Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 9, 2026

BERNAMA

Inkues: Penilaian terhadap ibu Zara Qairina tidak diperlukan untuk autopsi psikologi

KOTA KINABALU: Pakar perunding psikiatri forensik Dr Chua Sze Hung pada Rabu memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa penilaian terhadap ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak perlu dilakukan dalam konteks dan rangka kerja autopsi psikologi. Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan untuk membantu mahkamah dalam menentukan punca dan cara kematian pelajar Tingkatan Satu itu, dengan autopsi psikologi menjadi pendekatan yang wajar digunakan. Dr Chua, yang dipanggil semula untuk memberi keterangan, menjelaskan bahawa penilaian terhadap ibu bapa mangsa bukanlah pengganti klinikal atau metodologi yang tepat bagi penilaian retrospektif keadaan mental remaja yang telah meninggal dunia. “Dalam psikiatri forensik, cubaan untuk menukar tempat kedua-duanya adalah kesilapan dari segi kategori. Satu ketidakpadanan klinikal yang bercampur aduk dengan dua subjek, garis masa dan realiti psikologi yang berlainan. Kedua-duanya adalah subjek klinikal yang berbeza,” katanya di hadapan KoronerAmir Shah Amir Hassan ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Nahra Dollah. Beliau berkata penilaian terhadap ibu memfokus kepada keadaan klinikal semasa wanita itu dan bukannya menilai secara retrospektif keadaan mental si mati. Dr Chua, yang sebelum ini memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina pada April, berkata diagnosis psikiatri secara keratan rentas atau penentuan bahawa keadaan mental si ibu yang tidak mengalami sebarang gangguan mental ketika ini tidak banyak membantu dalam memahami beban gejala yang didepani remaja itu serta niat terakhirnya untuk membunuh diri. “Literasi forensik memberi amaran bahawa individu yang masih hidup dalam inkues kematian boleh menjadi pihak berkepentingan dan ingatan mereka mungkin dipengaruhi perasaan bersalah, marah atau rasa malu. “Diari ditulis oleh remaja itu sendiri, yang mendokumentasikan pelbagai kesulitan yang didepani, adalah data sebelum kematian paling penting dan tidak tercemar,” katanya. Dalam pada itu, beliau berkata penilaian psikiatri klinikal bukan bermaksud dilakukan secara retrospektif atau bagi menentukan cara kematian seseorang. “Saya berpegang kepada kesimpulan bahawa cara kematiannya adalah konsisten dengan bunuh diri. “Saya dengan rendah hati berhujah bahawa mahkamah berhak dan mempunyai bidang kuasa untuk menentukan cara kematian secara mutlak manakala pandangan saya kekal sebagai pendapat pakar berdasarkan imbangan kebarangkalian,” katanya. Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi. Prosiding inkues bersambung esok.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Sambutan Hari Malaysia peringkat Sabah diadakan di SICC 16 Sep Ini

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Malaysia ke-63 Peringkat Negeri Sabah 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini bermula pukul 8 malam, 16 Sept ini. Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan Datuk Jafry Ariffin berkata program dan persediaan operasi yang dimuktamadkan telah dibentangkan semasa melakukan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, hari ini. Jafry, yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata sambutan berkenaan bukan sekadar sambutan tahunan, tetapi juga sebagai platform penting untuk rakyat Malaysia menghargai sejarah pembentukan negara serta memperkukuh perpaduan, semangat patriotisme dan kebersamaan. “Sabah merupakan tempat yang amat penting dalam sejarah pembentukan Malaysia. Sambutan ini sepatutnya membuatkan kita mengingati perjuangan generasi terdahulu, sambil membaharui tekad untuk terus membina sebuah negara yang aman, progresif dan bersatu padu,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Musa kerana menerima kunjungan delegasi jawatankuasa dan berkongsi panduan, nasihat serta pandangan bagi memastikan acara berkenaan berjalan dengan lancar dan bermakna. Jafry berkata persediaan untuk acara peringkat negeri itu sedang diselaraskan secara aktif melalui kerjasama pelbagai agensi melibatkan semua kementerian, jabatan kerajaan dan agensi awam yang berkaitan. Beliau juga mempelawa seluruh rakyat Sabah untuk bersama-sama memeriahkan sambutan Hari Malaysia ke-63 itu sebagai ungkapan rasa cinta akan negeri dan negara, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Malaysia tawar bantuan kepada indonesia tangani kebakaran hutan, tanah

PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan oleh Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah serta mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata bantuan ditawarkan Malaysia merangkumi keupayaan pemadaman kebakaran dari udara termasuk operasi pengeboman air menggunakan helikopter, sokongan pemadaman menggunakan pesawat amfibia serta pelaksanaan operasi pembenihan awan. “Bentuk dan skop bantuan akan diperincikan bersama-sama pihak Indonesia berdasarkan keperluan serta kesesuaian keadaan di lapangan selain tertakluk kepada persetujuan kedua-dua kerajaan. “Keupayaan tersebut selaras dengan kesiapsiagaan bantuan yang telah dikenal pasti melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Meteorologi dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu. Arthur berkata beliau telah mengutuskan surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia Mohammad Jumhur Hidayat bagi menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan. Tawaran itu susulan perbincangan antara Arthur dan Mohammad Jumhur semasa pertemuan dua hala di Bali, Indonesia pada 8 Julai lepas dan juga panggilan telefon pada 24 Ogos. “Kedua-dua negara telah menyatakan komitmen untuk memperkukuh tindakan pencegahan dan pemadaman awal dalam menghadapi risiko kebakaran serta jerebu merentas sempadan, khususnya dalam keadaan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang meningkatkan risiko cuaca panas serta kering di rantau ini,” katanya. Penyelarasan pemberian bantuan akan dilaksanakan selaras dengan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang menggariskan bahawa negara anggota ASEAN boleh menawarkan bantuan tertakluk kepada permintaan dan persetujuan negara penerima. Sehubungan dengan itu, Arthur berkata Malaysia menghormati sepenuhnya kedaulatan Indonesia dan bersedia memperincikan bentuk, skop dan penyelarasan bantuan bersama-sama pihak berkuasa Indonesia sekiranya tawaran itu diterima. “Malaysia percaya cabaran kebakaran hutan, tanah dan jerebu merentas sempadan perlu ditangani melalui tindakan awal, koordinasi rapat serta semangat tanggungjawab bersama. “Justeru itu, kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia amat penting bagi menangani keadaan semasa serta memperkukuh kesiapsiagaan kedua-dua negara menghadapi risiko yang mungkin meningkat sepanjang tempoh cuaca panas dan kering,” katanya.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Sukan Asia: Rexy percaya emas dalam jangkauan Malaysia

KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky percaya skuad badminton negara mempunyai peluang untuk membawa pulang pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 Sept hingga 4 Okt ini. Namun, jurulatih kelahiran Indonesia itu tidak mahu meletakkan tekanan keterlaluan kepada pemain dan mengambil pendekatan realistik dengan menjadikan pingat perak dan gangsa sebagai sasaran awal skuad badminton negara. Rexy berkata keyakinannya antara lain disandarkan kepada gandingan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Aaron Chia-Tee Kai Wun, selain beregu wanita utama Pearly Tan-M. Thinaah serta beregu campuran Chen Tang Jie-Cheng Su Yin. “Memang sasaran kita harus realistik, iaitu perak dan gangsa. Namun daripada hati kecil saya, saya tetap percaya pemain saya mampu beri lebih daripada itu (pingat emas). “Siapa sahaja yang berada di sini pasti mahu kami memenangi emas,” katanya kepada pemberita selepas sesi lawatan Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) Mohamad Azlan Iskandar dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke venue latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini. Beliau berkata faktor undian bakal memainkan peranan penting, khususnya bagi pasangan yang tidak berada dalam kelompok pilihan teratas dan berkemungkinan berdepan pencabar utama lebih awal. “Kalau mereka dapat melepasi lawan-lawan sukar, peluang untuk mendapatkan pingat emas cukup besar. Kita harap apabila undian keluar nanti, perkara itu menjadi motivasi kepada pemain,” katanya. Mengulas persiapan skuad negara, Rexy berpuas hati dengan perkembangan semasa selepas Sze Fei-Nur Izzuddin serta beregu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mula menyertai sesi latihan. Beliau berkata beberapa perkara melibatkan pemain dan barisan kejurulatihan juga telah diperhalusi, manakala fokus minggu terakhir ialah memastikan kesihatan, tumpuan dan motivasi pemain berada pada tahap terbaik sebelum turun beraksi. Kali terakhir Malaysia meraih emas badminton Sukan Asia menerusi Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dalam beregu lelaki di Doha 2006, manakala pada edisi Hangzhou 2022, Aaron-Soh Wooi Yik membawa pulang gangsa. Badminton merupakan antara sukan berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen negara yang menyasarkan enam emas, tujuh perak dan 20 gangsa pada Aichi-Nagoya 2026.– BERNAMA

September 9, 2026

BERNAMA

Nahas helikopter: Kerajaan akan beri bantuan kepada keluarga mangsa – PM

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan segala bantuan dan sokongan diperlukan kepada keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang semalam. Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini. Anwar berkata beliau turut berdukacita menerima khabar nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) itu yang membawa empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang juruterbang. “Ingatan serta doa saya dan (isteri) Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) bersama keluarga kesemua mangsa yang sedang melalui detik yang begitu berat ini. “Moga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan. Saya mohon semua pihak memberikan ruang kepada ahli keluarga serta mengelakkan sebarang spekulasi sementara menanti maklumat sah daripada pihak berkuasa,” katanya. Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak. KKM dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi. Antara mangsa disahkan oleh keluarga ialah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 32. — BERNAMA

September 9, 2026

Info X Reporters

Proton Saga hilang kawalan, punca kemalangan empat maut

TELUPID: Kemalangan yang menyebabkan empat maut dalam kejadian di Kilometer 7, Telupid-Beluran, di sini disyaki akibat kereta Proton Saga yang hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh di kawasan berkenaan. Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Hasan Majid, berkata kereta itu dipandu lelaki tempatan berusia 63 tahun, manakala tiga lagi penumpang adalah warga asing yang dalam perjalanan dari arah Beluran ke Pekan Telupid dalam kejadian jam 6.30 pagi itu. Katanya, ketika melalui kawasan itu, pemandu kereta dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun. “Siasatan awal mendapati pemandu lori dalam perjalanan ke tempat kerja. “Pemandu lori cedera di kaki dan tangan, manakala empat mangsa mengalami kecederaan parah akibat tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan,” katanya di sini, hari ini. Hasan berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Beliau meminta saksi yang melihat kejadian itu dan mempunyai rakaman agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai berhampiran. – Info X

September 9, 2026

Info X Reporters

Sawah merekah akibat panas, pam rosak, 600 petani terjejas di Tambunan

TAMBUNAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa mengambil tindakan segera bagi membaiki pam air yang rosak sejak enam tahun lalu hingga menjejaskan sawah padi di Kampung Kiawayan dan sekitarnya. Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Datuk Victor P Paut, berkata kerosakan pam air itu menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan ke sawah, mengakibatkan tanaman padi terjejas, terutama ketika cuaca panas dan kering sekarang. Katanya, masalah itu bukan saja menjejaskan pesawah di kampung berkenaan, malah turut membabitkan kawasan sawah di Kampung Masak dan Kampung Silat, dengan lebih 600 petani terjejas. “Masalah ini sudah berlaku selama enam tahun dan terlalu lama untuk dibiarkan tanpa penyelesaian oleh pihak yang bertanggungjawab. “Kita dapat lihat sendiri keadaan sawah yang merekah dan kering akibat ketiadaan bekalan air hingga padipun musnah. “Justeru, saya berharap pihak berwajib, khususnya JPS, mengambil tindakan segera untuk mengenal pasti punca kerosakan pam, seterusnya memastikan sistem pengairan ini dapat berfungsi semula,” katanya ketika meninjau keadaan sawah padi di Kampung Kiawayan, di sini. Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera berkata, kawasan sawah yang terjejas dianggarkan melebihi 200 ekar dan menjadi sumber pendapatan utama penduduk yang bergantung kepada hasil tanaman padi. Katanya, beliau juga sudah menghubungi Pegawai JPS Tambunan dan dimaklumkan bahawa pegawai jurutera daerah akan turun padang bagi meninjau serta mengenal pasti masalah berkenaan. “Saya berharap perkara ini tidak berhenti setakat tinjauan sahaja, sebaliknya tindakan susulan wajib diambil dengan segera kerana petani di sini tidak boleh terus menunggu. “Sekiranya sawah tidak dapat diusahakan, mereka bukan sahaja kehilangan hasil tanaman, malah sumber pendapatan untuk menyara keluarga turut terjejas,” katanya. Beliau berkata, pesawah yang terjejas turut berharap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) dapat mengambil perhatian serta campur tangan dalam isu berkenaan, sekali gus membantu meningkatkan penanaman padi. Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Kiawayan yang juga salah seorang pesawah terjejas, Justin Itud, berkata penduduk sudah beberapa kali membuat laporan berhubung masalah sistem pengairan itu sebelum ini. Bagaimanapun, katanya sehingga kini pam berkenaan belum dibaiki, menyebabkan petani terpaksa bergantung kepada hujan untuk bekalan air ke sawah yang sudah tentu tidak mencukupi. “Sudah banyak kali laporan dibuat sebelum ini. Sekarang keadaan semakin teruk kerana cuaca panas dan tiada hujan. “Justeru kami harap perkara ini dapat perhatian serta tindakan segera diambil supaya pam dibaiki dan air dapat disalurkan semula ke sawah. Ini punca pendapatan kami sebagai petani. “Sudah banyak aduan kami hantar dan memohon tindakan sepanjang tempoh itu namun sehingga hari ini, belum ada tindakan diambil untuk mengatasi masalah pengairan ini,” katanya. Seorang pesawah dari Kampung Lalapakon, Harry Kimun, turut menyuarakan rayuan pesawah di kampungnya meminta supaya pihak berwajib segera mengambil langkah drastik bagi memulihkan sistem pengairan supaya penanaman dapat diteruskan mengikut jadual. – Info X

September 9, 2026

Info X Reporters

Empat maut dalam kemalangan kereta, lori

TELUPID: Empat maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lori di Jalan Telupid-Sandakan, di sini, hari ini. Identiti semua mangsa bagaimanapun belum diperolehi dengan kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 7.30 pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beluran, Nur Azlan Shah Jamaluddin, berkata pasukan bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu dan menghantar sepasukan tujuh anggota ke lokasi kejadian yang terletak 93 kilometer (km) dari balai. Katanya, keempat-empat mangsa dalam kereta Proton Saga dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan. “Pemandu lori cuma mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Telupid untuk menerima rawatan. “Tiada liputan telefon di lokasi kejadian dan maklumat semua mangsa belum diperolehi. Semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Nur Azlan berkata, operasi ditamatkan selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi berkenaan. – Info X