January 21, 2026
Info X Reporters
Dua warga asing dicekup curi kayu bulian di ladang
TAWAU: Cubaan licik mencuri kayu bernilai tinggi berakhir gagal apabila dua lelaki warga asing dicekup polis dalam serbuan lewat malam di kawasan ladang Inderasabah, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, tindakan pantas diambil susulan laporan pencerobohan membabitkan sebuah lori dan beberapa kenderaan yang disyaki memasuki ladang bagi mencuri kayu bulian milik syarikat. Menurutnya, rondaan cegah jenayah oleh anggota Balai Polis Bandar Sri Indah kira-kira jam 10 malam membawa kepada penahanan dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an dalam keadaan mencurigakan, sebelum pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri sah. “Hasil siasatan awal mengesyaki kedua-dua suspek terbabit aktif mencuri kayu bulian. “Polis turut merampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media. Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen berkaitan kesalahan tiada dokumen sah. – Info X
January 21, 2026
Info X Reporters
Anak syarikat catat kerugian bakal ditutup – Masiung
KOTA KINABALU: Anak syarikat di bawah Kumpulan SEDCO berdepan kemungkinan ditutup jika gagal mencapai keuntungan dalam tempoh setahun. Perkara itu dijelaskan pengerusinya, Datuk Masiung Banah ketika mengulas mengenai prestasi anak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu. “Jika kita pertahankan syarikat yang rugi dan membebankan agensi induk, umpama kita bermain bola ‘gol sendiri.’ “Kita mau lihat prestasi mereka, sama ada sasaran tercapai atau tidak. Jika tidak tercapai kenapa ?Jika tercapai kita perlu pertingkatkan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Amanat Pengerusi dan Pengurus Besar Kumpulan SEFCO, di sini, pada Selasa. Hadir sama Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad. Masiung berkata, syarikat yang gagal mencapai sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) perlu mengemukakan pelan tindakan bagi memperbaiki prestasi dan kedudukan kewangan semasa. Mengulas lanjut, beliau bersama pengurusan tertinggi SEDCO kini sedang dalam proses menilai Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat di bawah Kumpulan SEDCO mengenai keberkesanan gerak kerja mereka. “Walaupun setakat ini belum ada laporan serius mengenai salah laku korporat dalam struktur melibatkan anak-anak syarikat, namun operasi mereka harus dipantau setiap tiga bulan. “Saya bukan saja memberi arahan tetapi saya akan turun ke lapangan dari semasa ke semasa bagi memantau operasi anak-anak syarikat ini,” katanya. Katanya, terdapat kira-kira 23 anak syarikat dalam pelbagai industri yang bernaung di bawah Kumpulan SEDCO ketika ini. Jelasnya, tiga syarikat akan menjadi tumpuan utama tahun ini bagi menjana rantaian ekonomi negeri iaitu SEDCO Mining Sdn Bhd, projek Kudat Blue Ekonomy Park dan Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd. – Info X
January 21, 2026
Info X Reporters
Projek LPB tak siap-siap, ibarat penantian tidak berpenghujung – Matbali
KOTA KINABALU: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah diibaratkan sebagai satu penantian tidak berpenghujung yang kini dihadapi rakyat Sabah berikutan kelembapan prestasi projek mega itu. Perkara itu dibahaskan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah ketika membahaskan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong pada Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen Kuala Lumpur, pada Selasa. Beliau berkata, projek yang sudah lama dilaksanakan itu seolah-olah tidak berpenghujung kerana belum siap hingga menyebabkan pelbagai kesan buruk kepada rakyat. “Jalan yang sepatutnya menjadi nadi kemajuan, hari ini menjadi kisah penantian; tidak siap-siap, tersangkut-sangkut, lencong sana-sini, lubang-lubang ditampal tampal, seperti luka lama yang hanya disapukan bedak, bukan dirawat hingga sembuh. “Ada pakej yang telah dianugerahkan tetapi belum bergerak, ada yang telah bermula tetapi belum berakhir dan lebih menyedihkan, ada pula pakej yang belum ‘beraward’, seolah-olah masa di Sabah berjalan lebih perlahan daripada pusingan jarum jam di tempat lain,” katanya. Projek LPB Sabah dimulakan kira-kira 10 tahun lalu dengan pakej pertama bermula dari sempadan Sabah-Sarawak di Sindumin hingga ke Kampung Melalia, Sipitang, disusuli pakej kedua dari Kampung Melalia hingga ke Beaufort dengan jarak keseluruhan 62 kilometer. Bagaimanapun, sehingga kini kedua-dua jajaran itu belum siap dan lebih teruk apabila laluan sedia ada rosak disebabkan pembinaan LPB hingga menjejaskan keselesaan pengguna. Matbali berkata, jika dibandingkan dengan negeri jiran Sarawak, projek LPB di negeri itu yang dilaksanakan serentak dengan LPB Sabah kini sudah siap sepenuhnya “Jiran kami yang bermula pada tahun yang sama, kini jalannya lurus-lurus dan mulus-mulus, dari Teluk Melano hingga ke Lawas, menjadi kebanggaan rakyatnya. “Sebagai Ahli Parlimen Sipitang, saya ingin mendapatkan penjelasan khusus mengenai status terkini di kawasan saya, iaitu jajaran Sipitang–Beaufort, melibatkan WP01 Sindumin-Melalia dan WP02 Melalia-Beaufort yang menjadi urat nadi kehidupan harian rakyat;yang saya wakili. Isu itu katanya sudah berulang kali dibangkitkan di Dewan Rakyat, namun sehingga kini belum ada penghujung. “Isu ini telah saya bangkitkan saban tahun di Dewan Yang Mulia ini. Orang kampung saya bilang, ‘sudah berbuih-buih kitani bekurapak sampaikan belagu di Parlimen, tapi macam inda jua kedengaran,” katanya. Berdasarkan laporan sebelum ini, prestasi kerja LPB di jajaran Sindumin-Melalia yang membabitkan kos lebih RM530 juta baru mencapai kira-kira 87 peratus, manakala 61 peratus di jajaran Melalia-Beaufort yang membabitkan kos lebih RM941 juta. Setakat ini baru empat daripada 12 pakej LPB Sabah Fasa 1A yang siap iaitu Donggongon-Papar, Tawau-Semporna, Lahad Datu Bypass dan Kampung Lot M-Batu 32 Sandakan. – Info X
January 21, 2026
Info X Reporters
PRK Kinabatangan, Lamag: 93 peratus pengundi awal tunai tanggungjawab
KOTA KINABALU: Proses pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan dan Lamag menyaksikan seramai 176 pengundi membabitkan anggota polis yang bertugas di kawasan itu menunaikan tangunggjawab pada Selasa. Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus, berkata jumlah itu mewakili 93 peratus daripada 189 anggota polis yang layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal. Katanya, proses pengundian awal dibuka di satu pusat di Teratak Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang. “SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan amat baik pada hari ini. “Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah, Polis Diraja Malaysia, petugas media dan semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung atas segala kerjasama dan sokongan yang telah diberikan kepada SPR,” katanya. Pengundian biasa bagi kedua-dua PRK itu pula dijadualkan pada Sabtu ini. PRK berkenaan menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Kinabatangan iaitu di antara Mohd Naim Kurniawan Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas). Pertandingan satu lawan satu pula di kerusi DUN Lamag iaitu Mohd Ismail Ayob atau Miha (BN) dengan Mazliwati Abdul Malek Chua (Warisan). PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lalu. – Info X
January 20, 2026
Info X Reporters
DBKK keluar empat kompaun, lebih 140 penjaja diperiksa di Anjung Kinabalu
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memperketat penguatkuasaan terhadap penjaja apabila mengeluarkan empat kompaun dalam operasi yang dijalankan di sekitar kawasan D’Walai Mutiara, D’Walai Mata Biru dan D’Walai Haruman, Anjung Kinabalu, pada Selasa. Operasi yang dikendalikan Jabatan Pelesenan itu membabitkan kekuatan 10 anggota terdiri daripada Inspektor Pelesenan DBKK serta pegawai Bahagian Pengurusan Pasar. Dalam operasi berkenaan, lebih 140 penjaja diperiksa bagi memastikan tahap pematuhan terhadap syarat perlesenan yang ditetapkan sentiasa dipatuhi. Bahagian Media dan Komunikasi Jabatan Pengaduan dan Perhubungan Awam DBKK dalam kenyataan media, hari ini, memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati beberapa penjaja gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan. “Antara kesalahan dikesan termasuk tidak mempamerkan lesen, sekali gus membawa kepada pengeluaran empat kompaun di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Penjaja 3(12),” kata kenyataan itu. Menurut kenyataan itu lagi, selain tindakan pengkompaunan, Notis Pematuhan Peraturan Menjaja turut dikeluarkan kepada peniaga yang didapati melakukan kesalahan lain. “Antara kesalahan berkenaan termasuk tidak memiliki Kad Pembantu yang sah, dengan peniaga terlibat diberikan tempoh tertentu untuk mengemukakan dokumen berkaitan serta mematuhi syarat perlesenan yang ditetapkan. “DBKK akan meneruskan pemeriksaan susulan secara khusus ke atas penjaja yang menerima Notis Pematuhan di Anjung Kinabalu, selain operasi berkala di kawasan lain sekitar bandar raya ini bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap peraturan berkuat kuasa,” katanya. Sehubungan itu, katanya semua penjaja diingatkan agar sentiasa mematuhi syarat dan peraturan perlesenan demi mewujudkan persekitaran bandar raya yang teratur, selamat dan lestari. – Info X
January 20, 2026
Info X Reporters
Pemandu lori maut tersepit selepas terbabas di Tenom
TENOM: Seorang pemandu maut selepas lori 10 tan membawa muatan bibit sawit yang dipandunya terbabas di Pammos View, Kampung Pamilan Batu 15.5, Jalan Tenom – Keningau, di sini, petang tadi. Mangsa lelaki berusia 38 tahun dilaporkan tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tenom, Mudi Pengiran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.42 petang. Menurutnya, seramai lima anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai. “Setibanya di lokasi pada jam 3.06 petang, pasukan mendapati sebuah lori 10 tan membawa muatan bibit sawit telah terbabas di tepi jalan. “Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu lori dilaporkan tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, berdasarkan maklumat saksi, mangsa dipercayai cuba terjun dari lori sebelum kenderaan itu terbabas, namun tersepit di bahagian belakang kanan tayar lori berkenaan. Katanya lagi, operasi mengeluarkan mangsa dijalankan dengan bantuan sebuah jentera berat jenis excavator bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat. “Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan serta siasatan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.24 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. – Info X
January 20, 2026
Info X Reporters
PPM diingat laksanakan tugas dengan penuh integriti
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menasihatkan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) agar menjalankan tugas dengan penuh integriti sejajar peranan mereka mewakili Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing. Beliau berkata PPM yang berkhidmat di kawasan pembangkang, khususnya, memikul tanggungjawab yang besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Negeri pimpinan GRS. “Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar, mereka adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik,” katanya. Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis angkat sumpah fasa kedua bagi 35 PPM, yang mana kebanyakannya akan berkhidmat di kawasan diwakili pembangkang di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa. Seramai 45 PPM sudah mengangkat sumpah jawatan ketika majlis angkat sumpah pertama yang diadakan pada 13 Januari lalu. “PPM mesti menjaga imej kerajaan. Jangan lakukan sesuatu perkara demi kepentingan peribadi. Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka. “Jangan salah gunakan kuasa tetapi berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya. Hajiji juga menegaskan semula bahawa PPM mesti menjelaskan kepada peringkat akar umbi mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ). Turut hadir ialah menteri-menteri kabinet dan Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang. – Info X
January 20, 2026
Info X Reporters
Dua warga asing ditahan bersama syabu lebih 50 gram
LAHAD DATU: Dua lelaki warga asing kini berdepan hukuman mati selepas ditahan membawa 52.57 gram syabu dalam operasi Op Tapis di Jalan Segama, di sini, semalam. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail, berkata sebelum itu, pihaknya menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di daerah ini. Katanya, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu terus menjalankan Op Tapis bagi menumpaskan pengedaran dadah di daerah ini. “Dua lelaki warga asing berusia 39 dan 40 tahun ditahan di Jalan Segama, di sini selepas pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan. “Pemeriksaan awal menemukan dadah jenis syabu seberat 52.57 gram bersama peralatan yang dipercayai digunakan untuk pengedaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. Dalam kes berasingan, Dzulbaharin berkata, pihaknya menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 38 tahun dalam keadaan mencurigakan di kawasan Terminal Bas Wagon, Bandar Lahad Datu. “Hasil pemeriksaan ke atas lelaki terbabit menemukan dadah jenis syabu seberat 6.19 gram yang disyaki untuk tujuan pengedaran. “Suspek didapati positif dadah dan kini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. Katanya, semua dadah jenis syabu seberat keseluruhannya 58.76 gram yang dianggarkan bernilai RM6,463.60 itu dirampas untuk tindakan lanjut. Dzulbaharin menegaskan, operasi berterusan ini menunjukkan komitmen penuh polis Lahad Datu dalam membanteras jenayah dadah dan memastikan keselamatan awam terjamin. “Kita akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras pengedaran dadah di daerah ini dan memastikan pesalah berdepan tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya. – Info X