February 27, 2026
Info X Reporters
APMM tahan bot kargo bawa petrol, diesel tanpa permit
KUDAT: Cubaan membawa muatan petrol dan diesel tanpa permit sah gagal apabila sebuah bot kargo ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kudat di perairan Kuala Kaindangan, Pitas, semalam. Bot berkenaan dikesan bot ronda APMM ketika menjalankan rondaan rutin sebelum pemeriksaan lanjut mendapati ia membawa barang kawalan tanpa sebarang dokumen pengesahan. Pengarah Zon Maritim Kudat, Hasbullah Omar berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot kargo itu membawa petrol dan diesel yang dipercayai barang kawalan tanpa permit atau kebenaran daripada pihak berkuasa. “Bot terbabit dikendalikan seorang tekong lelaki warga tempatan berusia 60 tahun bersama seorang kru lelaki berusia 38 tahun. “Kedua-duanya gagal mengemukakan dokumen berkaitan pengangkutan barang kawalan ketika diminta pegawai pemeriksa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bot kargo bersama muatan kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Sabah Port Kudat untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran sah,” katanya. Hasbullah berkata, pihaknya akan terus mempergiat rondaan dan pemantauan di perairan utara Sabah bagi membanteras aktiviti penyeludupan serta penyalahgunaan barang kawalan yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di laut diminta menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 bagi tindakan segera,” katanya. – Info X
February 27, 2026
Info X Reporters
Suspek samun premis 24 jam di Penampang ditahan
PENAMPANG: Tindakan seorang lelaki bersenjatakan pisau menyamun sebuah premis 24 jam di daerah ini, awal pagi Rabu lalu, berakhir apabila dia diberkas polis kurang 48 jam selepas kejadian. Dalam kejadian jam 3.57 pagi itu, suspek berusia 33 tahun dipercayai merompak wang tunai dianggarkan RM300 sebelum melarikan diri dari tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang berjaya menahan suspek di sebuah hotel di Putatan, semalam. “Suspek ditahan kurang 48 jam selepas kejadian dilaporkan. “Turut dirampas beberapa barangan dipercayai digunakan ketika kejadian termasuk helmet, pakaian, sebilah pisau serta sebuah motosikal,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau membabitkan kes jenayah dan penyalahgunaan dadah. “Hasil siasatan lanjut juga mendapati suspek dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun lain yang dilaporkan di sekitar daerah ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya. Sementara itu, Sammy berkata orang ramai diseru supaya menjadi mata dan telinga pihak polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah bagi membantu usaha membanteras jenayah serta mengekalkan keselamatan komuniti. – Info X
February 27, 2026
Info X Reporters
15 April sebutan semula kes bunuh, kerat wanita
KOTA KINABALU: Mahkamah Majistret, di sini, menetapkan 15 April depan untuk sebutan semula kes bunuh dan kerat seorang wanita yang anggota badannya ditemui di beberapa lokasi di Indah Permai, Sepanggar pada 12 Februari lalu. Tarikh itu ditetapkan selepas tertuduh, Piluta Samad, 71, selesai mendengar pertuduhan terhadapnya di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Tertuduh berdepan pertuduhan membunuh seorang wanita tanpa dokumen mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara untuk tempoh tidak kurang 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun dan minimum 12 sebatan jika tidak dihukum mati setelah disabitkan kesalahan. Piluta yang tidak diwakili peguam mengaku memahami pertuduhan yang dihadapinya, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan ia membabitkan kes bunuh. Pengakuan tertuduh hanya direkodkan apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sendiri didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 11 Februari lalu. Pembunuhan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, dekat sini. Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Kareena Kaur Gill Karamjit Singh memohon tarikh sebutan baharu sementara menunggu laporan DNA, patologi, forensik dan kimia kes berkenaan. Kareena turut membantah jaminan terhadap tertuduh berikutan kes serius yang dihadapinya. Mahkamah kemudian menetapkan 15 April depan sebagai tarikh sebutan semula dan memerintahkan tertuduh terus ditahan sehingga kesnya selesai. Dalam kejadian pada 12 Februari lalu, seorang wanita berumur 44 tahun ditemukan maut dalam keadaan anggota tubuhnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di beberapa lokasi sekitar Indah Permai, Sepanggar, dekat sini. Pembunuhan itu terbongkar pada kira-kira jam 6.30 pagi selepas seorang pekerja lori sampah menemukan anggota badan manusia ketika menjalankan tugas rutin. Susulan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan kurang 24 jam selepas penemuan mayat mangsa, sebelum beberapa tangkapan susulan dilakukan bagi membantu siasatan. Lelaki berumur 71 tahun itu yang dipercayai bekas tunang mangsa dikenal pasti sebagai suspek utama, manakala tiga anaknya, masing-masing dua perempuan dan seorang lelaki turut ditahan bagi membantu siasatan. – Info X
February 27, 2026
Info X Reporters
Aura baharu Sabah FC di tangan Garrido mulai esok
KOTA KINABALU: Pengendali baharu Sabah FC, Juan Torres Garrido, bakal menunjukkan kemampuannya mengendali Sang Badak menerusi aksi pertama bimbingannya menentang Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super di Stadium Likas pada Sabtu. Walaupun tempoh persiapan yang singkat setelah baru bersama Sabah FC sejak Rabu, pengendali dari Sepanyol itu tetap optimis dalam usaha membentuk identiti permainan pasukan. “Fokus saya sekarang adalah mengenali pemain dengan lebih dekat dan memastikan mereka memahami idea serta falsafah yang mahu diterapkan. Penting untuk semua bergerak dalam hala tuju yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau bagaimanapun memilih untuk tidak mendedahkan perancangan taktikal yang bakal diterapkan, sebaliknya mahu aksi di atas padang menjadi bukti pendekatan sebenar beliau. Mengulas lanjut pertemuan menentang Negeri Sembilan FC, Garrido menyifatkan pihak lawan sebagai pasukan mantap dengan kombinasi pemain tempatan dan import yang berpengalaman. “Mereka memiliki struktur yang baik dan sedang berada dalam momentum positif. Saya jangka perlawanan yang sengit,” katanya. Dalam masa sama, beliau menyeru penyokong setia Sang Badak untuk membanjiri stadium dan memberikan sokongan padu. “Kehadiran penyokong amat penting untuk menaikkan semangat pemain. Kami mahu mulakan fasa ini dengan langkah kanan,” katanya. – Info X
February 27, 2026
Info X Reporters
Suspek bunuh, kerat wanita dituduh di Mahkamah Majistret
KOTA KINABALU: Suspek bunuh dan kerat seorang wanita yang anggota badannya ditemui di beberapa lokasi di Indah Permai, Sepanggar pada 12 Februari lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini. Tertuduh, Piluta Samad, 71, berdepan pertuduhan membunuh seorang wanita tanpa dokumen mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus. Piluta memahami pertuduhan yang dihadapinya, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan memandangkan ia membabitkan kes bunuh. Pengakuan tertuduh hanya direkodkan apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Hamidah Husin @ Lisa antara jam 6 petang hingga 7 malam pada 11 Februari lalu. Pembunuhan itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Sri Kenangan, Jalan Sepanggar, dekat sini. – Info X
February 27, 2026
Info X Reporters
5 daerah masih banjir, 5,532 mangsa dipindah
KOTA KINABALU: Seramai 5,532 mangsa banjir membabitkan 1,943 keluarga berlindung di pusat pemindahan di lima daerah pedalaman setakat pagi Jumaat. Daripada jumlah itu, daerah Tenom merekodkan jumlah paling ramai iaitu 3,149 mangsa, diikuti Beaufort (1,456 mangsa), Membakut (427 mangsa), Sipitang (421 mangsa) dan Sook (79 mangsa). Setakat ini, sebanyak 27 pusat pemindahan dibuka di kelima-lima daerah bagi menampung mangsa banjir yang dipindah selepaa kediaman mereka dinaiki air sejak Selsasa dan Rabu lalu. Daerah Beaufort merekodkan jumlah kampung paling banyak terjejas akibat banjir kali ini dengan sebanyak 58 kampung, diikuti Tenom sebanyak 46 kampung, Sipitang (22 kampung), Membakut (16 kampung) dan Sook (empat kampung). Berdasarkan perkembangan dikongsikan di media sosial, banjir di daerah terbabit dilaporkan mulai susut, namun masih banyak kawasan, termasuk jalan raya yang digenangi air. – Info X
February 27, 2026
Info X Reporters
40 emas sasaran SUKMA Sabah
KOTA KINABALU: Sabah mengekalkan sasaran 40 pingat emas untuk dimenangi pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang dijadual berlangsung di Selangor pada Ogos depan. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata sasaran itu dikekalkan dengan harapan agar kali ini ia dapat dicapai melalui 36 jenis sukan yang bakal disertai atlet Sabah. Katanya, kerajaan negeri turut mengekalkan insentif kemenangan sebanyak RM10,000 bagi satu pingat emas yang dimenangi sebagai dorongan kepada atlet dari negeri ini untuk memenangi sebanyak mungkin pingat emas. “Memang setiap pingat yang dimenangi oleh atlet-atlet Sabah kita sediakan insentif yang sudah kita tetapkan, cuma masalahnya sekarang berapa emas yang kita boleh dapat dan berapa ramai atlet yang boleh mencipta kemenangan. “Jadi ini adalah satu komitmen kerajaan khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri yang berharap agar atlet-atlet Sabah dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan pencapaian yang cemerlang. “Ini sudah pasti akan mendapat insentif daripada kerajaan sebagai satu penghargaan dan mengiktiraf kejayaan mereka itu. Insentif untuk pingat emas akan mendapat RM10,000, jadi kekallah,” katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan insentif kemenangan krpada atlet Sabah di SICC, di sini, pada Khamis. Dalam pada itu, katanya daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada SUKMA kali ini, atlet Sabah akan mengambil bahagian dalam 36 jenis sukan. “Saya telah diberi taklimat oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) bahawa sasaran kita adalah 40 emas, jadi kita berharap agar sasaran ini dapat kita capai,” katanya. – Info X
February 27, 2026
Info X Reporters
RM807,050 insentif kemenangan sukan diserah kepada atlet Sabah
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menyerahkan insentif kemenangan atlet berjumlah RM807,050 kepada semua pemenang pingat kejohanan sukan kebangsaan dan antarabangsa dari negeri itu pada tahun lalu. Insentif itu disampaikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan pada majlis penyerahan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, petang Khamis. Nizam berkata jumlah itu merangkumi insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa bagi sukan ‘able’ dan insentif bagi pencapaian atlet PARA yang berjaya memenangi pingat dalam kejohanan sukan disertai mereka pada tahun lalu. “Penyerahan insentif pada hari ini adalah untuk meraikan kejayaan atlet-atlet kita yang cemerlang sepanjang tahun 2025. Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya merakamkan syabas dan tahniah kepada semua atlet yang berjaya memenangi pingat untuk Sabah dan Malaysia sepanjang perjuangan tahun lalu. “Penyerahan insentif keseluruhannya membabitkan sebanyak RM807,050. Dari jumlah itu, dipecahkan kepada dua pencapaian iaitu insentif kemenangan kebangsaan dan antarabangsa untuk sukan `able’ iaitu sebanyak RM269,850 dan insentif kemenangan untuk pencapaian atlet PARA iaitu sebanyak RM537,200,” katanya. Katanya, walaupun pemberian insentif kemenangan itu agak besar tetapi berbaloi dibelanjakan oleh kerajaan negeri demi menarik minat dan penyertaan anak-anak muda Sabah, sejajar usaha kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah untuk melahirkan atlet bertaraf dunia. “Pada masa yang sama kerajaan berharap penyertaan anak-anak muda dalam sukan juga dapat membina kehidupan mereka yang lebih berkualiti dan sihat, selain membina sahsiah yang kukuh termasuk disiplin, semangat juang, kerjasama, ketrampilan dan semangat patriotik kepada negara. “Inilah sebenarnya yang diharapkan oleh kerajaan, kerana atlet dan anak-anak muda kita pada hari ini merupakan generasi yang akan memacu masa depan negeri dan negara ini,” katanya. Pada majlis yang sama, Nizam turut menyerahkan geran daripada kerajaan negeri Sabah berjumlah RM3.1 juta kepada 51 persatuan sukan di negeri ini yang berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan. “Selaku Menteri, saya menegaskan kepada semua persatuan sukan agar dapat menggunakan bantuan kewangan dari kerajaan negeri ini untuk melaksanakan program pembangunan atlet secara efisien dan bertanggungjawab. “Saya mahu perbelanjaan yang telah dibuat ini dapat dikembalikan kepada kementerian ini dalam bentuk laporan yang sahih dan data yang boleh diguna pakai untuk memajukan lagi mutu sukan di negeri ini,” katanya. – Info X