Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 1, 2026

Info X Reporters

“Dia kata tidak lama…” – Ibu pilu anak ditemui tidak bernyawa

KOTA KINABALU: Suasana pilu menyelubungi tebing Sungai Kalansanan, Inanam, apabila seorang ibu tidak mampu menahan sebak melihat mayat anak lelakinya dibawa keluar dari sungai, kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi. Mangsa dikenal pasti sebagai Jainal Hasim, 34, yang sebelum itu ditemui tidak bernyawa berhampiran Jalan Pintas Kingfisher, kira-kira jam 10 pagi. Ibu mangsa yang berada di lokasi kejadian berkata, anaknya ada meminta izin untuk keluar menemui rakannya, kelmarin. “Saya sudah melarangnya, tapi dia kata tidak lama saja. Saya tak sangka itu kali terakhir saya dengar suaranya,” katanya dalam nada sebak. Menurutnya, anak bongsunya itu adalah tulang belakang keluarga dan selama ini banyak membantu menampung perbelanjaan rumah. “Dialah yang selama ini memberi kami belanja. Sangat sedih… kenapa dia meninggalkan kami terlalu awal. “Lebih-lebih lagi kita tidak lama lagi hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri,” katanya sambil mengesat air mata. Terdahulu, mayat mangsa diangkat keluar dari air dengan bantuan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas sebelum diserahkan kepada pihak polis. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan. Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah telah menjalankan pemeriksaan terperinci di lokasi. “Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati. “Identiti si mati dikenal pasti lelaki tempatan berusia 34 tahun dan berstatus Pemastautin Tetap (pemegang Kad Pengenalan MyPR) dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mayat telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi. Sehubungan itu, katanya orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan serta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa. – Info X

March 1, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut jatuh pokok ketika berburu

KOTA BELUD: Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti berburu di kawasan hutan Sapoda, di sini, malam tadi. Dalam kejadian itu, mangsa berusia 44 tahun, dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum rakannya keluar dari kawasan hutan untuk mendapatkan bantuan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, bilik kawalan BBP Kota Belud menerima panggilan kecemasan pada jam 7.45 malam. Katanya, sepasukan lima anggota kemudian digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 39 kilometer dari balai. “Pasukan penyelamat berdepan kesukaran apabila laluan ke lokasi tidak boleh dilalui kenderaan. “Keadaan itu memaksa mereka bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ranger Sapoda berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, mangsa didapati dalam keadaan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian. “Pasukan bomba kemudian membawa keluar mangsa menggunakan ‘jungkin stretcher’ ke jalan utama sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi yang disertai polis, KKM, Ranger Sapoda dan 12 orang awam itu tamat sepenuhnya pada jam 10.56 malam,” katanya. – Info X

March 1, 2026

Info X Reporters

Kembara terjunam 20 meter dalam gaung, pemandu selamat

TAWAU: Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila kereta dipandunya terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 20 meter di Simpang 4, Jalan Bukit TV, di sini, malam tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 8.07 malam itu, mangsa berusia 54 tahun, bagaimanapun berjaya diselamatkan pasukan bomba dan hanya mengalami kecederaan. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian. “Seramai lapan anggota bersama sebuah jentera FRT dan EMRS digerakkan ke tempat kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai. “Setibanya pasukan di lokasi pada jam 8.25 malam, didapati kemalangan membabitkan sebuah Perodua Kembara yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam 20 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa yang berada di dalam kenderaan itu berjaya dibawa naik ke bahu jalan oleh pasukan bomba. “Pasukan EMRS kemudian memberikan rawatan awal di lokasi sebelum mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.28 malam selepas bomba memastikan tiada bahaya lain di kawasan berkenaan,” katanya. – Info X

February 28, 2026

Info X Reporters

Remaja dikejarkan ke hospital selepas disengat haiwan berbisa

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki terpaksa dikejarkan ke hospital selepas dipercayai disengat haiwan berbisa di Pantai Tanjung Aru 2, di sini, petang tadi. Mangsa berusia 15 tahun itu dikatakan sedang melakukan aktiviti di air sekitar pantai berkenaan sebelum tiba-tiba mengadu sakit pada jari kaki kirinya akibat sengatan. Remaja terbabit kemudian mendapatkan bantuan di Menara Penyelamat Pantai (MPP) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tanjung Aru kira-kira jam 6 petang. Pegawai APM Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, anggota penyelamat pantai yang bertugas segera membuat penilaian awal terhadap mangsa. “Pemeriksaan mendapati terdapat luka kecil pada jari kaki kiri mangsa dan dia dilaporkan meronta kesakitan dipercayai akibat bisa sengatan berkenaan. “Mangsa diberikan rawatan awal dengan membersihkan luka, menyapu ubat antiseptik serta membalut menggunakan plaster sebelum dinasihatkan supaya dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, mangsa kemudian diangkat menggunakan ‘spinal board’ dan dibawa ke kenderaan penjaga sebelum dihantar ke hospital dengan kereta sendiri. “Operasi yang dikendalikan enam anggota penyelamat pantai itu berakhir pada jam 6.10 petang dan keadaan dilaporkan terkawal,” katanya. – Info X

February 28, 2026

Info X Reporters

Ops Imigresen: 22 PATI termasuk kanak-kanak ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk kanak-kanak ditahan dalam operasi berasingan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Sipitang, semalam. Menerusi laman rasmi Facebook JIM Sabah hari ini, Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu memaklumkan operasi di daerah Kota Kinabalu dan Penampang itu membabitkan 17 pegawai penguat kuasa. “Hasil pemeriksaan ke atas 17 individu mendapati sembilan adalah warganegara Malaysia dan lapan warganegara asing. “Daripada jumlah itu, dua warga asing iaitu seorang lelaki dan seorang wanita warga Filipina ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan itu. Dalam perkembangan sama, JIM Sipitang turut melaksanakan operasi berasingan di daerah berkenaan membabitkan 14 pegawai penguat kuasa. “Seramai 20 warga asing ditahan kerana disyaki melanggar Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. “Tangkapan membabitkan warganegara Indonesia iaitu dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan,” katanya. Selain itu, katanya turut ditahan dua lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan dua kanak-kanak perempuan warga Filipina. Menurut JIM Sabah, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan secara berterusan terhadap mana-mana individu, majikan atau pihak yang melindungi serta menggaji PATI. Orang awam juga diseru menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara. – Info X

February 27, 2026

Info X Reporters

112 PATI dihantar pulang

KOTA KINABALU: Seramai 112 tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sepanjang Januari hingga Februari tahun ini. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan di laman rasmi Facebook, malam ini, memaklumkan program pemindahan itu membabitkan 90 lelaki dewasa dan 22 wanita dewasa yang ditahan di Depot Imigresen Sabah. Menurut kenyataan itu, semua tahanan terbabit sudah melalui proses perundangan di Malaysia serta melepasi proses verifikasi dokumen perjalanan oleh kedutaan asing sebelum dibenarkan pulang ke negara asal masing-masing. “Antara warganegara yang mencatatkan peratusan tertinggi ialah Pakistan iaitu 51 peratus, diikuti Filipina (29 peratus), Vietnam (9 peratus), China (5 peratus) dan Thailand (3 peratus). “Lain-lain warganegara seperti Laos, USA dan Indonesia masing-masing mewakili satu peratus daripada jumlah keseluruhan 112 tahanan,” menurut kenyataan itu. JIM Sabah turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap keadaan persekitaran dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI. “Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah,” katanya. – Info X

February 27, 2026

Info X Reporters

Ops Gempur Khas JSJN Sabah: Tokan Telipok Ria diberkas

KOTA KINABALU: Kegiatan seorang pengedar dadah yang aktif sejak dua bulan lalu di kawasan Taman Telipok Ria, Tuaran terbongkar selepas diberkas dalam Ops Gempur Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kelmarin. Dalam operasi jam 12.50 tengah hari itu, sepasukan anggota JSJN IPK Sabah menahan seorang lelaki warga asing berusia 31 tahun di tepi jalan kawasan berkenaan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemeriksaan terhadap beg hitam berzip yang dipegang suspek menemukan 58 tiub plastik lutsinar pelbagai saiz berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu. “Rampasan keseluruhan dianggarkan seberat 16.60 gram dengan nilai pasaran kira-kira RM1,790. “Suspek kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Tuaran untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, suspek yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri mengaku secara lisan identitinya sebagai Al Jibir Akram. “Suspek turut mendakwa dia mengambil upah menjual dadah daripada seorang individu yang dipercayai tinggal di kawasan sama. “Siasatan awal mendapati suspek mula aktif menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu di sekitar Taman Telipok Ria,” katanya. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek kini ditahan di lokap IPD Tuaran bagi membantu siasatan. “Permohonan reman akan dibuat dan usaha mengesan pembekal dadah berkenaan sedang giat dijalankan. “JSJN Sabah akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah selaras dengan moto kami, ‘Perangi Dadah, Lindungi Generasi’,” katanya. – Info X

February 27, 2026

Info X Reporters

9 rumah, stor dan kedai runcit musnah dalam kebakaran

SEMPORNA: Sembilan rumah kediaman bersama sebuah stor dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Jalan Pinggir Bakau, di sini, hari ini. Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 53 tahun dilaporkan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Rastam Keladi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 1.51 petang sebelum jentera pertama tiba di lokasi dua minit kemudian. “Seramai 21 anggota membabitkan 15 pegawai dan anggota dari BBP Semporna serta enam anggota dari BBP Air Semporna digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira satu kilometer dari balai. “Kebakaran melibatkan sembilan rumah kediaman jenis tidak kekal, sebuah Stor FMK Smart Hardware dan sebuah kedai runcit terbakar 100 peratus,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan dua aliran hos sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air, manakala sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran. Beliau berkata, seorang mangsa wanita ditemui pengsan di lokasi kejadian dan diberi rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.29 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 petang selepas memastikan tiada lagi punca api dan kawasan selamat. “Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X