Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

September 1, 2026

Info X Reporters

KM terima kunjungan hormat pimpinan baharu PDRM Sabah

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun bersama barisan pimpinan baharu Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu di sini, pada Selasa. Jauteh berkata, kunjungan itu antara lain bertujuan memperkenalkan barisan pimpinan baharu PDRM Sabah kepada Ketua Menteri, selain memperkukuh hubungan dan kerjasama antara PDRM dengan kerajaan negeri. Pertemuan itu turut menjadi platform bagi kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai aspek keselamatan dan ketenteraman awam serta isu berkaitan kepentingan negeri dan rakyat. Hajiji menyambut baik kunjungan berkenaan dan berharap hubungan serta kerjasama erat antara kerajaan negeri dengan PDRM terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara. Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, SAC Mohd Hafiz Yaacob; Ketua Jabatan Logistik dan Teknologi Maklumat Sabah, ACP Wong Leong Meng; Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sabah, Supt Yampil Anak Garai dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Shahrudin Mat Husain. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Ceroboh kebun bawa senapang angin buatan sendiri

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki menceroboh sebuah kebun sambil membawa senapang angin guli buatan sendiri di Batu 15, Jalan Apas Balung, di sini, semalam. Suspek ditemukan sedang duduk di bawah pokok dalam kawasan kebun berkenaan ketika rondaan cegah jenayah dilakukan anggota Balai Polis Bandar Sri Indah. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, tangkapan dibuat susulan laporan pemilik kebun yang melihat seorang lelaki tidak dikenali berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan. Menurutnya, lelaki itu dilihat membawa senapang angin guli buatan sendiri dan dipercayai memotong rantai pada pintu pagar kebun. “Bertindak atas maklumat, anggota Balai Polis Bandar Sri Indah yang menjalankan rondaan cegah jenayah pergi ke lokasi sebelum menahan suspek yang sedang duduk di bawah pokok. “Hasil soal siasat awal, suspek menunjukkan lokasi senapang angin guli buatan sendiri berwarna hijau dan hitam yang diletakkan di atas sebuah kerusi di bawah pokok,” katanya dalam kenyataan hari ini. Wilynton berkata, senjata berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut. Katanya, pemeriksaan turut mendapati suspek tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah. “Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. Beliau berkata, polis akan terus menjalankan rondaan dan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan di daerah Tawau terpelihara. Orang ramai turut diminta segera menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya mengesan individu atau kegiatan mencurigakan. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Ugut isteri di hospital, lelaki ditahan

TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mengugut untuk mencederakan isterinya yang sedang bekerja di sebuah hospital, di sini, semalam. Suspek berusia 39 tahun itu turut dipercayai menghantar pesanan suara melalui WhatsApp mengandungi ancaman terhadap keselamatan mangsa. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek yang juga suami mangsa datang ke hospital berkenaan sebelum mengugut isterinya kerana dikatakan tidak mengikut arahannya. “Suspek turut menghantar pesanan suara melalui WhatsApp yang mengandungi ugutan terhadap keselamatan mangsa. “Mangsa yang bimbang dan takut dengan gangguan serta ancaman berterusan kemudian membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Dunlop. Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit berserta kad SIM yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan. “Polis kini merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi berkaitan serta melengkapkan kertas siasatan untuk tindakan lanjut. “Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” katanya. Wilynton menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil ringan sebarang bentuk ugutan atau ancaman terhadap keselamatan diri. Katanya, mangsa perlu segera membuat laporan polis sekiranya berdepan situasi sedemikian bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Jerebu: Orang ramai dinasihat guna pelitup muka apabila keluar rumah

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menasihatkan orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas, wanita mengandung dan individu yang mempunyai masalah pernafasan, supaya mengurangkan aktiviti di luar rumah serta mengelakkan aktiviti fizikal dan lasak. Menerusi satu kenyataan pada Selasa, JPBN turut menasihatkan mereka yang perlu keluar rumah supaya memakai pelitup muka yang sesuai, selain meminum air secukupnya, menjaga kebersihan diri selepas aktiviti luar dan memastikan pengudaraan dalam bangunan berada pada tahap baik. “JPBN turut mengingatkan orang ramai supaya mengelakkan pembakaran terbuka dan sentiasa mengikuti perkembangan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta nasihat terkini daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa kesihatan,” katanya. Sementara itu, JPBN mengingatkan orang ramai yang mengalami gejala seperti batuk, sesak nafas atau sakit dada supaya mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. “JPBN Sabah akan terus memantau perkembangan kualiti udara di seluruh negeri dan menasihatkan orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko kesihatan akibat pendedahan kepada udara tercemar,” katanya. Terdahulu, empat lokasi di Sabah dilapor merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat pagi Khamis, susulan keadaan kualiti udara yang kurang baik di beberapa kawasan. Berdasarkan JAS Negeri Sabah yang dikemas kini pada 1 September 2026, Kota Kinabalu mencatat bacaan tertinggi 171, diikuti Kimanis dan Keningau masing-masing 156, manakala Tawau 132. Hanya Sandakan merekodkan bacaan IPU 91, yang dikategorikan sebagai sederhana. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Dadah RM120.43 juta dilupuskan, JSJN Sabah terus perangi sindiket

KOTA KINABALU: Dadah bernilai RM120.43 juta membabitkan 5,732 kertas siasatan akan dilupuskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah tahun ini. Pelupusan membabitkan pelbagai jenis dadah dengan berat keseluruhan melebihi satu juta gram itu dilaksanakan mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen berterusan JSJN Sabah dalam membanteras kegiatan pengedaran dadah. Katanya, barang kes yang akan dilupuskan membabitkan 370,223.042 gram syabu, 2,970.17 gram ganja dan 24,104.15 gram kokain. “Turut dilupuskan ialah 14.95 gram Eramin 5, 0.2 gram heroin, 3,518.04 gram ketamin serta 609,669.2 gram mitragynine. “Semua barang kes akan dilupuskan mengikut prosedur dan garis panduan ditetapkan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini. Jauteh berkata, pelupusan barang kes dadah bagi Kontinjen Sabah dilaksanakan di Bukit Pelandok, Port Dickson, Negeri Sembilan. Menurutnya, proses itu bermula selepas arahan pelupusan diperoleh daripada Timbalan Pendakwa Raya sebelum barang kes dihantar ke tapak pelupusan Kualiti Alam Sdn Bhd. “Proses pembungkusan dan pergerakan barang kes bermula hari ini sebelum dihantar dari Pelabuhan Sepanggar ke Pelabuhan Klang, Selangor. “Kapal dijangka tiba pada 11 September, manakala pelupusan rasmi dijadualkan pada 14 September ini,” katanya. Dalam perkembangan sama, Jauteh berkata, JSJN Sabah terus mempergiatkan operasi membanteras pengedaran dadah menerusi pelaksanaan Ops Bayu secara berterusan sepanjang tahun ini. Katanya, seramai 41 individu ditahan menerusi Ops Bayu 1 hingga Ops Bayu 14. “Daripada jumlah itu, 20 individu didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan seorang lagi mengikut Seksyen 15(1)(a) akta sama. “Tiga individu dikenakan tindakan mengikut Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), dua dibebaskan untuk dijadikan saksi pendakwaan, 13 dibebaskan tanpa syarat dan dua lagi masih direman bagi membantu siasatan,” katanya. Beliau berkata, kerjasama JSJN Sabah dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) turut membuahkan hasil. Menurutnya, sebanyak 50 kes dikesan di Sabah dan sebahagian Sarawak sejak Julai 2025 hingga kini, dengan 31 lelaki dan lima wanita ditahan. “Rampasan membabitkan 60,603 gram methamphetamine, 55,848.87 gram ganja, 2,502.16 gram ketamin dan 191.82 gram ekstasi. “Sebanyak 1,020.42 mililiter cecair vape turut dirampas, selain tindakan sitaan harta,” katanya. Jauteh berkata, siasatan mendapati dadah berkenaan dihantar dari Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Kelantan, manakala penerima utamanya berada di Kota Kinabalu, Penampang serta Tawau. Katanya, sindiket menggunakan pelbagai barangan untuk menyembunyikan dadah, termasuk bungkusan gelembung, mainan kanak-kanak, kasut terpakai, pakaian, botol minuman, mesin pencetak, kartrij pencetak serta makanan kering. “Polis turut mengesan penggunaan butiran pengirim dan penerima palsu bagi mengaburi pihak berkuasa. “JSJN Sabah akan terus mempergiatkan usaha memutuskan rantaian pengedaran dadah, selain memastikan semua barang kes dilupuskan mengikut prosedur undang-undang,” katanya. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Enam ditahan, syabu RM2.58 juta dirampas

KOTA KINABALU: Polis menumpaskan dua kegiatan pengedaran dadah susulan rampasan 51.624 kilogram syabu bernilai RM2.581 juta dalam operasi berasingan di Papar dan Penampang. Operasi pada 19 dan 25 Ogos lalu itu membawa kepada penahanan enam individu terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dalam operasi pertama di Papar, seorang lelaki warga asing berusia 37 tahun ditahan di sebuah rumah di Skim Penempatan Kinarut kira-kira 9.40 pagi, 19 Ogos lalu. Katanya, suspek cuba melarikan diri sebelum berjaya ditahan dan pemeriksaan menemukan 12 paket plastik lut sinar disyaki mengandungi syabu seberat 603.90 gram. “Serbuan susulan kira-kira 12.05 tengah hari di tepi jalan Skim Penempatan Kinarut membawa kepada penahanan dua wanita. “Seorang daripada wanita berkenaan ditahan selepas turun dari sebuah kenderaan bersama beg hitam yang mengandungi bungkusan plastik lut sinar disyaki syabu seberat 1.02 kilogram,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini. Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil. Jauteh berkata, siasatan lanjut dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Penampang kemudian membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki yang dipercayai pembekal dadah di One Place Mall, Putatan. “Keseluruhan rampasan dalam operasi itu ialah 1.624 kilogram syabu bernilai RM81,200 dan dipercayai untuk pasaran sekitar Papar. “Dadah berkenaan dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 2,914 penagih bagi sekali penggunaan,” katanya. Menurutnya, keempat-empat suspek direman sehingga 2 September ini bagi membantu siasatan. Katanya, saringan awal air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan semakan turut mendapati mereka tidak mempunyai rekod lampau. Dalam operasi berasingan di Penampang pada 25 Ogos lalu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 45 dan 46 tahun. Jauteh berkata, operasi kira-kira 4.20 petang itu dijalankan hasil maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah di hadapan sebuah premis di Jalan Bundusan, Beverly Hills Plaza. “Pemerhatian polis mendapati dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum seorang suspek dilihat memindahkan beberapa bungkusan plastik dari sebuah kenderaan ke kenderaan lain. “Pemeriksaan terhadap kenderaan pertama menemukan 28 bungkusan plastik disyaki syabu seberat 28 kilogram,” katanya. Menurutnya, sebanyak 22 bungkusan lagi disyaki mengandungi syabu seberat 22 kilogram ditemukan dalam kenderaan kedua. “Keseluruhan rampasan dalam operasi itu ialah 50 kilogram syabu bernilai RM2.5 juta. “Dadah berkenaan dianggarkan mampu dibekalkan kepada kira-kira 1.43 juta penagih bagi sekali penggunaan,” katanya. Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah dan mereka direman sehingga 2 September ini. Katanya, semakan mendapati suspek pertama mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah, manakala suspek kedua mempunyai satu rekod kesalahan sama. “Semua tangkapan dan rampasan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Pasangan suami isteri ditahan, bunga ganja RM3.56 juta dirampas

KOTA KINABALU: Pasangan suami isteri ditahan selepas polis merampas 44.3 kilogram bunga ganja dan 5.6 kilogram ganja bernilai keseluruhan RM3.56 juta dalam operasi di Kudat, 20 Ogos lalu. Rampasan bunga ganja berkenaan adalah yang pertama seumpamanya direkodkan di Sabah. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek lelaki tempatan berusia 35 tahun dan isterinya yang juga warga asing berusia 32 tahun ditahan susulan maklumat daripada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah. Katanya, suspek lelaki ditahan kira-kira 4.40 petang di gelanggang bola tampar Kampung Tanjong Kapor, Kudat. “Isterinya pula ditahan kira-kira 10 minit kemudian di tepi jalan kampung sama. “Kedua-dua suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat bersama empat bungkusan plastik disyaki mengandungi bunga ganja dan ganja,” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, hari ini. Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mohd Azhar Hamin dan Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil. Jauteh berkata, pemeriksaan lanjut menemukan 75 paket plastik disyaki mengandungi bunga ganja seberat 44.3 kilogram dan 10 paket plastik disyaki ganja seberat 5.6 kilogram. “Keseluruhan dadah seberat 49.9 kilogram itu dianggarkan bernilai RM3.56 juta dan dipercayai mampu menampung kira-kira 99,800 penagih bagi sekali penggunaan. “Semakan mendapati suspek lelaki mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK), manakala isterinya tidak mempunyai rekod lampau,” katanya. Katanya lagi, saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine dan amphetamine, manakala isterinya negatif dadah. “Kedua-dua suspek sudah dituduh di Mahkamah Kudat pada 28 Ogos lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. “Kejayaan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang ramai dalam menyalurkan maklumat kepada polis,” katanya. Menurutnya, JSJN Kontinjen Sabah kekal komited membanteras kegiatan pengedaran dadah bagi melindungi generasi masa kini dan akan datang. – Info X

September 1, 2026

Info X Reporters

Jerebu: Orang ramai dinasihat kurangkan aktiviti fizikal, luar rumah

KOTA KINABALU: Rakyat negeri ini, khususnya kanak-kanak, belia, warga emas dan golongan yang mempunyai masalah kesihatan serta pernafasan diingatkan supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti di luar rumah jika kualiti udara pada tahap tidak sihat. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan turut menggesa persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya sentiasa memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan masing-masing dan membuat penyesuaian sewajarnya terhadap latihan atau aktiviti luar. “Saya ingin menasihatkan orang ramai, khususnya kanak-kanak, golongan belia, warga emas serta mereka yang mempunyai masalah kesihatan dan pernafasan, supaya mengurangkan aktiviti fizikal dan aktiviti di luar rumah sekiranya kualiti udara berada pada tahap tidak sihat. “Dalam konteks aktiviti sukan dan rekreasi, saya turut menyeru persatuan sukan, akademi, kelab, jurulatih dan penganjur program supaya sentiasa memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing serta membuat penyesuaian sewajarnya terhadap latihan atau aktiviti luar. “Kesihatan dan keselamatan atlet, pemain serta peserta hendaklah menjadi keutamaan. Sekiranya keadaan tidak mengizinkan, aktiviti berintensiti tinggi di kawasan terbuka wajar dikurangkan, ditangguhkan atau dipindahkan ke lokasi tertutup yang bersesuaian. “Saya juga menyeru seluruh masyarakat agar tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka yang boleh memburukkan lagi keadaan kualiti udara. Sebarang kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Katanya, Sabah kini berdepan ancaman jerebu yang menyebabkan kualiti udara di beberapa kawasan merosot sejak kebelakangan ini. “Berdasarkan maklumat Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah, keadaan ini antara lain berpunca daripada asap tebal akibat kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan yang dibawa oleh tiupan angin ke wilayah Borneo, termasuk Sabah. “Berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan JAS, beberapa kawasan termasuk Tawau, Semporna dan Kota Kinabalu telah mencatatkan bacaan pada tahap tidak sihat. “Keadaan ini perlu diberikan perhatian serius, khususnya memandangkan bacaan IPU boleh berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada keadaan cuaca dan pergerakan angin,” katanya. Jelasnya, Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan terus mengikuti perkembangan semasa dan beliau yakin pihak JAS serta agensi-agensi berkenaan sedang mengambil langkah sewajarnya termasuk meningkatkan pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan. “Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama, mengikuti nasihat pihak berkuasa dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai bacaan IPU melalui saluran rasmi,” katanya. Setakat jam 11 pagi tadi, empat kawasan di Sabah merekodkan bacaan IPU tidak sihat di Kimanis, Keningau, Tawau dan Kota Kinabalu. Turut mencatat bacaan sama ialah Labuan. – Info X