September 23, 2026
Info X Reporters
Pelancong China maut ketika snorkeling
KOTA KINABALU: Seorang pelancong wanita warga China lemas ketika menyertai aktiviti bersnorkel di perairan Pulau Mengalum, di sini, hari ini. Mangsa berusia lingkungan 30-an yang menyertai rombongan bersama 16 pelancong lain sebelum itu menaiki bot ke pulau berkenaan untuk melakukan aktiviti snorkeling. Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 1.30 petang. Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai lemas ketika melakukan aktiviti snorkeling di kawasan perairan berkedalaman kira-kira 1.5 meter. “Mangsa dipercayai melakukan aktiviti snorkeling selama kira-kira 15 minit sebelum seorang kru bot yang memantau pelancong menyedari mangsa terapung dalam keadaan tidak sedarkan diri. “Mangsa kemudian dibawa ke darat dan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dilakukan, namun mangsa tidak memberikan sebarang tindak balas,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Shahrudin berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Menurutnya, pasukan forensik polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan tidak menemui sebarang unsur jenayah. “Polis sudah merakam percakapan saksi selain mengambil gambar di lokasi kejadian bagi membantu siasatan. “Kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. Difahamkan, mangsa datang ke Sabah menggunakan pakej pelancongan sebelum menyertai aktiviti snorkeling bersama rombongan berkenaan di Pulau Mengalum. – Info X
September 23, 2026
Info X Reporters
Penyewa melecur, rumah hampir musnah terbakar
LAHAD DATU: Seorang lelaki melecur manakala rumah disewanya hampir musnah dalam kebakaran di Jalan Hilir 2, Kampung Tabanak, di sini, hari ini. Mangsa berusia 40 tahun itu dibawa orang awam ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas rumah berkeluasan kira-kira 111 meter persegi berkenaan terbakar 90 peratus. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi sistem NG999 pada jam 10.32 pagi. Katanya, seramai 12 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi sebelum tiba enam minit kemudian. “Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang sudah terbakar kira-kira 90 peratus. “Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran sepanjang kira-kira 244 meter dengan dua pancutan menggunakan sumber air terbuka,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Sumsoa berkata, dokumen pengenalan diri mangsa turut musnah dalam kebakaran berkenaan. Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.09 tengah hari sebelum pasukan menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada lagi punca yang boleh menyebabkan kebakaran berulang. “Operasi ditamatkan selepas keadaan di lokasi disahkan selamat dan tiada bahaya lain,” katanya. – Info X
September 23, 2026
Info X Reporters
Lelaki maut terkena renjatan elektrik
LAHAD DATU: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Kampung Puyut, di sini, hari ini. Mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Difahamkan, mangsa tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tidak dikenali penduduk setempat. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Kanan Penguasa Bomba Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 12.47 tengah hari. Katanya, seramai 12 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Compact Fire Rescue Tender (CFRT) digerakkan ke lokasi sebelum tiba lapan minit kemudian. “Setibanya di lokasi, pasukan mendapati seorang lelaki lingkungan 30-an dipercayai terkena renjatan elektrik dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. “Operasi mengeluarkan mangsa hanya dilakukan selepas pihak Sabah Electricity memotong bekalan elektrik bagi memastikan kawasan berkenaan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Sumsoa berkata, anggota bomba kemudian menggunakan pengusung dan tali untuk membawa mangsa ke kawasan selamat. “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. “Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.36 tengah hari selepas memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X
September 23, 2026
BERNAMA
Cheng Hoe serah masa depan bersama dengan Harimau Malaya kepada FAM
KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Interim Harimau Malaya Tan Cheng Hoe menyerahkan kepada pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), untuk menentukan masa depannya bersama dengan skuad kebangsaan, selepas kempen sulung Piala ASEAN FIFA 2026. Tan berkata fokus utamanya ketika ini adalah untuk memastikan pasukan memberikan prestasi terbaik dalam kejohanan berkenaan, selain membina semula keyakinan penyokong terhadap skuad negara pada piala yang bermula Jumaat ini hingga 5 Okt di Indonesia. “Untuk saya, saya serahkan kepada pengurusan atau FAM, kerana tugas dan tanggungjawab saya adalah untuk FIFA ASEAN Cup ini. Sudah tentu setiap jurulatih mempunyai impian untuk melakukan yang terbaik. “Pada masa sama, saya sangat gembira dengan skuad yang ada ketika ini dan saya yakin pemain akan memberikan yang terbaik. Yang paling penting ialah mendapatkan keyakinan daripada peminat dan juga untuk masa depan kita,” katanya kepada pemberita baru-baru ini. Cheng Hoe berkata beliau tidak mahu terlalu memikirkan soal kedudukannya selepas kejohanan itu, sebaliknya mahu memastikan pemain memberikan tumpuan sepenuhnya kepada setiap perlawanan. Mengulas sasaran dalam Piala ASEAN FIFA 2026, Cheng Hoe berkata kejayaan tetap menjadi matlamat setiap jurulatih, namun skuad negara perlu memberi perhatian terlebih dahulu kepada aksi pembukaan menentang Bangladesh sebelum berhadapan tuan rumah Indonesia dan Singapura dalam Kumpulan A. Beliau mengakui perlawanan menentang Indonesia bakal menjadi cabaran besar, terutama dengan faktor bermain di hadapan penyokong tuan rumah, namun pengalaman pernah beraksi di negara itu pada 2010 membantu beliau memberikan panduan kepada pemain. “Saya ada pengalaman pada 2010. Saya beritahu pemain yang penting kita fokus kepada permainan dan perlawanan. Dari segi keselamatan, mereka ada kawalan keselamatan di sana. Saya fikir kita jangan terlalu memikirkan mengenai kapasiti penuh penyokong yang fanatik, tetapi kita perlu fokus kepada perlawanan. “Yang penting kita tenang menghadapi setiap saat dan setiap perlawanan di sana nanti,” katanya. Skuad Harimau Malaya bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dan diundi dalam Kumpulan A bersama-sama tuan rumah Indonesia, selain Singapura dan Bangladesh. Malaysia, yang berada pada kedudukan ke-136 dunia, akan memulakan kempen menentang Bangladesh (181 dunia) di Gelora Bung Karno, Jakarta pada Jumaat, Indonesia pada 28 Sept, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A berdepan Singapura pada 1 Okt. Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu dalam perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada malam 5 Okt, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada sebelah siang, hari yang sama.–BERNAMA
September 23, 2026
BERNAMA
Jadikan Piala Asean FIFA 2026 titik permulaan buru kelompok 100 dunia – Ab Ghani
PETALING JAYA: Presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan. mahu melihat Harimau Malaya menjadikan Piala ASEAN FIFA 2026 di Indonesia bermula 25 Sept hingga 5 Okt, sebagai titik permulaan untuk memburu kelompok 100 terbaik dunia pada masa hadapan. Ab Ghani berkata pencapaian menembusi kedudukan 100 terbaik dunia itu, mampu membantu Malaysia yang kini menghuni kedudukan ke-136 dunia, untuk mendapatkan laluan undian lebih baik pada kempen kelayakan Piala Dunia 2030 dan Piala Asia 2031, tahun depan. “Pada Jun tahun depan akan diadakan undian (kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia). Dengan kemenangan ataupun undian dalam Piala ASEAN FIFA tetap ada mata walaupun tidak banyak, namun kita perlukan mata tersebut. “Ini penting sebelum undian dibuat kerana Harimau Malaya perlu pastikan sekurang-kurangnya berada dalam balang kedua. Kita tidak mahu dalam balang ketiga atau keempat, kerana sukar bagi Harimau Malaya dalam peringkat awal (kelayakan) nanti,” katanya selepas Majlis Sambutan 100 Tahun FAM di sini, malam tadi. Beliau juga berkata penting bagi Harimau Malaya terlebih dahulu menyasarkan kedudukan sebagai pasukan nombor satu di rantau Asia Tenggara, sebelum mengorak langkah menembusi kelompok 100 dunia. Ab Ghani pada masa sama merancang untuk mengatur perlawanan persahabatan antarabangsa, dalam usaha melonjakkan ranking skuad kebangsaan selepas ini. Harimau Malaya pernah berada pada kedudukan ke-116 dalam ranking FIFA pada November tahun lepas, sebelum jatuh mendadak hingga ke tangga 138 pada April, susulan isu pemalsuan dokumen tujuh pemain. Skuad Harimau Malaya akan bersaing dalam Divisyen 1 Piala ASEAN FIFA 2026 dan diundi dalam Kumpulan A bersama dengan tuan rumah Indonesia, selain Singapura dan Bangladesh. Kumpulan B pula menampilkan Vietnam, Thailand, Filipina dan Pakistan. Malaysia akan memulakan kempen menentang Bangladesh yang menduduki kedudukan ke-181, di Gelora Bung Karno, Jakarta pada 25 Sept. Skuad pengendali interim Tan Cheng Hoe kemudian berhadapan Indonesia (118), di venue sama pada 28 Sept, sebelum mengakhiri kempen Kumpulan A menentang Singapura (148) di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung pada 1 Okt. Mengikut format kejohanan, juara Kumpulan A dan Kumpulan B akan bertemu pada perlawanan akhir di Gelora Bung Karno pada malam 5 Okt, manakala naib juara kedua-dua kumpulan akan berentap dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di venue sama pada sebelah siang hari yang sama.–BERNAMA
September 23, 2026
Info X Reporters
Sabah jambatan penting kukuhkan kerjasama Malaysia-China – KM
KOTA KINABALU: Sabah berada di kedudukan yang strategik untuk menjadi jambatan penting dalam memperkukuh kerjasama Malaysia-China. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata hubungan Sabah dengan China adalah bahagian penting dalam kerjasama Malaysia-China yang lebih luas. Katanya, walaupun hubungan diplomatik rasmi secara relatifnya masih baharu, hubungan antara Sabah dan China terjalin sejak jauh lebih lama dalam sejarah. “Sejak berabad-abad lalu, laluan perdagangan maritim telah menghubungkan komuniti pesisir Borneo dengan selatan China serta kawasan lain di Asia Tenggara. “Hubungan ini membolehkan pertukaran barangan, idea, budaya dan masyarakat, sekali gus mewujudkan ikatan yang kekal bermakna sehingga hari ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada Majlis Resepsi Sempena Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China di Magellan Sutera Resort, di sini, malam tadi. Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan timbalannya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam. Hajiji berkata Sabah menawarkan platform kukuh bagi penglibatan antara perusahaan, institusi dan masyarakat China berikutan kedudukan geografinya yang strategik, potensi ekonomi, kekayaan sumber semula jadi serta hubungan rakyat dengan rakyat yang sudah lama terjalin. “Perdagangan dan pelaburan kekal menjadi tonggak utama hubungan Sabah-China. China adalah antara rakan dagang terpenting Sabah dengan kerjasama merangkumi komoditi, pertanian, perikanan, produk pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan. “Syarikat-syarikat China yang beroperasi di Sabah telah menyumbang kepada pembangunan ekonomi, pewujudan peluang pekerjaan, pembangunan infrastruktur serta hubungan perniagaan yang lebih kukuh,” katanya. Pada masa sama, beliau berkata Sabah menawarkan peluang pelaburan yang besar kepada pelabur China dalam sektor pelancongan, tenaga boleh baharu, pertanian, perikanan, logistik, perkhidmatan digital dan ekonomi biru. Beliau berkata, antara lain terdapat juga peluang luas untuk Sabah dan China berkongsi kepakaran dalam bidang pertanian, pemuliharaan marin, tenaga bersih, pertanian pintar dan akuakultur. “Dengan menyelaraskan kekuatan ekonomi Sabah dengan kepakaran, keupayaan pelaburan dan kemampuan teknologi China, kita boleh mewujudkan hasil yang bermakna serta memberi manfaat bersama,” katanya. Satu lagi bidang kerjasama penting, katanya ialah pelancongan yang diyakini boleh terus dipertingkatkan melalui kesalinghubungan udara yang lebih kukuh, perluasan pemasaran digital serta pembangunan produk ekopelancongan, pelancongan budaya dan pelancongan pengembaraan. Ketua Menteri berkata selain kerjasama ekonomi, pendidikan, budaya dan pertukaran rakyat dengan rakyat, terdapat potensi besar untuk memperluas kerjasama melalui perkongsian antara universiti, pertukaran pelajar, program bahasa, kerjasama penyelidikan, biasiswa, persembahan kebudayaan, aktiviti belia serta kerjasama dalam bidang sains dan teknologi. “Pertukaran ini amat penting kerana ia memperdalam persefahaman bersama dan memupuk persahabatan dalam kalangan generasi akan datang. “Ia mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar hubungan dua hala bukan sahaja terletak pada perdagangan dan pelaburan, tetapi juga pada hubungan antara rakyat kedua-dua negara,” katanya. Melangkah ke hadapan, Hajiji berkata Sabah kekal komited untuk menyokong hubungan kukuh dan konstruktif antara Malaysia dengan China, sambil meneruskan keutamaan negeri di bawah agenda pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0. “Sabah bersedia dan berhasrat untuk menjadi platform penting bagi kerjasama Malaysia-China,” katanya. – Info X
September 23, 2026
Info X Reporters
Kerajaan digesa cari jalan kurangkan beban rakyat akibat kenaikan bil letrik
KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) Sabah menggesa Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa berkaitan mencari penyelesaian terbaik bagi mengurangkan beban bil elektrik rakyat, terutama ketika masyarakat berdepan tekanan kos sara hidup. Pengerusinya, David Chan, berkata isu kos elektrik perlu diberikan perhatian serius kerana kesannya bukan sahaja dirasai pengguna domestik, khususnya kumpulan B40 dan M40, malah turut mempengaruhi kos operasi sektor perniagaan. Katanya, elektrik adalah keperluan asas dan pada masa sama menjadi antara komponen kos utama bagi restoran, hotel, kilang, sektor pertanian, peruncitan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pelbagai industri lain. “Apabila kos elektrik meningkat, kos menjalankan perniagaan juga berpotensi meningkat. Keadaan ini akhirnya boleh memberi kesan kepada pengguna sekiranya sebahagian kos tambahan itu diterjemahkan kepada kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. “Dalam keadaan rakyat sedang berjimat dan menyusun perbelanjaan harian, kita perlu memastikan sebarang perubahan kos keperluan asas tidak menambahkan lagi tekanan kepada mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. Sehubungan itu, David berkata, YPNM Sabah berharap Kerajaan Negeri serta pihak berkuasa tenaga berkaitan dapat memberikan penjelasan secara jelas dan telus berhubung faktor pelarasan tarif elektrik, termasuk langkah yang sedang atau bakal dilaksanakan bagi mengurangkan kesannya. Katanya, YPNM Sabah turut mengambil perhatian terhadap langkah Kerajaan Sarawak memperkenalkan diskaun 25 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik bagi tempoh April hingga Disember 2026. “Langkah itu boleh menjadi antara rujukan untuk melihat apakah bentuk mekanisme bantuan yang bersesuaian dengan keadaan dan kemampuan Sabah. “Persoalannya, apakah bentuk bantuan tambahan yang boleh dipertimbangkan di Sabah bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup?” katanya. David berkata, YPNM Sabah memahami pembangunan, penyelenggaraan dan peningkatan sistem bekalan elektrik negeri memerlukan pelaburan besar, terutama bagi memastikan Sabah mempunyai bekalan tenaga yang stabil, boleh dipercayai dan mencukupi untuk memenuhi keperluan pembangunan masa hadapan. Bagaimanapun, katanya, keseimbangan perlu dicapai antara keperluan memperkukuhkan sistem tenaga dengan kemampuan pengguna untuk membayar. Justeru, YPNM Sabah mencadangkan supaya beberapa pilihan diteliti termasuk rebat atau diskaun elektrik secara bersasar kepada isi rumah yang memerlukan, bantuan kepada PKS serta mekanisme bantuan sementara bagi mengurangkan tekanan kos terhadap pengguna dan perniagaan. “Kerajaan perlu mencari penyelesaian yang bukan sahaja dapat memperkukuhkan sistem tenaga Sabah, tetapi pada masa sama membantu mengurangkan beban rakyat dan menyokong kegiatan ekonomi. “Elektrik adalah nadi ekonomi. Bekalan yang stabil dan pada kadar mampu ditanggung pengguna penting bukan sahaja kepada isi rumah, malah kepada perniagaan, pelaburan, peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi Sabah,” katanya. David berharap suara pengguna diberikan perhatian dan sebarang langkah berkaitan kos elektrik mengambil kira keadaan sebenar rakyat. “Jangan biarkan peningkatan kos keperluan asas menjadi satu lagi tekanan kepada rakyat Sabah ketika mereka sedang berdepan cabaran kos sara hidup. “Penyelesaian yang seimbang perlu dicari supaya keperluan memperkukuhkan sektor tenaga dapat berjalan seiring dengan kepentingan dan kemampuan rakyat,” katanya. – Info X
September 23, 2026
Info X Reporters
Pertandingan Mencipta Lagu OST Kreatif Sabah dilanjut hingga 27 September
KOTA KINABALU: Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (Kreatif Sabah) mengajak pengkarya seni, khususnya pencipta lagu di negeri ini untuk menyertai Pertandingan Mencipta Lagu OST(Original Soundtrack) 2026 anjuran pertubuhan itu. Timbalan Pengerusi Kreatif Sabah, Guadik Ansiw selaku Pengarah Projek pertandingan berkenaan, berkata pertandingan yang bermula pada 1 September lalu itu dan sepatutnya ditutup pada 21 September, dilanjutkan hingga sebelum jam 2 petang, 27 September ini. Katanya, lanjutan masa itu berikutan permintaan ramai yang memohon ruang dipanjangkan sedikit bagi memberi peluang kepada lebih ramai pengkarya kreatif di negeri ini mempamerkan bakat menerusi lagu ciptaan masing-masing. “Penyertaan pertandingan bermula sejak 1 September 2026 dan tarikh tutup pada 21 September 2026. Bagaimanapun, atas permintaan ramai, tempoh masa dipanjangkan sedikit untuk memberi ruang masa kepada pengkarya mengikuti pertandingan ini. “Maka, pihak penganjur bersetuju untuk melanjutkan tempoh untuk menyertai pertandingan ini selama seminggu lagi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai hingga RM4,000 bagi juara, selain piala dan sijil itu katanya bertujuan memberi peluang kepada pencipta lagu tempatan menghasilkan karya asli. Beliau berkata, penganjurannya juga bagi menggalakkan penghasilan karya muzik yang berkualiti dan mempunyai nilai komersial. “Selain itu, ia juga adalah antara inisiatif bagi memartabatkan identiti, budaya dan kreativiti Sabah melalui muzik, selain untuk membina jaringan antara pencipta lagu, penyanyi, pemuzik dan penggiat industri kreatif khususnya pembikin filem dan drama. “Pertandingan ini turut memberikan pendedahan kepada peserta berkaitan proses penghasilan karya OST dan membuka peluang kepada karya tempatan untuk diketengahkan dalam produksi filem, drama, dokumentari dan kandungan digital,” katanya. Katanya, pengkarya akan melalui tiga peringkat pertandingan bermula dengan penjurian secara dalam talian untuk mencari 30 lagu terbaik bagi peringkat pertama. Selepas itu, katanya peringkat kedua atau separuh akhir bakal menyaksikan 30 peserta yang terpilih akan membuat persembahan dan dinilai bagi mencari 10 lagu terbaik. “Persembahan itu nanti akan diadakan di Pentas Utama Kompleks Karamunsing pada 4 Oktober depan. “Setelah itu, peringkat ketiga atau final akan diadakan pada Disember depan dan kita akan memaklumkan tarikh serta tempat pertandingan akhir itu kemudian,” katanya. Selain hadiah utama RM4,000, piala dan sijil kepada juara, penganjur turut menawarkan hadiah RM2,000 berserta piala dan sijil kepada pemenang naib juara serta RM1,000 berserta piala dan sijil bagi pemenang tempat ketiga. Tidak ketinggalan, katanya penganjur turut menyediakan hadiah saguhati RM500 berserta piala dan sijil kepada pencipta lagu yang menduduki tempat keempat hingga ke-10. Guadik berkata, penganjur juga menyediakan Anugerah Khas yang menawarkan hadiah wang tunai RM1,000, masing-masing bagi vokal terbaik, persembahan terbaik dan lagu OST paling popular. Satu lagi kategori, katanya iaitu Anugerah Video Muzik Terbaik turut disediakan dengan ganjaran wang tunai sebanyak RM2,000. “Selain hadiah yang agak lumayan, lagu-lagu yang bertanding di final nanti akan sama-sama disaksikan dan didengari oleh penerbit serta pengusaha filem. “Sekiranya mereka berminat dengan mana-mana lagu yang dipertandingkan pada malam itu, mereka boleh terus berurusan dengan komposer dan pemilik lagu tersebut. “Kreatif Sabah hanya menyediakan platform dan peluang kepada pengiat seni, khususnya yang berkecimpung dalam bidang muzik kerana muzik dan filem tidak pernah dipisahkan,” katanya. Berikutan itu, beliau mengalu-alukan pengkarya dan pencipta lagu dalam apa sahaja bahasa atau sesiapa yang berminat untuk menyertai pertandingan itu yang boleh diikuti melalui laman Facebook Kreatif Sabah. – Info X