September 12, 2026
Info X Reporters
MA63: Hajiji tegas suarakan hak 40 peratus Sabah – Salleh
KOTA KINABALU: Pendirian tegas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung hak 40 peratus hasil Sabah wajar disokong seluruh rakyat negeri ini tanpa mengira perbezaan politik. Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata pendirian itu sekali lagi disuarakan Hajiji pada Mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MMTPMA63) di SICC, semalam. Katanya, ketegasan Hajiji dapat dilihat menerusi gesaannya supaya hak 40 peratus itu diselesaikan dan dilaksanakan segera tanpa kelewatan selanjutnya. Sehubungan itu, Salleh berkata perkara berkenaan tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana sebagai Ketua Menteri, Hajiji mewakili Sabah dalam memperjuangkan hak berperlembagaan yang menjadi milik rakyat negeri ini. “Hak itu sudah wujud. Tiada keperluan untuk meminda Perlembagaan. Tugas sekarang adalah untuk bersetuju mengenai formula dan melaksanakannya,” katanya dalam hantaran di Facebook. Salleh berkata, jika jumlah penuh tidak dapat dibayar serta-merta, kedua-dua kerajaan perlu bersetuju mengenai apa yang boleh dilaksanakan sekarang serta mekanisme atau bentuk pembayaran. Beliau berkata, RM1.5 bilion yang diberikan adalah Geran Khas interim dan bukannya penyelesaian muktamad terhadap hak 40 peratus Sabah. “Oleh itu, ia tidak seharusnya menjejaskan hak berperlembagaan Sabah atau rundingan yang sedang berjalan mengenai formula dan jumlah sebenar,” katanya. Mengenai tempoh yang telah berlalu, Salleh berkata isu ‘tahun-tahun yang hilang’ boleh dirundingkan secara berasingan tanpa melengahkan pelaksanaan untuk masa kini dan masa depan. “Sabah sudah menunggu cukup lama. Mengenai 40 peratus, rakyat Sabah harus bersuara dengan satu suara. Pendirian Hajiji adalah pendirian Sabah,” katanya. – Info X
September 12, 2026
Info X Reporters
Selisih faham, tekanan dipercayai punca anak bunuh ibu
TAMBUNAN: Perselisihan faham dan tekanan selepas melalui perceraian dipercayai menjadi punca seorang lelaki bertindak membunuh ibu kandungnya menggunakan pisau di Kampung Katagayan, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 31 tahun itu baru bercerai dengan isterinya dan dipercayai berdepan tekanan sebelum kejadian. “Senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu ialah pisau. Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengenal pasti punca sebenar perselisihan faham antara suspek dan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, beberapa barang kes yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian turut dirampas selepas pasukan penyiasat dan forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi. Katanya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. Terdahulu, mangsa berusia 56 tahun ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan akibat senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan kira-kira jam 2 petang. Suspek kemudian dikesan dan ditahan penduduk kampung di sebuah sulap di Kampung Sukung sebelum dibawa ke Balai Polis Tambunan dan diserahkan kepada polis. – Info X
September 12, 2026
Info X Reporters
Anak ditahan disyaki bunuh ibu dengan senjata tajam
TAMBUNAN: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki membunuh ibu kandungnya yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan akibat senjata tajam di sebuah rumah sewa di Kampung Katagayan, di sini, petang tadi. Mayat wanita berusia 56 tahun itu ditemukan kira-kira jam 2 petang sebelum polis melancarkan gerakan mengesan suspek berusia 31 tahun. Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, suspek kemudian dikesan dan ditahan penduduk di sebuah sulap di Kampung Sukung. “Penduduk kampung membawa suspek menggunakan kenderaan mereka ke Balai Polis Tambunan sebelum tangkapab dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau. “Pasukan penyiasat dan forensik turut menjalankan pemeriksaan di lokasi serta merampas beberapa barang kes yang dipercayai berkaitan kejadian,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif serta kronologi penuh kejadian,” katanya. Sementara itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes itu. – Info X
September 11, 2026
Info X Reporters
MA63: Kembalikan keseimbangan wakil Parlimen Sabah, Sarawak, bukan hanya soal tambah kerusi – Salleh
KOTA KINABALU: Keputusan menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai langkah tepat bagi mengembalikan keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia. Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata ia bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak, sebaliknya satu usaha untuk mengembalikan keseimbangan wakil di Parlimen yang pernah wujud sebelum ini. “Ketika Malaysia dibentuk, Sabah, Sarawak dan Singapura secara bersama mewujudkan satu keseimbangan penting dalam perwakilan Parlimen. “Apabila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, keseimbangan tersebut berubah. Pada pandangan saya, pembahagian kerusi Parlimen sepatutnya disusun semula ketika itu bagi mengekalkan prinsip satu pertiga untuk negeri-negeri Borneo. Oleh itu, isu ini bukan sekadar soal menambah beberapa kerusi untuk Sabah dan Sarawak. Ia adalah soal mengembalikan satu keseimbangan penting yang berkait rapat dengan asas pembentukan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan. Bendahari UMNO Sabah itu, berkata selepas lebih 60 tahun, sudah tiba masanya prinsip itu diterjemahkan kepada pelan tindakan yang jelas, langkah-langkah konkrit dan pelaksanaan. Jelasnya, mengembalikan keseimbangan satu pertiga di Parlimen bukan bertujuan melemahkan Malaysia, sebaliknya, akan memperkukuhkan lagi perkongsian Persekutuan dan menghormati asas serta semangat pembentukan Malaysia. Terdahulu, bekas ADUN Usukan itu mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak. Salleh berkata, ia adalah satu perkembangan yang positif dan penting. “Saya juga menyokong penuh gesaan Menteri Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya cadangan ini disusuli dengan tindakan konkrit dan tidak sekadar menjadi kenyataan hasrat. “Prinsipnya jelas, Sabah dan Sarawak secara bersama seharusnya mempunyai sekurang-kurangnya satu pertiga daripada keseluruhan kerusi di Parlimen, selaras dengan semangat dan perlindungan yang mendasari pembentukan Malaysia pada tahun 1963,” katanya. Siang tadi, Perdana Menteri berkata pindaan perlembagaan bakal dibuat bagi membolehkan jumlah kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak ditambah ke satu nisbah baharu yang lebih tinggi berbanding sekarang. Perkara itu yang sudah dipersetujui jemaah menteri sebelum ini, katanya adalah antara keputusan utama Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikannya, di sini, pada Jumaat. – Info X
September 11, 2026
Info X Reporters
Dua lelaki ditahan disyaki curi kabel di Kampung Sugud
PENAMPANG: Dua lelaki yang disyaki mencuri kabel di tepi jalan sekitar Kampung Sugud, di sini, ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis, awal pagi tadi. Kedua-dua suspek tempatan berusia 20 dan 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 pagi selepas kegiatan mereka dipercayai disedari penduduk. Pemangku Ketua Polis Daerah Penampang, Asisten Superintendan Arisanti Aziz berkata, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat daripada Pusat Kawalan Daerah (DCC) Penampang. “Setibanya di lokasi, anggota mendapati kedua-dua suspek sudah ditahan orang awam sebelum mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. “Polis turut merampas dua alat pemotong kabel dan segulung wayar kabel yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan. Beliau menghargai kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan jenayah, namun menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri. – Info X
September 11, 2026
BERNAMA
MA63: Elemen citra Sabah dalam kurikulum sekolah mulai tahun depan – Fadhlina
KOTA KINABALU: Elemen citra Sabah akan dimasukkan ke dalam kurikulum baharu persekolahan bagi murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu bermula sesi akademik tahun depan, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek. Beliau berkata perkara itu merupakan antara persetujuan yang dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), berkaitan pendidikan yang berlangsung di sini, pagi tadi. Fadhlina berkata Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk James Ratib turut memberikan sokongan penuh dalam perbincangan berkenaan, bagi merealisasikan hasrat tersebut. “Antara dibincangkan ialah bagaimana kita boleh terus mendukung pendidikan di Sabah berdasarkan kepada inti pati persetujuan dan terma-terma dalam MA63. “Elemen citra Sabah ini akan dimulakan pelaksanaannya dalam kurikulum baharu Darjah Satu dan Tingkatan Satu mulai tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Sains Sabah dan Sekolah Kebangsaan Buit Hill di sini, pada Jumaat. Fadhlina berkata penerapan elemen citra Sabah dalam kurikulum sekolah penting, bagi memperkukuh semangat persahabatan serta hubungan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai asas kekuatan Malaysia. Beliau berkata usaha itu penting bagi membolehkan generasi muda menghayati, menghargai dan menghormati kekayaan budaya terdapat di Sabah, selain memastikan elemen berkenaan dapat dikongsi bersama melalui kurikulum sekolah. Sementara itu, Fadhlina memaklumkan urusan berkaitan pengisian guru baharu serta pelantikan pengetua dan guru besar di negeri itu kini berada pada peringkat akhir untuk dimuktamadkan. Mengulas mengenai isu sekolah daif di Sabah, beliau berkata kemajuan pelaksanaan projek berkenaan berada pada tahap baik dengan sebahagiannya telah siap dibina, manakala selebihnya masih dalam fasa pembinaan serta pra-pelaksanaan. Fadhlina berkata pemantauan rapi secara berterusan terus dilaksanakan bersama pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi memastikan projek naik taraf sekolah daif di negeri itu berjalan lancar. Terdahulu, dalam ucapannya Fadhlina berkata sebanyak 245 sekolah daif di Sabah telah siap dibangunkan semula sepenuhnya, manakala 63 lagi sedang dalam pembinaan dan baki selebihnya berada dalam pelbagai fasa pelaksanaan. Jumlah itu merupakan sebahagian daripada 416 sekolah daif di Sabah dikenal pasti untuk penggantian penuh, katanya.– BERNAMA
September 11, 2026
BERNAMA
Usaha meradikalkan golongan muda dalam talian ancaman keganasan baharu
Oleh Zarul Effendi Razali KUALA LUMPUR: Rangkaian pengganas dengan pantas telah beralih ke ruang dalam talian termasuk platform permainan dan aplikasi pemesejan peribadi sekali gus menjadikan usaha meradikalkan golongan muda sebagai ancaman keganasan yang semakin serius, menurut pakar. Penyelidik Kajian Sejarah dan Pertahanan Asia Tenggara Enzo Sim berkata rangkaian keganasan moden tidak lagi bergantung pada kem pengambilan fizikal semata-mata, sebaliknya kumpulan pelampau semakin mengeksploitasi platform digital untuk mencapai golongan muda yang mudah terpengaruh (vulnerable). “Hari ini, rangkaian keganasan telah berkembang dengan licik dan pantas dengan menjadi ruang dalam talian. “Mereka telah menyusup masuk ke dalam persekitaran permainan, contohnya, permainan popular Roblox. Dan juga, mereka telah memasuki mesej separa tersulit (semi-encrypted) termasuk ruang seperti WhatsApp, untuk menerapkan idea radikal dalam golongan muda,” katanya pada program The Nation Bernama TV bertajuk ‘9/11: 25 Years On: What Did We Learn?’ pada Jumaat. Sim berkata golongan muda boleh diradikalkan dalam talian tanpa mempunyai sebarang kaitan langsung dengan pertubuhan pengganas tradisional, sambil menambah bahawa ancaman itu juga telah berkembang melebihi apa yang secara tradisinya dilihat sebagai “pelampau jihad”. Beliau berkata hal itu boleh merangkumi kekaguman dengan keganasan, kebencian terhadap wanita, etnonasionalisme, pemisahan, ekstremisme sayap kanan dan ekstremisme kiri. Penolong Profesor Dr Ahmad El-Muhammady dari Institut Pemikiran dan Tamadun Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata perubahan sifat proses meradikalkan (radicalisation) memerlukan pemahaman yang lebih luas tentang mengapa individu menjadi terdedah kepada naratif ekstremis. Menurutnya, gabungan politik atau agama tidak lagi diperlukan untuk usaha meradikalkan ini, kerana individu boleh dipengaruhi oleh pendedahan kepada keganasan, kelemahan psikologi dan pengalaman seperti buli. Bagaimanapun, beliau berkata kemarahan yang wajar terhadap konflik antarabangsa dan ketidakadilan yang dirasakan tidak seharusnya secara automatik dilabelkan sebagai ekstremisme, khususnya berkaitan konflik Gaza. Mengimbau serangan 11 Sept 2001, Sim berkata insiden itu adalah sesuatu yang mengejutkan pada mulanya, namun tindak balas antarabangsa yang akhirnya mengubah landskap keselamatan global. “Akhirnya, cara kita bertindak balas terhadapnya yang benar-benar mengubah dunia yang kita diami sekarang,” katanya memberi contoh keselamatan penerbangan yang lebih ketat dan pemantauan lebih rapi terhadap pembiayaan pengganas. Mengenai Malaysia, Sim berkata negara harus terus berwaspada tanpa membiarkan rasa takut menentukan dasar memerangi keganasannya manakala El-Muhammady menekankan kepentingan pencegahan, pemulihan dan pengukuhan nilai serta identiti diri sebagai sebahagian daripada usaha negara mencegah ekstremisme ganas.– BERNAMA
September 11, 2026
Info X Reporters
Gagasan Rakyat buka lembaran baharu landskap politik Kinabatangan
SANDAKAN: Penstrukturan organisasi Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Kinabatangan membuka lembaran baharu landskap politik di kawasan Parlimen terbesar di Malaysia itu. Penyusunan semula Jawatankuasa Penaja Bahagian Kinabatangan menguji kepimpinan Naib Presiden Gagasan Rakyat, Datuk Masiung Banah yang dilantik Ketua Bahagian bagi menerajui kepimpinan baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16). Pembentukan Jawatankuasa Gagasan Rakyat Kinabatangan yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuamut, Sukau dan Lamag itu juga dilihat sebagai langkah strategik parti itu di pantai timur Sabah. Mesyuarat penyusunan semula Ahli-ahli Jawatankuasa bahagian itu di Hotel Livingstone, Sandakan malam kelmarin menyaksikan pelantikan Datuk Juhari Janan dari DUN Sukau sebagai Timbalan Ketua Bahagian dan Datuk Abu Bakar Gapar dari DUN Lamag sebagai Naib Ketua Bahagian. Tiga tonggak utama sayap parti pula ialah Ketua Pergerakan Wanita, Jaliliah Apiang; Ketua Pemuda, Willy Frous Darinsok dan Farizatul Akma Abdul Rahman sebagai Ketua Beliawanis. Pempengaruh media sosial, Aksyah Nasrah turut dilantik menganggotai Gagasan Rakyat Kinabatangan sebagai Ketua Penerangan, manakala Jamlin Kayatah dan Tokyo Hasim Saulid Kandan masing-masing dilantik Setiausaha dan Bendahari Bahagian. Berikut adalah 38 anggota jawatankuasa bahagian Gagasan Rakyat Kinabatangan diketuai Ketua Bahagian,Datuk Masiung Banah; Timbalan, Datuk Juhari Janan; Naib, Datuk Abu Bakar Gapar; KetuaWanita, Jahiah @ Jaliliah Apiang; Ketua Pemuda, Willy Frous Daronsok; Ketua Beliawanis, Farizatul Akma Abdul Rahman; Setiausaha, Jamlin Kayatah; Bendahari, Tokyo Abdul Hasim Salulid Kandan; Ketua Penerangan, Aksyah Nasrah; Naib Ketua Wanita, Nurlisah Awang; Naib Ketua Pemuda, Badrul Hisham Juhari dan Naib Ketua Beliawanis, Siti Khalidah Mahalil. Ahli jawatankuasa Gagasan Rakyat Kinabatangan pula terdiri daripada Azman Mastar, Kamrin Satah, Mahalay @ Mahali Jahaya, Johanis Mualas, Emerson Dawang, Matamin Etin, Juslee Arpah, Fazli Kubin, Japilan Gustim, Mokrey Kachurah, Willy Banah, Mahmud @ Abdul Manaf Amit, Joseph Noh, Johari Aklee, Amit Tunguk, Sunardi Suhaime, Damsah Kalbin, Muhamad Alwi Mahadi, Awang Bantan, Akop Manjah, Rusni Sungging, Kim Linupas, Sayafi Adnan, Arif Cassidy Saraon, Raz Bantiqle dan Heuly Janadi Ramidin. Sementara itu, Masiung yang juga ADUN Kuamut mahu semua anggota jawatankuasa penaja melaksanakan tugas yang diamanahkan sebagai tanggungjawab kepada parti dan rakyat di peringkat bahagian. Katanya, penstrukturan semua organisasi Gagasan Rakyat secara besar-besaran melibatkan pindahan perlembagaan parti, sebagai langkah strategik bagi mengukuhkan jentera parti sebagai tunjang Gabungan Rakyat Sabah (GRS). “Gagasan Rakyat menukar asas struktur bahagiannya daripada kawasan DUN kepada kawasan Parlimen, dirombak menjadi 26 bahagian baharu merangkumi Sabah dan Labuan berbandibg 74 bahagian sebelum ini. “Langkah ini bagi menyatukan bahagian-bahagian kecil supaya lebih besar dan tersusun,” katanya. – Info X