Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

January 22, 2026

Info X Reporters

Pelabur industri tenaga, minyak dan gas dialu-alukan ke Sabah – KM

KOTA KINABALU: Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran dan sokongan pelabur antarabangsa berwibawa yang mampu membawa nilai tambah kepada pembangunan industri tenaga, minyak dan gas negeri. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Kerajaan Negeri komited menyediakan persekitaran pelaburan yang stabil, kondusif dan berdaya saing bagi menarik pelaburan berkualiti tinggi, khususnya dalam sektor tenaga dan minyak. “Kerjasama strategik antara syarikat minyak antarabangsa dan pemain industri utama perlu memberi manfaat jangka panjang kepada negeri serta rakyat Sabah,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ConocoPhillips, Ryan Lance di pejabatnya di Menara Kinabalu, pada Khamis. Sementara itu, Ryan Lance memaklumkan ConocoPhillips adalah antara syarikat minyak utama dari Amerika Syarikat serta pemain bebas terbesar dunia dalam aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas, dengan operasi di pelbagai rantau strategik global. Katanya, ConocoPhillips, memberikan tumpuan pelaburan di Sabah dan pada masa sama mengukuhkan komitmen jangka masa panjangnya terhadap Malaysia. “Kami bangga kerana dapat bersama-sama untuk membangunkan industri minyak dan gas di Sabah dan yakin industri ini menyediakan pertumbuhan masa hadapan yang amat cerah kepada Sabah,” katanya. ConocoPhillips Sabah Gas kini menjadi pengendali tunggal bagi Kluster Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Kebabangan (KBBC) di Sabah, selepas Petronas memindahkan pengendalian itu kepadanya pada 21 Januari 2025, menjadikannya pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas berkenaan. – Info X

January 22, 2026

Info X Reporters

17 rumah terbakar di Kampung Dumpil

PUTATAN: Kebakaran di Kampung Dumpil, di sini berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.04 pagi, hari ini, selepas hampir sejam operasi pemadaman dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Kejadian itu membabitkan 17 rumah atas air, dengan 14 rumah musnah sepenuhnya, sebuah rumah terbakar 50 peratus, manakala dua lagi mengalami kerosakan sekitar 10 peratus. Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Dalam pada itu, beberapa penduduk bertindak menggunakan baldi berisi air untuk menyiram anggota bomba yang sedang menjalankan operasi pemadaman, bagi mengurangkan kesan bahang panas melampau ketika api sedang marak di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 6.59 pagi. Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak empat kilometer dari BBP Putatan. “Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati membabitkan 17 rumah jenis tidak kekal berkeluasan keseluruhan 935 meter persegi. “Pasukan operasi kemudiannya bertindak memadamkan api kebakaran menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan lima pancutan dari sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 8.04 pagi dan operasi pemadaman masih dijalankan setakat jam 11 pagi. Katanya, operasi turut dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang melibatkan 15 anggota dan dua jentera. “Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X

January 22, 2026

Info X Reporters

lebih lima rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Dumpil

PUTATAN: Suasana pagi di Kampung Dumpil, di sini, bertukar cemas apabila lebih lima buah rumah dilaporkan terbakar dalam kebakaran, awal pagi tadi. Dalam kejadian itu, api dilaporkan marak dan merebak dengan pantas ke beberapa buah rumah berhampiran, memaksa penduduk bergegas keluar untuk menyelamatkan diri. Difahamkan, kebakaran dipercayai bermula dari hujung sebuah rumah sebelum api merebak dengan cepat ke kediaman bersebelahan, dipercayai akibat struktur rumah yang rapat serta bahan binaan mudah terbakar. Penghuni yang menyedari kejadian berkenaan bertindak pantas menyelamatkan diri bersama ahli keluarga sebelum menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan kecemasan. Ketika itu, api semakin marak dengan kepulan asap tebal mula menyelubungi kawasan perkampungan berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.59 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira empat kilometer. Menurutnya, operasi pemadaman turut dibantu BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang, menjadikan keseluruhan kekuatan seramai 22 anggota bersama beberapa jentera termasuk jentera pemadam dan lori tangki air. “Setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran benar berlaku membabitkan lima rumah kampung atas air dan sedang merebak ke beberapa bahagian. “Operasi pemadaman segera dijalankan menggunakan dua aliran, empat pancutan dengan sumber air jentera,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Katanya, pasukan bomba mengalami kesukaran mendapatkan air terbuka disebabkan air sungai surut selain tiada pili bomba berhampiran. “Usaha pemadaman masih giat dijalankan bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan lain. “Setakat ini tiada mangsa dilaporkan dan operasi masih berjalan. Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X

January 22, 2026

Info X Reporters

Arthur dilantik Pengerusi BN Sabah

KOTA KINABALU: Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional (BN) Sabah. Pelantikan itu diumumkan selepas mesyuarat Dewan Tertinggi BN yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu. BN dalam satu kenyataan berkata Dewan Tertinggi BN bersetuju melantik Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu sebagai pengerusi, manakala Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin sebagai timbalannya. Turut dilantik ialah Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub sebagai Setiausaha BN Sabah yang baharu. Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, BN merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor atas pelantikan Jafry yang jiga ADUN Sukau sebagai menteri dan ADUN Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu sebagai pembantu menteri dalam Kabinet baharu Sabah. Bn turut menyatakan penghargaan dan tetima kasih atas sokongan Hajiji kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag yang akan diadakan pada Sabtu ini. “BN juga sedang mempertingkatkan gerak kerja dan kesiapsiagaan jentera parti bagi menghadapi dua PRK tersebut dengan memberi penekanan kepada penyelarasan jentera, strategi kempen yang berkesan serta komitmen berterusan untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya. – Info X

January 22, 2026

Info X Reporters

Piala Malaysia: Ernesto sandaran baharu Sang Badak

KOTA KINABALU: Seorang pemain import baharu bakal bakal diturunkan bermula pada aksi kedua pusingan 16 Piala Malaysia menentang Melaka FC di Stadium Likas, malam ini. Ernesto Amantegui Phumipha yang bermain di posisi pertahanan menjadi pertaruhan Sang Badak untuk memenangi perlawanan setelah berjaya mengikat Melaka 2-2 pada perlawanan pertama sebelum ini. Nama pemain berdarah Siam-Sepanyol itu diumumkan Sabah FC menerusi satu perkongsian yang dimuat naik di laman Facebook kelab berkenaan pada petang Rabu Pemain berumur 36 tahun itu yang dilahirkan di Sepanyol, sebelum ini bermain di Liga Thailand dan pernah menjadi tonggak kelab bola sepak Nakhon Pathom United FC di negara itu. Sebelum ini, pengendali sementara Sang Badak, Alto Linus menyatakan hasrat pasukan untuk membawa masuk pemain import baharu menerusi jendela perpindahan kedua Liga Malaysia musim ini. Langkah itu katanya bagi memperkuat Sang Badak dalam menghadapi pusingan kedua Liga Super musim ini, selain saingan Piala Malaysia yang kini bermula. Ernesto dijangka menggantikan tempat yang ditinggalkan bekas pemain pertahanan Sabah, Daniel Ting yang meninggalkan pasukan atas persetujuan bersama, baru-baru ini. – Info X

January 22, 2026

Info X Reporters

Sabah meterai MoU dengan Darul Ifta Mesir

KAHERAH: Kerajaan Sabah melakar sejarah di persada antarabangsa apabila memeterai perjanjian persefahaman (MoU) strategik dalam hal ehwal kefatwaan dan pembangunan ilmu Islam bersama Darul Ifta Mesir, sebuah institusi kefatwaan berwibawa yang menjadi rujukan dunia Islam. MoU berkenaan yang merangkumi kerjasama kepakaran, latihan kefatwaan serta pembangunan keilmuan Islam ditandatangani oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, bersama Mufti Kerajaan Republik Arab Mesir, Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad. Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung di Pejabat Darul Ifta di Kaherah, hari ini. Arifin ketika ditemui berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada Darul Ifta Mesir khususnya Mufti Mesir kerana merealisasikan visi dan misi pembangunan syiar ilmu serta kepakaran Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang dirancang sejak beberapa tahun lalu. “Sebelum ini saya telah berkunjung dan mengemukakan permohonan kepada Mufti Mesir. Alhamdulillah, pelbagai usaha berterusan dilaksanakan melalui Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), JHEAINS, Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Sabah, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah serta pegawai Yayasan Sabah di Kaherah. “Akhirnya, usaha itu menampakkan kejayaan dengan termeterainya MoU pada petang ini,” katanya. Sementara itu, Prof Dr Nazir Mohamad Ayyad menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai platform penting dalam mengukuhkan hubungan ukhuwah dan mahabah Islamiah antara kedua-dua pihak. Menurutnya, kerjasama itu juga mampu memperkasa bidang syariah, dakwah, penyelidikan serta keilmuan Islam melalui perkongsian kepakaran tokoh-tokoh ilmuan Darul Ifta Mesir. Majlis berkenaan turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Yahya Husin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Kassim; Timbalan Duta Besar Malaysia di Kaherah serta Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Japar. – Info X

January 21, 2026

Info X Reporters

Kerajaan tubuh jawatankuasa penilai projek kerjasama awam-swasta dan konsesi negeri

KOTA KINABALU: Kabinet negeri pada Rabu meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Awam-Swasta dan Pengurusan Projek Konsesi Negeri yang akan menilai projek di bawah kerjasama itu. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata jawatankuasa baharu itu akan menggantikan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang ditubuhkan pada 1991. “Jawatankuasa baharu ini akan menilai tiga kategori projek berbanding jawatankuasa sebelum ini yang hanya menilai projek dari perspektif penswastaan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pertama Jabatan Ketua Menteri selepas pembentukan kerajaan baharu di Menara Kinabalu, di sini. Hajiji berkata, sebarang cadangan projek kerjasama awam-swasta kini akan dimulakan oleh kementerian berkaitan dan dirujuk kepada jawatankuasa teknikal di bawah jawatankuasa baharu itu yang dipengerusikan Unit Perancang Ekonomi Negeri. Katanya, setelah sesuatu projek didapati berdaya maju, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk penelitian lanjut sebelum dibentangkan kepada Kabinet bagi kelulusan muktamad. “Ini bagi memastikan, antara lain, ketepatan skop projek yang melibatkan Kerajaan Negeri dan sektor swasta seperti konsesi air dan jalan raya atau projek perumahan. “Semua usaha sama yang melibatkan Kerajaan Negeri kini perlu melalui proses penilaian jawatankuasa ini,” katanya. Ketua Menteri berkata Kabinet Negeri turut meluluskan kriteria tambahan dan penambahbaikan kepada inisiatif Rumah Mesra SMJ bagi tahun ini. Beliau berkata, kos bagi satu unit Rumah SMJ bertiang dinaikkan kepada RM95,000, manakala kos Rumah SMJ tidak bertiang kini berjumlah RM85,000 seunit. Kenaikan itu katanya bagi menampung kos tambahan seperti pengangkutan bahan binaan, penambakan tanah di tapak rumah serta pemasangan tiang elektrik dan paip air. Hajiji turut mengumumkan pelancaran Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 (2026-2030) pada 30 Januari ini sempena Majlis Amanat Ketua Menteri kepada pejawat awam negeri, warga syarikat berkaitan kerajaan dan badan berkanun. Lebih 7,000 pejawat awam dijangka menghadiri majlis berkenaan. – Info X

January 21, 2026

Info X Reporters

Warga emas melecur dalam kebakaran, dua rumah dan kedai runcit musnah di Tongod

KINABATANGAN: Seorang wanita warga emas cedera selepas dua buah rumah dan sebuah kedai runcit musnah dalam kebakaran di Kampung Bolot, Tongod, di sini, awal petang tadi. Kejadian itu menyebabkan mangsa berusia 62 tahun melecur di lengan dan menerima rawatan awal di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kebakaran turut memusnahkan sebuah kereta Perodua Kancil, sebuah motosikal serta dua unit enjin bot. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.12 tengah hari sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 156 kilometer. Menurutnya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 2.20 petang dan mendapati kebakaran melibatkan dua rumah jenis tidak kekal, selain sebuah kedai runcit, semuanya terbakar 100 peratus. “Pasukan bomba dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saguon Kuayup menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan satu pancutan air dari pili bomba berhampiran. “Operasi berjaya dikawal pada jam 2.31 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.31 petang selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Lima anggota BBP Kinabatangan dan dua anggota PBS berada di lokasi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta RELA. Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – Info X