Search
Latest news on everything happening in Sabah and Sarawak!

August 20, 2026

Info X Reporters

Sambutan Hari Sabah tekankan peranan generasi muda sebagai pewaris negeri

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sabah selepas acara Hari Kebangsaan peringkat negeri di Dataran Bandaraya pada 31 Ogos ini memberi penekanan kepada golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri. Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sambutan pada sebelah malam yang turut diadakan di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu itu bukan saja menjadi ruang untuk mengenang perjalanan sejarah negeri ini. Katanya, sambutan itu turut membina keyakinan bahawa generasi muda Sabah mempunyai peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negeri pada masa hadapan. “Hari Sabah telah diisytiharkan secara rasmi pada 5 Jun 2024 dengan menetapkan 31 Ogos sebagai Hari Sabah. Maka, tahun 2026 merupakan tahun ketiga Hari Sabah diraikan secara rasmi bersama-sama sambutan Hari Kebangsaan. “Sambutan ini bukan sekadar acara tahunan. Ia merupakan kesempatan untuk kita menghayati sejarah, menghargai perjuangan generasi terdahulu dan pada masa yang sama melihat ke hadapan dengan keyakinan terhadap masa depan Sabah dalam Malaysia,” katanya pada sidang media sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah, di sini, pada Khamis. Masidi yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata pada pagi 31 Ogos, sambutan Hari Kebangsaan akan berlangsung di Dataran Bandaraya Kota Kinabalu, melibatkan kontinjen daripada agensi kerajaan, pasukan beruniform, sekolah, persatuan dan pelbagai organisasi. Setakat ini, katanya sebanyak 180 kontinjen telah memohon untuk mengambil bahagian dalam perbarisan dan perarakan berjalan lalu yang akan bermula seawal jam 6 pagi. “Penyertaan yang begitu besar ini mencerminkan semangat patriotisme dan kebersamaan rakyat Sabah dalam meraikan hari yang bersejarah ini. “Pada sebelah malam pula, tumpuan akan beralih kepada Sambutan Hari Sabah, dengan pengisian yang memberi penekanan kepada golongan belia dan generasi muda sebagai pewaris masa depan negeri. “Konsep sambutan malam tersebut adalah untuk melihat ke hadapan. Kita mahu Hari Sabah bukan sahaja menjadi ruang untuk mengenang perjalanan sejarah negeri ini, tetapi turut membina keyakinan bahawa generasi muda Sabah mempunyai peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negeri pada masa hadapan,” katanya. Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah itu, berkata tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’ membawa mesej pembangunan negara akhirnya mesti diterjemahkan kepada manfaat dan kesejahteraan yang benar-benar dapat dirasai oleh rakyat. Dalam konteks Sabah, katanya kesejahteraan bukan hanya bermaksud pembangunan fizikal, malah juga peluang pekerjaan yang lebih baik, pendidikan yang berkualiti, pertumbuhan ekonomi, kemudahan asas yang mencukupi, keselamatan, perkhidmatan awam yang cekap serta kehidupan masyarakat yang aman dan harmoni. “Pada masa yang sama, Hari Sabah memberi ruang kepada kita untuk memahami dengan lebih mendalam sejarah negeri ini dan perjalanan pembentukan Malaysia. “Memahami sejarah bukan bermaksud kita hanya melihat ke belakang, tetapi supaya kita lebih menghargai apa yang telah dicapai dan memahami tanggungjawab kita untuk menentukan apa yang mahu dicapai selepas ini. “Sebab itu saya mahu generasi muda Sabah mengenali sejarah negeri dan negara mereka. Tetapi lebih penting, mereka tidak seharusnya menjadi sekadar penonton kepada pembangunan. Mereka mesti diberikan ruang dan peluang untuk menjadi peserta, penyumbang dan akhirnya penggerak kepada masa depan Sabah,” katanya. Masidi turut menekankan kepentingan untuk terus mempertahankan kekuatan terbesar Sabah, iaitu perpaduan dalam kepelbagaian. Jelasnya, kepelbagaian kaum, agama, budaya dan latar belakang masyarakat Sabah bukan sesuatu yang memisahkan, sebaliknya aset yang menyatukan dan memperkayakan negeri ini. Beliau menjemput rakyat Sabah tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk sama-sama meraikan kedua-dua sambutan bersejarah itu. “Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, saya dengan sukacitanya menjemput seluruh rakyat Sabah, tanpa mengira usia, kaum, agama atau latar belakang, untuk bersama-sama hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada 31 Ogos ini. “Jadikanlah sambutan ini bukan sahaja sebagai satu perayaan, tetapi sebagai kesempatan untuk kita menghayati erti kemerdekaan, menghargai sejarah serta memperkukuh perpaduan sesama kita,” katanya. Masidi turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan, pasukan keselamatan, pihak berkuasa tempatan, sukarelawan, peserta kontinjen dan rakan media atas kerjasama menjayakan sambutan berkenaan pada tahun ini. “Marilah kita bersama-sama menjadikan 31 Ogos 2026 satu sambutan yang mencerminkan keyakinan kita terhadap masa depan Sabah, semangat perpaduan rakyat serta kecintaan kita kepada negeri dan negara,” katanya. – Info X

August 20, 2026

Info X Reporters

111 warga asing ditahan dalam Ops Sapu

KOTA KINABALU: Seramai 111 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menerusi Ops Sapu yang dilaksanakan serentak di Kota Kinabalu, Sandakan dan Kudat selama dua hari bermula pada Selasa lalu. Operasi pada 18 dan 19 Ogos itu menyaksikan seramai 224 individu diperiksa dengan mereka yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan sah serta melanggar syarat pas. Di Kota Kinabalu, seramai 66 warga asing ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 153 individu. Tangkapan membabitkan 60 warga Filipina terdiri daripada 13 lelaki, 18 wanita dan 29 kanak-kanak, selain enam warga Indonesia terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita. Sementara itu, operasi di Sandakan membabitkan pemeriksaan terhadap 35 individu dengan 27 daripadanya ditahan. Mereka terdiri daripada 26 warga Filipina iaitu tujuh lelaki, lima wanita dan 14 kanak-kanak, selain seorang lelaki warga Indonesia. Di Kudat pula, 36 individu diperiksa dengan 18 warga Filipina ditahan, terdiri daripada lapan lelaki, tiga wanita dan tujuh kanak-kanak. Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan tindakan lanjut dijalankan mengikut peruntukan undang-undang berkaitan. JIM Sabah dalam kenyataan hari ini berkata, operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara. Pada masa sama, orang ramai diingatkan supaya tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI serta diminta menyalurkan maklumat mengenai kegiatan berkenaan menerusi saluran rasmi JIM. – Info X

August 20, 2026

Info X Reporters

Tujuh tahun berlalu, pemilik akaun akhirnya dicekup

BEAUFORT: Tujuh tahun mungkin lama, namun kes penipuan yang menyebabkan seorang mangsa kerugian RM900 pada 2019 tidak dibiarkan begitu sahaja apabila lelaki dipercayai pemilik akaun yang digunakan dalam kegiatan itu akhirnya dicekup polis, kelmarin. Suspek berusia 30 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort menerusi Ops Kesan Khas 1/2026 bagi membantu siasatan kes berkenaan. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, siasatan mendapati mangsa dipercayai diperdaya sindiket menggunakan modus operandi menyamar sebagai pegawai polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM). Katanya, mangsa yang terpedaya kemudian membuat pindahan wang seperti diarahkan sehingga mengalami kerugian RM900. “Suspek dipercayai berperanan sebagai pemilik akaun yang digunakan dalam transaksi berkenaan sebelum berjaya dikesan dan ditahan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan panggilan individu yang mendakwa sebagai pegawai penguat kuasa atau wakil institusi kewangan serta tidak membuat pindahan wang ke akaun tidak dikenali atas arahan melalui telefon. Katanya, orang ramai juga diingatkan supaya tidak menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM), maklumat perbankan atau akaun bank kepada mana-mana individu sama ada dikenali atau tidak. “Tindakan itu bagi mengelakkan akaun milik sendiri disalahgunakan pihak tertentu sebagai akaun keldai atau bagi menjalankan aktiviti penipuan dalam talian. “Sebarang keraguan perlu disemak menerusi saluran rasmi sebelum melakukan sebarang transaksi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya. – Info X

August 20, 2026

Info X Reporters

Selangor kecewakan Sabah pada penentuan emas bola sepak wanita SUKMA

SELAYANG: Selangor menang 2-0 untuk terus kecewakan Sabah pada aksi penentuan pingat emas SUKMA XXII Selangor 2026 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam. Kemenangan itu menyaksikan Selangor mengulangi kejayaan sama seperti SUKMA Sarawak 2024 apabila turut menewaskan Sabah 3-1 pada perlawanan akhir ketika itu. Bermain di depan lebih 5,000 penyokong sendiri, skuad tuan rumah bagaimanapun dipaksa bekerja keras sebelum berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-42 menerusi Tegen Su Yin Butler. Jaringan itu terhasil selepas S. Tishavani merampas bola daripada kesilapan pertahanan Sabah sebelum melorongkan kepada Su Yin untuk penyudah mudah meletakkan Selangor 1-0 di hadapan pada separuh masa pertama. Selepas rehat, Su Yin muncul wirawati perlawanan apabila menambah gol kedua pada minit ke-67 bagi memastikan Selangor keluar sebagai juara. Ia adalah kekalahan kedua Sabah ditangan Selangor di SUKMA ini di mana mereka juga bertemu pada saingan peringkat kumpulan yang turut berpihak kepada Selangor dengan kemenangan 2-1. Sabah bagaimanapun melepasi saingan peringkat kumpulan sebagai pasukan kedua terbaik selepas menang 3-0 ke atas Wilayah Persekutuan untuk mara ke separuh akhir. Sabah kemudian mengesahkan tempat ke final dengan kemenangan 1-0 ke atas Pahang pada pusingan separuh akhir. Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang hadir menyaksikan perlawanan itu menggesa pemain menjadikan kekalahan berkenaan sebagai pembakar semangat. “Kalau kamu mahu jadi pemain profesional, teruskan latihan dan disiplin. Mungkin dua tahun akan datang kita boleh memperbaiki kedudukan untuk dapat emas pula,” katanya kepada pasukan selepas majlis penyampaian hadiah. Nizam turut menegaskan, mengekalkan pingat perak adalah satu pencapaian kerana ia tidak dierolehi dengan mudah. Turut hadir ialah Pembantu Menteri KBSK, Datuk Sri Dr Anil Sandhu dan Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun. Sementara itu, cabaran pasukan bola sepak lelaki Sabah pula terhenti di suku akhir selepas tumpas 0-1 kepada Pahang.- Info X

August 20, 2026

Info X Reporters

Skuad pencak silat Sabah tamat cabaran dengan 2 emas, 2 perak, 3 gangsa

SUBANG JAYA: Skuad pencak silat Sabah menamatkan cabaran pada SUKMA XXII Selangor 2026 dengan pencapaian dua pingat emas, dua perak dan tiga gangsa selepas menambah satu emas pada hari terakhir pertandingan, hari ini. Pingat emas terakhir Sabah disumbangkan Lelone Romzie menerusi acara Tanding Putera Kelas C (55-60 kilogram) selepas menewaskan pesilat Wilayah Persekutuan, Awangku Muhammad Hazhan, 23-12 pada aksi final di Dewan Seri Sarjana, UNITEN, Kajang. Sebelum itu, emas pertama Sabah disumbangkan gandingan Manjaseerah Manuil, Sherlenna Abdullah dan Fiffy Ferlisa Rien dalam acara Seni Regu Wanita. Dua pingat perak pula dimenangi Roslyana Rustam dalam acara Seni Tunggal Puteri dan Roslan Habil menerusi Solo Kreatif Putera. Sabah turut meraih tiga pingat gangsa menerusi trio Mohammad Syafwan, Muhammad Darmadiansyah dan Mohammad Nazir dalam acara Seni Regu Putera, Mohammad Faris Hakimi (Tanding Putera Kelas J, 90-95kg) serta Raziq Rifqi (Tanding Putera Bawah 45kg). Bagaimanapun, pencapaian berkenaan gagal memenuhi sasaran lima pingat emas yang ditetapkan selain tidak dapat mengulangi pencapaian empat emas pada SUKMA Sarawak 2024. Yang Dipertua Persatuan Seni Silat PESAKA Sabah (PSS Pesaka Sabah), Datuk Alijus Sipil, berkata pihaknya agak kecewa kerana sasaran ditetapkan tidak tercapai, namun pengalaman yang diraih pesilat muda Sabah sepanjang kejohanan perlu dilihat sebagai perkara positif. “Agak kecewa juga kerana gagal mencapai sasaran tetapi di sebaliknya ada perkara lebih penting untuk dilihat iaitu pelajaran dan pengalaman. “Bagaimanapun, dua pingat emas yang dimenangi juga membanggakan kerana mereka sebenarnya bukan sandaran utama,” katanya ketika dihubungi. Alijus berkata kegagalan mencapai sasaran bukan semata-mata disebabkan prestasi pesilat yang menjadi sandaran utama, sebaliknya peningkatan kualiti pesilat negeri lain turut memberi kesan kepada pencapaian Sabah. “Kita gagal capai sasaran bukan hanya kerana yang menjadi sandaran utama tidak berjaya tetapi kita juga melihat pesilat negeri lain menunjukkan peningkatan kualiti yang ketara. “Sebab itu, kami akan buat post-mortem dan seterusnya merancang apa yang patut dilakukan. Kami juga akan terus menggandakan usaha latihan terutama majoriti pesilat kita kali ini masih boleh beraksi pada SUKMA akan datang,” katanya. Dalam pada itu, Alijus berkata antara pendekatan baharu yang sedang dipertimbangkan ialah mencadangkan kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah supaya mendapatkan khidmat jurulatih dari luar negara. “Selama ini kita hanya bergantung kepada jurulatih tempatan. Mungkin sudah sampai masanya untuk kita memikirkan pendekatan baharu dengan menggunakan jurulatih luar negara. “Saya fikir jurulatih luar yang sesuai adalah dari Tarakan, Indonesia. Saya dimaklumkan bahawa jurulatih dari Tarakan banyak membantu pesilat Indonesia berjaya di peringkat antarabangsa,” katanya. Menurutnya, kedudukan Tarakan yang berhampiran dengan Sabah juga memberi kelebihan dari segi logistik selain memudahkan atlet dihantar ke sana untuk menjalani latihan dan mendapatkan pendedahan pertandingan. “Tarakan juga dekat dengan kita. Ini akan memudahkan kita menghantar atlet ke sana untuk latihan dan pendedahan pertandingan,” katanya.-Info X

August 20, 2026

Info X Reporters

Dua rumah, gerai dan dua kereta musnah terbakar

KOTA KINABALU: Dua rumah, sebuah gerai makan dan dua kenderaan musnah dalam kebakaran di Batu 3, Jalan Kionsom, di sini, awal pagi tadi. Kebakaran kira-kira jam 1.50 pagi itu memusnahkan sepenuhnya sebuah rumah dua tingkat separuh kekal serta sebuah lagi rumah tidak kekal. Sebuah gerai tidak kekal turut musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.53 pagi sebelum 12 anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi. Katanya, operasi turut dibantu dua anggota BBP Kota Kinabalu dengan kekuatan keseluruhan 14 anggota. “Kebakaran turut membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Saga yang musnah sepenuhnya, manakala Proton Persona terbakar kira-kira 40 peratus. “Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada tangki jentera dan pili bomba berhampiran,” katanya. Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.52 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.06 pagi selepas pemeriksaan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya. Katanya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian berkenaan. – Info X

August 19, 2026

Info X Reporters

Armizan tidak perlu sibuk urusan parti lain – KDM

KOTA KINABALU: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, berhubung pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman, sebagai tidak wajar kerana beliau didakwa tidak mempunyai kapasiti untuk bercakap bagi pihak pemimpin KDM itu. Pegawai Jurugambar KDM, Barry Pulong, berkata Armizan sepatutnya tidak mencampuri urusan dalaman parti lain, selain menegaskan KDM mempunyai hak menentukan hala tuju politiknya sendiri. “Umum mengetahui Armizan adalah Setiausaha Agung GRS. Namun, persoalannya mengapa beliau sibuk dengan urusan parti lain? “Beliau sepatutnya mencermin diri terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung parti lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Barry berkata, KDM bukan anggota gabungan GRS, sebaliknya hanya memberikan sokongan kepada kerajaan negeri sebelum ini. Menurutnya, KDM juga mempunyai hak dari segi undang-undang dan berdasarkan keputusan tertinggi parti untuk menarik balik sokongan sekiranya mendapati kerajaan pimpinan GRS gagal mentadbir Sabah dengan baik. “KDM sebelum ini memberikan sokongan kepada pembentukan GRS dengan harapan satu pentadbiran yang saksama dapat diwujudkan. “Namun, KDM berpandangan GRS gagal membantu rakyat Sabah dan keadaan rakyat ketika ini semakin tertekan,” katanya. Beliau turut membangkitkan isu rasuah yang menurutnya masih belum diselesaikan, termasuk kes membabitkan lebih 10 ADUN GRS yang dikaitkan dengan rakaman video mengenai dakwaan rasuah. Barry mendakwa isu berkenaan masih menjadi persoalan dan meminta GRS memberikan penjelasan sewajarnya kepada rakyat. Dalam pada itu, beliau mendakwa Armizan bimbang sekiranya Presiden KDM mengumumkan keputusan parti untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan GRS, selain pembentukan satu blok parti tempatan Borneo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). Katanya, Presiden KDM dalam ucapan pada satu majlis parti baru-baru ini memaklumkan bahawa pengumuman berkaitan blok tempatan berkenaan akan dibuat dalam masa terdekat. “Semua perwakilan yang hadir menyambut baik hala tuju parti dan mahu pembentukan blok tempatan itu dilakukan segera supaya akar umbi dapat membuat persediaan awal menghadapi PRU16. “Jika benar diwujudkan, ia akan menjadi satu sejarah baharu dalam politik Borneo,” katanya. Barry pada masa sama menasihatkan Armizan supaya memberi tumpuan kepada isu yang dihadapi rakyat Sabah, termasuk kos sara hidup dan masalah bekalan serta harga diesel. “Kami tahu bagaimana menguruskan parti kami dan tidak memerlukan campur tangan pihak luar,” katanya. Beliau turut mendakwa pengundi Sabah, khususnya di Parlimen Papar, akan membuat pertimbangan terhadap kepimpinan sedia ada pada PRU16 akan datang. Bagaimanapun, kenyataan itu merupakan pandangan pihak KDM dan segala dakwaan serta kritikan yang dibangkitkan wajar diberi ruang untuk dijawab oleh pihak GRS dan Armizan.-Info X

August 19, 2026

Info X Reporters

SUKMA XXII : Gandingan Leeyana-Nurul raih emas petanque pertama Sabah

KAJANG: Gandingan Leeyana Fitrialeysa dan Nurul Aina Ali Asmat menghadiahkan pingat emas pertama Sabah dalam acara petanque pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026, pada Rabu. Gandingan terbabit menampilkan aksi tenang dan kemas sebelum menewaskan wakil Pulau Pinang, Anis Sofea Saiful Rizal dan Nur Irdina Qaireen, 13-6 pada perlawanan akhir beregu wanita di Arena Petanque, Kompleks Sukan Kuala Selangor. Pengurus pasukan Sabah, Azami Laman, berkata kejayaan itu cukup menggembirakan, namun kemenangan berkenaan tidak hadir dengan mudah seperti yang digambarkan menerusi catatan mata. “Bukan kemenangan mudah tetapi atlet kami bijak mengambil peluang daripada kesilapan lawan dan menukarkannya kepada mata. “Itulah antara kekuatan utama mereka, selain ketenangan, fokus dan azam memburu pingat emas pada perlawanan akhir,” katanya ketika dihubungi. Menurutnya, kata-kata semangat daripada Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (KBSK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, sebelum perlawanan akhir turut memberi suntikan keyakinan tambahan kepada kedua-dua pemain. Katanya, kehadiran Nizam bersama rombongan termasuk Setiausaha Tetap KBSK, Datuk Mansur Asun, yang memberikan sokongan sehingga tamat perlawanan akhir turut menyemarakkan semangat juang atlet Sabah. Azami berkata, pasukan petanque Sabah kini akan mengalihkan fokus kepada baki persaingan membabitkan acara triples lelaki, triples wanita dan beregu campuran. “Kami berharap dapat menyumbang lebih banyak pingat emas dalam persaingan seterusnya dan kami optimis mempunyai peluang dalam acara triples wanita. “Kami berharap pemain dapat memberikan persembahan terbaik sekali lagi dan ia memadai untuk meraih pingat,” katanya.- Info X