February 19, 2026
Info X Reporters
Bazar Ramadan Lintasan Deasoka dan Tanjung Aru, jalan ditutup mulai 1 tengah hari – DBKK
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menutup sebahagian jalan dan tempat letak kereta di Lintasan Deasoka dan Tanjung Aru bagi memberi laluan kepada Bazar Ramadan sepanjang Ramadan kali ini. Menerusi satu notis dikeluarkan pihak berkuasa tempatan itu (PBT) penutupan bermula jam 1 tengah hari hingga jam 7 malam setiap hari bermula pada Khamis (19 Februari) hingga Jumaat (20 Mac 2026). Antara laluan yang ditutup ialah di kawasan Taman Poket , Jalan Tugu dan Jalan Bandaran bagi Bazar Ramadan di Lintasan Deasoka, manakala sebahagian tempat letak kereta berhadapan Pejabat Pos Tanjung Aru bagi Bazar Ramadan Pekan Tanjung Aru. Berikutan itu, DBKK menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan anggota penguatkuasa yang bertugas dan menggunakan jalan alternatif bagi keselamatan dan kelancaran trafik. – Info X
February 19, 2026
Info X Reporters
Hujan berterusan di Ranau, KB, Sandakan, Kudat hingga Jumaat
KOTA KINABALU: Hujan berterusan tahap waspada atau kuning diramal berlaku di beberapa daerah pantai barat, Sandakan dan Kudat bermula petang Khamis hingga Jumaat (20 Februari). Antara daerah dijangka mengalami hujan pada petang pertama Ramadan kali ini ialah Ranau, Kota Belud, Kudat, Telupid, Beluran, Sandakan dan Kudat. METMalaysia berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web rasmi jabatan itu, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan. Talian hotline MET Malaysia 1-300-22-1638 juga boleh dihubungi bagi sebarang pertanyaan lanjut. – Info X
February 19, 2026
Info X Reporters
Gudang simpanan peralatan rumah musnah terbakar
KENINGAU: Sebuah gudang penyimpanan barangan peralatan rumah musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Lingkudau, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, bangunan jenis separuh kekal berkeluasan 9.29 meter persegi itu dilaporkan musnah sepenuhnya. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.02 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak tiga kilometer dari BBP Keningau. “Kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan barang Best Buy jenis separuh kekal yang telah terbakar 100 peratus. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki dengan pancutan dari sumber air dari tangki jentera Bomba dan Water Tanker,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, api berjaya dikawal daripada terus merebak dan setakat ini tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. “Operasi masih diteruskan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X
February 18, 2026
Info X Reporters
Kebakaran kedai gemparkan Beverly Hills
PENAMPANG: Orang ramai di sekitar Beverly Hills, Jalan Bundusan, di sini dikejutkan dengan kejadian kebakaran membabitkan satu lot kedai yang menempatkan pejabat, malam tadi. Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, api dilaporkan marak di bahagian tingkat dua bangunan jenis kekal sebelum orang awam menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Zeno Tinggalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.51 malam sebelum jentera pertama tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian. “Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan satu lot kedai dan api telah merebak kira-kira 70 peratus di bahagian tingkat dua bangunan berkenaan. “Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dua pancutan sepanjang kira-kira 61 meter dengan sumber air daripada tangki jentera serta bantuan water tanker,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam ini. Menurutnya, seramai 29 anggota membabitkan BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu dan BBP Putatan digerakkan ke lokasi bersama beberapa jentera termasuk FRT, tanker, EMRS dan CFRT bagi mengawal serta memadam kebakaran. “Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.22 malam dan operasi ditamatkan pada jam 10.28 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain wujud di lokasi kejadian. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya. Turut membantu di lokasi ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM). – Info X
February 18, 2026
Info X Reporters
Lapan termasuk dua wanita positif dadah ditahan di pusat hiburan
KOTA KINABALU: Seramai lapan individu termasuk dua wanita ditahan selepas didapati positif dadah jenis ketamin dalam operasi bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Penampang, awal pagi tadi. Dalam operasi kira-kira jam 2 pagi itu, pasukan JSJN menjalankan pemeriksaan di dua pusat hiburan sekitar Kota Kinabalu dan Penampang. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, seramai 32 individu diperiksa dan lapan daripadanya didapati positif ketamin hasil ujian saringan awal air kencing. “Semua yang ditahan membabitkan enam lelaki dan dua wanita berusia antara 23 hingga 41 tahun. “Mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, hasil soal siasat awal mendapati sebahagian suspek mengaku mengambil dadah jenis ketamin. “Manakala seorang wanita pula mengaku meminum minuman yang dipercayai mengandungi dadah,” katanya. Beliau berkata, tiada rampasan dadah dilaporkan dalam operasi berkenaan. Bagaimanapun, katanya risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan pusat hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah. – Info X
February 18, 2026
Info X Reporters
Ramadan pertama dalam duka, lima rumah musnah terbakar
KOTA KINABALU: Di sebalik kemeriahan Ramadan yang bakal disambut malam ini dengan solat tarawih pertama, dua keluarga di Kampung Tanjung Aru Baru hanya mampu memandang kosong sisa arang yang suatu ketika dulu menjadi tempat mereka berteduh. Keterujaan menyambut bulan penuh rahmat itu bertukar menjadi detik paling menyayat hati apabila rumah mereka antara lima yang musnah dalam kebakaran, petang tadi. Bagi Sadiah Abdulah, 42, yang juga ibu tunggal, Ramadan tahun ini hadir dalam suasana yang tidak pernah dibayangkan. Katanya, ketika api marak memusnahkan rumahnya, dia sedang bertugas sebagai pengawal keselamatan di Kota Kinabalu sebelum menerima panggilan cemas daripada anak lelakinya berusia 15 tahun. “Waktu itu empat anak saya ada di rumah. Bila sampai, rumah sudah habis terbakar. Tidak ada apa yang tinggal… cuma beberapa dokumen dan pakaian saja,” katanya sambil menahan sebak. Sadiah kini bersama anak-anaknya berusia 15, 14, 13 dan 12 tahun berlindung sementara di Balai Raya Kampung Tanjung Aru. “Tahun ini kami sambut Ramadan ala kadar saja. Mahu sediakan sahur pun tak ada apa. Semua sudah musnah,” katanya perlahan. Seorang lagi mangsa, Basri Nasir, 39, yang bekerja sebagai penghantar makanan, berkata dia sedang berehat selepas bekerja sebelum terdengar jeritan orang ramai memaklumkan kebakaran. “Kami cuma sempat capai dokumen dan beberapa pakaian sebelum keluar. Semua persiapan sahur esok habis terbakar, termasuk peralatan dapur,” katanya. Sementara itu, Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Hannis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.54 petang membabitkan kebakaran lima rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya. Katanya, seramai 23 anggota BBP Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira tiga kilometer dari balai dan tiba empat minit kemudian. “Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan air daripada tangki jentera sebelum api berjaya dikawal pada jam 3.25 petang. “Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. Menurutnya, proses overhaul sedang dijalankan dan punca kebakaran masih dalam siasatan. Operasi turut dibantu BBP Putatan, APM, PDRM, Sabah Electricity serta Bomba Komuniti Tanjung Aru. – Info X
February 18, 2026
Info X Reporters
Polis kerah 45 pegawai, anggota sepanjang Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina
KOTA KINABALU: Seramai 45 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu ditugaskan sepanjang Op Selamat 25/2026 sempena sambutan Tahun Baharu Cina. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, operasi itu dilaksanakan selama enam hari bermula 15 hingga 20 Februari ini dengan slogan ‘Selamat Sampai Ke Destinasi’ berikutan peningkatan pergerakan kenderaan sepanjang musim perayaan. “Fokus utama operasi merangkumi tiga aspek iaitu keselamatan jalan raya, kawalan lalu lintas dan pencegahan jenayah pecah rumah. “Dalam tempoh dua hari pertama operasi, statistik menunjukkan peningkatan kemalangan sebanyak 31 peratus berbanding tahun lalu dengan 18 kes direkodkan,” katanya pada sidang media Op Selamat 25/2026, di Jalan Lintas berhadapan RTM Kota Kinabalu, di sini, hari ini. Menurutnya, pihak polis akan meningkatkan rondaan dan penugasan anggota di kawasan dikenal pasti sebagai lokasi kerap kemalangan (blackspot) serta kawasan tumpuan kesesakan (hotspot). Antara 11 kawasan hotspot kesesakan dikenal pasti ialah KM1 Lampu Isyarat Kemajuan, Jalan KK Bypass (Bulatan Capitol), Bulatan Wakiki Tanjung Aru, Lampu Isyarat Foh Sang, Jalan Bukit Padang, Bulatan Kelapa Bakar, Flyover Yayasan Sabah, Bulatan Masjid Bandaraya, Flyover Menggatal Bypass, pusingan U City Mall Tuaran Bypass dan Lampu Isyarat Pahlawan Jalan Kepayan. Bagi kawasan blackspot pula, 12 lokasi dikenal pasti termasuk Jalan Kepayan Aeropod, Lampu Isyarat Metrotown dan Iramanis di Jalan Lintas, Tuaran Bypass berhampiran KFC Darau, Jalan Tuaran Lama Inanam dan Menggatal, Jalan Sepanggar Taman Jaya Diri, Indah Permai bawah flyover, Jalan UMS, Jalan Tun Fuad Stephen serta Jalan Lintas hadapan OUM. Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap kesalahan utama yang menyumbang kepada kemalangan seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat, menggunakan telefon bimbit ketika memandu serta memandu di bawah pengaruh alkohol. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya merancang perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kesesakan serta risiko kemalangan. “Dalam masa sama, rondaan cegah jenayah akan dipertingkatkan di kawasan perumahan dan komersial bagi mencegah kes pecah rumah sepanjang musim perayaan. “Orang ramai yang pulang ke kampung digalakkan memaklumkan kepada balai polis berhampiran atau mengisi Borang Makluman Balik Kampung bagi memudahkan pemantauan. “Sebarang maklumat atau kecemasan boleh disalurkan ke Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222,” katanya. Syed Lot berkata, keselamatan adalah tanggungjawab bersama dan kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan sambutan Tahun Baharu Cina diraikan dalam suasana aman dan selamat. – Info X
February 18, 2026
Info X Reporters
Wanita dikerat: Dua lagi anggota badan masih dicari
KOTA KINABALU: Siasatan kes pembunuhan wanita yang mayatnya dikerat masih berjalan, termasuk usaha mencari dua lagi anggota badan mangsa yang belum ditemui. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, setakat ini tiada perkembangan baharu dapat didedahkan kerana siasatan masih di peringkat awal dan belum lengkap sepenuhnya. “Kes masih dalam proses siasatan. Kita belum boleh dedahkan semua butiran lagi. “Kertas siasatan akan dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas semua hasil siasatan diperoleh,” katanya kepada media, hari ini. Beliau berkata demikian selepas Majlis Op Selamat 25/2026 di Jalan Lintas, di sini, hari ini. Menurutnya, tempoh reman terhadap tiga anak suspek utama adalah bergantung kepada keperluan siasatan semasa dan dilakukan mengikut prosedur ditetapkan. Beliau berkata, pihaknya masih menunggu laporan penuh bedah siasat bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan. Mengulas mengenai dua lagi anggota badan mangsa yang belum ditemui, Syed Lot berkata, suspek ada memaklumkan lokasi pembuangan kepada polis. “Ya, kita tahu lokasinya, namun pencarian masih dijalankan dan butiran tidak boleh didedahkan buat masa ini,” katanya. Operasi pencarian masih diteruskan walaupun sudah melebihi seminggu, bagi memastikan semua bukti penting dapat ditemukan bagi membantu siasatan lanjut. Terdahulu, kes itu menggemparkan penduduk apabila beberapa bahagian anggota badan wanita ditemui dalam tong sampah dan sekitar kawasan rumah kedai di Taman Indah Permai oleh pekerja lori sampah kira-kira jam 6.30 pagi, pada Khamis lalu. Susulan penemuan itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 71 tahun yang dipercayai suspek utama, sebelum tiga anaknya turut ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Info X