September 4, 2026
BERNAMA
SPRM gantung pemakaian baju oren bagi OKS dibawa ke mahkamah
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman, berkuat kuasa serta-merta. Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata langkah itu diambil susulan perkembangan terkini dan saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah. “OKS dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah manakala pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap,” katanya dalam kenyataan hari ini. Beliau berkata pemakaian gari pula bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan kepada OKS yang uzur, Orang Kurang Upaya (OKU), kanak-kanak dan warga emas. SPRM bagaimanapun akan terus mengambil langkah berjaga-jaga serta memastikan kawalan keselamatan dilaksanakan dengan sewajarnya dalam setiap proses pengendalian OKS. “SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan,” katanya. Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata individu yang ditahan SPRM tidak perlu memakai “baju oren” ketika dibawa ke mahkamah untuk prosiding reman. Anwar berpendapat individu yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sesuatu siasatan tidak perlu dipakaikan baju itu ketika dibawa ke mahkamah sebelum mereka dituduh secara rasmi. Beliau berkata langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap individu terbabit memandangkan proses siasatan masih berjalan dan mereka belum berdepan sebarang pertuduhan. “Semalam (dalam mesyuarat Jemaah Menteri) saya juga sampaikan (beritahu), sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju jingga (oren) tidak perlu (dipakai),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya hari ini.– BERNAMA
September 4, 2026
BERNAMA
Baju tahanan jingga tidak perlu dipakai sebelum individu didakwa – PM
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat individu yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam sesuatu siasatan tidak perlu dipakaikan baju tahanan berwarna jingga ketika dibawa ke mahkamah sebelum mereka dituduh secara rasmi. Beliau berkata langkah itu wajar dipertimbangkan bagi mengelak persepsi negatif masyarakat terhadap individu terbabit memandangkan proses siasatan masih berjalan dan mereka belum berdepan sebarang pertuduhan. “Semalam (dalam mesyuarat Jemaah Menteri) saya juga sampaikan (beritahu), sebelum pendakwaan atau sebelum dihadapkan dan didakwa, baju jingga tidak perlu (pakai),” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya hari ini. Anwar berkata beliau menghormati pandangan pelbagai pihak mengenai perkara itu. “Setakat ini saya menghormati pandangan kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tidak perlulah dikenakan (dipakaikan) baju jingga kerana ia akan memberi persepsi berbeza,” katanya. Selasa lepas, seorang bekas menteri dibawa ke mahkamah dengan memakai baju tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga bagi proses permohonan reman berhubung siasatan isu pajakan hotel berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) di Arab Saudi.– BERNAMA
September 4, 2026
Info X Reporters
Kuota baharu RON95, diesel untuk kepentingan rakyat, bukan ‘gula-gula’
TAMBUNAN: Kenaikan had kelayakan subsidi petrol RON95 dan diesel di bawah Program BUDI MADANI bukan ‘gula-gula’ pilihan raya’. Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan, Datuk Victor P Paut, sebaliknya berkata ia langkah kerajaan membantu meringankan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini. Katanya, rakyat seharusnya melihat pengumuman itu secara positif kerana manfaatnya dirasai secara langsung, khususnya pengguna kenderaan yang bergantung kepada petrol dan diesel untuk urusan harian. Jelasnya, peningkatan semula kelayakan berkenaan amat diperlukan dengan mengambil kira keadaan harga minyak dunia yang tidak menentu susulan konflik dan ketegangan di Asia Barat. “Bagi saya kenaikan kuota petrol dan terutamanya diesel, amat membantu sekali khususnya rakyat Sabah yang sebahagian besarnya menggunakan kenderaan pacuan empat roda ekoran keadaan geografi yang mencabar di wilayah ini. “Pengumuman Perdana Menteri ini jelas bukan ‘gula-gula’ pilihan raya, sebaliknya salah satu inisiatif untuk meringankan beban rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Malaysia Peringkat Mukim Nambayan, di sini, pada Rabu. Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengembalian had kelayakan asas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, selain peningkatan kelayakan BUDI Diesel daripada 300 kepada 400 liter bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, bermula 1 September. Dalam perkembangan sama, Victor turut menegaskan pengumuman berkenaan tidak wajar ditafsirkan semata-mata dari sudut politik, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesan sebenar kepada rakyat. Katanya, walaupun terdapat suara sumbang yang mengaitkannya dengan ‘gula-gula’ pilihan raya, terpulang kepada persepsi masing-masing kerana Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hanya akan diadakan tahun depan. Beliau berkata, bantuan kerajaan kepada rakyat perlu dilihat berdasarkan keperluan semasa dan bukannya dikaitkan secara automatik dengan kepentingan politik kerana rakyat ketika ini berdepan pelbagai tekanan kos sara hidup. “Memang rakyat memerlukan bantuan ini. Ia realiti kehidupan dan jangan kita politikkan apa saja bantuan daripada kerajaan kepada rakyat hanya kerana sudah dekat pilihan raya sedangkan PRU16 pun lama lagi, tahun depan,” katanya. Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera yakin manfaat berkenaan akan diteruskan sekiranya kerajaan mendapati ia masih diperlukan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup. “Saya yakin bantuan subsidi bahan api ini memang diteruskan,” katanya. Apa yang lebih penting katanya, adalah memastikan dasar subsidi dilaksanakan secara berkesan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan. Tegasnya, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan polemik politik apabila kerajaan mengambil langkah yang secara langsung membantu mengurangkan perbelanjaan harian mereka. Terdahulu, Victor meluluskan peruntukan bagi pembelian 200 kerusi plastik, dua unit penghawa dingin dan enam set lampu solar untuk Perpustakaan Desa serta Dewan Serbaguna Kampung Nambayan pada majlis berkenaan. – Info X
September 4, 2026
Info X Reporters
Sabah bukan sekadar ‘cantik dalam kamera’
KOTA KINABALU: Bukan sekadar menawarkan lokasi penggambaran menarik, Sabah mahu bakat tempatannya turut berada di barisan hadapan sebagai pencipta dan peneraju karya yang mampu menembusi pasaran lebih luas. Kejayaan telemovie Aku, Kau dan Dia terbitan Del Films Production menerusi Dana Program TV Borneo menjadi bukti penggiat seni negeri ini mempunyai kemampuan menghasilkan kandungan berkualiti dan bernilai komersial. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Industri Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Sabah memiliki ramuan lengkap untuk mengembangkan industri kreatif, daripada keindahan lokasi dan kekayaan budaya hingga kepelbagaian cerita serta bakat tempatan. “Sabah tidak kurang bakat. Kita mempunyai penulis, pelakon, pengarah, penerbit, jurukamera, editor, tenaga teknikal dan begitu ramai anak muda kreatif yang sedang mencari ruang untuk membuktikan kemampuan mereka. “Apa yang perlu kita lakukan ialah memastikan bakat-bakat ini terus diberikan peluang, pendedahan dan ruang untuk berkembang,” katanya ketika mengulas kejayaan telemovie berkenaan. Menurutnya, penggiat kreatif tempatan perlu diberikan ruang bukan sahaja untuk terbabit dalam produksi, malah mencipta dan menerajui karya sendiri. Katanya, kejayaan Aku, Kau dan Dia membawa makna lebih besar daripada sekadar terhasilnya sebuah telemovie kerana ia memperlihatkan potensi karya Sabah untuk bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa. “Kita tidak mahu Sabah hanya menjadi pengguna karya. Kita mahu Sabah menjadi pencipta karya,” katanya. Nizam berkata, Sabah tidak seharusnya hanya dikenali sebagai lokasi pilihan produksi luar, sebaliknya perlu melahirkan lebih banyak karya daripada idea dan sentuhan anak tempatan. Pada masa sama, katanya, industri kreatif bukan hanya berkisar mengenai dunia lakonan atau pengarahan, tetapi turut membuka ruang pekerjaan dan perniagaan kepada pelbagai pihak. Menurutnya, sebuah produksi menggerakkan khidmat penulis skrip, jurukamera, editor, kru teknikal, jurusolek dan pereka kostum, selain pengusaha peralatan, pengangkutan, makanan serta penginapan. “Dalam ekonomi masa kini, kreativiti mempunyai nilai. Idea, cerita dan kandungan mempunyai nilai. “Sekiranya semua potensi ini dibangunkan dengan baik, ekonomi kreatif mampu menjadi antara sumber pertumbuhan baharu kepada negeri kita,” katanya. Beliau berkata, sektor itu juga berpotensi meningkatkan taraf hidup belia menerusi sumber pendapatan baharu berasaskan bakat dan kreativiti. Dalam pada itu, Nizam mahu penggiat seni menjadikan identiti Sabah sebagai kekuatan penceritaan, bukan sekadar latar yang mencantikkan sesebuah karya. Katanya, kepelbagaian masyarakat, adat, budaya, makanan dan kehidupan penduduk tempatan mempunyai keistimewaan tersendiri untuk diangkat dalam filem, drama serta telemovie. “Seseorang yang tidak pernah datang ke Sabah boleh tertarik untuk mengenali negeri ini hanya kerana melihat keindahan lokasi, budaya dan kehidupan masyarakat kita melalui sesebuah karya. “Inilah bagaimana kandungan kreatif boleh bergerak seiring dengan usaha mempromosikan pelancongan, kebudayaan dan identiti negeri,” katanya. – Info X
September 4, 2026
Info X Reporters
‘Penumpang’ tidak diundang tersangkut di bumper kereta
KOTA KINABALU: Perjalanan sebuah keluarga dari Labuan untuk menghantar anak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, bertukar menjadi pengalaman luar biasa apabila seekor anak monyet belanda ditemukan terperangkap berhampiran radiator kereta mereka, hari ini. Kehadiran ‘penumpang’ tidak diundang itu hanya disedari selepas pemandu ditegur anggota keselamatan sebaik tiba dan meletakkan Toyota Vios berwarna perak di hadapan Pintu 4 balai ketibaan KKIA. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Mejar (PA) Aizex Junior Simon berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.06 pagi sebelum empat anggota digerakkan dua minit kemudian. “Setibanya di lokasi, pengadu memaklumkan terdapat seekor monyet terperangkap di bahagian berhampiran radiator keretanya. “Dua anggota yang memakai peralatan perlindungan diri (PPE) mengeluarkan haiwan itu menggunakan penjerut melalui ruang di bawah bumper,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Menurutnya, anak monyet jantan berwarna perang kemerahan itu berjaya dikeluarkan dengan selamat dan operasi selesai pada 10.40 pagi. Aizex berkata, berdasarkan maklumat awal, pemandu dipercayai terlanggar haiwan berkenaan tanpa disedari ketika dalam perjalanan dari Labuan sebelum monyet itu tersangkut pada bahagian bumper kereta. Katanya, kejadian sedemikian jarang berlaku, lebih-lebih lagi membabitkan anak monyet belanda yang ditemukan masih terperangkap selepas kenderaan berkenaan menempuh perjalanan jauh hingga ke lapangan terbang. “Anak monyet itu kemudian dibawa ke pejabat APM Kota Kinabalu dan akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X
September 4, 2026
Info X Reporters
Keningau pernah dilanda beberapa siri gempa bumi
KOTA KINABALU: Keningau pernah mencatat beberapa siri gempa bumi lemah sebelum kejadian terbaharu yang dilaporkan berlaku pada jam 9.31 pagi Khamis. Menerusi satu kenyataan, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup, berkata rekod sebelum ini menunjukkan gempa bumi lemah pernah berlaku di daerah itu pada 2019, 2023 dan 6 Oktober 2024. “Rekod pemantauan analisis seismik menunjukkan bahawa Keningau pernah mencatatkan beberapa siri gempa bumi lemah sebelum ini, termasuk kejadian pada tahun 2019, 2023 dan pada 6 Oktober 2024. Kejadian yang berlaku hari ini (Khamis) merupakan sebahagian daripada pelepasan tenaga tektonik tempatan di kawasan berkenaan,” katanya. Beliau berkata, Jabatan Meteorologi (MET Malaysia) akan terus memantau rapi sebarang aktiviti gempa susulan dikawasan itu dan menyampaikan maklumat perkembangan terkini secara telus dari semasa ke semasa. Kementerian, katanya turut menasihatkan orang ramai agar tidak berasa bimbang atau panik kerana gempa bumi itu berada pada paras bermagnitud lemah dan tidak menimbulkan ancaman tsunami. Dalam kejadian pada Khamis, Arthur berkata MET Malaysia menerusi Pusat Operasi Cuaca dan Gempa Bumi Nasional mengesan satu kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 pada kedalaman 10 kilometer yang berlaku di Keningau pada jam 9.31 pagi. Katanya, berdasarkan analisis teknikal seismologi yang dikemas kini, pusat gempa bumi itu terletak pada koordinat 5.3° Utara dan 116.11° Timur, iaitu kira-kira 10 kilometer di barat Keningau. “Gegaran akibat gempa bumi ini telah dirasai secara nyata oleh penduduk di sekitar daerah Keningau. “Sehingga jam 11.30 pagi (Khamis), MET Malaysia menerima sebanyak 463 laporan gegaran dirasai daripada orang awam berhampiran,” katanya. – Info X
September 3, 2026
Info X Reporters
76 hotel diperiksa, 34 tawaran kompaun dalam Ops Trigger 2026
KOTA KINABALU: Sebanyak 76 premis hotel diperiksa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerusi Task Force Ops Trigger 2026, semalam. Operasi serentak di seluruh Sabah itu dilaksanakan bagi mengesan kesalahan berkaitan sistem penggera kebakaran. Pengarah JBPM Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, ia khususnya membabitkan tindakan sengaja menyahaktifkan, mengasingkan atau memintas sistem penggera tanpa alasan teknikal yang sah. “Operasi bermula jam 10 pagi hingga 3 petang dan pemeriksaan dilaksanakan Zon dan Balai JBPM di seluruh negeri. “Hasil operasi mencatatkan 34 tawaran kompaun dikeluarkan terhadap premis yang dikesan melakukan kesalahan dengan keseluruhan nilai kompaun berkenaan mencecah RM4,600. “Kesalahan berkenaan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 55, Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341),” katanya. Beliau berkata, operasi ini bukan semata-mata bertujuan mengeluarkan kompaun, sebaliknya, bagi memastikan pengurusan hotel mengambil serius keselamatan kebakaran. “Sistem penggera kebakaran perlu sentiasa berada dalam keadaan berfungsi kerana keselamatan penghuni dan tetamu premis adalah keutamaan. “Sistem penggera kebakaran penting bagi memberikan amaran awal ketika berlaku kecemasan. “Ia tidak seharusnya dinyahaktifkan tanpa alasan teknikal yang sah,” katanya. Menurutnya, JBPM Sabah memandang serius tindakan yang menjejaskan fungsi sistem keselamatan kebakaran. “Kegagalan sistem berfungsi boleh meningkatkan risiko kepada nyawa penghuni, risiko itu lebih membimbangkan bagi premis penginapan berkapasiti tinggi yang dikenali sebagai risiko penghuni sedang tidur atau sleeping risk. “JBPM Sabah akan mempergiat penguatkuasaan dan pemantauan dengan fokus diberikan terhadap premis berisiko, khususnya sektor perhotelan. “Langkah itu bagi memastikan tahap pematuhan keselamatan kebakaran sentiasa berada pada tahap ditetapkan,” katanya. Tambahnya, operasi berkenaan turut menjadi usaha berterusan JBPM Sabah memperkukuh penguatkuasaan. “Pada masa sama, ia meningkatkan kesedaran pengurusan premis mengenai keperluan keselamatan kebakaran,” katanya. – Info X
September 3, 2026
Info X Reporters
PP26 perkukuh kerjasama serantau hadapi bencana
KOTA KINABALU: Pacific Partnership 2026 (PP26) bukan latihan peperangan atau ketenteraan, sebaliknya memberi tumpuan kepada bantuan kemanusiaan dan kesiapsiagaan menghadapi bencana. Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Seri Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim berkata, pelaksanaan program itu di Sabah turut membuktikan negeri berkenaan selamat untuk dikunjungi peserta antarabangsa. Beliau berkata, PP26 memperkukuh kerjasama antara Malaysia dengan negara peserta, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam menghadapi sebarang bencana. “Pacific Partnership bukan berkonsepkan ‘war fighting’ atau latihan ketenteraan, tetapi lebih kepada latihan yang membabitkan bantuan kemanusiaan. “Bencana tidak mengenal sempadan atau bidang kuasa sesebuah agensi dan negara. Sebab itu, semua negara yang terbabit perlu bekerjasama dalam meningkatkan tahap kesiapsiagaan,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pembukaan PP26 di Dewan Mengkabong, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Sabah, di sini, hari ini. Tengku Muhammad Fauzi berkata, penganjuran PP26 turut memberi keyakinan kepada negara peserta bahawa Sabah berada dalam keadaan selamat. “Masih terdapat negara yang mengenakan sekatan perjalanan ke Sabah atas faktor keselamatan. “Namun, pelaksanaan program ini membantu membawa agenda negara dalam memastikan Malaysia, khususnya Sabah, selamat dan sesuai dikunjungi semua pihak,” katanya. Menurutnya, Malaysia sebelum ini terbabit dalam lima siri Pacific Partnership yang dilaksanakan di Kuala Lumpur, Lumut, Kuching dan kali terakhir di Kuantan, Pahang pada 2023. Katanya, Malaysia sekali lagi menjadi tuan rumah bagi PP26 yang berlangsung di Kota Kinabalu dari 2 hingga 15 September ini. Program berkenaan memberi tumpuan kepada empat komponen utama, iaitu projek pembaikan infrastruktur awam, program kesihatan komuniti dan simposium perubatan, latihan mencari dan menyelamat maritim serta program pendidikan dan persembahan kebudayaan. PP26 menghimpunkan 502 peserta, terdiri daripada 187 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 192 anggota tentera Amerika Syarikat dan 75 anggota tentera dari Australia, Kanada, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Singapura serta United Kingdom. Turut menyertai program itu ialah 48 peserta daripada NGO. Sementara itu, Kuasa Usaha Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia, David H Gamble Jr berkata, setiap peserta membawa kemahiran dan kepakaran tersendiri, khususnya dalam bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana. “Cabaran yang dihadapi semakin besar, termasuk kebakaran hutan dan tanah runtuh. Kita perlu sentiasa bersedia dengan menjalani latihan serta bekerjasama kerana tiada negara mampu menanganinya bersendirian. “Kita akan menjadi lebih kuat apabila bekerjasama,” katanya. Menurutnya, penganjuran Pacific Partnership oleh Malaysia buat kali keenam mencerminkan komitmen berterusan negara dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menghadapi bencana dan situasi kecemasan. – Info X