membuat ketetapan untuk terus menyokong serta mengekalkan Ahli Parlimen Larut berkenaan sebagai Ketua Pembangkang, selaras dengan Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat. Datuk Seri Ronald ketika dihubungi mengesahkan kesahihan surat tersebut seperti dipetik FMT. Surat itu turut menyatakan kesemua Ahli Parlimen Bersatu akan terus memberi tumpuan untuk mengetengahkan suara rakyat, membangkitkan isu-isu nasional serta memainkan peranan semak dan imbang, khususnya menjelang penghujung sesi Parlimen. Lampiran surat berkenaan menyenaraikan 13 wakil rakyat terbabit iaitu Datuk Seri Ronald Kiandee, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz, Datuk Rosol Wahid, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail, Datuk Muslimin Yahaya, Datuk Abdul Khalib Abdullah, Khairil Nizam Khirudin, Zakri Hassan, Roslan Hashim, Datuk Nordin Ahmad Ismail, Kalam Salan dan Islahuddin Abbas. Datuk Seri Hamzah sebelum ini dipecat daripada Bersatu pada 13 Februari lalu susulan kemuncak pertelingkahan kepimpinan dengan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Sebelum ini, Datuk Seri Takiyuddin yang juga Timbalan Setiausaha Agung PN serta Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dilaporkan berkata Majlis Tertinggi PN bersetuju agar PAS mengambil alih peranan Ketua Pembangkang. Bagaimanapun, katanya, PAS memerlukan masa untuk meneliti perkara tersebut. Minggu lalu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, berkata Datuk Seri Hamzah masih diiktiraf sebagai Ketua Pembangkang kerana PN belum memaklumkan sebarang perubahan rasmi berhubung jawatan itu. Datuk Seri Hamzah dilantik sebagai Ketua Pembangkang pada 2022 selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan, susulan cadangan PAS meskipun Tan Sri Muhyiddin ketika itu memegang jawatan Pengerusi PN. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Banjir perlu diisytihar ancaman Nombor satu sabah — Warisan

KOTA KINABALU: Banjir besar yang melanda Sabah pada Februari lalu sehingga menyebabkan beberapa daerah diisytiharkan sebagai kawasan bencana dan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) perlu ditangani sebagai ancaman utama negeri ini. Pengarah Komunikasi Strategik Parti Warisan, Christopher Masudal, berkata kejadian berulang itu bukan sahaja menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rakyat, malah mengakibatkan kemusnahan harta benda dan gangguan serius terhadap aktiviti ekonomi negeri. Beliau berkata, pada Januari lalu pihaknya telah mengesyorkan kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri agar banjir diisytiharkan sebagai ancaman nombor satu kepada Sabah, mengambil kira kemusnahan berulang serta kerugian ekonomi yang mencecah ratusan juta ringgit setiap tahun susulan perubahan cuaca yang semakin ekstrem. “Saya tidak pasti sama ada syor itu diberi perhatian sewajarnya, namun perkara ini wajar dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri pada mesyuarat akan datang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut beliau, kepimpinan negeri tidak boleh terus menyalahkan faktor jumlah hujan tinggi atau fenomena air pasang sebagai punca utama kejadian banjir besar yang semakin kerap berlaku. Katanya, alasan sama telah digunakan sejak sedekad lalu dan menjadi tanggungjawab kerajaan hari ini untuk merangka serta melaksanakan pelan mitigasi banjir yang benar-benar berkesan, komprehensif dan berimpak jangka panjang. Christopher berkata, pelan mitigasi itu tidak boleh disediakan secara silo oleh kementerian atau jabatan tertentu sahaja, sebaliknya mesti dirangka secara inklusif melalui proses libat urus melibatkan persatuan geologi, persatuan jurutera, universiti awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta komuniti setempat yang terkesan. “Suara penduduk kampung yang saban tahun berhadapan dengan banjir perlu diberi perhatian serius dalam proses perancangan dasar,” katanya. Beliau turut merujuk dakwaan penduduk kampung bahawa banjir besar di kawasan mereka berpunca daripada aktiviti pembersihan bukit bagi tujuan pembalakan dan pembangunan. Sehubungan itu, beliau menggesa siasatan menyeluruh dilakukan bagi memastikan punca sebenar dikenal pasti dan risiko banjir berulang dapat ditangani. Dalam masa sama, beliau berkata Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang baru dilafazkan Ketua Menteri dan anggota Kabinet Negeri perlu diterjemahkan melalui tindakan konkrit, termasuk meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat sekiranya terdapat dakwaan salah guna kuasa membabitkan pegawai kerajaan negeri, ahli politik atau syarikat tertentu dalam aktiviti pembangunan yang berpotensi menyumbang kepada kejadian banjir. Menurutnya, dakwaan penduduk kampung juga menjadi antara sebab Warisan bertegas untuk menubuhkan Jawatankuasa Ombudmen Negeri bagi mendengar dan menyiasat aduan terhadap sebarang keputusan atau tindakan pegawai kerajaan negeri yang mungkin menjejaskan kepentingan rakyat. “Mekanisme semak dan imbang yang bebas amat penting bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti pentadbiran negeri,” katanya. Beliau turut mempersoalkan ketiadaan lawatan rasmi kepimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan ke kawasan terjejas dalam tempoh dua minggu selepas bencana berlaku, bagi meninjau sendiri keadaan rakyat serta memberi jaminan bantuan kewangan untuk pemulihan infrastruktur dan membantu mangsa. Katanya, banjir yang melanda Sabah mendapat liputan meluas media nasional, justeru ketiadaan kunjungan tersebut menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat. Christopher berkata Sabah berhak menerima layanan adil dan perhatian segera daripada Kerajaan Persekutuan, terutama ketika rakyat berdepan bencana alam. Beliau turut menegaskan Sabah mampu berdepan musibah besar dengan keupayaan sendiri, sebagaimana tindakan pantas Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, ketika pandemik Covid-19 melanda negeri ini tanpa menunggu arahan Kerajaan Persekutuan yang ketika itu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin. Menurutnya, Sabah perlu beralih daripada pendekatan pengurusan krisis kepada pencegahan strategik bagi memastikan pembangunan dan ekonomi negeri tidak terus terjejas akibat bencana berulang. “Warisan akan terus memperjuangkan dasar yang berteraskan kepentingan rakyat Sabah, memastikan keselamatan mereka diutamakan serta menuntut pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan berani melakukan pembaharuan demi masa depan negeri ini,” katanya. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Ancaman sabotaj asing: kerajaan waspada, siasatan rapi sedang dijalankan

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengingatkan kemungkinan wujud ancaman sabotaj oleh kuasa atau syarikat asing terhadap negara susulan ketegangan geopolitik semasa, termasuk serangan oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) di Dewan Rakyat berhubung potensi ancaman sabotaj pihak asing terhadap kestabilan negara. Menurut Anwar, perkara itu sedang diteliti secara menyeluruh dan siasatan rapi sedang dijalankan oleh pihak berkuasa. Katanya, walaupun perbezaan pandangan politik adalah perkara biasa dalam sistem demokrasi, semua pihak tidak seharusnya membuka ruang kepada campur tangan asing yang boleh menggugat keselamatan serta kestabilan negara. “Kita mungkin berbeza pendapat di dewan ini, bertempur dalam pilihan raya dan berbahas dalam sidang Parlimen, tetapi tidak harus mengizinkan negara atau syarikat asing digunakan untuk tujuan sabotaj,” katanya ketika membahaskan usul mengecam serangan Israel dan Amerika Syarikat di Dewan Rakyat, hari ini. Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa berwaspada dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan ancaman. Tegasnya, kewaspadaan berterusan amat penting dalam suasana geopolitik yang tidak menentu ketika ini. Dalam perkembangan berkaitan, menurut laporan portal berita Malaysiakini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 27 Februari lalu mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara. Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, dilaporkan berkata pihaknya menerima laporan polis berkaitan dakwaan kerjasama antara seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa. Menurut laporan itu lagi, isteri kepada seorang bekas menteri berada dalam pemerhatian polis susulan siasatan berkenaan. Berdasarkan salinan laporan polis yang dilihat Malaysiakini, wanita terbabit didakwa mengadakan mesyuarat dalam talian sekitar Julai tahun lalu bagi membincangkan perancangan menggunakan saluran media antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Datuk Seri Anwar dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. Bagaimanapun, balu kepada Allahyarham Tun Daim Zainudin, iaitu Na’imah Abdul Khalid, menafikan terbabit dalam sebarang gerakan menjatuhkan kerajaan. Beliau turut mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat terhadapnya berhubung dakwaan berkenaan. Mengulas lanjut, Datuk Seri Anwar berkata dakwaan mengenai cubaan sabotaj itu memerlukan penelitian dan siasatan yang amat teliti memandangkan terdapat petunjuk tertentu yang membimbangkan. “Dalam kes yang dikaitkan itu, ia perlu siasatan rapi kerana angka-angka yang ditunjukkan amat membimbangkan dan menjurus ke arah kemungkinan sabotaj,” katanya. Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan pendirian tegas Malaysia terhadap Iran dalam konflik di rantau Teluk boleh membawa implikasi tertentu kepada negara, khususnya dari segi ekonomi dan rantaian bekalan tenaga. “Kita juga mungkin mengundang sedikit sebanyak kesan, termasuk dari segi ekonomi akibat perkembangan geopolitik serta peredaran dan pengangkutan minyak,” katanya. Namun begitu, beliau menzahirkan penghargaan atas kebersamaan semua ahli Parlimen yang menyokong usul mengecam serangan berkenaan, sambil menegaskan bahawa pendirian tersebut mencerminkan suara rakyat Malaysia secara keseluruhan. “Apa pun cabaran yang kita hadapi, kita hadapi bersama sebagai sebuah negara,” tegas beliau. – Info X