March 12, 2026
Info X Reporters
Segerakan pelan tindakan tangani kesan ekonomi global akibat perang – Masiung
KOTA KINABALU: Kelab Penyokong Kerajaan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah mengingatkan kerajaan supaya menyediakan pelan tindakan segera bagi mendepani kesan ekonomi global berikutan ketegangan yang memuncak di Asia Barat. Pengerusinya, Datuk Masiung Banah, menegaskan sepatutnya kerajaan Pusat sepatutnya sudah mengariskan langkah jangka pendek dan sederhana menghadapi kenaikan drastik harga minyak mentah dunia. Beliau berkata, harga barangan keperluan termasuk bahan makanan pasti meningkat naik apabila harga minyak melambung. “Jika kerajaan lambat bertindak tanpa pelan tindakan awal, akhirnya peniaga akan mengambil kesempatan dan kenaikan harga barang keperluan harian menjadi tidak terkawal. “Kenaikan mendadak minyak mentah global berpotensi mencetuskan kesan inflasi berganda yang akhirnya meningkatkan kos sara hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata, ketegangan geopolitik dan perang di antara Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran turut menjejaskan laluan perdagangan utama dunia di Selat Hormuz, sekali gus menimbulkan kesan fiskal kenaikan bahan mentah di Malaysia. Masiung yang juga Wakil Rakyat Kuamut, mengesa Kementerian Kewangan dan Kementerian Ekonomi Malaysia melaksanakan dasar fiskal ekoran peperangan tersebut. “Kesan harga bahan api dan barang import sudah mulai terasa di kalangan rakyat. “Sekiranya peperangan berlanjutan, kerajaan harus bersedia dengan pelan fiskal tambahan bagi memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya. Beliau menjangkakan tekanan kewangan kepada kerajaaan juga akan meningkat termasuk kemungkinan pertambahan defisit perbelanjaan kerajaan. Pengerusi Kumpulan SEDCO itu berkata, keadaan lebih kritikal apabila harga diesel meningkat, kos pengangkutan dan logistik turut meningkat dan akhirnya memberi impak kepada harga barangan di pasaran tempatan. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Penunggang motosikal maut, rakan parah
BEAUFORT: Seorang penunggang motosikal maut manakala pemboncengnya cedera selepas motosikal dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Kilometer 19 Jalan Beaufort – Papar berhampiran Taman Emas Takapan, malam tadi. Dalam kejadian jam 9.20 malam itu, mangsa, Herrvin Rowell Sylvester, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng Muhammad Syahdan Saiffudin Shamsul, 14, yang cedera parah dihantar ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut. Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Modenas Kriss dan sebuah kereta Perodua Ativa. Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang mangsa bersama seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Papar menuju ke Beaufort. “Pada masa sama, kereta Perodua Ativa yang dipandu seorang lelaki warga Korea berusia 20 tahun bersama tiga penumpang lain datang dari arah bertentangan. “Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung secara depan dengan motosikal mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau berkata, impak pelanggaran menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal tercampak ke dalam parit bersama kenderaan dinaiki mereka. “Penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng yang juga pelajar mengalami patah kaki kanan dan dikejarkan ke Hospital Beaufort untuk rawatan lanjut. “Pemandu kereta bersama tiga penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. Leong berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk bedah siasat. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu kereta terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan. “Kedua-dua kenderaan juga ditahan untuk pemeriksaan lanjut termasuk pemeriksaan Puspakom dan analisis kesan pelanggaran,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Lelaki hilang di kebun, operasi SAR hari kedua digerakkan
TUARAN: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika berada di kebun di Kampung Paka, Kiulu, di sini, sejak Selasa lalu masih belum ditemui setakat hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR), hari ini. Mangsa dikenali sebagai Jantannius Poulus, 45, dilaporkan hilang ketika berada di kebun bersama rakannya sebelum disedari tidak berada di lokasi ketika rakannya kembali ke pondok. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Anak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.40 malam, Rabu. Menurutnya, sepasukan enam anggota dari BBP Tuaran bersama Unit K9 digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR. “Menurut pengadu, mangsa kali terakhir dilihat kira-kira jam 12.40 tengah hari pada 10 Mac lalu ketika sedang berehat di sebuah pondok di kawasan kebun berkenaan. “Namun apabila pengadu kembali semula ke pondok itu, mangsa didapati sudah tiada dan usaha mencarinya di sekitar kawasan kebun gagal menemui sebarang petunjuk,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Beliau berkata, lokasi kebun yang dipercayai tempat mangsa hilang terletak kira-kira empat kilometer dari pusat kawalan bomba. Menurutnya, operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 10.50 malam sebelum disambung semula hari ini. “Operasi SAR hari kedua bermula jam 10.36 pagi selepas taklimat pembahagian sektor carian dilakukan. “Pasukan penyelamat menjalankan pencarian di sepanjang kawasan sungai serta sekitar pondok lokasi mangsa dilaporkan hilang,” katanya. Katanya, operasi turut membabitkan Unit K9 bersama seekor anjing pengesan selain bantuan anggota polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung. “Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian akan diteruskan dengan pemantauan di kawasan sekitar,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Rempuh belakang kereta, penunggang motosikal maut
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di atas jambatan Jalan Tun Fuad Stephan, di sini, awal pagi tadi. Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah. Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu wanita tempatan berusia 20 tahun dan motosikal Yamaha 135LC yang ditunggang mangsa. Menurutnya, siasatan awal mendapati kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah pusat bandar menuju ke Telipok sebelum kejadian berlaku. “Apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang berada di belakang dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang kanan kereta berkenaan sebelum terbabas di atas jalan raya. “Akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Queen Elizabeth II,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I untuk bedah siasat yang dijadualkan pada jam 11 pagi hari sama. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kedua-dua kenderaan terbabit turut ditahan bagi tujuan pemeriksaan lanjut di Puspakom. “Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor See Hong Ling di talian 6018-909 1014,” katanya. Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memandu dengan lebih berhati-hati terutama pada waktu malam bagi mengelakkan kejadian tidak diingini. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
100 asnaf terima zakat wakalah Sabah Electricity
KOTA KINABALU: Seramai 100 golongan asnaf di kawasan Putatan menerima bantuan Wakalah Zakat daripada Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) bagi meringankan beban dan berkongsi rezeki pada bulan Ramadan. Sumbangan zakat itu diserahkan Pengerusi Sabah Electricity, Saadiah Aziz pada Majlis Sesuci Budi Seikhlas Ramadan anjuran Sabah Electricity di Masjid Nurul Ihsan, Putatan pada Isnin. Penganjuran program itu bertepatan dengan niat Sabah Electricity untuk sentiasa prihatin dengan kesulitan masyarakat dalam mendepani cabaran hidup pada masa kini. Saadiah berkata, sumbangan wakalah zakat itu turut diberikan kepada Masjid Nurul Ihsan Kampung Ketiau, Surau Raudhatul Jannah, PPR Sri Keramat dan Surau Darul Uluumil Quraniyyah, Kampung Sindil. “Semoga pemberian sumbangan ini dapat membantu meringankan beban penerima dan menjadi ibadah yang berkah untuk kita semua,” katanya. Majlis itu turut dihadiri Ahli DewanUndangan Negeri (ADUN) Petagas selaku Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Awang Ahmad Sah Sahari dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Mohd Yaakob Jaafar. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Final Piala Cabaran: Sebulan siapkan Sang Badak untuk aksi berbeza lawan Pulau Pinang
KOTA KINABALU: Sabah FC ada masa kira-kira sebulan bagi mempersiapkan diri untuk tampil dengan permainan berbeza pada perlawanan akhir Piala Cabaran menentang Pulau Pinang FC pada April depan. Ketua Jurulatihnya, Juan Torres Garrido, berkata tempoh itu digunakan sepenuhnya memperbaiki pasukan, namun mengakui Sang Badak perlu bersedia sebaik mungkin bagi menghadapi Pulau Pinang. “Bagi saya, perlawanan akhir nanti adalah satu permainan yang berbeza dan kita akan mempunyai pelbagai keadaan. “Kita masih mempunyai sebulan lagi untuk bersiap sedia, jadi saya menjangkakan permainan yang berbeza nanti,” katanya pada sidang media selepas perlawanan separuh akhir kedua menentang Perak FA di Stadium Likas, di sini, malam tadi. Perlawanan itu menyaksikan Sabah menewaskan Perak 1-0 hasil jaringan pemain importnya, Gabriel Peres pada minit ke-22, sekali gus menempah tiket ke final Piala Cabaran. Garrido berkata, masa yang panjang untuk mempersiapkan pasukan dan pemain yang cukup diharap dapat memperkuat jentera Sabah FC untuk menampilkan persembahan yang berbeza berbanding sebelum ini. Sementara itu, Pengurus Sabah FC, Muhammad Arziz Afizy Rumsani, berkata Sabah FC masih dalam proses memperbaiki pasukan dan berusaha hingga sampai ke final Piala Cabaran. “Alhamdulillah kita menang hari ini dan kita layak ke final, banyak kerja yang kita lakukan sebelum kita sampai ke final, terutamanya kejurulatihan dan pemain dalam latihan terutama di bahagian serangan. “Inilah yang perlu kita perbaiki dan selepas inipun masih ada perlawanan-perlawanan Liga Super di hadapan kita yang perlu kita persiapkan pasukan,” katanya. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Hibiscus Malaysia bawa keceriaan Aidilfitri kepada kanak-kanak rumah kebajikan
KOTA KINABALU: Seramai 99 kanak-kanak daripada empat rumah kebajikan di Sabah berpeluang memilih sendiri pakaian baharu sempena Aidilfitri menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran Hibiscus Malaysia, baru-baru ini. Program itu menyaksikan sukarelawan syarikat minyak dan gas berkenaan menemani kanak-kanak terbabit membeli baju Melayu dan baju kurung bagi memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan pakaian baharu yang dipilih mengikut cita rasa masing-masing. Program berkenaan diadakan pada 7 Mac lalu di sebuah kedai tekstil di sini dengan penyertaan 15 kakitangan Hibiscus Malaysia yang diketuai Ketua Operasi Aset Sabah, Ahmad Fazmee Baharuden. Kanak-kanak yang terlibat adalah dari Rumah Anak Yatim Darul Bakti Kota Belud, Rumah Home Tuaran, Rumah Putera Harapan Ranau dan Rumah Anak Yatim As-Sakinah Papar. Inisiatif itu direalisasikan menerusi sumbangan kakitangan syarikat di bawah dana Zakat Wakalah. Sepanjang program berkenaan, sukarelawan membantu kanak-kanak memilih pakaian yang sesuai dengan personaliti mereka bagi menjadikan pengalaman membeli-belah lebih bermakna. Kakitangan lelaki membantu kanak-kanak lelaki menyelaraskan persalinan Raya termasuk baju Melayu, songkok dan samping, manakala kakitangan wanita membantu kanak-kanak perempuan memadankan baju kurung dengan tudung yang sesuai. Fazmee berkata, syarikat itu kekal komited dalam usaha memperkasa komuniti setempat melalui pelbagai inisiatif kebajikan. “Hari Raya merupakan masa untuk kegembiraan dan perpaduan, dan kami mahu memastikan kanak-kanak ini turut merasai kemeriahan sambutan tersebut. “Melihat senyuman dan keterujaan mereka benar-benar tidak ternilai,” katanya. Sementara itu, semangat memberi itu turut diteruskan apabila sebuah lagi rumah kebajikan, Rumah Anak Yatim Tambunan, menerima sumbangan menerusi inisiatif sama. Dalam satu majlis ringkas di pejabat Hibiscus di sini pada Rabu, Fazmee menyerahkan sumbangan berupa barangan keperluan asas serta kipas berdiri kepada pengetua rumah berkenaan, Noor Jannah Rusinin. Sumbangan itu dijangka memberi manfaat kepada 101 kanak-kanak yang menghuni rumah kebajikan di daerah pedalaman Sabah berkenaan. – Info X
March 12, 2026
Info X Reporters
Bas persiaran disita, LKM tamat tempoh tiada insurans
KOTA KINABALU: Sebuah bas persiaran disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah selepas didapati beroperasi dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak mempunyai perlindungan insurans yang sah. Dalam operasi di Jalan Putatan, semalam, kenderaan perkhidmatan awam jenis window van itu ditahan anggota penguat kuasa sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan. JPJ Sabah dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook memaklumkan, pemeriksaan terhadap bas persiaran buatan Golden Dragon X5 3.0TD itu mendapati LKM kenderaan berkenaan telah tamat tempoh selain gagal mengemukakan perlindungan insurans yang sah. “Susulan itu, kenderaan terbabit diambil tindakan sitaan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang jalan raya yang berkuat kuasa,” kata kenyataan itu. Sementara itu, JPJ menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan semua pemandu serta pengendali kenderaan perkhidmatan awam mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan. “Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat aduan berkaitan kesalahan trafik boleh menyalurkan maklumat melalui aplikasi e-Aduan@JPJ (MyJPJ) atau menerusi sistem SISPAA JPJ,” katanya. – Info X