Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 30, 2026

Info X Reporters

SMJ 2.0 tumpu lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi – KM

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini melancarkan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026-2030, dengan sasaran untuk melonjakkan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata SMJ 2.0 adalah lanjutan dan kesinambungan SMJ 1.0 yang dilaksanakan pada penggal lalu dengan tumpuan terhadap pemulihan, penstabilan dan penyusunan semula selepas pandemik COVID19. “SMJ 2.0 bukan sekadar pelan pembangunan. Ia bukti komitmen kerajaan memimpin perubahan dalam dunia yang bergerak pantas, dipacu oleh kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, perdagangan rentas sempadan dan persaingan global. “SMJ 2.0 dirangka melalui libat urus menyeluruh membabitkan Kabinet Negeri, kementerian, pemain industri, golongan belia dan seluruh lapisan rakyat,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri dan Pelancaran SMJ 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat. Hajiji berkata, Belanjawan Negeri 2026 memperuntukkan RM12.02 bilion untuk membiayai 1,173 program dan projek pembangunan, menjadikannya yang tertinggi dalam sejarah Sabah, sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) dan aspirasi Malaysia MADANI. Katanya, pelan SMJ 2.0 juga disusun dan mematuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi memastikan pembangunan mampan dan kesejahteraan sosial. “SMJ 2.0 juga mengangkat komitmen dan manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), berpaksikan empat tonggak utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United. “Lima objektif pelan ini ialah membina masyarakat bersatu dan aman, mengoptimumkan hasil negeri, mempelbagaikan ekonomi, meningkatkan ekonomi rakyat dan membangunkan modal insan,” katanya. Beliau berkata, pelan itu digerakkan melalui tiga teras utama iaitu sektor pertumbuhan ekonomi yang memberi fokus kepadperindustrian, pelancongan dan pertanian; pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat, termasuk pendidikan, TVET, STEM, latihan pertanian dan digital serta jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau yang merangkumi infrastruktur asas, tenaga lestari dan alam sekitar. Ketiga-tiga teras itu, katanya disokong tumpuan kepada Ekonomi Biru, Pendigitalan AI dan Pembangunan Inklusif serta dipacu lima pemboleh daya utama iaitu kemampanan fiskal, kemudahan kewangan, keberkesanan perkhidmatan, tadbir urus berintegriti dan kerajaan digital. Menerusi sektor perindustrian, Hajiji berkata, Sabah berjaya menarik pelaburan puluhan bilion ringgit, termasuk projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas (SOGIP), Sipitang yang dijangka mewujudkan 10,000 pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh rantaian bekalan industri keluli di Sabah. Selain itu katanya, kerajaan akan mempercepatkan pembangunan dan naik taraf taman perindustrian strategik di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), SOGIP dan Industri Berkelompok Kelapa Sawit (POIC) Lahad Datu, di samping merangka Pelan Induk Perindustrian Kudat untuk Ekonomi Biru, manakala dua taman industri baharu di Kota Belud-KotaMarudu dan Beaufort-Kimanis dirancang bagi memperluas peluang pembangunan wilayah. Beliau berkata, sektor pelancongan Sabah menunjukkan pemulihan yang amat memberangsangkan, dengan hampir 10 juta pelancong direkodkan dalam tempoh lima tahun lalu. Katanya, seiring Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Visit Sabah Year 2027, kerajaan menumpukan pelancongan berkualiti tinggi, produk premium, acara antarabangsa dan piawaian perkhidmatan global termasuk ASEAN Tourism Standard menjelang 2030. “Pemeliharaan warisan, budaya dan alam sekitar juga diberi perhatian melalui pembangunan Pusat Kebudayaan Kinarut, Majlis Seni Negeri Sabah, tapak Warisan Dunia UNESCO dan Taman Teluk Darvel, dengan peruntukan RM444.69 juta di bawah RMKe-13,” katanya. Hajiji berkata, sektor pertanian pula kekal sebagai teras strategik SMJ 2.0, merangkumi tanaman, ternakan dan perikanan dengan peruntukan RM580.45 juta di bawah RMKe-13. “Sasaran tahap sara diri (SSL) beras meningkat daripada 30 peratus kepada 60 peratus menjelang 2030 melalui Program Revolusi Padi di enam daerah, penyediaan jentera moden bernilai RM15 juta dan pembangunan Sabah Agricultural Biotechnology Centre (SABTeC) di Tuaran. “Sub sektor ternakan menyasarkan 25 peratus SSL ruminan menjelang 2030 melalui Program Perladangan Kontrak, manakala perikanan dipacu melalui Ekonomi Biru Sabah dengan peningkatan pendaratan ikan, pelabuhan dan pembangunan rantaian hiliran,” katanya. Info X

January 30, 2026

Info X Reporters

Curi kabel, lelaki ditahan selepas rempuh premis di Penampang

PENAMPANG: Seorang lelaki tempatan yang disyaki mencuri kabel syarikat telekomunikasi ditahan polis di Jalan Yue Min, Donggongon, di sini, petang Khamis. Penahanan dibuat selepas kenderaan dipandu suspek berusia 30 tahun terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan ketika cuba melarikan diri daripada polis. Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintenden Erwansyah Abdul Basir berkata, sepasukan Unit Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Penampang mengesan sebuah kenderaan mencurigakan susulan maklumat awam yang diterima. Menurutnya, kenderaan berkenaan dikesan untuk tujuan pemeriksaan lanjut, namun pemandu enggan berhenti sebelum memecut laju dari kawasan Kobusak menuju ke Bundusan. “Kenderaan suspek kemudian hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah premis perniagaan di Jalan Yue Min. “Suspek keluar dari kenderaan dan cuba melarikan diri dengan berjalan kaki, namun berjaya ditahan oleh anggota polis tidak jauh dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut di dalam kenderaan menemukan segulung kabel wayar tembaga yang dipercayai dicuri, selain sebuah bateri kenderaan, manakala kenderaan yang digunakan turut dirampas bagi membantu siasatan. Menurutnya, siasatan awal mendapati semua barangan yang dirampas mempunyai kaitan dengan kes kecurian kabel telekomunikasi di kawasan sekitar Donggongon. “Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai kesalahan berkaitan dadah dan hasil ujian saringan air kencing turut mengesahkan lelaki itu positif dadah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam, selain Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas. “Kes dadah pula disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Erwansyah menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah kecurian kabel yang bukan sahaja menyebabkan kerugian, malah menjejaskan kemudahan awam serta perkhidmatan telekomunikasi. “Tindakan tegas dan operasi pencegahan akan terus dipergiat. “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau jenayah lain diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. – Info X

January 30, 2026

Info X Reporters

Lapan kenderaan musnah garaj terbakar di Tuaran

TUARAN: Sebanyak lapan kenderaan termasuk motosikal musnah dalam kebakaran sebuah garaj di Kampung Lok Batik, di sini, awal pagi tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.46 pagi sebelum sepasukan anggota dari BBP Tuaran digerakkan ke lokasi. Katanya, jentera pertama tiba pada jam 4.56 pagi selepas menempuh jarak kira-kira tujuh kilometer. “Kebakaran melibatkan sebuah garaj berkeluasan kira-kira 56 meter persegi dan struktur garaj terbakar 100 peratus. “Turut musnah dalam kejadian ini ialah enam kereta dan dua motosikal yang berada dalam garaj berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, api didapati marak dengan cepat berikutan binaan tidak kekal serta bahan mudah terbakar di dalam premis berkenaan. “Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan dan sumber air diperoleh daripada tangki jentera serta bantuan tangki air. “Operasi terkawal pada jam 5.15 pagi dan anggota kemudian menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada punca api tersembunyi yang boleh mencetuskan kebakaran semula,” katanya. Beliau berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.19 pagi selepas kawasan disahkan selamat dan tiada mangsa dilaporkan cedera atau terperangkap dalam insiden ini. – Info X

January 29, 2026

Info X Reporters

JPN Sabah tahan dua wanita beri maklumat palsu permohonan kad pengenalan

TAWAU: Taktik memalsukan maklumat bagi mendapatkan dokumen pengenalan diri terbongkar apabila dua wanita ditahan dalam dua kes berasingan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah, di sini, pada Selasa. Dalam tangkapan pertama, seorang wanita tempatan ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika hadir di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Tawau. Menerusi hantaran di Facebook (FB) rasmi JPN Sabah, hari ini suspek dipercayai bertindak sebagai pemohon dan mengemukakan maklumat palsu bagi permohonan Daftar Lewat Kad Pengenalan. “Siasatan awal mendapati suspek cuba memperdaya pegawai bertugas dengan mengemukakan butiran tidak benar, namun tindakannya berjaya dihidu hasil penelitian rapi pegawai JPN sebelum penahanan dibuat di lokasi sama. “Dalam tangkapan kedua pula, seorang wanita warga emas telah ditahan pada jam kira-kira 2.00 petang di lokasi yang sama,” kata kenyataan itu. Menurutnya, warga emas itu dipercayai telah memberikan maklumat palsu sebagai penganjur yang mengaku sebagai ibu semasa permohonan kad pengenalan yang dibuat di Jabatan Pendaftaran Negara Daerah Kinabatangan. “Kedua-dua kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tiga (3) tahun, atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. “JPN Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam memperkukuh integriti sistem pendaftaran negara serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pemalsuan maklumat atau penipuan dokumen rasmi, demi menjaga keselamatan dan kedaulatan sistem pengenalan diri negara,” katanya. – Info X

January 29, 2026

Info X Reporters

Bayi antara tiga tersepit dua lori bertembung

KOTA BELUD: Tiga termasuk seorang bayi dilaporkan tersepit di kabin lori dalam kejadian kemalangan melibatkan dua lori di Kampung Lebak Moyoh, di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 5.15 pagi itu, ketiga-tiga mangsa warga asing berusia 3 bulan hingga 35 tahun dilaporkan mengalami kecederaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.29 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 2 kilometer untuk membantu. “Kemalangan melibatkan sebuah lori 3.5 tan milik syarikat yang membawa muatan barangan runcit dan sebuah lori Isuzu 2 tan membawa muatan besi buruk. “Terdapat tiga mangsa berada di dalam lori Isuzu 2 tan mengalami kecederaan akibat tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pasukan Bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, semua mangsa dihantar ke Hospital Kota Belud menggunakan Ambulans untuk rawatan lanjut. Manakala katanya, pemandu dan kelindan lori kedua dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. “Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.06 pagi,” katanya. – Info X

January 29, 2026

Info X Reporters

GAHMUDA bantu rakyat ditimpa bencana bakal dilancar

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menubuhkan sebuah sekretariat atau badan sukarela yang akan bertindak sebagai pasukan barisan hadapan membantu masyarakat. Pemangku ketuanya, Azrul Ibrahim, berkata badan sukarela dikenali sebagai Gagah Muda atau ringkasnya GAHMUDA itu akan dilancarkan selepas sambutan Aidilfitri, Mac depan. Katanya, GAHMUDA bersifat terbuka yang bukan saja dianggotai ahli Gagasan Rakyat, malah sesiapa saja tanpa mengira latar belakang politik atau bersifat non partisan. “GAHMUDA ini untuk kita mewujudkan taskforce sukarela yang dianggotai ahli parti dan non partisan, semua boleh menyertainya. “Kita mahu anak muda menyertainya dan mengangkat kebersamaan dalam konteks sukarelawan,” katanya pada sinfang media selepas mesyuarat pergerakan itu, di sini, pada Khamis. Beliau berkata anggota GAHMUDA akan digerakkan sebagai barisan hadapan bagi membantu masyarakat dalam kes bencana seperti banjir, kebakaran dan kes lain yang memerlukan bantuan seperti pengurusan jenazah. Katanya, penubuhan GAHMUDA adalah satu inisiatif bagi menggalak dan memperkasa agwnda kesukarelawanan dan mendekati rakyat di petingkat akar umbi. – Info X

January 29, 2026

Info X Reporters

Sokongan masyarakat Cina kembali kepada GRS – Azrul

KOTA KINABALU: Sokongan masyarakat Cina dilihat beralih kepada kerajaan yang memerintah negeri ini selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). Pemangku Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim, berkata walaupun pengundi Cina dilihat memilih parti pembangkang pada PRN17, dapatan kaji selidik mendapati mereka meletakkan harapan kepada kerajaan diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Beliau berkata, pengundi Cina hanya menolak calon mewakili parti nasional yang bekerjasama dengan GRS untuk bertanding di kawasan majoriti pengundi Cina pada PRN17 dan memilih parti tempatan disebabkan sentimen tempatan yang kuat pada pilihan raya itu. “Kita tiada dapatan khusus berkaitan unjuran pengundi Cina pada pilihan raya itu, tapi GRS tidak bertanding di kawasan ramai pengundi Cina, sebaliknya ia diserahkan kepada rakan dari Pakatan Harapan (PH). “Tapi, pandangan pihak tertentu yang membuat kajian mengenai sokongan masyarakat Cina mendapati, pengundi Cina sebenarnya memberi harapan kepada GRS,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Pergerakan Pemuda Gagasan Rakyat, di sini, pada Khamis. Azrul berkata, masyarakat Cina melihat polisi dan dasar kerajaan GRS yang bersifat inklusif sebagai asas untuk menyatakan sokongan. “Antaranya pengiktirafan kerajaan Sabah terhadap Unified Examinations Certificate (UEC) yang dikeluarkan sekolah persendirian Cina di Sabah. “Malah setakat ini seramai 37 pelajar Cina yang mengambil sijil UEC di negeri ini mendapat bantuan biasiswa. Ini dilakukan kerana kerajaan melihat keperluan rakan kita dari masyarakat Cina. “Saya juga percaya perkara ini dapat dikembangkan dalam sektor yang lain dan saya yakin sokongan masyarakat Cina terhadap GRS akan terus meningkat selepas ini,” katanya. Keputusan PRN17 Sabah pada 29 November lalu menyaksikan tujuh kawasan ramai pengundi Cina yang sebelum ini dikuasai DAP dan PKR jatuh ke tangan Parti Warisan. Kerusi terbabit ialah Api-Api, Luyang, Likas, Inanam dan Kapayan di Kota Kinabalu serta Penampang, manakala Karamunting dan Tanjung Papat di Sandakan. Warisan turut mempertahankan tiga kerusi ditandingi calon Cina iaitu Tanjung Aru, Sri Tanjong dan Elopura. GRS tidak bertanding di kerusi terbabit kerana diserahkan kepada rakan kerjasama dari PH iaitu DAP dan PKR. – Info X

January 28, 2026

Info X Reporters

Harga rendah jadi umpan, penipuan atas talian rugikan mangsa RM35,000

KOTA MARUDU: Polis mengesan peningkatan kes penipuan jual beli kereta, motosikal serta pelaburan atas talian yang tidak wujud menerusi aplikasi Facebook Marketplace, dengan jumlah kerugian direkodkan melebihi RM35,000 di daerah ini. Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintenden Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima beberapa laporan berkaitan penipuan pembelian atas talian yang membabitkan urus niaga kenderaan, pelaburan dan barangan tidak wujud, dipercayai dilakukan oleh individu atau pihak tidak bertanggungjawab. “Rekod Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Kota Marudu menunjukkan mangsa terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada penjawat awam atau orang awam, dengan kebanyakan laporan diterima daripada penduduk daerah Pitas. “Hasil siasatan awal mendapati suspek mengiklankan barangan atau kenderaan pada harga terlalu murah bagi menarik minat mangsa sebelum menghubungi mereka melalui WhatsApp atau Facebook Messenger,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mangsa kemudiannya diarahkan membuat bayaran ke akaun bank tertentu atas pelbagai alasan seperti deposit tempahan, insurans, kos penghantaran atau cukai. “Bagaimanapun, selepas bayaran dibuat, suspek gagal dihubungi, semua bentuk komunikasi terputus dan iklan yang disiarkan turut dipadamkan,” katanya. Sehubungan itu, Simiun menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika menjalankan urusan atas talian dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga yang terlalu rendah berbanding pasaran. Beliau turut menggesa orang ramai membuat semakan latar belakang penjual serta mengelakkan sebarang bayaran awal tanpa pengesahan yang sah. “Orang ramai diminta segera tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa penipuan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” katanya. – Info X