Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 23, 2026

Info X Reporters

Sabah bakal dijadikan pusat Darul Ifta serantau

KAHERAH: Sabah berpotensi besar untuk dijadikan pusat rujukan Darul Ifta di peringkat serantau susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Sabah dan Darul Ifta Mesir, sekali gus memperkukuh kerjasama dalam bidang kefatwaan, penyelidikan serta latihan keilmuan Islam. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah merangkap Exco Agama negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, satu Jawatankuasa Pelaksanaan MoU akan diwujudkan segera bagi memastikan kerjasama yang dimeterai dapat dilaksanakan secara tersusun dan berkesan. “Antara fokus utama kerjasama strategik itu ialah penganjuran program dan kursus kefatwaan khusus untuk mahasiswa Sabah yang sedang melanjutkan pengajian di Mesir, terutama di Universiti al-Azhar. “Kita sedang mencari pendekatan terbaik supaya pelajar Sabah yang menuntut di Universiti al-Azhar, Kaherah dapat menamatkan pengajian mereka dengan memperoleh dua kelayakan, iaitu ijazah akademik bersama sijil diploma kefatwaan,” katanya. Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU bersama Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir, Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad di Pejabat Darul Ifta, di sini, pada Khamis. Mohd Arifin berkata, penubuhan jawatankuasa bersama itu diyakini mampu merealisasikan Sabah sebagai pusat Darul Ifta bagi pelaksanaan program penyelidikan, latihan kefatwaan serta rujukan keilmuan Islam di peringkat serantau. “Pendekatan serta aliran pemikiran yang diamalkan Darul Ifta Mesir amat sesuai dengan konteks serantau, khususnya Malaysia, kerana berpaksikan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menekankan nilai wasatiyyah, toleransi, menghormati karamah insaniah serta menolak unsur ekstremisme. “Malah, kebanyakan mufti dan pegawai fatwa di negeri-negeri di Malaysia, termasuk beberapa negara ASEAN, pernah menjalani latihan kefatwaan selama beberapa bulan di Darul Ifta Mesir,” jelasnya. Sementara itu, beberapa pelajar Sabah yang sedang menuntut di Kaherah menyambut baik pemeteraian MoU berkenaan kerana ia dilihat mampu memperkasa ilmu dan kemahiran mereka. Selain itu, kerjasama berkenaan turut memberi nilai tambah kepada pengajian yang diikuti sebagai persediaan menghadapi cabaran masyarakat pada masa hadapan. – Info X

January 23, 2026

Info X Reporters

KM mahu lebih ramai anak Sabah sandang jawatan tinggi Persekutuan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berharap lebih ramai anak Sabah yang berkelayakan dapat menyandang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam Persekutuan, termasuk di Putrajaya. Beliau berkata, anak Sabah perlu bersikap lebih terbuka dan bersedia menerima penempatan di luar negeri ini, termasuk di negeri lain di Semenanjung bagi memastikan penyertaan yang lebih seimbang dalam pentadbiran Persekutuan. “Anak-anak Sabah yang berkelayakan perlu menolak stigma tidak mahu bertugas di luar Sabah. Banyak jawatan kosong dalam perkhidmatan Persekutuan ditawarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan dipohon oleh anak Sabah. “Apabila ditawarkan jawatan, termasuk jawatan tinggi, walaupun penempatan di Semenanjung, mereka perlu menerimanya supaya lebih ramai anak Sabah dapat berkhidmat dan menyumbang dalam jabatan Persekutuan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi SPA Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis. Hajiji berkata, penglibatan lebih ramai anak Sabah dalam perkhidmatan awam Persekutuan bukan saja membuka peluang pembangunan kerjaya, malah dapat memperkukuh kefahaman serta penyertaan rakyat Sabah dalam sistem pentadbiran negara secara menyeluruh. Sementara itu, Dr Ahmad Jailani dalam taklimatnya memaklumkan trend permohonan anak Sabah untuk menyertai perkhidmatan awam Persekutuan menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Beliau berkata, secara purata kira-kira 2,000 anak Sabah dilantik ke dalam perkhidmatan awam Persekutuan setiap tahun, khususnya untuk berkhidmat di negeri ini. Bagi memudahkan urusan pengambilan dan temu duga, katanya SPA akan membuka sebuah lagi pusat temu duga baharu di Sabah tahun ini, iaitu di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Keningau. “Ketika ini, pusat temu duga SPA di Sabah terletak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau,” katanya. Beliau turut memaklumkan Ketua Menteri mengenai pelaksanaan program ‘outreach’ SPA di Sabah, termasuk penglibatan dalam Kampung Angkat MADANI, selain jalinan kerjasama dan hubungan rapat yang berterusan di antara SPA Malaysia dan SPA Sabah. – Info X

January 23, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut kereta terbabas masuk lubang pembentungan

LAHAD DATU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar penghadang lalu terjatuh ke dalam lubang pembentungan di Jalan Pantai menghala ke Bandar Lahad Datu, pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Muhammad Almadi Hassan yang berada di bahagian penumpang kenderaan jenis Toyota Hilux disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu berusia 34 tahun dilaporkan mengalami kecederaan patah tangan. Kedua-dua mangsa didapati terperangkap di dalam lubang pembentungan (jacking pit) sedalam kira-kira tujuh meter dan selebar 6.5 meter yang sedang dalam proses pembinaan oleh Jabatan Pembentungan dan Saliran Sabah. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.04 pagi sebelum 14 anggota bersama beberapa jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira dua kilometer dari balai. “Pasukan tiba di lokasi pada jam 7.08 pagi dan mendapati sebuah kenderaan terbabas sendiri, melanggar penghadang sebelum terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang masih dalam pembinaan. “Terdapat dua mangsa terlibat dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan kedua-duanya menggunakan tali serta stretcher,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, mangsa penumpang disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala pemandu yang cedera dibawa ke hospital menaiki ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut. Katanya lagi, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan dan siasatan lanjut. “Operasi menyelamat turut dibantu agensi lain termasuk KKM dan PDRM sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.07 pagi. “Pasukan bomba turut memasang sawar keselamatan di lokasi kejadian bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya lain sebelum operasi ditamatkan,” katanya. – Info X

January 23, 2026

Info X Reporters

Piala Malaysia: Sabah terkeluar dari saingan selepas tewas di tangan Melaka

KOTA KINABALU: Prestasi Sabah FC dilihat semakin merosot berikutan kekalahan demi kekalahan dialami pasukan itu dalam kebanyakan perlawanan sejak kebelakangan ini. Terbaharu, skuad Sang Badak tewas 3-0 di tangan Melaka FC dalam perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia 2026 di Stadium Likas, malam tadi. Kekalahan itu menyebabkan Sabah terkeluar dari saingan Piala Malaysia musim ini, sekali gus beralih ke Piala Cabaran yang disertai pasukan kalah. Pada awalnya, Sang Badak dilihat mempunyai harapan yang baik setelah berjaya mengikat Melaka 2-2 ketika perlawanan pertama pusingan 16 pada 17 Januari lalu. Harapan untuk Sang Badak mencipta kemenangan ketika bermain di halaman sendiri itu ditambah lagi dengan kehadiran pemain import baharunya, Ernesto Amantegui Phumipha. Bekas pemain pertahanan Nakhon Pathom United FC yang bermain di Liga Thailand itu memulakan aksi sulung bersama tonggak sedia ada Sang Badak malam tadi. Bagaimanapun, Sabah gagal mendapat sebarang gol kecuali satu jaringan pada separuh masa pertama, namun dibatalkan. Sebaliknya pasukan pelawat meraih tiga gol setelah pemain tengah Sang Badak, Gary Steven Robbat dilayangkan kad merah pada awal babak kedua. Layangan kad itu menyebabkan Sabah terpaksa beraksi 10 pemain sepanjang separuh masa kedua dan ia dilihat sebagai kekurangan utama menyebabkan gawang tuan rumah bolos tiga kali akibat serangan pasukan lawan. Pengendali sementara Sabah FC, Alto Linus, berkata keputusan pengadil terhadap Gary itu menjadi antara faktor yang menjejaskan rentak permainan anak buahnya. Secara keseluruhan, katanya pemain mempamerkan semangat juang yang baik terutama pada separuh masa pertama ketika aksi perlawanan masih seimbang dengan jumlah pemain yang sama. “Pada separuh masa pertama, kita nampak momentum yang baik dan keseimbangan permainan. “Pemain menunjukkan semangat yang tinggi, namun apabila kita kekurangan seorang pemain, ia memberi kesan besar kepada rentak permainan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan, malam tadi. Jelasnya, aksi Sang Badak bermula dengan baik dan berjaya menjaringkan gol awal, namun jaringan itu dibatalkan, sekali gus menjejaskan momentum pasukan. “Pemain sudah bersedia dan cuba mendapatkan gol. Kita telah menjaringkan gol pada awal perlawanan tetapi dibatalkan dan itu sedikit sebanyak memberi kesan kepada psikologi serta tempo permainan,” katanya. Apa yang jelas, Sabah FC perlu bangkit selepas ini menerusi suntikan semangat yang dibawa barisan pengurusan baharu pasukan, termasuk pegawai tertingginya yang dikhabarkan bakal digantikan. Perubahan pengurusan kelab berkenaan juga diharap dapat menyelesaikan sebarang masalah dalaman jika perkara itu masih berlaku sebagai suntikan moral kepada pemain untuk kembali beraksi dengan cemerlang. – Info X

January 23, 2026

Info X Reporters

Singapura buka Pejabat Konsulat di KK

KOTA KINABALU: Pembukaan pejabat konsulat Singapura di Kota Kinabalu disifatkan sebagai perkembangan positif yang mampu mengukuhkan hubungan dua hala Sabah-Singapura. Sambil mengalu-alukan keputusan republik itu membuka pejabat konsulatnya di sini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pembukaan konsulat berkenaan mempunyai kepentingan strategik dari aspek ekonomi, diplomatik, pelaburan, perdagangan dan keselamatan di antara Sabah dan Singapura. Beliau yakin kehadiran konsulat Singapura di Sabah dapat memperluas kerjasama kedua-dua pihak, sekali gus membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan negeri. “Kerajaan Negeri mengalu-alukan pembukaan pejabat konsulat Singapura di Sabah pada tahun ini. Ia merupakan satu perkembangan positif yang mampu mengukuhkan lagi hubungan sedia ada di antara Sabah dan Singapura,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, TYT Vanu Gopala Menon, di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis. Hajiji berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan kehadiran pelabur dari Singapura untuk menerokai sektor berdaya saing di Sabah, selain menggalakkan lebih ramai pelancong dari negara itu berkunjung ke negeri ini. Sementara itu, Vanu Gopala Menon berkata Singapura akan membuka pejabat konsulat di Sabah dan Sarawak selepas memperoleh kelulusan Kerajaan Malaysia bulan lalu. Pada 4 Disember lalu, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, menyambut baik kelulusan rasmi Malaysia terhadap cadangan pembukaan konsulat Singapura di Sabah dan Sarawak, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam memperkukuh hubungan di antara kedua-dua negara. – Info X

January 23, 2026

Info X Reporters

62 PATI ditahan dalam Ops Sapu di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah terus mempergiat penguatkuasaan apabila seramai 62 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu yang dilaksanakan di sekitar bandar raya ini, kelmarin. Operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa, Unit Operasi JIM Sabah, dengan penglibatan 46 pegawai penguat kuasa, menyasarkan beberapa kawasan penempatan yang dikenal pasti menjadi tumpuan PATI. Menerusi kenyataan di Facebook rasmi Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah hari ini, seramai 140 individu diperiksa, sebelum 27 lelaki dan 35 perempuan warga asing ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan serta pas yang sah. Menurut kenyataan itu, tangkapan membabitkan 61 warganegara Filipina dan seorang warganegara Indonesia, yang disyaki melakukan kesalahan berada di negara ini tanpa kebenaran sah. Katanya, semua individu yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Tambahnya, operasi seumpama itu akan diteruskan secara berfokus dan berterusan sebagai komitmen membanteras kehadiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara. – Info X

January 22, 2026

Info X Reporters

Kenderaan dipintas polis, dua lelaki disyaki curi kabel Telekom

KOTA BELUD: Cubaan melarikan diri gagal apabila dua lelaki bukan warga tempatan disyaki mencuri kabel Telekom Malaysia (TM) dicekup polis di daerah ini, tengah hari tadi. Kejadian bermula apabila sepasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) menjalankan sekatan jalan raya (SJR) Op Perdagangan di Jalan Ranau Bypass berhampiran Kampung Rangalau. Bagaimanapun, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton berwarna oren bertindak memecut melarikan diri dalam keadaan mencurigakan sebaik menghampiri lokasi sekatan. Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata susulan tindakan suspek melarikan diri dari lokasi sekatan, polis menggerakkan tindakan susulan sehingga ke Kampung Bokilong, sebelum sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek berjaya ditahan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ). Menurutnya, beberapa rakan suspek lain bagaimanapun berjaya melarikan diri ke kawasan hutan, manakala dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun berjaya ditahan di lokasi. “Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan, polis menemukan beberapa gulungan kabel di bahagian belakang kenderaan terbabit. “Semua suspek bersama kenderaan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 22A Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil Negeri Sabah (OKKNS) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan usaha mengesan suspek lain yang melarikan diri masih diteruskan. Dalam pada itu, beliau berkata polis memberi amaran tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah yang boleh menjejaskan kemudahan awam dan keselamatan masyarakat. – Info X

January 22, 2026

Info X Reporters

Komando VAT 69 meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam

SEMPORNA: Seorang pegawai pasukan 69 Komando (VAT 69) dilaporkan meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, di sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 10.25 pagi, Inspektor Khairul Azhar Kamaruddin, berusia dalam lingkungan 40-an, dilaporkan tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam yang dijalankan di kawasan perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Pulau Mataking. Difahamkan, Allahyarham bersama sepasukan anggota Team Charlie VAT 69 tiba di jeti sekitar jam 8 pagi sebelum bergerak ke lokasi latihan selepas membuat persiapan peralatan. Maklumat kecemasan diterima selepas pihak sebuah resort berhampiran memaklumkan pegawai terbabit tidak sedarkan diri ketika latihan menyelam dijalankan. Bantuan awal termasuk pertolongan cemas dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) segera diberikan oleh kakitangan resort bersama anggota VAT 69 yang berada di lokasi. Mangsa kemudiannya dibawa keluar dari lokasi latihan dan dihantar menggunakan bot ke Hospital Semporna bagi mendapatkan rawatan lanjut. Allahyarham memegang jawatan Troop Commander 9, Skuadron C, 69 Komando yang berpangkalan di Ulu Kinta, Perak. Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan beliau amat sedih menerima berita kehilangan seorang lagi anggota PDRM, khususnya membabitkan insiden ketika latihan. Menurutnya, kehilangan Allahyarham adalah kehilangan besar kepada pasukan PDRM dan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN). “Takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh beliau, mengampunkan segala dosa, serta menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman. “Saya turut mendoakan Allah SWT menganugerahkan pahala atas segala jasa dan sumbangan beliau kepada negara,” katanya. – Info X