July 30, 2026
Info X Reporters
Kerjasama Yayasan Sabah, IJN tambah tenaga pakar kesihatan
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil inisiatif memperluaskan peluang pendidikan dalam bidangpenjagaan kesihatan menerusi kerjasama Yayasan Sabah dengan Institut Jantung Negara (IJN) dan Kolej Universiti IJN. Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata menerusi kerjasama itu, seramai 30 anak Sabah akan dipilih mengikuti program pembangunan bakat dalam bidang penjagaan kesihatan pada tahun ini. Katanya, ia merangkumi kursus Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan, Diploma Fisioterapi serta Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi Kardiovaskular. Beliau berkata, program berkenaan dilaksanakan hasil kerjasama strategik di antara KumpulanYayasan Sabah, IJN dan Kolej Universiti IJN menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai pada April lalu. “Inisiatif ini selaras dengan keperluan Sabah untuk menambah tenaga mahir dalam sektor kesihatan, selain membuka lebih banyak peluang kepada anak Sabah mengikuti latihan profesional dalam bidang kritikal yang mempunyai permintaan tinggi pada masa hadapan. “Pada masa sama, seramai 15 anak Sabah kini sedang mengikuti Program Pembantu Perawatan Pesakit di Kolej Universiti IJN menerusi inisiatif yang diselaraskan Yayasan Sabah melalui University College Sabah Foundation (UCSF). “Ia sekali gus memperluaskan akses kepada latihan kemahiran kesihatan yang berkualiti kepada anak Sabah,” katanya pada Majlis Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah Siri Ke-37, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Khamis. Hajiji berkata kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM100 juta bagi membiayai Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun ini yang memberi manfaat kepada ribuan pelajar pelbagai peringkat pengajian, khususnya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Katanya, peruntukan itu digunakan untuk menampung biasiswa pelajar sedia ada dan tajaan baharu 2026, membabitkan seramai 2,182 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana. Beliau berkata, secara keseluruhan sehingga kini seramai 13,389 orang pelajar menerima tajaan BKNS sejajar komitmen kerajaan negeri memastikan lebih ramai anak Sabah memperoleh akses kepada pendidikan berkualiti. “Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan pembangunan pendidikan kerana ia adalah asas penting dalam melahirkan modal insan berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya. Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, BKNS turut menambah 10 penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan penerima anugerah itu seramai 60 orang. Katanya, kerajaan negeri juga menawarkan beberapa skim biasiswa utama termasuk Biasiswa Anugerah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Biasiswa Perdana, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah serta Biasiswa Program B40 dan Luar Bandar. “Kumpulan Yayasan Sabah turut meningkatkan jumlah penerima Anugerah Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah sebanyak 10 orang kepada 50 penerima tahun ini sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademik pelajar Sabah,” katanya. Hajiji berkata, kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan lain bagi meringankan beban pelajar dan keluarga berdepan peningkatan kos pendidikan. Antaranya, beliau berkata, Biasiswa Cemerlang Kerajaan Negeri Sabah (BCKNS) yang memberi manfaat kepada 835 penerima dengan perbelanjaan keseluruhan RM141.29 juta dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarkan pada 2022 berjaya membantu 15,629 penerima membabitkan peruntukan lebih RM25 juta. “Selain itu, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui Bahagian Zakat dan Fitrah juga terus menyalurkan bantuan pendidikan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian, termasuk bantuan yuran awal dan tiket penerbangan, dengan perbelanjaan lebih RM12.7 juta bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini”, katanya. Beliau berkata, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas) turut meneruskan 14 inisiatif pendidikan yang diperkenalkan sejak 2021, antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (SUBFLY) dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA). Hajiji juga menyifatkan peningkatan prestasi pendidikan berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang mencatat Gred Purata Negeri (GPN) 4.85 berbanding 5.00 pada tahun sebelumnya sebagai sesuatu yang positif memandangkan ia kali pertama Sabah merekodkan GPN di bawah paras 5.00. – Info X
July 30, 2026
Info X Reporters
Stadium Likas dipilih semula venue AFC Women Champions League
KOTA KINABALU: Stadium Likas, sekali lagi dipilih sebagai venue Pusingan Kelayakan Kumpulan A, kejohanan AFC Women’s Champions League 2026 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 23 Ogos 2026. Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), Shamsuddin Mohd Shah, berkata kejohanan itu membabitkan empat pasukan iaitu East Bengal FC dari India, Sabah FA dari Malaysia, Rovers FC dari Guam dan Rajshahi Stars FC dari Bangladesh. Katanya, pemilihan Sabah sebagai lokasi penganjuran kali ini adalah satu lagi pengiktirafan kepada keupayaan negeri ini mengendalikan kejohanan bola sepak di peringkat antarabangsa. Lebih membanggakan, katanya ia adalah yang kedua Sabah dipilih sebagai tuan rumah bagi kejohanan berkenaan selepas kali pertama diberikan kepercayaan menganjurkannya pada 2024. “Pemilihan Sabah buat kali kedua adalah satu penghormatan dan kepercayaan kepada SAFA serta semua pihak yang terbabit dalam memastikan penganjuran kejohanan antarabangsa dapat dilaksanakan dengan baik. “SAFA akan memberikan kerjasama sepenuhnya dan memastikan segala aspek persediaan, termasuk venue pertandingan, logistik, keselamatan serta keperluan pasukan dan pegawai kejohanan diberi perhatian,” katanya. Shamsuddin berkata demikian selepas Mesyuarat Persediaan Pengelolaan AFC Women’s Champions League 2026 – Preliminary Stage yang diadakan di SAFA pada Jumaat lalu. Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh pemangku Presiden SAFA, Datuk Awang Kadin Tang dan turut dihadiri tiga pegawai dari Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi membincang serta menyelaras aspek berkaitan persediaan penganjuran kejohanan itu. Shamsuddin berkata, penganjuran kejohanan itu juga memberi peluang kepada peminat bola sepak tempatan untuk menyaksikan aksi bola sepak wanita di peringkat Asia, selain memberi pendedahan pertandingan antarabangsa kepada pasukan Sabah FA. Beliau berharap seluruh peminat bola sepak di Sabah akan memberikan sokongan kepada kejohanan berkenaan, khususnya kepada Sabah FA yang membawa cabaran Malaysia dalam saingan itu nanti. “Selain memastikan kejohanan ini dapat dianjurkan dengan lancar, kita juga mahu menggunakan peluang ini untuk memperlihatkan kemampuan Sabah sebagai destinasi yang mampu menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa. “Kami berharap penyokong bola sepak Sabah akan hadir memberikan sokongan kepada pasukan Sabah FA sepanjang kejohanan berlangsung di Stadium Likas nanti,” katanya. – Info X
July 30, 2026
Info X Reporters
Pemuda GRS komited jadi suara anak muda Sabah – Jonnybone
KOTA KINABALU: Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited untuk terus menjadi suara anak muda Sabah dengan memperjuangkan isu yang dekat di hati rakyat. Ketuanya, Datuk Jonnybone J Kurum, berkata ia termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, keusahawanan, pembangunan modal insan dan penyediaan infrastruktur serta kemudahan asas yang lebih baik. “Pemuda GRS juga akan terus mendukung agenda pembangunan kerajaan negeri demi memastikan masa depan Sabah yang lebih maju, stabil dan sejahtera,” katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas Mesyuarat Pergerakan Pemuda GRS, di sini, pada Rabu. Mengenai mesyuarat berkenaan, Jonnybone berkata ia bagi menyelaras gerak kerja organisasi dan memperkukuhkan peranan Pemuda GRS dalam mendepani pelbagai isu semasa yang membabitkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah. Mesyuarat itu, katanya turut membincangkan beberapa isu semasa termasuk perkembangan politik, ekonomi dan agenda pembangunan negeri. “Mesyuarat juga memperhalusi pendekatan dan tindakan yang akan digerakkan oleh sayap Pemuda GRS bagi memastikan suara dan aspirasi golongan muda terus diberikan perhatian,” katanya. Beliau berkata, pada mesyuarat yang sama turut diadakan penyerahan surat pelantikan kepada Ahli Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) Pemuda GRS sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh struktur organisasi dan memperkemas pelaksanaan gerak kerja di semua peringkat. – Info X
July 30, 2026
Info X Reporters
Warga emas hilang lebih 26 jam ditemui selamat
KOTA BELUD: Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah pada Selasa, ditemui selamat, semalam, selepas lebih 26 jam. Mangsa berusia 78 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan lemah, sekitar jam 5.30 petang, di Kampung Payas-Payas, di sini. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, mangsa hanya dilaporkan hilang selepas disedari hilang oleh ahli keluarga pada jam 8.30 pagi. Katanya, mengikut laporan anak mangsa, warga emas terbabit keluar daripada rumah pada jam 3 petang sebelum disedari hilang. “Mangsa ditemui orang awam pada jarak 300 meter dari rumah mangsa di kawasan kampung berkenaan dalam keadaan lemah. “Pasukan bomba seterusnya menghantar mangsa ke Hospital Kota Belud untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini. Menurutnya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.38 petang. – Info X
July 30, 2026
Info X Reporters
Lelaki warga asing disyaki rogol remaja diberkas
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 18 tahun yang disyaki merogol seorang remaja perempuan tempatan bawah umur dalam operasi di kawasan parkir sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas, di sini. Penahanan suspek dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau susulan siasatan yang dijalankan selepas bapa mangsa membuat laporan polis. Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, laporan dibuat selepas bapa mangsa mendapati anak perempuannya yang dilaporkan tidak pulang ke rumah ditemui di kawasan Fajar, Tawau. “Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengaku tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa di Jalan Haji Karim, Bandar Fajar sebelum berlaku hubungan intim antara mereka. “Bertindak atas maklumat itu, polis melancarkan operasi bagi mengesan suspek sebelum berjaya menahannya di kawasan parkir sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas,” katanya dalam kenyataan, malam tadi. Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek adalah warga asing yang berada di negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah. Katanya, semakan rekod jenayah turut mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau. “Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan rogol serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah,” katanya. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Shafie kekal Ahli Parlimen, ADUN, boleh tanding pilihan raya – Azis
KOTA KINABALU: Kedudukan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang tidak terjejas berikutan hukuman penjara lima minggu dikenakan terhadapnya oleh mahkamah pada Rabu. Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman, berkata bekas Ketua Menteri itu juga tidak hilang kelayakan untuk bertanding pada pilihan raya akan datang. “Ingin ditegaskan bahawa berdasarkan peruntukan undang-undang, hukuman penjara selama lima minggu dan denda RM300 yang diputuskan hari ini tidak menjejaskan kedudukan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri serta tidak menggugurkan kelayakan beliau untuk bertanding dalam pilihan raya. “Sehubungan itu, saya menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh disalah tafsir sebagai menghina proses mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Beliau berkata, Warisan sentiasa menghormati institusi kehakiman dan akan terus mengikuti setiap proses perundangan dengan penuh tanggungjawab serta tertib. Katanya, Shafie juga akan menggunakan haknya untuk mengemukakan rayuan mengikut saluran yang diperuntukkan undang-undang. Azis juga yakin semua ahli dan penyokong Warisan akan terus bersikap tenang, matang serta menghormati proses rayuan yang sedang berjalan. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
Sabah FC terima tajaan RM4 juta dari Emas Sri Semantan
KOTA KINABALU: Sabah FC menerima tajaan RM4 juta dari sebuah syarikat perniagaan barangan kemas bagi menyokong operasi pasukan menghadapi Liga MFL bagi musim baharu 2026/2027. Tajaan Syarikat Emas Sri Semantan Sdn Bhd itu hasil kerjasama yang dimeterai menerusi Perjanjian Persefahaman (MoU) ditandatangani kedua-duanya, di sini, pada Rabu. Pengarah Sabah FC, Datuk Alijus Sipil, berkata MoU itu adalah sebahagian perancangan Sabah FC untuk memperluas rangkaian rakan strategik dan mengisi slot penajaan bagi menghadapi musim 2026/2027. Katanya, tajaan kewangan dari syarikat itu digunakan bagi menyokong keperluan operasi Sabah FC sepanjang musim, selain membantu usaha kelab menambah baik fasiliti berkaitan pemulihan dan peningkatan prestasi pemain. Beliau berkata, pembabitan sektor swasta amat penting dalam memastikan sesebuah kelab bola sepak dapat berkembang secara mampan, terutama dalam persekitaran bola sepak moden yang memerlukan sokongan kewangan dan kerjasama komersial yang kukuh. “Kehadiran Emas Sri Semantan sebagai rakagi strategik memberi nilai tambah kepada Sabah FC, bukan sahaja daripada aspek kewangan tetapi juga dalam usaha memperluas jangkauan dan imej pasukan. “Seperti kelab-kelab lain di negara ini dan di peringkat antarabangsa, sokongan sektor swasta sama ada dalam bentuk penajaan, sumbangan atau kerjasama strategik amat penting untuk kelangsungan sesebuah kelab. “Bagi Sabah FC, kerjasama ini akan membantu keperluan operasi pasukan bagi musim 2026/2027, selain menyokong perancangan jangka panjang termasuk penambahbaikan fasiliti untuk pemulihan pemain dan peningkatan prestasi,” katanya pada majlis mendatangani MoU di antara Sabah FC dan Emas Sri Semantan, di sini, hari ini. Hadir sama Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Awang Kadin Tang; Pengerusi Emas Sri Semantan, Hafizal Mahmood dan Pengurus Sabah FC, Mohd Arziz Afizy Rumsani. Alijus berkata, sokongan diterima Sabah FC dijadikan sandaran untuk menambah baik prestasi pasukan sepanjang musim baharu nanti setelah kedudukannya dalam carta liga jatuh pada musim lalu. “Apa yang ingin kita capai pada tahun ini, itu nanti kita akan perkemaskan dari semasa ke semasa, tapi yang sememangnya, kita akan cuba yang lebih baik daripada pencapaian kita pada tahun lalu. “Pada tahun lalu (musim 2025/2026), walaupun kedudukan kita di liga MFL agak ke bawah sedikit, tapi kita mencapai dua kejayaan yang sudah lama kita tidak capai. “Yang pertamanya, kita berjaya masuk ke pusingan akhir Piala FA, di mana kita tewas kepada JDT) dan yang kedua, kita menjuarai Piala Cabaran. Itu antara kejayaan manis bagi Sabah FC pada musim lalu,” katanya. Sementara itu, Hafizal berkata, keputusan Emas Sri Semantan menjalin kerjasama dengan Sabah FC didorong kedudukan bola sepak yang cukup dekat dengan masyarakat Sabah serta sokongan kuat rakyat negeri ini terhadap pasukan mereka. Katanya, Emas Sri Semantan ketika ini mempunyai tiga cawangan di Sabah, masing-masing di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau serta merancang membuka sebuah lagi cawangan di Tawau sebagai sebahagian daripada pengembangan operasinya. “Bola sepak mempunyai pengaruh yang besar dan dekat di hati rakyat Sabah. Kami melihat kerjasama dengan Sabah FC sebagai satu platform yang baik untuk Emas Sri Semantan mendekati masyarakat dengan lebih luas, di samping memperkukuh kehadiran jenama kami di negeri ini. “Kami juga melihat kesungguhan pengurusan Sabah FC dalam membina pasukan yang kompetitif dan meningkatkan prestasi pasukan. Ini memberikan keyakinan kepada kami untuk bersama-sama Sabah FC sebagai rakan strategik,” katanya. Katanya, kerjasama kedua-dua pihak juga tidak terhad kepada penajaan pasukan utama, sebaliknya Emas Sri Semantan merancang untuk bekerjasama dengan Sabah FC dalam beberapa inisiatif pembangunan bola sepak dan komuniti. Antara yang dirancang katanya ialah siri jelajah bersama pemain Sabah FC ke beberapa daerah, Klinik Bola Sepak bagi membantu mencungkil bakat baharu tempatan dan penajaan pertandingan Liga Daerah. Hafizal berkata, syarikat itu turut melihat potensi untuk meneruskan kerjasama dengan Sabah FC dalam jangka masa lebih panjang, sejajar rancangan Emas Sri Semantan memperluaskan operasi di seluruh Sabah termasuk pembukaan cawangan baharu dan perancangan mewujudkan kilang pemprosesan emas di negeri ini. “Kami melihat Sabah sebagai pasaran yang penting dan perniagaan kami akan terus berkembang di negeri ini. Justeru, kami memerlukan pendekatan pemasaran yang berterusan dan melihat bola sepak sebagai antara platform strategik untuk membina hubungan dengan masyarakat Sabah “Sudah tentu kami terbuka untuk melihat kerjasama ini berkembang lebih jauh bersama Sabah FC pada masa hadapan,” katanya. – Info X
July 29, 2026
Info X Reporters
‘Saya hormati keputusan mahkamah’ – Shafie
KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau menghormati keputusan mahkamah berhubung hukuman penjara lima minggu yang dijatuhkan ke atasnya hari ini. Ia selepas bekas Ketua Menteri itu didapati bersalah menghina mahkamah berkaitan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir. Bagaimanapun, katanya keputusan itu tidak menjejaskan amanah dan integritinya sebagai wakil rakyat, selain menyatakan menghormati kedaulatan undang-undang. “Hari ini mahkamah telah membuat keputusan dalam prosiding penghinaan mahkamah terhadap saya. “Saya menghormati keputusan mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan. Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya. “Namun begitu, amanah saya kepada rakyat tetap tidak berubah. Sejak dari awal, perkara ini bukan mengenai diri saya. Ia mengenai pemergian seorang kanak-kanak yang telah menyentuh hati seluruh negara. “Harapan saya, sejak awal lagi, hanyalah agar kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dapat dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. Ahli Parlimen Semporna itu berkata, memandangkan perkara itu kini berada di Mahkamah Rayuan, beliau tidak akan mengulas lanjut. “Saya akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti dan menghormati kedaulatan undang-undang. “Komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti tetap tidak berubah,” katanya. Shafie diperintah menjalani hukuman itu bermula pada tarikh keputusan dibuat, iaitu 29 Julai 2026, namun mahkamah membenarkan penangguhan hukuman sehingga selesai proses rayuan yang dibuat beliau. Beliau sebelum ini didakwa menghina mahkamah selepas mengungkit inkues kematian Zara Qairina dalam ceramah politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tahun lalu. Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua, berkata Warisan menghormati keputusan Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu dalam kes yang membabitkan presiden parti itu. “Mahkamah juga telah membenarkan penangguhan hukuman penjara lima minggu sementara menunggu rayuan. Rayuan ke atas keputusan akan dibuat dan barisan peguam yang mengendalikan kes ini akan memfailkan Notis Rayuan dengan segera,” katanya. Beliau meminta ahli Parti Warisan terus fokus kepada perjuangan parti dan berani menuntut keadilan di negara ini. – Info X