Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

October 3, 2026

Info X Reporters

Bomba periksa lokasi gempa Ranau, tiada kerosakan dikesan

RANAU: Pemeriksaan pasukan bomba di Kampung Paginatan, di sini, mendapati tiada kerosakan atau kesan akibat gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 yang berlaku di daerah ini, pagi tadi. Malah, beberapa penduduk yang ditemui pasukan bomba turut memaklumkan mereka tidak merasai sebarang gegaran ketika kejadian. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian gempa bumi itu pada jam 11.22 pagi sebelum dua anggota digerakkan ke Kampung Paginatan untuk menjalankan pemeriksaan. Katanya, pasukan tiba di lokasi pada jam 12.35 tengah hari sebelum melakukan pemantauan di kawasan berkenaan serta menemubual beberapa penduduk setempat. “Hasil pemeriksaan dan maklum balas penduduk mendapati mereka tidak merasai sebarang gegaran, manakala tiada kesan atau kerosakan dilaporkan di kawasan berkenaan. “Selepas memastikan tiada unsur bahaya atau risiko lain, pemeriksaan akhir dilakukan sebelum operasi ditamatkan pada jam 1 tengah hari,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaporkan gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 berlaku pada jam 10.57 pagi tadi dengan pusat gempa terletak kira-kira 14 kilometer di selatan Ranau. Gempa pada koordinat 5.9 darjah Utara dan 116.7 darjah Timur itu berlaku pada kedalaman 13 kilometer dengan gegaran dilaporkan dirasai di Ranau serta kawasan sekitarnya. MetMalaysia memaklumkan pihaknya akan terus memantau keadaan berkenaan. – Info X

October 3, 2026

Info X Reporters

Lelaki ditahan mengamuk, baling batu di rumah pekerja

TAWAU: Seorang lelaki warga asing ditahan polis selepas disyaki mengamuk dan melontar batu ke arah kawasan perumahan pekerja sebuah ladang di Merotai Kecil, di sini, semalam. Suspek berusia 48 tahun itu turut dipercayai sering melakukan gangguan di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan ketakutan dan kebimbangan dalam kalangan pekerja serta keluarga mereka. Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan selepas pengadu menerima aduan daripada pekerja ladang berhubung tindakan suspek. Katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota Balai Polis Bombalai bersama Polis Bantuan kemudian menjalankan operasi mengesan suspek. “Suspek berjaya ditahan di sebuah pondok taman permainan di kawasan perumahan pekerja Ladang Merotai Kecil. “Hasil siasatan awal turut mendapati suspek berada di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Rosdi berkata, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan dan siasatan lanjut, manakala tiada rampasan direkodkan ketika tangkapan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengancam keselamatan, menimbulkan ketakutan atau mengganggu ketenteraman awam. “Sebarang kejadian mencurigakan atau perbuatan menyalahi undang-undang hendaklah segera dilaporkan kepada polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X

October 3, 2026

Info X Reporters

Pemandu maut lori simen terbabas, terbalik

KENINGAU: Seorang lelaki maut selepas lori simen dipandunya terbabas sebelum terbalik di bahu Jalan Kampung Bariawa Ulu, di sini, pagi tadi. Mangsa warga tempatan berusia 40 tahun dipercayai terperangkap di dalam lori berkenaan sebelum ditemukan pasukan bomba selepas kenderaan berat itu diangkat menggunakan kren. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Penguasa Bomba Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.02 pagi. Katanya, seramai 10 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi sebelum tiba lapan minit kemudian. “Setibanya di lokasi, pasukan mendapati sebuah lori simen terbabas sendiri sebelum terbalik di bahu jalan. “Berdasarkan maklumat orang awam, terdapat mangsa dipercayai terperangkap di dalam lori terbabit sebelum operasi mengesan dan mengeluarkannya dijalankan,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, kren tiba di lokasi pada jam 10.34 pagi dan kerja mengangkat lori simen itu dilakukan bagi memudahkan operasi mengeluarkan mangsa. “Mangsa berjaya dikesan di dalam lori pada jam 10.38 pagi sebelum pemeriksaan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan lelaki berkenaan sudah meninggal dunia. “Operasi mengeluarkan mangsa selesai sebelum pemeriksaan akhir dilakukan bagi memastikan lokasi selamat,” katanya. Operasi yang turut dibantu polis dan KKM ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.58 pagi. – Info X

October 3, 2026

Info X Reporters

Gempa bumi lemah magnitud 3.5 di Ranau

RANAU: Gempa bumi lemah bermagnitud 3.5 menggegarkan Panginatan, di sini, pagi ini dengan gegaran turut dirasai penduduk di sekitar daerah berkenaan. Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataannya memaklumkan, gempa bumi itu berlaku pada jam 10.57 pagi pada koordinat 5.9 darjah Utara dan 116.7 darjah Timur. Menurutnya, pusat gempa dikesan kira-kira 14 kilometer (km) di selatan Ranau pada kedalaman 13 km. “Gegaran dirasai di Ranau, Sabah dan kawasan sekitarnya. “Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. MetMalaysia turut meminta orang ramai yang merasai gegaran akibat gempa bumi berkenaan mengisi borang soal selidik yang disediakan jabatan itu bagi membantu pengumpulan maklumat berkaitan kejadian. – Info X

October 3, 2026

Info X Reporters

Imigresen gempur lima daerah, 82 PATI ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 82 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi 12 operasi penguatkuasaan di lima daerah dalam tempoh enam hari. Operasi bermula 26 September hingga 1 Oktober itu dilaksanakan di Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Lahad Datu dan Keningau dengan keseluruhan 288 individu diperiksa. JIM Sabah dalam kenyataan berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 43 warga Filipina, 15 warga Indonesia dan 24 warga Pakistan. “Daripada jumlah warga Filipina, 21 adalah lelaki dewasa, 14 wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan. “Bagi warga Indonesia pula, tangkapan membabitkan 11 lelaki dewasa, tiga wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan, manakala semua 24 warga Pakistan yang ditahan adalah lelaki dewasa,” katanya. Menurut kenyataan itu lagi, operasi berkenaan dilaksanakan di pelbagai lokasi strategik sebagai sebahagian usaha berterusan membanteras kehadiran PATI serta mengekang penyalahgunaan kemudahan imigresen. Sementara itu, JIM Sabah menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan di seluruh negeri bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen. “Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak melindungi, menggaji atau membantu warga asing yang melanggar undang-undang negara. “Sebarang maklumat berkaitan kegiatan PATI boleh disalurkan kepada JIM menerusi saluran aduan rasmi jabatan,” katanya. – Info X

October 3, 2026

Info X Reporters

Isteri orang dicekup khalwat dalam kereta

KUNAK: Seorang wanita berstatus isteri orang dicekup bersama seorang lelaki kerana disyaki berkhalwat di dalam sebuah kenderaan, di sini, semalam. Pasangan berkenaan dicekup penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Kunak menerusi Operasi Cegah Maksiat. Menurut JHEAINS Kunak, pemeriksaan mendapati lelaki dan wanita terbabit berada bersama di dalam sebuah kenderaan dalam keadaan yang membawa kepada kesalahan khalwat. Lebih mengejutkan, hasil pemeriksaan mendapati wanita terbabit berstatus isteri orang. Kedua-duanya kemudian dibawa oleh penguat kuasa JHEAINS Kunak untuk tindakan serta siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkuat kuasa. JHEAINS dalam pada itu mengingatkan masyarakat supaya menjaga batas pergaulan serta mengelakkan perbuatan yang boleh menimbulkan fitnah dan membawa kemudaratan kepada institusi keluarga serta masyarakat. – Info X

October 2, 2026

Info X Reporters

Tercampak dari Honda WR-V sebelum mangsa dihanyut arus deras

KOTA KINABALU: Pemandu Honda WR-V yang ditemukan maut kira-kira dua kilometer dari lokasi keretanya terbabas di Jalan Pan Borneo Inanam, di sini, semalam dipercayai tercampak keluar sebelum dihanyutkan arus deras. Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 4 petang semalam ketika mangsa Benny Chen Chun Hwa, 27, dalam perjalanan dari arah Penampang menuju Menggatal. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, sebaik tiba berhampiran simpang masuk Kampung Kawakaan, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan. Katanya, Honda WR-V itu kemudian melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam parit. “Mangsa dipercayai tercampak keluar dari kenderaan sebelum dihanyutkan arus deras. “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh bomba terpaksa dihentikan sementara pada malam kejadian berikutan keadaan cuaca dan arus deras sebelum disambung semula pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Menurutnya, polis menerima maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira jam 10.50 pagi berhubung penemuan mangsa di kawasan Kampung Kawakaan, Inanam. “Mangsa ditemukan tersangkut pada kayu di dalam sungai, kira-kira dua kilometer dari lokasi kemalangan sebelum dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, Shahrudin berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Royston Ubak di talian 016-3130153 atau mana-mana balai polis berhampiran. Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas Honda WR-V dipandunya terbabas dan terjunam ke dalam parit ketika hujan lebat, petang semalam. Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video pengguna jalan raya yang menunjukkan kenderaan berkenaan berada di dalam parit di laluan Jalan Pan Borneo. Beberapa individu turut dilihat berada di lokasi bagi membantu, sebelum sebuah kren digunakan untuk mengangkat kenderaan berkenaan keluar dari parit. – Info X

October 2, 2026

BERNAMA

Perkasa GPS sebagai wadah budayakan sikap prihatin, kesukarelawanan – Armizan

KOTA KINABALU: Gerakan Pengguna Siswa (GPS) perlu terus diperkasakan sebagai wadah untuk membudayakan sikap prihatin, kesukarelawanan dan saling membantu dalam kalangan mahasiswa, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali. Beliau berkata penglibatan GPS dalam menangani isu kos sara hidup perlu membawa manfaat langsung kepada kehidupan mahasiswa, termasuk menerusi pelaksanaan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di institusi pendidikan tinggi (IPT). “Empati dan peduli rakan mahasiswa … inilah antara transformasi peranan GPS yang mahu kita perkukuh melalui i-FB sejajar dengan tiga terasnya 3S, iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan,” katanya. Beliau berkata demikian menerusi laman Facebooknya hari ini bersempena dengan Program Advokasi Kepenggunaan dalam Aktivisme Belia dan Penyerahan Geran i-FB yang dihadiri lebih 1,000 mahasiswa di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Kampus Kota Kinabalu, di sini malam tadi. Armizan berkata ketika ini, terdapat 196 GPS di seluruh negara, termasuk 34 GPS di Sabah, manakala 56 GPS terlibat dalam menjayakan i-FB di IPT masing-masing, termasuk tujuh di Sabah. Jaringan berkenaan, katanya, dapat menjadi platform untuk memperkukuh kerjasama mahasiswa, pihak institusi, sektor swasta dan rakan strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam memastikan pelaksanaan i-FB dapat digerakkan secara berterusan. “Melalui i-FB, mereka turut menjadi penggerak yang menyuburkan budaya kepedulian, kesukarelawanan dan saling membantu, sekali gus membina jaringan sokongan agar mahasiswa yang berdepan dengan kekangan dapat memberikan tumpuan pada pengajian,” katanya. Dalam pada itu, Armizan berkata program berkenaan turut membuka ruang kepada mahasiswa untuk berdialog tentang isu kos sara hidup serta peranan mereka dalam menggerakkan advokasi kepenggunaan di kampus. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Belia Sabah, pihak UiTM Sabah dan semua rakan strategik atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan. Beliau berharap usaha bersama itu dapat terus memperkukuh peranan mahasiswa sebagai pengguna yang bijak dan cakna, selain menjadi penggerak komuniti kampus yang prihatin terhadap kebajikan sesama mereka.–BERNAMA