Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

April 8, 2026

Info X Reporters

80 disyaki ‘scammer’ menyamar polis China diberkas di resort

TAWAU: Kegiatan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis China terbongkar apabila polis menyerbu sebuah resort, di sini malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 9.20 malam itu, seramai 80 individu dipercayai terbabit berjaya ditahan dalam serbuan bersepadu yang dijalankan Bahagian Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) IPK Sabah bersama BSJK Tawau, Sandakan dan Keningau. Sumber berkata, majoriti tangkapan membabitkan warga asing dengan 78 daripadanya rakyat China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang dari Myanmar dan Laos, berusia antara 17 hingga 46 tahun. “Sindiket ini dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menjadikan premis berkenaan sebagai pusat operasi bagi menjalankan penipuan secara dalam talian. “Lokasi itu bukan sahaja berfungsi sebagai pusat panggilan, malah turut digunakan sebagai tempat latihan, kediaman serta lokasi rehat ahli sindiket,” katanya. Menurutnya, sasaran utama kumpulan itu adalah warga Amerika Syarikat berketurunan Cina, dengan taktik menyamar sebagai pegawai polis dari China bagi memperdaya mangsa. Dalam serbuan sama, pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah termasuk telefon bimbit, komputer, skrip penipuan, pasport, modem, sepanduk serta pakaian seragam polis China. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan. Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek serta rangkaian sindiket terbabit. Sementara itu, seramai 77 suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Tawau, pagi ini bagi permohonan reman. Permohonan reman selama tiga hari yang dikemukakan pegawai penyiasat BSJK IPD Tawau, Inspektor Siti Dayana Adillah, diluluskan oleh Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin. Tiga lagi suspek yang sedang menerima rawatan di hospital turut dibenarkan direman selama tempoh sama. Bagaimanapun, enam individu termasuk seorang warga Laos dibebaskan, namun masih diperlukan bagi membantu siasatan lanjut. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

Rogol dua anak kandung, bapa dipenjara 165 tahun, 24 sebatan

LAHAD DATU: Seorang lelaki dipenjara 165 tahun dan 24 sebatan selepas mengaku bersalah terhadap 11 pertuduhan merogol dua anak kandungnya sejak 2016 ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, pada Rabu. Hukuman itu dibacakan Hakim Mahkamah Sesyen, Suhailla Selag selepas mendengar pengakuan tertuduh terhadap semua 11 pertuduhan yang dibacakan kepadanya. Tertuduh masing-masing berdepan lima pertuduhan atas kesalahan merogol anak kandung pertama berusia 25 tahun dan enam pertuduhan membabitkan kesalahan merogol seorang lagi anaknya yang berusia 22 tahun. Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan, selain 10 sebatan bagi setiap pertuduhan. Hukuman penjara dijalankan secara berasingan, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara sebanyak 165 tahun. Bagaimanapun, bagi hukuman sebat, hanya maksimum 24 sebatan boleh dilaksanakan mengikut undang-undang walaupun jumlah hukuman sebanyak 110 sebatan. Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang berumur 54 tahun didakwa merogol dua anak kandungnya sejak 2016 hingga tahun ini. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Haja Mohaideen, manakala siasatan kes oleh Pegawai Penyiasat, Inspektor Malati Labpak. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

UMS akui peranan pelajar OKU melalui MPP

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengakui peranan dan memastikan kebajikan pelajar orang kelainan upaya (OKU) terus terbela menerusi pelantikan wakil golongan itu dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, berkata pelantikan wakil mahasiswa OKU dalam MPP adalah langkah penting memastikan suara mereka terus diangkat dalam sistem kepimpinan pelajar universiti. “Inisiatif ini bukan saja memberi ruang kepada mahasiswa OKU untuk terlibat secara langsung dalam tadbir urus MPP, malah turut memperkukuh usaha universiti dalam menjaga kebajikan serta kepentingan mereka secara lebih menyeluruh. “UMS komited untuk memastikan tiada pelajar yang terpinggir, termasuk mahasiswa OKU. Penyertaan mereka dalam MPP membolehkan pandangan dan keperluan mereka diambil kira secara langsung dalam proses membuat keputusan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan sesi penyerahan Watikah Pelantikan MPP (Lantikan OKU) di Bilik Mesyuarat Naib Canselor, Bangunan Canselori UMS, di sini, baru-baru ini. Watikah pelantikan itu diserahkan kepada pelajar tahun dua Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Mohammad Azrie Rodi. Azrie yang berdepan masalah penglihatan akibat penyakit Retinitis Pigmentosa juga adalah Presiden Kelab Mahasiswa OKU UMS. Mengulas lanjut, Kasim berkata, lantikan itu juga selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memastikan pendidikan inklusif terus diperkasa di institusi pengajian tinggi. “Langkah ini juga mencerminkan komitmen berterusan UMS dalam mewujudkan persekitaran kampus yang mesra OKU dan membuka lebih banyak peluang kepada mahasiswa berkeperluan khas untuk menyerlahkan potensi diri. “Pada masa yang sama, lantikan Azrie turut bertepatan dengan hala tuju UMS dalam memperkukuh inisiatif penjenamaan UMS The Brain of Borneo yang menekankan nilai teras B.R.A.I.N, khususnya elemen ‘Inclusive’ (keterangkuman),” katanya. Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Raman Noordin; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Azmi Jumat; Pengarah Pusat Pengurusan OKU, Dr Zaiton Mohamed; Presiden MPP, Allen Paul Justinus Situ dan wakil Jawatankuasa Pilihanraya Kampus. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

Isu 40 peratus: Pusat dua kali rayu, rakyat akan buat penilaian – Ewon

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan didakwa sudah mengemukakan dua rayuan yang tidak sepatutnya dibuat berhubung pelaksanaan 40 peratus hasil Sabah selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan perkara itu pada Oktober tahun lalu. Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick, berkata rayuan pertama dikemukakan terhadap penghakiman Mahkamah Tinggi, manakala rayuan kedua pula bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, yang akhirnya dibenarkan Mahkamah Rayuan. Katanya, tindakan Kerajaan Persekutuan itulah yang menyebabkan beliau membuat keputusan meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan pada awal November lalu kerana tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Sabah. “Keputusan membenarkan penangguhan itu telah menjejaskan keputusan awal Mahkamah Tinggi,” katanya ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2025 dan Sanjungan Budi Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS), di sini, pada Selasa. Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dalam kenyataan beliau menegaskan pendirian kerajaan negeri tidak bersetuju dengan tindakan rayuan tersebut, namun tetap menghormati proses mahkamah. Dalam masa sama, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, Ketua Menteri juga mahu rundingan di antara kerajaan negeri dan Persekutuan diteruskan sehingga mencapai keputusan muktamad. “Pada saya dan UPKO, pendirian kita tetap sama. Isu ini telah berlarutan hampir 40 tahun dan biarlah rakyat Sabah menilai apabila tiba masanya,” katanya. Beliau berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan dan tindakan kerajaan Persekutuan mengemukakan dua rayuan perlu dinilai rakyat, khususnya jika tuntutan 40 peratus itu masih tidak dilaksanakan. Ewon menegaskan, UPKO sebelum ini telah menyuarakan pendirian secara konsisten di pelbagai platform termasuk dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri serta Kabinet Kerajaan Sabah. “Kita telah melaksanakan tanggungjawab kita dan akan terus konsisten menyatakan pendirian ini,” katanya. Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya isu berkenaan tidak dimuktamadkan dan tiada pembayaran dibuat selepas pembubaran Dewan Rakyat, maka rakyat berhak menentukan kepimpinan negara. “Jika sampai masanya 40 peratus itu belum dibayar, rakyatlah yang akan membuat keputusan,” katanya. Beliau turut menjelaskan bahawa tuntutan ‘lost years’ adalah isu berasingan daripada pelaksanaan pembayaran masa hadapan. Katanya, bagi tempoh akan datang seperti tahun 2027 dan seterusnya, kerajaan Persekutuan sepatutnya mampu merancang mekanisme supaya 40 peratus hasil Sabah dikekalkan. “Perkara ini sebenarnya tidak sukar untuk dimuktamadkan. Hal berkaitan Perlembagaan perlu diasingkan daripada dasar semasa kerajaan,” katanya. Ewon berkata, rakyat Sabah memahami hak mereka seperti termaktub dalam Perlembagaan, dan ia perlu dibezakan daripada peruntukan pembangunan tahunan yang menjadi dasar semasa. Katanya, UPKO telah membuat keputusan untuk terus bersama rakyat Sabah dan memperjuangkan hak negeri ini di bawah kepimpinan kerajaan negeri sedia ada. “Kita akan teruskan perjuangan ini bersama rakyat Sabah untuk menuntut hak kita,” katanya. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

Isu 40 peratus: Situasi ekonomi semasa bukan alasan, hak Sabah perlu ditunaikan – Tham Yun Fook

KOTA KINABALU: Cubaan mengaitkan hak 40 peratus hasil Sabah dengan keadaan ekonomi semasa disifatkan sebagai helah untuk mengalihkan perhatian daripada isu pokok dan dianggap sebagai tindakan yang membimbangkan. Kebimbangan itu disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas, Tham Yun Fook dalam maklum balasnya terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, baru-baru ini. Pemimpin Parti Warisan itu berkata, setiap kali hak Sabah dibangkitkan, ada saja alasan yang diketengahkan dan kini situasi ekonomi semasa pula dikaitkan dengan permohonan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung hak 40 peratus Sabah itu. “Sebagai respons terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, berhubung keputusan mahkamah yang membenarkan penangguhan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah, saya ingin menyatakan kebimbangan serius saya. “Pertama, walaupun Menteri mengakui bahawa proses pengiraan, pengesahan data dan rundingan teknikal telahpun dimulakan, beliau pada masa yang sama cuba memberikan alasan untuk melanjutkan kelewatan dengan alasan ‘kajian diteruskan’ susulan penangguhan oleh mahkamah. Alasan sebegini jelas tidak meyakinkan. “Menteri turut menyifatkan proses ini sebagai ‘kompleks’ dan ‘memerlukan masa’, malah mengaitkannya dengan keadaan ekonomi negara serta perkembangan antarabangsa. Namun, alasan sebegini hanya menimbulkan persoalan, mengapa setiap kali isu hak Sabah dibangkitkan, pasti ada alasan baharu yang diketengahkan? “Lebih membimbangkan, percubaan untuk mengaitkan hak sah Sabah dengan keadaan ekonomi semasa sebenarnya mengalih perhatian daripada isu pokok. Hak 40 peratus hasil Sabah tidak sepatutnya, dalam apa jua keadaan, dijadikan sesuatu yang boleh ditangguhkan atau diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini. Tham menegaskan pelaksanaan 40 peratus hasil Sabah adalah soal hak, bukan soal ihsan yang mana hak itu dijamin secara jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan dan bukan sesuatu yang boleh ditangguhkan atau dikenakan syarat tambahan secara sewenang-wenangnya oleh mana-mana pihak. Jelasnya, jika pihak berkuasa terus menegaskan bahawa proses itu ‘kompleks’ dan memerlukan masa, maka pendekatan yang lebih praktikal harus diambil, iaitu membuat bayaran awal berdasarkan jumlah yang dikenal pasti dan direkodkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan bukan membiarkan isu itu terus terperangkap dalam perbincangan teknikal yang tidak berkesudahan. “Sabah kini berdepan dengan tekanan kehidupan yang mendesak, termasuk kekurangan kemudahan asas, sumber pendidikan yang terhad serta sistem kesihatan yang terbeban, semua ini tidak boleh lagi ditangguhkan. “Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kawasan seperti Likas turut mengalami gangguan bekalan air akibat paip bawah tanah yang sudah usang. Penggantian paip serta penambahbaikan infrastruktur asas amat memerlukan peruntukan segera. Ini adalah isu asas yang menjejaskan kehidupan harian rakyat dan mesti diselesaikan tanpa berlengah. “Jika bahagian yang telah disahkan pun tidak dapat dibayar terlebih dahulu, maka rakyat berhak mempersoalkan sama ada ini benar-benar isu prosedur atau isu keikhlasan,” katanya. Beliau berkata, dalam keadaan rakyat amat memerlukan sumber untuk menangani masalah sebenar, pendekatan ‘menunggu sehingga semuanya selesai dikira’ jelas tidak selari dengan realiti semasa. “Apa yang boleh dilakukan sekarang, harus dilakukan sekarang. Jika tidak, alasan seperti ‘masih dalam kajian’ dan ‘proses yang kompleks’ hanya akan dilihat sebagai alasan untuk terus menangguhkan. “Masa telah diberikan, ruang juga telah diberi, apa yang rakyat Sabah mahukan sekarang bukanlah ihsan atau janji tetapi hak mereka yang telah lama tertangguh,” katanya. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

Tiga lelaki selamatkan doktor selepas kereta terjunam dalam parit

KOTA KINABALU: Tindakan pantas tiga lelaki menjadi penyelamat apabila berjaya mengeluarkan seorang doktor wanita selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam parit besar di Jalan Lintas Kepayan, di sini, pagi ini. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa yang memandu Perodua Myvi dipercayai dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menuju ke Lido sebelum melanggar bahagian belakang sebuah trak tunda. Impak pelanggaran menyebabkan kenderaan mangsa hilang kawalan, terbabas ke laluan bertentangan sebelum terjunam ke dalam parit besar di tepi jalan. Pemandu trak tunda yang menyedari kejadian itu segera turun untuk membantu dan cuba memanggil mangsa, namun tiada sebarang tindak balas. Situasi cemas itu bagaimanapun menarik perhatian tiga lelaki yang kebetulan melalui kawasan berkenaan apabila mereka tanpa berlengah terus terjun ke dalam parit bagi menyelamatkan mangsa. Ketiga-tiga lelaki itu kemudian berjaya menarik keluar mangsa dari dalam kenderaan yang hampir ditenggelami air. Mangsa yang terselamat kemudiannya dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

22 individu disiasat sebar berita palsu krisis tenaga global

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu di media sosial dan platform digital berkaitan isu krisis tenaga global. MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan, susulan siasatan itu, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil bagi tujuan rakaman percakapan untuk membantu siasatan lanjut. Menurut kenyataan itu, setakat ini enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya. “Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” menurut kenyataan berkenaan. MCMC menegaskan pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat tidak sahih. Sehubungan itu, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada. Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan kemudahan komunikasi serta tidak menyalahgunakan platform digital untuk memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam. – Info X

April 8, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditemui lemas ketika SAR hari kedua di Kota Belud

KOTA BELUD: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai di Kampung Purak Ogis Supuan, di sini, ditemukan meninggal dunia pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), pagi tadi. Mangsa dikenali sebagai Fernandez Anak Sawing@Andin, 33, ditemukan oleh orang awam kira-kira jam 6.30 pagi di kawasan sungai, lebih kurang 2.1 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang. Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.12 petang semalam. “Susulan itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 25 kilometer dari balai. “Operasi SAR kemudian dilaksanakan di sekitar pesisir sungai dengan bantuan penduduk kampung, namun mangsa gagal ditemukan pada hari pertama. “Operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 8.15 malam berikutan faktor cuaca dan disambung semula pada hari kedua,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Katanya, mangsa kemudian ditemukan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat menggunakan pengusung untuk membawa keluar mangsa dari lokasi terbabit. “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.35 pagi selepas pihak bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya. Operasi itu turut membabitkan keanggotaan seramai enam anggota BBP Kota Belud dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda. – Info X