Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 2, 2026

Info X Reporters

Hajiji bincang isu keselamatan bersama Panglima Divisyen Kelima

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berbincang mengenai isu keselamatan bersama Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Shamsor Jaafar di Menara Kinabalu, di sini pada Isnin. Ia sempena kunjungan hormat Shamsor selaku Panglima Divisyen Kelima Infantri yang baharu terhadap Ketua Menteri. Selain isu keselamatan, mereka turut membincangkan perkara berkaitan Divisyen Kelima Infantri yang berpangkalan di Kem Lok Kawi. Shamsor yang diiringi Pegawai Staf, Leftenan Kolonel Ahmad Zurairi Muda dan Kapten Ameer Ashraf Masudi, mengambil alih tugas daripada Mejar Jeneral Datuk Noorrul Azril Ariffin mulai 30 Januari lalu. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Tujuh termasuk kanak-kanak cedera kemalangan di Lahad Datu

LAHAD DATU: Tujuh individu termasuk kanak-kanak cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Segama, menghala ke Sandakan, di sini, semalam. Insiden kira-kira jam 2.57 petang itu membabitkan sebuah Toyota Hilux dan Perodua Aruz yang dipercayai bertembung di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.57 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 15 kilometer. Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 3.17 petang dan mendapati semua mangsa sudah berjaya keluar sendiri dari kedua-dua kenderaan sebelum ketibaan pasukan penyelamat. “Seramai tujuh mangsa terlibat dan masing-masing mengalami kecederaan ringan. “Mangsa terdiri daripada penumpang dan pemandu kedua-dua kenderaan membabitkan lelaki dan perempuan dewasa serta kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini. Beliau berkata, anggota bomba bertindak memberikan rawatan awal sebelum semua mangsa dihantar ke hospital bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut. “Setelah memastikan tiada lagi bahaya di lokasi dan keadaan selamat, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.05 petang. “Kesemua mangsa dilaporkan stabil dan kes diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut,” katanya.

March 2, 2026

Info X Reporters

850 jenis hidangan buka puasa berkonsep Nusantara di SICC

KOTA KINABALU: Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) sekali lagi menjadi tumpuan sebagai tempat berbuka puasa yang menyediakan pelbagai hidangan istimewa sempena Ramadan tahun ini. Dengan sebanyak 850 jenis hidangan Asia dan Continental bertemakan Resipi Nusantara, SICC menawarkan pilihan yang banyak bagi memenuhi citarasa orang ramai bermula pada 26 Februari lalu hingga 18 Mac ini. Disediakan sendiri pasukan kulinari SICC, hidangan ala buffet direka cukup menarik untuk berkongsi saat indah bersama orang ramai, menggalakkan kunjungan ulangan dan memberi pengalaman berbuka puasa sebagai memori sepanjang Ramadan kali ini. Edisi tahun ini juga menyaksikan pelbagai pilihan kuih muih perayaan, gerai ala penjaja Asian yang diilhamkan daripada makanan jalanan dan resipi warisan yang diturunkan dari generasi ke generasi. Tidak ketinggalan, SICC juga menyediakan hidangan signature bagi mengimbangi di antara hidangan kebiasaan dan baharu sebagai tawaran kepada pengunjung untuk merasai sesuatu yang unik bagi setiap lawatan. Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Dr Rosmawati Lasuki, berkata pengalaman berbuka puasa bersama SICC ditingkatkan setiap tahun dengan tumpuan terhadap pelbagai jenis pengunjung. “Bagi 2026, tumpuan kita adalah pelbagai dari kolaborasi bermakna dengan agensi tempatan dan nasional dan mewujudkan persekitaran di mana keluarga, komuniti dan kumpulan korporat boleh berkumpul dengan selesa. “Ramadan di SICC bukan setakat berbuka puasa, ia adalah landasan yang membawa orang ramai bersama dan menyokong ekosistem yang lebih luas,” katanya dalam kata-kata aluannya sempena pembukaan Resipi Nusantara di SICC. Melangkaui skala kulinari, Ramadan 2026 menggambarkan komitmen luas SICC kepada libat urus komuniti dan pertumbuhan yang inklusif. Rosmawati berkata, sempena pelancaran program buka puasa itu, SICC menghoskan iftar untuk pelajar dan penjaga dari sekolah tahfiz tempatan, termasuk Madrasah Darul Hadis DarSa Sabah, Akademi Tahfiz An Nuur dan Pusat Tahfiz Al-Mubarak Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. “Ini satu inisiatif yang mengukuhkan komitmen SICC terhadap tanggungjawab sosial khususnya pada bulan suci Ramadan,” katanya. Program pada tahun ini turut menyaksikan SICC mengukuhkan kolabrasi dengan agensi negeri dan Persekutuan bagi menyokong ekosistem perikanan dan pertanian Malaysia Bagi tujuan itu, Rosmawati berkata SICC menjalin kerjasama strategik bersama beberapa rakan agensi termasuk Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA). Menerusi kerjasama itu, katanya sumber hasil pertanian dan laut tempatan digabungkan menerusi tawaran Ramadan SICC bagi menyokong petani, koperasi dan komuniti nelayan sambil memastikan kualiti dan kesegaran hidangan kepada pelanggan. “Program ini menjana permintaan bermusim, menyumbang kepada kemasukan ke pasaran yang lebih luas, kestabilan pendapatan dan visibiliti kepada pengeluar tempatan, sambil merangsang rantaian bekalan, logistik dan perniagaan kecil yang berkaitan dengan sektor hospitaliti,” katanya. Selain ruang makan utama dalam dewan, SICC turut menyediakan ruangan makan untuk VVIP yang boleh menampung hingga 280 tetamu dan kemudahan tempat solat, menjadikan SICC antara lokasi berbuka puasa yang menawarkan kemudahan inklusif dan selesa. Selain untuk berbuka puasa, pelanggan juga boleh bersahur di SICC yang disediakan di Meranti Cafe bermula pada 26 Februari lalu hingga 17 Mac ini. Pada masa yang sama, SICC turut menawarkan perkhidmatan Ramadan Takeaway by SICC kepada pelanggan yang mahu menempah makanan berbuka puasa atau sungkai dan sahur, sesuai untuk makan di rumah, hadiah dan kenduri kecil. Pengarah Operasi F&B SICC, Chef Mohd Firdaous Mohd Izhar, berkata menu hidangan SICC kali ini lebih seimbang dan pelbagai tanpa kompromi terhadap kualiti makanan dan hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Tiga rumah, dua motosikal musnah terbakar di Tongod

TONGOD: Tiga buah rumah dan dua motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Imbak, Tongod, di sini, semalam. Kejadian yang dilaporkan pada jam 11.31 pagi itu membabitkan tiga kediaman masing-masing jenis separuh kekal dan tidak kekal serta dua motosikal yang terbakar 100 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan menerusi talian balai sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 166 kilometer. Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1 petang dan mendapati kebakaran sudah berjaya dipadamkan lebih awal oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan penyelamat. “Pasukan bomba kemudian bertindak memadam baki bara api menggunakan satu aliran hos salur bantu mula serta menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. “Operasi terkawal pada jam 2.20 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.45 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah separuh kekal berukuran 30×40 kaki persegi, rumah tidak kekal berukuran 25×20 kaki persegi dan rumah tidak kekal berukuran 18×25 kaki persegi yang musnah 100 peratus. “Selain itu, dua motosikal jenis Honda EX5 turut musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu. Pihak bomba kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran berkenaan,” katanya. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Bot bawa mayat terbakar, polis, APM bersama penulis terapung hampir sejam

KOTA KINABALU: Detik mencemaskan dilalui anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan wartawan Info X apabila bot dinaiki mereka terbakar ketika membawa mayat lelaki yang ditemui di tebing batu Pantai Tanjung Aru 3, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 pagi itu, semua mereka terpaksa terjun ke laut dan terapung hampir 40 minit sebelum diselamatkan bot Pasukan Polis Marin (PPM). Terdahulu, pada jam 1.20 pagi, wartawan Info X menerima maklumat mengenai penemuan mayat di tebing batu Pantai Tanjung Aru 3 sebelum bergegas ke Menara Pantai Penyelamat APM Tanjung Aru. Penulis kemudian mengikuti pasukan APM dan polis ke lokasi menggunakan bot bagi mengambil mayat berkenaan. Kira-kira 15 minit kemudian, pasukan menemui mayat lelaki lengkap berpakaian, memakai kasut serta membawa beg. Mayat itu diangkat ke atas bot untuk dibawa ke menara pantai bagi tindakan lanjut dan siasatan. Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang, enjin bot tiba-tiba mati. Dua anggota APM cuba menghidupkan semula enjin beberapa kali sebelum berlaku percikan api di bahagian enjin. Api kemudian marak dan membakar enjin bot, memaksa penulis bersama empat anggota polis terjun ke laut untuk menyelamatkan diri. Dua anggota APM pada awalnya cuba memadam kebakaran, namun seorang terpaksa terjun manakala seorang lagi bertahan untuk mengawal api daripada merebak dan menjaga mayat yang diambil sebelumnya. Dalam tempoh hampir 40 minit terapung di laut dengan memakai jaket keselamatan, penulis bersama empat anggota polis dan dua anggota APM berusaha kekal bersama bagi mengelakkan dihanyutkan ombak, sementara anggota APM memberi arahan supaya tidak berpecah dan menunggu bantuan. Dalam keadaan terapung di laut, pelbagai fikiran bermain di minda masing-masing demi memastikan keselamatan diri, lebih-lebih lagi kawasan itu sering dilaporkan kelibat buaya. Situasi bertambah mencemaskan apabila suasana semakin gelap, manakala bot yang terbakar masih berasap di tengah laut. Anggota APM yang masih berada di atas bot kemudian segera menghubungi bot Pasukan Polis Marin (PPM) yang memantau operasi mengangkat mayat itu sebelum pasukan berkenaan bergegas ke lokasi untuk melakukan penyelamatan. Semua mangsa, termasuk penulis kemudian dipindahkan ke bot marin dan dihantar ke jeti Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) sebelum tiba kira-kira jam 4 pagi. Bot APM berkenaan tidak musnah sepenuhnya, namun enjin rosak teruk akibat kebakaran, manakala mayat yang ada di bot itu juga selamat sebelum dibawa ke darat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Tiada kecederaan serius dilaporkan, namun dua anggota APM dan seorang anggota polis mengalami cedera ringan. Bagi penulis, insiden itu menjadi antara pengalaman paling mencabar sepanjang bertugas di lapangan – bukan sekadar menyaksikan tragedi, tetapi merasai sendiri detik cemas di tengah laut dalam keadaan serba tidak menentu. – Info X

March 2, 2026

Info X Reporters

Penunggang maut dirempuh kenderaan di flyover

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Lahad Datu Bypass, Flyover Batu 6, Jalan Lahad Datu – Tawau, di sini, petang tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 2.40 petang itu, mangsa berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah Nissan Navara dipandu lelaki berusia 34 tahun bersama tiga penumpang wanita berusia 42, 56 dan 11 tahun. “Kenderaan itu dalam perjalanan dari arah Tawau menuju ke Lahad Datu. “Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas dan terlanggar motosikal jenis Honda NSS250A yang berada di bahu jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, ketika kejadian mangsa dipercayai berada di bahu jalan dalam keadaan berhenti dan berehat di atas motosikalnya. “Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. “Pemandu serta tiga penumpang kenderaan berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. “Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan. “Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Lahad Datu, Inspektor Jafri Junat di talian 089-881255 atau hadir ke IPD Lahad Datu,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X

March 1, 2026

Info X Reporters

Penutupan ruang udara Asia Barat jejas operasi penerbangan antarabangsa

PUTRAJAYA: Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) memaklumkan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Asia Barat berpotensi menjejaskan operasi penerbangan antarabangsa tertentu ke dan dari negara ini. Dalam kenyataan hari ini, CAAM berkata, syarikat penerbangan yang beroperasi ke dan dari rantau terjejas mungkin berdepan kelewatan, penjadualan semula waktu penerbangan, perubahan laluan atau pembatalan susulan sekatan ruang udara yang sedang berkembang serta pertimbangan operasi semasa. Menurutnya, langkah berkenaan dilaksanakan demi kepentingan keselamatan dan selaras dengan keperluan penerbangan antarabangsa. “CAAM sedang memantau situasi dengan rapi dan mengekalkan komunikasi berterusan dengan syarikat penerbangan berkaitan bagi memastikan kepentingan penumpang terus terpelihara,” menurut kenyataan itu. Sehubungan itu, semua syarikat penerbangan yang mengendalikan penerbangan ke dan dari Malaysia diingatkan supaya segera memaklumkan penumpang mengenai sebarang perubahan jadual termasuk kelewatan, penjadualan semula, perubahan laluan atau pembatalan. Pada masa sama, syarikat penerbangan perlu menyediakan penjagaan, bantuan serta pilihan perjalanan yang bersesuaian kepada penumpang terjejas selaras dengan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC), selain memastikan komunikasi yang jelas, tepat pada masanya dan telus sepanjang tempoh gangguan. Bagi penumpang yang melakukan perjalanan ke, dari atau transit melalui rantau terjejas, mereka dinasihatkan supaya menyemak status penerbangan secara langsung dengan syarikat penerbangan masing-masing sebelum berlepas ke lapangan terbang. Penumpang juga digalakkan memastikan maklumat perhubungan dalam rekod tempahan adalah tepat dan dikemas kini bagi memudahkan penerimaan notifikasi. Sekiranya berlaku gangguan, penumpang disaran menghubungi syarikat penerbangan bagi mendapatkan pilihan penjadualan semula, bayaran balik atau bantuan lanjut. Menurut CAAM, penumpang yang merasakan hak mereka di bawah MACPC tidak dipatuhi perlu terlebih dahulu mendapatkan penyelesaian dengan syarikat penerbangan terbabit sebelum mengemukakan aduan melalui saluran rasmi pengguna pihak berkuasa itu untuk tindakan lanjut. CAAM berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan di rantau berkenaan dan bekerjasama rapat dengan pihak industri bagi memastikan operasi penerbangan kekal selamat serta hak pengguna terus dilindungi. – Info X

March 1, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut tertembak ketika memburu

KOTA BELUD: Lelaki yang pada awalnya dipercayai maut akibat terjatuh dari pokok ketika memburu di Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, di sini, semalam bagaimanapun disyaki terkena tembakan. Dalam kejadian jam 7.17 malam itu, mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian melalui MERS 999 sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki akibat kesan tembakan. “Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya ketika dihubungi, malam ini. Menurutnya, siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian. “Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan. “Temu bual awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian terbabit,” katanya. Beliau berkata, polis turut merampas selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan berkaitan untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik. “Permohonan reman sudah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan. – Info X