Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

March 28, 2026

Info X Reporters

Tiada siapa boleh persoal keputusan rakyat Sabah bersama Malaysia – Hajiji

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah sudah membuat keputusan yang jelas untuk negeri ini menjadi sebahagian daripada Malaysia dan ia tidak boleh dipersoalkan lagi. Perkara itu ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, bagi menyatakan pendirian kerajaan negeri berhubung kenyataan terbaharu seorang Senator Filipina yang menggesa kerajaan negara itu menuntut Sabah. Hajiji mengulangi bahawa Sabah adalah sebuah negeri yang berdaulat dan diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau berkata, isu berkaitan Sabah selalunya timbul di Filipina apabila pilihan raya negara itu semakin hampir sebagai antara bahan politik pemimpin tertentu untuk menarik sokongan. “Selalu di sana itu (Filipina), kalau dekat-dekat pilihan raya senat mereka, timbullah isu seumpama ini. Tapi, jelas daripada awal lagi negeri Sabah, rakyatnya sudah membuat keputusan untuk bersama-sama Malaysia. “Ini tidak boleh dipersoalkan lagi, kita adalah negeri yang berdaulat dalam Malaysia, diiktiraf oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. “Apa lagi cerita mereka, ini sesuatu yang perlu diperbetulkan, tidak boleh diwar-warkan ataupun dijadikan isu, terutama di pihak sebelah sana (Filipina),” katanya. Beliau ditemui media pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu. Sebelum ini, seorang Senator Filipina, Robin Padilla antara lain menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk mencadangkan penghantaran wakil sebagai simbol tindakan. Gesaan itu dikaitkan dengan kedudukan Sabah sebagai sumber minyak ketika negara itu kini berdepan dengan krisis tenaga berikutan perang di Asia Barat. Kenyataan itu menimbulkan reaksi marah terhadap pemimpin Filipina itu yang disifatkan biadab dan tidak bertanggungjawab, selain dilihat cuba mencabar kedaulatan Malaysia. – Info X

March 28, 2026

Info X Reporters

Warga asing ditahan kemuka dokumen palsu mohon MyPR

KOTA KINABALU: Cubaan seorang lelaki bukan warganegara menggunakan dokumen disyaki palsu bagi memohon Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) membawa padah apabila dia dicekup di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), di sini, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 36 tahun terbabit ditahan pegawai penguat kuasa JPN Sabah ketika hadir di Bahagian Kad Pengenalan, JPN Kota Kinabalu untuk membuat permohonan menggunakan permit masuk yang diragui kesahihannya. JPN Sabah dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi hari ini memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati dokumen dikemukakan suspek dipercayai palsu sebelum tindakan segera diambil dengan menahannya di lokasi. “Kes kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Cawangan Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut kerana melibatkan penggunaan permit masuk,” menurut kenyataan itu. Menurutnya, pihaknya memandang serius sebarang cubaan memalsukan dokumen rasmi dan tidak akan berkompromi terhadap perbuatan berkenaan. “JPN Sabah komited memastikan setiap urusan permohonan dokumen pengenalan diri mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – Info X

March 28, 2026

Info X Reporters

Ops Gempur Khas: Empat ‘kaki syabu’ dicekup di Telipok Ria

KOTA KINABALU: Ketika suasana Aidilfitri masih diraikan dengan kunjungan ke rumah sanak saudara, empat lelaki ini pula ‘berkunjung’ ke tepi jalan untuk menghisap syabu sebelum dicekup dalam Ops Gempur Khas di Taman Telipok Ria, Tuaran, malam tadi. Dalam operasi kira-kira jam 11 malam hingga 4 pagi itu, empat suspek berusia antara 21 hingga 41 tahun ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah. Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pemeriksaan ke atas suspek menemukan dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.35 gram. “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine. “Dua daripada suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah masing-masing sebanyak tiga dan enam rekod. “Semua suspek kemudian dibawa ke pejabat JSJN Tuaran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek mengaku memperoleh bekalan dadah daripada seorang individu di kawasan Taman Telipok Ria. Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. “Risikan dan pemantauan berterusan akan dijalankan termasuk usaha mengesan pembekal dadah terbabit,” katanya. – Info X

March 27, 2026

Info X Reporters

Kenyataan Senator Filipina tidak bertanggungjawab – Pemuda Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) mengecam keras kenyataan oleh Senator Robin Padilla yang menggesa agar tuntutan Filipina ke atas Sabah dihidupkan semula. Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, pemangku ketuanya, Azrul Ibrahim, berkata kenyataan senator negara itu jelas tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip kedaulatan serta undang-undang antarabangsa. “Kami ingin menegaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak. “Cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan tenaga sebagai alasan untuk menghidupkan tuntutan lapuk adalah tidak berasas dan jelas bertujuan mengalih perhatian daripada krisis dalaman yang berlaku. “Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan masalah negara lain. Kami menggesa Kementerian Luar membuat bantahan rasmi terhadap kenyataan tersebut, sementara Kerajaan Persekutuan perlu terus memantau isu ini agar kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya. Beliau bagaimanapun, meminta rakyat Sabah agar kekal tenang, bersatu dan tidak terpengaruh dengan kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan. “Pemuda Gagasan Rakyat akan terus berdiri teguh mempertahankan negeri ini,” katanya. – Info X

March 27, 2026

Info X Reporters

Tan Sri Andrew Sheng dilantik Penasihat Khas Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Tokoh perbankan Asia dan pengawal selia kewangan yang dihormati, Tan Sri Andrew Sheng dilantik sebagai Penasihat Khas Ketua Menteri. Pelantikan itu diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selepas pertemuan dengan tokoh berkenaan Sri Gaya, di sini, pada Jumaat. Ketua Menteri berkata, pengalaman luas serta kelayakan kukuh Sheng akan menjadi aset kepada Sabah. “Kita menantikan sumbangannya, khususnya dalam sektor ekonomi dan pelaburan,” katanya. Dibesarkan di Sabah pada awal 1960-an, Sheng yang berpangkalan di Hong Kong pernah memegang beberapa jawatan penting dalam institusi perbankan dan pelaburan di Asia. Beliau juga adalah penceramah ekonomi global yang kerap diundang, selain pernah berkhidmat sebagai Ketua Ekonomi dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Timbalan Ketua Eksekutif Hong Kong Monetary Authority, Pengurus Kanan Bank Dunia dan Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan, Hong Kong. Pada masa ini beliau adalah Profesor Khas di Institut Kewangan, Universiti Cina Hong Kong (Kampus Shenzhen) dan ahli majlis penasihat antarabangsa bagi Pentadbiran Pengawalseliaan Kewangan Nasional China (NFRA), Suruhanjaya Sekuriti China (CSRC) dan Perbadanan Pelaburan China (CIC). Pada April 2013, Majalah TIME menamakan Sheng sebagai salah seorang daripada 100 orang paling berpengaruh di dunia. – Info X

March 27, 2026

Info X Reporters

Lelaki maut, pacuan empat roda terbabas masuk longkang

SANDAKAN: Seorang lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum masuk ke dalam longkang dalam kejadian di Batu 7, di sini, hari ini. Mangsa, Chock Vui Heong, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.56 tengah hari sebelum sepasukan tujuh anggota dikejarkan ke lokasi. “Setibanya di lokasi, didapati mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum dikeluarkan menggunakan peralatan khas. “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum dibawa ke Hospital Duchess of Kent untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.58 tengah hari selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian. Operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit turut dibantu APM Sandakan. – Info X

March 27, 2026

Info X Reporters

Perjalanan pulang bertukar tragedi

PAPAR: Perjalanan pulang tiga beranak bertukar tragedi apabila seorang lelaki warga emas maut selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai, di Jalan Kampung Langsat, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu, mangsa berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Papar. Turut berada dalam kereta jenis Proton Iswara itu ialah isterinya berusia 63 tahun dan anak lelaki berusia 41 tahun yang masing-masing mengalami kecederaan dan kini menerima rawatan di Hospital Papar. Difahamkan ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke kediaman mereka di Kampung Langsat, di sini. Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, kejadian berlaku di Jalan Kampung Langsat apabila kenderaan dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai di sebelah kiri jalan. “Akibat kemalangan itu, pemandu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang cedera. “Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu hilang kawalan ketika melalui laluan berkenaan. “Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai dinasihatkan supaya memandu dengan berhati-hati, memastikan keadaan fizikal berada dalam keadaan baik serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika berada di jalan raya. “Lebih berwaspada terutama di jalan kampung yang gelap dan sempit bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya. Sebarang maklumat berkaitan kejadian berkenaan boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor El Najeeb Abdul Rhahman di talian 016-8813880 atau mana-mana balai polis berhampiran. – Info X

March 27, 2026

Info X Reporters

Wanita warga emas masih hilang, operasi SAR hari keempat diperluas di Pitas

KOTA MARUDU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga emas yang hilang di Kampung Bawang, Pitas, di sini, dipergiat pada hari keempat dengan peluasan kawasan pencarian melibatkan koordinasi pelbagai agensi. Mangsa, Sarina Samam Kassim, 80, masih belum ditemukan setakat hari ini walaupun operasi diteruskan secara bersepadu sejak dilancarkan pada 24 Mac lalu. Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas Sentay Bakau berkata, operasi hari keempat bermula seawal jam 9.33 pagi dengan penglibatan anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung. “Pasukan penyelamat memberi tumpuan pencarian di laluan baharu dengan anggaran jarak sejauh 2.8 kilometer bermula dari Pos Kawalan sehingga ke kawasan Loji Rawatan Air Pitas. “Pendekatan pencarian diperluas bagi meningkatkan kebarangkalian mengesan mangsa yang dilaporkan keluar dari rumah sejak 22 Mac lalu dan tidak pulang,” katanya. Sebelum ini katanya, operasi pada hari pertama memfokuskan pencarian dalam radius kira-kira empat kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat. “Operasi kemudian disusun semula dengan penilaian semasa di lapangan bagi menentukan sektor pencarian lebih efektif berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh. “Unit K9 turut digerakkan bagi membantu mengesan jejak mangsa di kawasan hutan yang mencabar selain sokongan berterusan daripada agensi keselamatan lain,” katanya. Beliau berkata, keadaan bentuk muka bumi serta keluasan kawasan pencarian menjadi antara cabaran utama pasukan penyelamat dalam operasi berkenaan. “Walaupun berdepan kekangan, operasi diteruskan secara berfasa dengan strategi pencarian diperkemas dari semasa ke semasa. “Setakat ini, mangsa masih belum ditemukan dan operasi SAR akan diteruskan sehingga ada perkembangan positif. “Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu bagi mempercepatkan usaha mengesan mangsa,” katanya. Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya kira-kira jam 4 petang 22 Mac lalu. Menurut laporan, mangsa tidak pulang ke rumah sehingga keesokan harinya sebelum anaknya yang juga pengadu membuat laporan kepada pihak polis pada 23 Mac kira-kira jam 4.20 petang. Susulan laporan itu, pasukan penyelamat dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bergegas ke lokasi bagi mendapatkan maklumat awal sebelum operasi SAR dilancarkan. – Info X