Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 6, 2026

Info X Reporters

Bekalan simen terganggu, dijangka pulih pertengahan September

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) memaklumkan berlaku gangguan bekalan simen di pasaran ketika ini berikutan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang simen CIS di Teluk Sepangar. Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusuf, berkata selain kerja penyelenggaraan, kelewatan ketibaan kapal yang membawa bahan mentah klinker dan simen pukal turut menyumbang kepada gangguan bekalan di pasaran. Katanya, kelewatan itu berlaku berikutan keadaan cuaca yang kurang baik di pelabuhan kilang pembekal bahan berkenaan. “Kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan kilang berjaya disiapkan semalam, 4 September 2026, dan CIS kini sedang berusaha meningkatkan semula pengeluaran serta bekalan simen ke pasaran. “Bekalan simen dijangka pulih sepenuhnya pada pertengahan September ini,” katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata, CIS turut meningkatkan perolehan bekalan klinker dan simen pukal bagi memastikan permintaan tinggi terhadap bahan binaan itu dapat dipenuhi. Langkah berkenaan, katanya, penting bagi memastikan bekalan simen dapat disalurkan secara berterusan kepada pengguna dan pemain industri pembinaan di Sabah. CIS turut memohon kerjasama serta kefahaman semua pihak sepanjang tempoh pemulihan bekalan berkenaan. – Info X

September 6, 2026

Info X Reporters

Ranau jadi pilihan peniaga, usahawan kembangkan bisnes

RANAU: Daerah ini semakin menjadi pilihan peniaga luar untuk mengembangkan perniagaan masing-masing menerusi pembukaan pelbagai premis baharu bagi menarik pelanggan setempat. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata situasi itu memperlihatkan Ranau semakin berkembang sebagai daerah yang berpotensi besar dalam sektorperniagaan seiring kemajuan ekonomi dan kerancakan pembangunannya. Beliau yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata, keyakinan pengusaha tempatan dan luar daerah memilih Ranau sebagai lokasi perniagaan turut menunjukkan daerah ini semakin mendapat perhatian, khususnya dalam kalangan pelabur dan usahawan. “Pemilihan daerah ini sebagai lokasi perniagaan membuktikan Ranau mempunyai ekonomi yang baik, selain menjadi tumpuan penduduk dan pelancong. “Pada masa sama, pengusaha perlu memastikan mutu produk serta perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik bagi menjamin kelangsungan perniagaan,” katanya ketika merasmikan pembukaan Kopi Saigon x Nasi Kak Wok Jee Harris di Pekan Ranau, pada Sabtu. Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan berkata, aspek perkhidmatan perlu diberikan keutamaan kerana layanan yang baik kepada pelanggan menjadi antara faktor penting dalam memastikan sesebuah perniagaan terus mendapat kepercayaan pengguna. Katanya, selain perkhidmatan, penyediaan makanan yang memenuhi standard ditetapkan turut penting bagi memberikan pengalaman serta nilai yang sewajarnya kepada pelanggan. Beliau turut berharap kehadiran pelbagai perniagaan berjenama di daerah ini dapat menjadi contoh dan inspirasi kepada usahawan tempatan untuk terus berinovasi, meningkatkan daya saing serta meneroka peluang perniagaan di daerah lain di Sabah. “Oleh yang demikian, pertambahan aktiviti komersial di Ranau bukan saja memberi lebih banyak pilihan kepada pengguna, malah mewujudkan peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi masyarakat setempat,” katanya. – Info X

September 5, 2026

Info X Reporters

Liga Super: Mujagic kecewakan bekas pasukan di Likas

KOTA KINABALU: Bekas penyerang Sabah FC, Ajdin Mujagic membuatkan Sang Badak kecewa apabila menjaring dua gol untuk Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, malam ini. Mujagic yang kini bersama Kuching City menjaring gol pada minit keempat dan ke-21 untuk membolehkan pasukan pelawat itu menewaskan tuan rumah 0-2. Kedua-dua jaringan Mujagic berpunca daripada kesilapan pemain Sabah yang gagal mengawal kehadirannya, selain terlepas hantaran ke arahnya yang kemudian tidak mensia-siakan peluang untuk membuat jaringan. Dua gol itu meletakkan Kuching City di kedudukan selesa sehingga berakhir perlawanan babak pertama, termasuk tiga minit masa kecederaan, malah berlarutan sehingga tamat 90 minit perlawanan apabila Sabah gagal mencipta sebarang jaringan. Memasuki babak kedua, Sabah mengatur strategi serangan pada permulaan babak, namun berdepan kesukaran berikutan halangan pertahanan lawan yang diperkuatkan bekas pertahanan Sang Badak sendiri, Gabriel Peres yang kini bersama Kuching City. Penyerang Sabah, Darren Lok juga mencipta peluang baik pada minit ke-52 untuk mencipta jaringan, namun sepakannya dapat dihalang penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli. Sang Badak juga mendapat peluang menjaringkan gol menerusi cubaan sepakan jarak jauh Miguel Angel Garrido Cifuentes pada minit ke-72, namun melepasi palang. Sebaliknya, Mujagic sekali lagi hampir menjaringkan gol ketiga untuk dirinya dan Kuching City pada malam ini, namun tuan rumah bernasib baik cubaan pada minit ke-72 itu ditidakkan oleh palang gol. Sabah hanya mampu menghalang pasukan lawan daripada menambah jaringan pada separuh masa kedua dan terpaksa akur tewas di tangan pasukan jiran dalam aksi Derby Borneo kali ini dengan kedudukan 0-2 pada akhir perlawanan. – Info X

September 5, 2026

Info X Reporters

133 PATI ditahan dalam 20 operasi di Sabah

KOTA KINABALU: Seramai 133 pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk 27 kanak-kanak, ditahan dalam 20 operasi penguatkuasaan yang dijalankan di seluruh Sabah. Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah dalam kenyataan malam ini berkata, operasi berkenaan dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik bermula 27 Ogos hingga 3 September lalu. Menurutnya, seramai 289 individu diperiksa sepanjang operasi itu sebelum 133 daripadanya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen. “Jumlah tangkapan membabitkan 97 warga Filipina, terdiri daripada 45 lelaki, 25 wanita, 18 kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan. “Turut ditahan ialah 32 warga Indonesia membabitkan 27 lelaki dan lima wanita serta empat lelaki warga Pakistan,” katanya dalam kenyataan. JIM Sabah berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan secara berterusan di lokasi strategik seluruh negeri bagi membanteras kehadiran PATI dan penyalahgunaan kemudahan imigresen. Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara. Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM Sabah menerusi portal Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO). – Info X

September 5, 2026

BERNAMA

KKM mula tempatkan pakar perubatan tetap di beberapa hospital di Sabah – Menteri

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mula menempatkan pakar perubatan tetap di beberapa hospital di Sabah seperti Kota Marudu dan Beaufort sebagai langkah mengatasi kekurangan tenaga pakar di negeri ini. Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata usaha itu juga melengkapkan inisiatif kementerian menggerakkan penggiliran pakar ke kawasan luar bandar Sabah. “Sasaran tiga hingga lima tahun KKM adalah merapatkan jurang kepakaran di Sabah menerusi pemerkasaan Kluster Sandakan dan Tawau setaraf Kota Kinabalu merangkumi perkhidmatan kardiotorasik,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini. Beliau berkata anak tempatan Sabah yang merupakan lulusan Institut Latihan KKM kini diserap secara tetap menerusi kuasa autonomi perjawatan, disusuli pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) 15 peratus, kelulusan Elaun Perpindahan Penuh bagi pegawai bertukar status tetap dan semakan insentif Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP). Selain itu, tindakan segera menaik taraf kuarters petugas di Lahad Datu, Beaufort dan Kota Marudu juga akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan dan negeri, katanya. Dr Dzulkefly berkata KKM turut memperluas inisiatif Program Hospital Services Outsourcing kepada sektor swasta secara agresif bagi menangani isu kesesakan lobi dan wad hospital awam. Skop itu akan diperluas kepada 15 perkhidmatan kritikal merangkumi rawatan dialisis, imbasan diagnostik serta misi pembedahan berkala bagi menyelesaikan backlog pesakit dan memendekkan tempoh menunggu secara drastik, katanya. “Langkah ini diperkemas lagi menerusi kolaborasi strategik bersama Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) untuk memanfaatkan sepenuhnya setiap kapasiti perubatan yang ada di Sabah,” katanya. Sementara itu, Dr Dzulkefly sebanyak 53 projek pembangunan kesihatan bernilai RM1.56 bilion akan dilaksanakan mengikut Rancangan Malaysia Ke-13, manakala RM75.5 juta bagi pembaikan 132 klinik daif serta suntikan RM1 bilion untuk Rekod Perubatan Elektronik (EMR). “Sasaran integrasi digital primer kita disingkatkan kepada suku pertama 2027 berbanding 2045 sebelum ini, selangkah ke arah merealisasikan visi ‘Satu Individu, Satu Rekod’ menjelang 2030,” katanya.– BERNAMA

September 5, 2026

BERNAMA

Kerajaan sedia cadang isytihar darurat ke atas kawasan catat IPU lebih 400

KUALA BERANG: Kerajaan bersedia mencadangkan pengisytiharan darurat ke atas mana-mana kawasan yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melebihi 400, selaras dengan prosedur operasi standard pengurusan jerebu di negara ini. Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata langkah itu boleh dipertimbangkan sekiranya bacaan IPU berada pada tahap sangat berbahaya, sebagaimana berlaku di Serian, Sarawak yang merekodkan bacaan melebihi 500 sehingga membawa kepada pengisytiharan darurat. “Kalau lebih daripada 400 ia dikira sangat berbahaya dan boleh dipertimbangkan untuk diisytiharkan darurat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Dataran Kampung Basong, di sini hari ini. Arthur berkata setakat ini hanya tiga daripada 68 stesen pemantauan IPU di seluruh negara yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat iaitu Kuching, Samarahan dan Sri Aman di Sarawak, manakala Serian merekodkan bacaan pada tahap berbahaya. Beliau berkata pengisytiharan darurat akan terus berkuat kuasa sehingga bacaan IPU menunjukkan penurunan ke paras yang lebih selamat dengan langkah keselamatan perlu diambil sepanjang tempoh tersebut seperti penutupan sekolah dan pemakaian pelitup muka. Dilapor semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengisytiharkan darurat di seluruh Bahagian Serian susulan keadaan jerebu yang mencapai tahap pencemaran udara membahayakan kesihatan dan keselamatan orang ramai. Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta agensi berkaitan mengenai tahap kualiti udara di kawasan tersebut. Dalam perkembangan berkaitan, Arthur berkata operasi pembenihan awan yang dilaksanakan semalam di Sarawak dan utara Semenanjung iaitu di Kedah dan Perlis menunjukkan hasil positif dengan beberapa kawasan direkodkan hujan bermula petang semalam sehingga awal pagi tadi. Beliau berkata Malaysia juga telah menerima kebenaran bertulis daripada Kerajaaan Indonesia yang membolehkan aset udara negara memasuki ruang udara republik tersebut bagi tujuan operasi pembenihan awan. “Kita telah melaksanakan operasi pembenihan awan di Sarawak dan kadang-kadang untuk operasi yang lebih meluas, aset udara kita perlu merentas sempadan untuk ‘tembak’ ke awan dan angin akan membawa awan tersebut kawasan negara kita,” katanya. Selain itu, Arthur berkata Malaysia juga telah menawarkan aset serta tenaga kerja untuk membantu proses pemadaman kebakaran terbuka yang sedang berlaku di Indonesia, namun setakat ini belum ada sebarang permintaan rasmi daripada republik tersebut berhubung perkara itu.– BERNAMA

September 4, 2026

Info X Reporters

Cabaran sukar jumpa Kuching City, penyokong Sabah diajak gamatkan stadium

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Juan Torres Garrido menyifatkan pertemuan dengan Kuching City FC bukan perlawanan yang mudah dalam aksi Liga Super di Stadium Likas, di sini, malam esok. Beliau mengakui anak buahnya berdepan cabaran sukar berikutan pencapaian baik pasukan negeri jiran itu pada musim lalu, ditambah kehadiran pemain yang berkualiti pada musim ini. Katanya, anak buahnya juga kurang rehat kerana terpaksa bermain tiga perlawanan sepanjang minggu ini, menambahkan lagi tekanan dihadapi mereka dalam usaha mengekalkan prestasi dan kualiti permainan. “Sabah hanya mempunyai tempoh rehat dua hari selepas aksi menentang Selangor FC dalam saingan Piala FA, sebelum perlu kembali beraksi dalam satu lagi perlawanan penting menentang Kuching City. “Situasi ini tentunya menjadikan aksi Borneo Derby kali ini satu lagi ujian besar buat Sabah, terutama dari aspek kecergasan dan pemulihan pemain. “Ia juga satu ujian hebat untuk kedua-dua pasukan, tetapi Sabah hadir dalam keadaan yang berbeza kerana baru bermain dua hari lalu ketika menentang Selangor,” katanya mengulas persiapan menghadapi Kuching City. Sabah berdepan Selangor dalam saingan pertama Pusingan 16 Piala FA yang berakhir dengan kedudukan seri 2-2 pada Rabu lalu, selain melayan kehadiran Penang City dengan keputusan 2-0 dalam aksi Liga Super pada Isnin lalu. Mengulas lanjut, Garrido menyifatkan Kuching City sebagai pasukan yang hebat, sama seperti Selangor, menjadikan perlawanan esok bukan sesuatu yang mudah walaupun berlangsung di halaman sendiri. Berikutan itu, beliau mengajak penyokong skuad Sang Badak dan peminat bola sepak di negeri ini supaya memenuhkan Stadium Likas malam esok bagi menghangatkan semangat pemain berdepan Kuching City. “Sabah memerlukan sokongan padu penyokong untuk menghadapi Kuching City dalam aksi ‘Borneo Derby’ kali ini. Kita amat memerlukan ‘tenaga tambahan’ selepas mengharungi jadual padat. “Kita perlukan stadium yang penuh untuk memberikan tenaga tambahan yang kami perlukan, membantu kita dalam detik-detik sukar dan bersama-sama menikmati saat-saat yang baik,” katanya. – Info X

September 4, 2026

Info X Reporters

Maut dalam perjalanan ke tempat kerja

BEAUFORT: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 8 Jalan Beaufort – Papar, berhampiran Simpang Lumat Sentral, di sini, hari ini. Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 34 tahun yang dalam perjalanan ke tempat kerja disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius pada kepala dan badan. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, kemalangan membabitkan motosikal Yamaha NMAX ditunggang mangsa dan Perodua Viva dipandu lelaki tempatan berusia 63 tahun. Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki itu masing-masing dalam perjalanan menuju ke tempat kerja. “Ketika kejadian, Perodua Viva berkenaan sedang membelok ke kanan untuk keluar dari simpang sebelum dilanggar motosikal mangsa yang bergerak lurus dari arah Beaufort menuju ke Papar. “Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke atas permukaan jalan dan mengalami kecederaan serius pada kepala serta badan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat dan tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sehubungan itu, Champin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Shazree Hashim di talian 010-2531451 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – Info X