August 22, 2026
Info X Reporters
Restoran Hotel Pacific Semporna terbakar, seorang lelaki melecur
SEMPORNA: Seorang lelaki melecur di lengan selepas sebuah restoran di Hotel Pacific Semporna terbakar dalam kejadian tengah hari tadi. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Zainal Sinsian, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian menerusi talian balai sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 12.52 tengah hari. Beliau berkata, kebakaran membabitkan restoran jenis separuh kekal berukuran kira-kira 30 x 40 kaki yang musnah sepenuhnya. “Api turut menyebabkan bahangan kira-kira 20 peratus kepada bangunan Wave View Hotel yang terletak berhampiran. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman dari dua arah iaitu darat dan laut bagi mengawal kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini. Menurutnya, operasi dari darat menggunakan tiga aliran dan enam pancutan sejauh kira-kira 300 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba serta pili bomba. “BBP Air Semporna pula menjalankan pemadaman dari laut menggunakan satu aliran dan satu pancutan dengan sumber air terbuka. “Menurut pekerja hotel, seorang lelaki mengalami kecederaan melecur pada tangan dan sudah dibawa pihak hotel ke Hospital Semporna untuk rawatan sebelum jentera bomba tiba,” katanya. Zainal berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.47 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.11 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi bahaya di lokasi. “Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.-Info X
August 22, 2026
Info X Reporters
Hatrik pingat Marvell bantu gimnastik artistik Sabah capai sasaran
SUBANG JAYA: Hatrik pingat diraih Marvell Vincent Voo membantu skuad gimnastik artistik Sabah mencapai sasaran satu pingat emas pada SUKMA XXII Selangor 2026. Atlet kebangsaan berusia 18 tahun itu menyumbang satu emas dan satu perak pada hari kedua terakhir pertandingan yang berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Bangi, hari ini. Marvell meraih emas dalam acara lantai lelaki selepas mengumpul 13.050 mata, sekali gus berkongsi jumlah mata sama dengan Nor Adam Haziq dari Kelantan. Bagaimanapun, atlet kelahiran Tamparuli itu dinobatkan sebagai juara berdasarkan kiraan teknikal, manakala pingat gangsa menjadi milik Chew You Wei dari Pulau Pinang dengan 12.475 mata. Marvell kemudian menambah koleksi peribadinya dengan pingat perak dalam acara kuda pelana selepas mengumpul 11.775 mata. Pingat emas acara itu dimenangi Anson Tan dari Pulau Pinang dengan 12.225 mata, manakala Mann Chong Ming dari Selangor meraih gangsa dengan 11.575 mata. Dua pingat yang diraih hari ini melengkapkan kutipan hatrik Marvell pada temasya kali ini selepas dia membantu skuad lelaki Sabah memenangi gangsa dalam acara berpasukan pada Khamis lalu. Ketua jurulatih Sabah, Liew Tong Ee, berkata pihaknya amat berpuas hati apabila sasaran satu emas berjaya direalisasikan, selain masih mempunyai peluang menambah koleksi pingat pada hari terakhir pertandingan, esok. “Kami sangat gembira dapat memenangi emas dan mencapai sasaran di SUKMA ini. “Esok adalah hari terakhir pertandingan dan masih ada peluang untuk menang lagi,” katanya. Turut menggalas cabaran Sabah dalam acara berpasukan ialah Addison Chang Sui Xin, Benny Angelloti Luise, Evan Emmanuel Walter, Leevan Savahi Moosom dan Lucas Immanuel Rijoh.-Info X
August 22, 2026
Info X Reporters
Polis buru pemandu kereta langgar pejalan kaki
TAWAU: Polis sedang mengesan pemandu kereta yang dipercayai melarikan diri selepas melanggar seorang pejalan kaki hingga maut di Kilometer 45, Jalan Tawau-Kunak, semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa lelaki berusia 50-an tercampak kira-kira 10 meter akibat pelanggaran berkenaan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan pada jam 1.40 petang. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, siasatan awal mendapati kereta berwarna putih itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kunak menuju ke bandar Tawau. Katanya, mangsa dipercayai sedang melintas jalan dari kiri ke kanan sebelum dilanggar kenderaan terbabit. “Pemandu berkenaan tidak berada di lokasi selepas kejadian dan dipercayai sudah meninggalkan tempat kejadian. “Identiti pemandu serta nombor pendaftaran kenderaan masih dalam usaha dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini. Rosdi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. “Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Nurwati Ismail di talian 010-932 6155,” katanya. – Info X
August 22, 2026
Info X Reporters
Food Bank UNITAR Sabah bantu pelajar kurang mampu hasil Inisiatif Beliawanis Prihatin
KOTA KINABALU: Inisiatif Beliawanis Prihatin anjuran Pergerakan Beliawanis Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menjadi pemangkin kepada penubuhan Food Bank di UNITAR Sabah yang akan memberi manfaat kepada pelajar kurang berkemampuan di universiti itu. Ketua Beliawanis PGRS, Emmie Martin Idang berkata, usaha itu bertujuan membantu kebajikan pelajar, khususnya mereka yang berdepan kekangan kewangan dan kesukaran mendapatkan keperluan makanan. Beliau berkata, program itu adalah antara projek utama Beliawanis PGRS tahun ini dan diwujudkan selepas mendapat maklum balas mengenai kesukaran dihadapi sebahagian mahasiswa. Katanya, terdapat dalam kalangan anak muda yang berdepan keadaan sehingga sukar mendapatkan makanan mencukupi, sekali gus mendorong Beliawanis mengambil inisiatif untuk membantu golongan berkenaan. “Apabila saya bercakap dengan rakan-rakan, mereka memberitahu ada dalam kalangan rakan sebaya kita yang tidak mampu mendapatkan walaupun satu hidangan sehari. “Jadi, kami mengambil perkara itu dalam pertimbangan dan merasakan sudah tiba masanya untuk kita membantu pelajar. Kami juga pernah melalui kehidupan sebagai pelajar dan mungkin ketika itu tiada yang membantu, jadi sekarang kami berada di sini untuk membantu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Beliawanis Prihatin di UNITAR Sabah, di sini pada Jumaat. Emmie berkata, usaha Beliawanis tidak terhad kepada aspek kebajikan dan bantuan makanan semata-mata, sebaliknya pihaknya turut merancang program lain yang boleh memberi manfaat kepada pembangunan anak muda. Katanya, Beliawanis bersedia mendengar keperluan mahasiswa dan bekerjasama dengan mereka termasuk dalam penganjuran program pembangunan kemahiran seperti pemasaran digital yang dilihat semakin relevan dalam perkembangan teknologi dan globalisasi. “Kami akan cuba melihat apa yang anak-anak muda perlukan, mendengar mereka dan bekerjasama dengan pelajar mengenai perkara yang mahu mereka lakukan. “Walaupun kami merupakan sebuah sayap parti politik, kami tetap mementingkan kepentingan anak-anak muda. Apa sahaja yang kami boleh bantu pelajar, kami gembira untuk memberikan sokongan,” katanya. Sementara itu, Ketua Eksekutif UNITAR Sabah, Vanessa Faye George berkata, sumbangan menerusi Beliawanis Prihatin memberi manfaat kepada pelajar terutama mereka yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan tinggal jauh daripada keluarga. Menurutnya, UNITAR Sabah mempunyai kira-kira 1,600 pelajar konvensional dengan dianggarkan 70 peratus daripadanya berasal dari kawasan pedalaman Sabah. “Sebahagian pelajar kami datang daripada latar belakang yang kurang berkemampuan dan berasal dari seluruh Sabah, selain Sarawak dan Semenanjung. Kebanyakan mereka berada jauh dari rumah, jadi kewangan dan makanan sememangnya antara perkara yang perlu mereka hadapi. “Bantuan ini dapat memastikan apabila mereka berada dalam kesukaran, sekurang-kurangnya mereka mempunyai makanan supaya dapat meneruskan pengajian dan melakukan yang terbaik dalam kehidupan sebagai pelajar,” katanya. Vanessa berkata, pihaknya sebelum ini sudah memikirkan untuk mewujudkan food bank di UNITAR Sabah, namun usaha itu belum dapat direalisasikan berikutan ketiadaan penderma. Katanya, pendekatan Beliawanis yang menghubungi pihak universiti dan menawarkan sumbangan akhirnya membuka ruang untuk inisiatif berkenaan direalisasikan. “Keistimewaan sumbangan hari ini adalah kerana usaha Beliawanis menghubungi kami. Sebelum ini memang ada memikirkan untuk mewujudkan food bank tetapi belum terlaksana kerana tiada penderma dan kami tidak tahu siapa yang boleh menyumbang. “Apabila Beliawanis datang dan menyatakan mereka mempunyai sesuatu untuk disumbangkan, kami mengambil keputusan untuk merealisasikannya. Disebabkan usaha Beliawanis, UNITAR Sabah kini mempunyai food bank,” katanya. Dalam pada itu, pelajar tahun pertama Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak UNITAR, Fasha Adila Mah Xiu Ling, 20, menyifatkan bantuan berkenaan amat bermakna terutama kepada mahasiswa dari kawasan pedalaman dan keluarga kurang berkemampuan. “Food bank yang diberikan ini sangat berharga untuk kami semua. Walaupun mungkin dilihat sebagai bantuan yang kecil, ia sebenarnya sangat membantu kami. “Apa yang dilakukan ini membuka jalan untuk memudahkan pelajar dan kami amat menghargainya,” katanya. Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UNITAR sesi 2025/2026, Nicholas Jason, 23, pula berkata, bantuan makanan berkenaan sedikit sebanyak membantu meringankan beban mahasiswa ketika berdepan peningkatan kos sara hidup. Pelajar tahun ketiga Bachelor of Education (TESL) itu berkata, peningkatan kos sara hidup turut memberi kesan kepada keluarga yang menanggung perbelanjaan anak-anak sepanjang tempoh pengajian. “Dalam keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi, beban ibu bapa untuk menyediakan keperluan anak-anak turut meningkat. “Sebagai wakil pelajar, kami sangat berterima kasih atas bantuan makanan ini. Walaupun mungkin tidak banyak, sedikit sebanyak ia dapat membantu pelajar meneruskan kehidupan seharian,” katanya. Program Beliawanis Prihatin setakat ini telah digerakkan di sembilan lokasi membabitkan institusi pendidikan, asrama, pusat tahfiz dan rumah kebajikan di beberapa daerah di Sabah. Antaranya City University, Rumah Bakti Harapan Inanam, Rumah Anak Yatim Al Aman Beaufort, Asrama Butitin Nabawan, North Borneo University College (NBUC), University College Sabah Foundation (UCSF), Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Aminuddin Papar, Almacrest International College dan UNITAR Sabah. Gerakan berkenaan akan diteruskan dengan program di Rumah Anak Yatim Kampung Bobot, Kota Belud dan sebuah rumah anak yatim di Kudat pada dalam bulan ini. – Info X
August 21, 2026
Info X Reporters
SUKMA XXII : Skuad takraw Sabah hampiri sasaran lima emas
SUBANG JAYA: Skuad sepak takraw Sabah semakin hampir merealisasikan sasaran lima pingat emas pada SUKMA XXII Selangor 2026 selepas melakar hatrik emas pada hari ini.Tiga pingat emas itu diraih dalam saingan akhir di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Puchong, hari ini, sekali gus menyaksikan Sabah kini mengumpul empat emas dalam acara sepak takraw. Sebelum ini, skuad wanita Sabah menyumbang emas menerusi acara berpasukan pada Selasa lalu. Pada saingan akhir hari ini, tiga wakil Sabah yang beraksi serentak berjaya menamatkan cabaran masing-masing dengan kemenangan untuk menghadiahkan hatrik emas kepada kontinjen negeri. Emas pertama disumbangkan menerusi acara regu wanita dua pemain apabila gandingan Nazira Hani Iskandar dan Nedveeasharny Samaan, dengan Fieorylla Faradona sebagai pemain simpanan, menewaskan wakil Perlis 15-7, 15-7. Beberapa minit kemudian, skuad lelaki pula meneruskan momentum kejayaan Sabah menerusi acara regu dua pemain yang dibarisi Wan Muhammad Zulhakim Wan Sablee dan Wan Syahrul Ramadhan, dengan Norikhman Duraman sebagai pemain simpanan. Kejayaan hatrik emas Sabah kemudian dilengkapkan menerusi acara regu empat pemain wanita yang dibarisi Fisydiana Faradona, Mersyella Dazzy Abalay, Nur Anis Alia Lair, Nur Syafikah Andi, Nurshazreyana Edy dan Rohaizan Roger Harun. Mereka menewaskan Perak 15-12, 15-11 untuk menghadiahkan emas ketiga Sabah pada hari berkenaan. Skuad takraw Sabah kini hanya memerlukan satu lagi emas untuk mencapai sasaran lima emas yang ditetapkan kontinjen negeri pada temasya kali ini. Dua lagi pingat emas masih dipertandingkan menerusi acara regu lelaki dan wanita. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, yang turut menyaksikan saingan akhir itu, melahirkan rasa bangga dengan pencapaian skuad takraw Sabah. “Syabas kepada semua pengurusan dan pasukan sepak takraw Sabah kerana berjaya menyumbangkan pingat seperti yang dijangka dari awal. “Hari ini kita menang tiga emas, kelmarin satu emas. Insya-Allah, kalau tidak ada aral melintang, esok atau lusa kita dapat satu lagi pingat emas kerana kita memang mengharapkan sepak takraw menyumbang lima emas kepada kontinjen Sabah,” katanya. Beliau berkata, kejayaan Persatuan Sepak Takraw Sabah itu wajar dijadikan contoh oleh persatuan dan pasukan sukan lain di negeri berkenaan supaya sasaran yang ditetapkan dapat dicapai. “Jangan kita buang masa, tenaga dan wang ringgit tetapi bila bertanding kita tidak mendapat apa-apa pingat. “SUKMA ini adalah satu sukan yang berprestij tinggi di Malaysia dan ia bukan satu sukan yang kita panggil sebagai ‘trial and error’. “Bila kita bertanding, kita mesti bertanding dengan matlamat untuk menang. Diharapkan persatuan dan pasukan lain di Sabah dapat belajar daripada ini dan memperbaiki persiapan agar kita dapat keputusan lebih baik dua tahun lagi,” katanya. Turut hadir menyaksikan saingan akhir itu ialah Setiausaha Tetap (SUT) KBSK merangkap Ketua Kontinjen (CDM) Sabah, Datuk Mansur Asun, serta Timbalan CDM, Datuk Michelle Koh.-Info X
August 21, 2026
Info X Reporters
Pelabur dari Dubai berminat beli minyak sawit Sabah untuk pasaran Asia Barat
KOTA KINABALU: Minyak sawit dari Sabah berpotensi menembusi pasaran Asia Barat berikutan minat syarikat antarabangsa berpangkalan di Dubai, Emeriah Arab Bersatu untuk membeli komoditi itu. Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor P Paut, berkata minat itu dijelaskan Pengarah Eksekutif (Group Expansion) International Mercantile (InMerc) DMCC, Chandrasegaran ketika kunjungan hormat di Menara Kinabalu, di sini, pada Khamis. Katanya, Chandrasegaran dalam misi membawa siri pelaburan berskala besar dalam perusahaan minyak dan gas selain menyatakan keinginan syarikat gergasi dari Dubai itu untuk bekerjasama dengan Sawit Kinabalu mengenai pembelian minyak sawit dari negeri ini. “Kerjasama ini memungkinkan minyak sawit kita diekspot ke Asia Barat khususnya Dubai untuk memenuhi permintaan di sana,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan pertemuan berkenaan. Katanya, pertemuan di pejabatnya itu adalah langkah awal ke arah perbincangan yang lebih luas mengenai kerjasama kedua-dua pihak tidak lama lagi. Beliau berkata, syarikat itu juga menyatakan minat untuk melabur dalam industri perhotelan di Sabah berdasarkan potensi pelaburan yang baik dalam sektor pelancongan di Sabah. “Ini akan dapat membantu Sabah dari segi penginapan untuk pelancong pada masa depan, selain mampu menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya. Victor berkata, Sabah mengamalkan dasar pintu terbuka kepada pelaburan asing seperti yang dinyatakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor sebelum ini, dalam usaha memakmur dan membangunkan negeri ini. “InMerc juga sudah menyatakan minat mereka untuk melabur di Sawit Kinabalu Sandakan Industrial Park (SKSIP) dan beberapa kawasan strategik untuk industri pembangunan berdaya saing bernilai bilion ringgit,” katanya. InMerc adalah sebuah syarikat gergasi berpangkalan di Dubai, Emeriah Arab Bersatu yang menumpukan perniagaan dalam industri perhotelan, minyak Sawit, Agro Trading, tenaga dan besi keluli selain minyak dan gas.-Info X
August 21, 2026
Info X Reporters
SUKMA XXII : Petanque Sabah cipta sejarah dengan empat emas, satu perak
PUCHONG: Skuad petanque Sabah mencipta sejarah baharu di SUKMA XXII Selangor 2026 apabila menamatkan saingan dengan pencapaian terbaik selepas meraih empat pingat emas dan satu perak. Pada hari terakhir saingan di Arena Petanque, Kompleks Sukan Kuala Selangor, Jumaat, skuad berkenaan menyumbang tiga emas dan satu perak untuk melengkapkan kutipan keseluruhan. Pencapaian itu bukan sahaja melepasi sasaran dua emas ditetapkan, malah menjadi pencapaian terbaik skuad petanque Sabah dalam sejarah penyertaan di SUKMA. Pengurus pasukan, Azami Laman, menyifatkan kejayaan itu sebagai detik bersejarah buat sukan petanque Sabah. “Ini hari bersejarah buat petanque Sabah. Kami mengotakan sasaran dua emas menerusi acara beregu wanita dan regu tiga wanita, manakala yang lain adalah bonus. “Saya sangat gembira kerana kami turut menang dalam acara beregu lelaki dan regu tiga lelaki. Kedua-duanya adalah pingat bonus buat Sabah,” katanya. Dalam acara regu tiga lelaki, trio Ainol Shahramadhan Abu Bakar, Muhamad Saidi Sajikil @ Anna’s dan Muhammad Fariz Ahmad Nor Abdullah menampilkan aksi cemerlang apabila menewaskan Pahang 13-1 pada perlawanan akhir. Emas turut disumbangkan pasangan beregu campuran Ryorie Ethan Augustine dan Maxivianna Robert selepas menewaskan wakil Sarawak 11-5. Final regu tiga wanita pula menyaksikan pertembungan sesama wakil Sabah, dengan gandingan Leeyana Fitrialesya Kamrudin, Puteri Ara Aryanna Abdullah dan Thadis Henhera Venice muncul juara selepas menewaskan pasukan Nurul Aina Ali Asmat, Siti Noor Ellyshatul Balqish dan Siti Nur Vivianah Chia 13-1. Kejayaan itu menyaksikan Leeyana meraih emas kedua di SUKMA kali ini selepas sebelum ini bergandingan dengan Nurul Aina untuk memenangi acara beregu wanita pada Rabu. Sementara itu, kontinjen Sabah turut menambah dua pingat perak dan satu gangsa menerusi tiga sukan yang berakhir lewat Khamis. Dalam acara individu golf wanita, Jamie Yan Huan Ying meraih perak selepas mengumpul 219 pukulan menerusi catatan 69, 74 dan 76 sepanjang tiga hari saingan. Pasukan e-sukan Sabah yang dibarisi Ashley Chow Kar Kit, Hasim Sia Jasri, Hazriel Farish Johari, Kris Wong Venky, Mohammad Khairul Lavania dan Muhammad Sahnizam Dramendra pula menamatkan saingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) dengan pingat perak selepas aksi final berlarutan sehingga melepasi tengah malam. Pingat gangsa pula disumbangkan pasukan gimnastik artistik lelaki menerusi Addison Chang Sui Xin, Benny Angelloti Luise, Evan Emmanuel Walter, Leevan Savahi Moosom, Lucas Immanuel Rijoh dan Marvell Vincent Voo yang mengumpul 259.300 mata.-Info X
August 21, 2026
Info X Reporters
Jersi rasmi Sabah FC bawa imej baharu Sang Badak bersama Carino
KOTA KINABALU: Sabah FC melancarkan jersi rasmi bagi musim 2026/2027 bersama Carino selaku penaja baharu jersi skuad Sang Badak sepanjang kempen Liga Malaysia kali ini. Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang, berkata jersi baharu itu bukan setakat menonjolkan rekaan unik untuk musim ini tetapi turut membawa imej baharu pasukan. Katanya, jersi itu membawa identiti, semangat dan aspirasi Sabah FC dalam menghadapi saingan musim ini, selain menjadi simbol kebanggaan penyokong dan rakyat Sabah. “Jersi ini bukan sekadar pakaian sukan tetapi lambang perjuangan dan kebanggaan negeri Sabah. Kita mahu pemain memahami tanggungjawab yang hadir bersama jersi ini dan memberikan komitmen terbaik setiap kali turun ke padang,” katanya dalam ucapan sempena majlis pelancaran itu, di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini. Ucapan beliau dibacakan Setiausaha Agung SAFA, Shamsuddin Mohd Shah. Awang Kadin berkata, SAFA merakamkan penghargaan kepada Carino sebagai penaja utama jersi Sabah FC bagi musim 2026/2027 atas kepercayaan dan komitmen yang diberikan kepada kelab itu. Katanya, kerjasama itu satu langkah penting memperkukuh sokongan pihak korporat terhadap perkembangan bola sepak Sabah, selain membantu Sabah FC bergerak ke arah lebih profesional dan kompetitif. “Musim baharu membawa cabaran dan peluang baharu kepada Sabah FC dan kelab komited untuk terus meningkatkan prestasi pasukan, memperkukuhkan struktur kelab serta memberi ruang kepada pembangunan bakat tempatan. “Kami mahu Sabah FC bukan sahaja berjaya di atas padang tetapi turut menjadi sebuah kelab yang boleh dibanggakan seluruh rakyat Sabah,” katanya. Beliau juga meminta penyokong Sabah FC terus memberikan sokongan kepada pasukan sepanjang musim 2026/2027. “Sokongan penyokong di Stadium Likas dan di seluruh Sabah menjadi sumber kekuatan kepada pasukan. Kita berharap penyokong akan terus berdiri bersama Sabah FC dalam apa juga keadaan,” katanya. Pada musim lalu Sabah FC bekerjasama dengan Adidas selaku penaja rasmi jersi pasukan. – Info X