February 18, 2026
Info X Reporters
Tujuh rumah musnah, anggota bomba cedera terpijak paku
KINABATANGAN: Tujuh rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Pangkalan Bukit Garam, di sini, malam tadi, manakala seorang anggota bomba cedera ketika operasi memadam kebakaran. Kebakaran membabitkan deretan rumah dua tingkat dan satu tingkat dengan enam daripadanya terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi musnah kira-kira 20 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 malam sebelum seramai 17 anggota bersama tiga jentera segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 10 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi jam 10.21 malam, didapati kebakaran membabitkan tujuh rumah tidak kekal dengan api marak. “Turut terlibat sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan air daripada jentera, pili bomba dan sumber air sungai. “Kebakaran berjaya dikawal pada jam 11.20 malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.40 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain. “Pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan 10 rumah berhampiran daripada turut terbakar,” katanya. Bagaimanapun, katanya seorang anggota bomba cedera di kaki kiri akibat terpijak paku ketika operasi. “Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menaiki kenderaan utiliti untuk rawatan lanjut. “Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan pihak bomba,” katanya. Operasi turut dibantu 14 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), dua petugas Sabah Electricity (SE) dan empat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). – Info X
February 18, 2026
Info X Reporters
Lima sekeluarga cedera, kenderaan jatuh gaung
KOTA BELUD: Lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 15 meter di Kampung Pituru Laut, di sini, malam tadi. Dalam kejadian itu, kenderaan jenis Isuzu D-Max berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri dan masuk ke dalam gaung. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.01 malam. Susulan itu, katanya seramai lapan anggota bersama satu jentera FRT dan satu unit EMRS segera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai. “Sebaik tiba di lokasi pada jam 8.33 malam, didapati kemalangan membabitkan sebuah Isuzu D-Max yang terbabas sendiri dan masuk ke dalam gaung sedalam 15 meter. “Semua lima mangsa bagaimanapun berjaya dikeluarkan dan dibawa naik ke atas jalan raya oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. Menurutnya, mangsa terdiri daripada seorang wanita berusia 40 tahun, lelaki 44 tahun serta tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia empat, tujuh dan 10 tahun. “Semua mangsa mengalami kecederaan dan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS bomba di lokasi kejadian sebelum dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk rawatan lanjut. “Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 9.07 malam,” katanya. Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Rano Godol dengan bantuan dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Info X
February 17, 2026
Info X Reporters
APMM gagalkan seludup 540 karton minuman keras bernilai hampir RM200,000
LABUAN: Cubaan menyeludup 540 karton minuman keras berjenama bernilai hampir RM200,000 gagal apabila dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Labuan dalam operasi di perairan Labuan, semalam. Dalam kejadian jam 8.15 malam itu, tiga bot mencurigakan dikesan 0.4 batu nautika tenggara Pulau Papan ketika rondaan Op Sejahtera 1/2022 dan Op Tiris 3.0 dijalankan. Pengarah APMM Zon Maritim Labuan, Izwanhadi Idros berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot-bot terbabit bertindak memecut laju bagi melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar. “Bot Petir 90 yang menjalankan rondaan berjaya mengesan tiga bot mencurigakan di lokasi berkenaan. “Ketika dihampiri, kesemua bot cuba melarikan diri. Dua daripadanya berpatah balik ke kawasan Methanol Labuan, manakala sebuah lagi tersadai di Pulau Balangkasan selepas dipercayai suspek melompat dan melarikan diri ke pulau itu,” katanya dalam kenyataan, malam ini. Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemukan muatan sarat dengan minuman keras dipercayai tidak bercukai. “Sebanyak 540 karton minuman keras berjenama dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM200,000. “Bagaimanapun, tiada suspek berjaya ditahan selepas rondaan dilakukan di sekitar pulau berkenaan,” katanya. Izwanhadi berkata, bot bersama muatan rampasan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut undang-undang penyeludupan serta peraturan kastam yang berkuat kuasa. “APMM akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi mengekang aktiviti penyeludupan di perairan negara. “Orang ramai khususnya komuniti maritim diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan di laut melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X
February 17, 2026
Info X Reporters
Tiga peniaga dikenakan tindakan dalam operasi bersepadu KPDN, KKM dan MDK
KUNAK: Tiga peniaga dikenakan tindakan undang-undang dalam Operasi Bersepadu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Semporna bersama Bahagian Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Daerah Kunak (MDK), hari ini. Operasi yang dilaksanakan susulan aduan pengguna itu bertujuan memastikan pematuhan undang-undang perdagangan serta peraturan kesihatan di premis sekitar daerah ini. Seramai lima pegawai KPDN, sembilan pegawai KKM dan enam pegawai MDK terbabit dalam operasi berkenaan dengan pemeriksaan tertumpu kepada pasar raya, kedai runcit, restoran serta stesen minyak. Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata, hasil pemeriksaan mendapati tiga peniaga melakukan kesalahan di bawah Akta Timbang Sukat 1972, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan 2011. “Dalam operasi sama, KKM turut mengeluarkan empat notis atas pelbagai kesalahan berkaitan peraturan kesihatan. “Manakala Majlis Daerah Kunak mengeluarkan dua kompaun terhadap premis yang gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau menegaskan KPDN akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang dan tidak melakukan penyelewengan terhadap barang kawalan atau manipulasi harga. “KPDN kekal komited memastikan kestabilan bekalan, pematuhan harga serta mewujudkan persekitaran perdagangan yang adil demi melindungi hak dan kesejahteraan pengguna,” katanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan boleh menyalurkannya melalui WhatsApp 019-279 4317 atau 019-848 8000, portal eAduan KPDN, talian 1-800-886 800, emel [email protected] serta aplikasi Ez ADU KPDN. Selain itu, aduan juga boleh dibuat dengan menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03-8882 6088 atau 03-8882 6245, atau hadir terus ke pejabat KPDN berhampiran. – Info X
February 17, 2026
Info X Reporters
Warga emas hilang ketika memukat, SAR masuk hari kedua
PAPAR: Seorang nelayan dilaporkan hilang selepas bot dinaikinya karam ketika menjalankan aktiviti memukat ikan di perairan Kampung Kuala, di sini, semalam. Mangsa dikenali sebagai Saimin Ongit, 60, yang sehingga kini masih belum ditemui walaupun operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari kedua hari ini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, Rozlan Osman berkata, operasi hari kedua dimulakan pada jam 6.45 pagi tadi dengan menggunakan bot aluminium milik pasukan bomba. Katanya, operasi pencarian diteruskan bersama agensi lain di sepanjang persisiran pantai dan kawasan perairan menggunakan bot secara menyeluruh. “Pada jam 12 tengah hari, boya berwarna oren milik bot yang karam ditemui terapung kira-kira 300 meter dari pesisir pantai sebagai petunjuk tambahan operasi. “Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) terpaksa ditangguhkan pada jam 6 petang atas faktor keselamatan dan akan disambung semula pada keesokan pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Terdahulu, dalam kejadian semalam, mangsa bersama rakannya, Primus Ujim, 52, dilaporkan karam ketika memukat ikan. Bagaimanapun, Primus berjaya ditemui dalam keadaan selamat, manakala Saimin masih belum dijumpai sehingga kini. – Info X
February 17, 2026
Info X Reporters
Balai Cerap Al-Biruni jadi pusat pendidikan falak dan penyelidikan
PUTATAN: Balai Cerap Al-Biruni Tanjung Dumpil, di sini, bukan saja berfungsi sebagai lokasi rasmi cerapan hilal, malah memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan dan penyelidikan falak di Sabah. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata balai cerap itu berpotensi besar dibangunkan sebagai pusat pendidikan falak dan astronomi Islam yang lebih komprehensif. “Balai cerap ini juga boleh dibangunkan sebagai pusat penyelidikan yang berdaya saing dan berteknologi tinggi serta destinasi pelancongan ilmu (astro-tourism) yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri. “Bagi merealisasikan hasrat ini, aspek infrastruktur perlu dilengkapkan dengan kemudahan dan memenuhi standard yang sewajarnya. “Ini termasuklah penambahbaikan fasiliti cerapan, ruang pameran interaktif, dewan pembelajaran, kemudahan pengunjung dan akses yang lebih mesra pelancong. “Kerajaan negeri sedia membantu agar balai cerap ini mampu muncul sebagai antara ikon pelancongan ilmu di Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Pelancaran Rukyah Hilal Rasmi (Ramadan, Syawal dan Zulhijjah) Peringkat Negeri Sabah Tahun 1447H / 2026M, di sini, pada Selasa. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif. Hajiji yakin dengan perancangan yang strategik dan kerjasama daripada pelbagai pihak, balai cerap itu bukan saja menjadi kebanggaan umat Islam, bahkan menjadi kebanggaan seluruh rakyat Sabah. “Semoga generasi muda yang hadir pada hari ini dapat melihat bahawa bidang falak dan astronomi mempunyai ruang yang luas untuk diterokai, dan mampu menjadi satu kerjaya yang menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara” katanya. Katanya, majlis yang berkait rapat dengan ibadah umat Islam itu bukan saja mempunyai nilai spiritual yang tinggi, malah mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan urusan agama Islam diurus dengan penuh tanggungjawab, profesional dan berintegriti. – Info X
February 17, 2026
Info X Reporters
Lebih 10,000 hadir rumah terbuka Tahun Baharu Cina
KOTA KINABALU: Lebih 10,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Selasa. Majlis itu diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri Toh Puan Faridah Tussin bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor. Tun Musa dan Hajiji yang ditemani Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Arifin kemudian memimpin upacara memukul gendang bagi menandakan pembukaan rumah terbuka itu. Tun Musa dan Hajiji serta tetamu jemputan lain turut melakukan acara tradisi Tahun Baharu Cina menggaul Yee Sang. Tetamu dihiburkan dengan pelbagai persembahan daripada artis tempatan dan kumpulan tarian. – Info X
February 17, 2026
Info X Reporters
Jangan takut guna teknologi digital, AI – Aliakbar
KOTA KINABALU: Ketakutan terhadap perkara berkaitan dalam talian, teknologi digital, aplikasi pintar, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan platform seperti ChatGPT, perlu diketepikan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr Aliakbar Gulasan, berkata ini kerana semua itu kini menjadi realiti, bukan lagi fantasi. “Kalau dulu kita takut dengan perkara digital, hari ini kita tidak boleh takut lagi. Kita mesti bermesra dengan cara ini kerana kita mahu runtuhkan tembok ketakutan dan kerisauan terhadap dunia realiti digital,” katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemasaran Digital Usahawan Sabah 2026, di HAS Hotel Kingfisher, di sini, baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengerusi Pertubuhan Kasih Hawa Negeri Sabah (Kasih Hawa), Rasina Abu; Pengerusi NGO Persatuan Suri Cinta Ilmu Kota Kinabalu (SURI), Norhazimah Samsuddin dan IT Trainer & Consultant, Azhar Ramali. Program itu dihadiri hampir 100 usahawan dari seluruh negeri. Aliakbar menekankan transformasi digital masa kini menuntut usahawan agar berani melangkah keluar daripada zon selesa dan mendepani realiti baharu berasaskan teknologi. Jelasnya, dalam dunia perniagaan hari ini, aktiviti pemasaran boleh dilakukan seawal hari pertama operasi kedai, asalkan peniaga bersedia untuk berjinak-jinak dan mesra dengan sistem digital yang ada. “Dunia sekarang ini, kita kena mesra kepada sistem yang berasaskan digital. Apa pun kita tidak boleh nafikan, hanya dengan telefon pintar dan aplikasi tertentu, kita sudah boleh sampai ke mana-mana,” katanya. Tambahnya, kejayaan usahawan digital seperti Khairul Aming membuktikan realiti baharu dunia perniagaan, apabila produk mampu habis terjual dalam tempoh beberapa minit hasil pemasaran digital yang berkesan. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada NGO Kasih Hawa dan NGO SURI atas inisiatif menganjurkan program tersebut yang bertujuan memperkasa ilmu dan kemahiran digital dalam kalangan usahawan. “Kita mempunyai iltizam yang sama, hasrat yang sama, kita sentiasa bincang apa lagi yang kita boleh bantu masyarakat selain daripada bakul makanan, baik kita bagi ilmu, supaya nanti peniaga ini pula yang akan mengeluarkan bakul makanan, saya rasa rantaian ini yang sangat penting untuk kita maju ke hadapan. “Apapun kejayaan kita, pasti bermula daripada kejayaan dan iltizam dalaman, jangan putus asa, cuba sekali mungkin tidak jadi, cuba lagi kali kedua tidak juga menjadi, mohon doa pada Allah Taala, buka sejadah dan solat hajat, mungkin ada benda yang kita kurang, kita baiki, kita muhasabah, kalau perlu bincang semula dengan pakar digital, pakar motivasi apalagi yang kurang, kita lengkapkan pakej,” katanya. – Info X